Bab 17

BAB 17

PERCUBAAN peperiksaan aku akan berlangsung tidak lama lagi. Perasaan aku semakin lama semakin gentar apabila setiap kali aku melihat kalender di dalam iPhone. Pelajar lain mungkin boleh bersantai dan bermain-main lagi kerana pada mereka lama lagi tapi pada aku tidak. Aku nak kena buktikan yang aku boleh walaupun hanya percubaan.

"Alyna... Doktor Yazid panggil kau," beritahu Firdan sebaik saja dia melangkah masuk ke dalam makmal. Luqman pula tidak kelihatan lagi, katanya dia sedang bermesyuarat. Segera aku keluar dari makmal dan mendapatkan Doktor Yazid yang sedang menunggu aku tidak jauh dari makmal.

"Ya, doktor," sapa aku sebaik saja sampai di belakang tubuhnya. Dia memusingkan pandangannya ke arah aku dengan senyuman kecil terbit pada bibir nipisnya itu. Aku membalas senyumannya bersahaja.

"Alyna...," panggilnya dengan nada suara agak gemersik membuatkan bulu roma aku merinding.

"Ya?" jawab aku terketar-ketar namun masih dikawal bagi tidak terlalu dengar.

"Ini rupanya Nur Alyna Binti Dr. Amsyar. Tak sangka rupanya kita dalam satu kolej yang sama dan awaklah yang akan..." Ayatnya terhenti lalu tubuhnya dibongkokkan sedikit, sama paras dengan wajahku. Aku terundur setapak secara automatik tetapi tangan kirinya ditekan pada permukaan dinding di sebelahku. Menghalang untuk aku bergerak ke mana-mana.

"Doktor ni kenapa?" soal aku. Air liur ditelan payah. Terasa pahit tiba-tiba. Firdan tak perasan ke kenapa aku dekat luar lama sangat. Luqman...

"Tak ada apa-apa, saja nak berkenalan dengan lebih rapat. Tapi tak apalah, saya faham awak tengah bersungguh-sungguh belajar nak tingkatkan prestasi awak untuk menghadapi peperiksaan percubaan ni kan? Saya selalu doakan awak yang terbaik. Nanti kita jumpa lagi, okey." Dia mengenyitkan mata lalu melangkah pergi meninggalkan aku dalam keadaan terpinga-pinga.

Apa yang dia cuba sampaikan tadi? Kenapa ayat dia tergantung? Bukan ke dia sombong dengan aku tempoh hari? Kenapa sekarang nak berbaik-baik, siap pakej dengan suara ala-ala menggoda. Apa dia fikir, aku akan cair dengar suara dia macam tu? Memang tak lah! Habis meremang semua bulu roma aku. Macam baru lepas jumpa hantu.

Segera aku berlari anak, masuk ke dalam makmal. Firdan aku lihat sedang membuat latihan di dalam buku yang diberikan oleh Luqman tempoh hari.

"Lamanya?" soal Firdan sebaik saja aku melabuhkan punggung.

"Ah? Err... dia tanya pasal hal peribadi sikit," bohong aku.

Firdan menganggukkan kepala dan menyambung semula latihannya.

"Kau termenung apa? Tak ada kerja?" tegur dia apabila dia melihat aku kaku bagaikan patung dari tadi. Aku menggelengkan kepala dan mengeluarkan buku nota dan menghafal topik yang aku belum mahir lagi. Tapi masalahnya sekarang ni, kepala otak aku langsung tak boleh masuk sebarang ilmu. Suara Doktor Yazid masih terngiang-ngiang di dalam minda.

Pap!

Lamunan aku tersentak saat terkejut mendengar bunyi seseorang menepuk meja di hadapan aku. Terkebil-kebil aku memandang sesusuk tubuh yang berada di hadapan aku kini. Dia pula melemparkan pandangan hairan dengan kerutan di dahi. Aku tersengih seperti kerang busuk.

"Jauh betul mengelamun sampai saya dengan Firdan panggil tak bergerak-gerak. Dah macam patung. Risau juga ingatkan dah tak bernyawa."

Aku mencebikkan bibir manakala Luqman pula tertawa melihat wajah cemberut aku itu. Firdan pula seperti biasa, kekal dengan riak wajahnya yang kosong itu. Tiada perasaan!

"Alyna dah mahir semua topik? Ada yang lagi tak faham? Peperiksaan nak dekat dah ni. Walaupun percubaan, Alyna kena tunjuk satu prestasi yang mampu mengejutkan orang ramai lebih-lebih lagi, ibu dan ayah Alyna sendiri."

Aku menganggukkan kepala sambil tersenyum.

"Hai!" sahut aku ala-ala orang jepun.

Luqman tersenyum. Aku perasaan dari air muka Luqman, ada sesuatu yang tersirat, dia cuba menyembunyikan dari aku tapi aku tak berniat hendak bertanya. Takut masalah peribadi pula.

"Alyna okey tak ni? Saya tengok jauh betul mengelamun tadi. Ada masalah lagi?"

Segera aku menggelengkan kepala dan melorekkan senyuman kecil supaya tidak nampak sangat aku sekarang dalam keresahan dengan masalah yang baru saja tadi muncul.

"Firdan, ada apa-apa yang awak tak faham?" Giliran si lelaki berkaca mata petak itu pula disoal. Firdan menolak buku latihannya dan Luqman mula mengajarnya.

Aku mengalihkan pandanganku ke arah cermin tingkap yang dikuakkan sedikit. Mata aku terpaku pada susuk tubuh seseorang yang sedang berdiri sambil bersandar pada dinding. Cepat-cepat aku mengalihkan pandangan, merenung buku nota yang ada di hadapan aku itu.

Siapa yang sedang perhatikan aku tu? Ke aku salah nampak? Tapi jarang ada orang lalu dekat kaki lima tepi makmal ni. Hairan. Takkanlah Doktor Yazid?

Beberapa kali aku meraup wajahku, cuba membuang segala fikiran negatif yang terbuku di minda. Ekor mata aku mengerling ke arah Firdan yang seolah-olah merenung ke arah sesuatu. Arah itu sama dengan arah pandangan aku tadi. Takkan dia nampak apa yang aku nampak tadi. Aku sendiri tak dapat nak baca air muka dia yang sentiasa kosong itu.

"Okey, Firdan nampaknya awak dah semakin mahir topik ni. Minggu depan kita jumpa lagi. Jangan lupa ulang kaji, ya."

Seperti biasa Firdan hanya menganggukkan kepala dan terus berlalu pergi meninggalkan aku dan Luqman.

"Alyna... abang lepas ni tak dapat nak bawa Alyna keluar seperti selalu sebab abang nak kena pergi Pusat Makmal Negara untuk mengkaji sesuatu yang diarahkan oleh pentadbir. Apa-apa Alyna hubungi atau mesej abang okey?"

Aku mengukirkan senyuman kecil lalu menganggukkan kepala.

"Abang jaga diri, ya."

Dia menganggukkan kepala dan tersenyum sehingga matanya sepet. Comel!

"Tak payah lah senyum macam tu! Ingat comel ke?" cebik aku.

Luqman mengekeh gelak sambil menggelengkan kepala.

"Alah! Sekali sekala senyum macam tu. Tak salah kan?"

Aku tertawa.

"Abang doakan Alyna berjaya di dunia dan juga akhirat. Andai kata peperiksaan percubaan dan peperiksaan akhir nanti Alyna skor cemerlang, abang nak Alyna tahu, abanglah orang yang paling gembira dan kagum ada pelajar seperti Alyna."

Pipiku terasa bahang apabila Luqman berkata begitu. Malu pula rasanya.

"Terima kasih abang..." Dia tersenyum.

*****

MALAM itu, aku tidak balik ke rumah. Aku menghabiskan masa seorang diri di perpustakaan kolej yang berada di tingkat atas, tidak jauh dari makmal itu. Ada beberapa pelajar yang masih berlegar di kawasan kolej tetapi di perpustakaan hanya aku seorang. Kot putih masih tersarung pada tubuhku. Itu adalah arahan Luqman. Selagi aku di dalam kolej ini, dia menyuruh aku memakai kot putih itu supaya aura semangat aku untuk belajar semakin bersuluh.

Kepala aku letakkan di atas kepala sambil menyelak helaian demi helaian. Tak beberapa saat, aku sudah menguap besar menandakan yang aku tidak dapat menahan lagi rasa kantuk yang membuak-buak ini. Mata sudah pun berair akibat menguap tadi.

Tanpa sedar, aku terus terlelap dalam keadaan begitu sambil memegang helaian kertas di dalam buku itu.

*****

SESEORANG masuk ke dalam perpustakaan itu dan merenung lama susuk tubuh yang sedang duduk sambil melapikkan kepalanya menggunakan lengan. Perlahan dia menapak mendekati susuk tubuh itu tanpa sebarang bunyi. Dia menanggalkan kot putihnya kemudian menyelimuti tubuh itu.

Dia mengambil tempat di hadapan gadis itu kemudian merenung setiap inci wajah itu. Hatinya terusik setiap kali memandang wajah itu, lebih-lebih lagi saat wajah itu melemparkan senyuman kepadanya setiap hari tanpa jemu. Teragak-agak dia mahu menyentuh lengan yang berlapikkan kot putih itu.

"Abang sayangkan, Alyna. Abang harap Alyna tahu isi hati abang satu hari nanti," gumamnya perlahan lalu berlalu dari situ sebelum gadis itu tersedar akan kehadirannya.



Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.