Bab 53

BAB 53

BETULLAH apa yang ustaz pesan sewaktu aku mendengar ceramah di aplikasi YouTube. Tak semua orang yang jahat akan kekal jahat dan tak semua orang yang baik akan kekal baik. Jadi kita sebagai hamba Allah, tak boleh sesuka hati menghukum orang jahat itu seolah-lah penjahat itu dijamin masuk neraka. Sedangkan Allah banyak memberikan mereka masa dan peluang untuk bertaubat.

Sebagai contoh, Yazid. Aku tak pernah menghukum dia, cuma aku sering bersangka buruk dengannya. Bukan apa, aku takut dan pada masa yang sama trauma sekiranya dia cuba mencederakan kami. Kejadian malam itu masih segar dalam ingatan aku.

"Jom, kita dah sampai. Firdan dah tunggu dekat bilik kerja aku. Jom sayang...," ajak Luqman.

Aku terus keluar dari perut kereta dan memaut lengan Luqman manakala Yazid, lengannya dipimpin oleh Luqman menuju ke bilik kerjanya. Selepas membawa Yazid mengisi perutnya, Yazid mahu berjumpa dengan Firdan sebelum dia dihantar ke balai polis. Dia sendiri yang bersetuju untuk menyerah diri. Dia sendiri cakap yang dia sudah bersedia untuk menerima hukuman yang berat.

"Erm... abang Fir... tu diaorang dah sampai...," beritahu Andra yang sedang duduk di atas sofa manakala Firdan duduk di bangku kecil berhadapan dengan meja kerja Luqman.

Aku memerhatikan reaksi wajah Firdan yang berkerut memandang ke arah Yazid dan Luqman. Aku tak tahu samada dia tahu atau tidak Yazid mahu berjumpa dengannya.

"Kenapa Prof bawa dia? Saya tak nak jumpa dengan pembunuh mak saya." Keras nada suara Firdan. Dari posisi duduk, lantas dia berdiri tegak. Andra yang sudah tahu cerita hanya mendiamkan diri. Dia melambai ke arah aku, mengajak aku untuk duduk di sebelahnya. Aku turutkan saja.

"Firdan... sabar. Bagi saya ceritakan dulu. Awak bertenang. Kawal diri awak. Ada sebab saya bawa dia untuk berjumpa dengan awak. Duduklah... jangan marah-marah macam ni. Dia nak jumpa awak sekejap saja...," pujuk Luqman lembut.

Firdan lambat-lambat akur dengan permintaan Luqman. Dia kembali duduk di bangku tadi pandangannya dipalingkan ke arah Andra. Langsung dia tidak mahu memandang wajah Yazid.

"Firdan, aku tahu aku salah. Aku kesal dengan perbuatan aku sendiri..."

"Dah terlambat untuk kau menyesal. Sesalan kau tak boleh hidupkan mak aku semula! Dasar pembunuh!" herdik Firdan secara tiba-tiba. Wajahnya yang tadi tenang berubah menjadi bengis. Andra segera mendekati Firdan, cuba untuk menenangkan dia. Luqman pula menyuruh aku diam saja dan bertenang.

"Firdan... aku dah menyesal. Betul-betul menyesal. Memang aku menyesal Firdan..."

"Boleh pergi mati dengan sesalan kau tau! Kau tetap dah bunuh mak aku! Kau dengan Amsyar sama je!" marah Firdan. Nafasnya turun naik dengan laju. Penumbuknya digenggam erat.

"Firdan, sabar Firdan... bawa bertenang. Kita nak selesaikan masalah ni dengan cara baik. Kalau Firdan bertindak macam ni, percayalah cakap saya. Arwah mak Firdan tak nak Firdan buat macam ni. Maafkanlah Yazid. Memang sukar tapi saya pernah rasa macam mana kehilangan ayah dan ibu tanpa sempat kita membalas jasa mereka. Sebenarnya, walau macam mana pun pengorbanan mereka tetap kita tidak boleh terbalas. Apa yang kita mampu sekarang ini adalah doa. Firdan doakan untuk arwah ibu dan ayah Firdan. Mereka memerlukan doa dari seorang anak. Lagi-lagi Firdan satu-satunya anak mereka," pujuk Luqman diselitkan dengan sedikit nasihat.

"Abang Fir... betul cakap Prof. Abang Fir dah janji dengan Andra kan yang abang Fir nak lupakan dan maafkan orang yang pernah buat abang Fir. Memang berat untuk kita maafkan seseorang yang telah menyebabkan insan yang kita sayang meninggal dunia. Tapi, sampai bila abang Fir nak terus macam ni. Abang Fir tak akan tenang. Percaya cakap Andra. Kan Andra dah cakap, lepas ni abang Fir dah tak keseorangan. Nanti kita dah berkahwin, abang Fir anggaplah mummy dan daddy Andra macam ibu dan ayah abang Fir sendiri. Adik-beradik Andra akan jadi adik-beradik abang Fir juga. Kita akan jadi satu keluarga yang besar. Seronok kan?"

Pujukan Andra membuatkan hati aku tersentuh. Lembut saja semua bait tutur katanya mampu membuatkan Firdan yang tadinya emosi, sekarang sepertinya sudah sedikit tenang. Andra memeluk dan mengusap bahu Firdan lembut.

"Terima kasih, Andra sayang," ucap Firdan dengan perlahan.

Andra menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Perlahan-lahan Firdan memalingkan wajahnya memandang ke arah Yazid yang masih tunduk menekur lantai.

"Aku..."

Firdan berjeda seketika. Dia bangun lalu mendekati Yazid.

"Aku maafkan kau. Dan, aku nak minta maaf sebab buat kau dulu..."

Aku sedikit terkejut di saat Firdan mendakap tubuh Yazid erat sambil menghamburkan tangisan. Kami bertiga memerhatikan mereka. Sebak pula bila aku lihat Yazid dan Firdan menangis teresak-esak begitu.

"Maafkan aku, Firdan. Aku menyesal," esak Yazid.

Firdan tak mampu memberi apa-apa respons. Dia hanya menganggukkan kepala dan mengesat air matanya yang masih degil mengalir laju.

"Maafkan aku juga..." Perlahan saja Firdan bersuara dengan nada yang sebak.

Aku nampak Andra dan Luqman turut mengalirkan air mata perlahan. Aku sebenarnya menahan saja, tak mahu menangis berlebihan. Nanti nafas aku menjadi mengah dan badan aku menjadi letih.

"Yazid, aku tak jamin yang kau boleh lepas tapi aku cuba mana yang aku mampu...," beritahu Luqman sambil menepuk-nepuk bahu Yazid perlahan.

"Tak apa, Luq. Aku tahu. Aku dah lama terlepas. Menjalani sebuah kehidupan aku dibelenggu dengan dosa-dosa besar. Jadi, inilah saatnya aku kena hadapi hukuman," ujar Yazid dengan senyuman kecil terukir pada bibirnya. Firdan di sebelah hanya memandang sayu ke arah Yazid.

"Aku akan selalu doakan untuk kau, Doktor Yazid...," ucap Firdan sambil memeluk bahu Yazid.

"Terima kasih Firdan. Aku juga doakan supaya kau terus berjaya menjadi seorang doktor yang bertauliah."

Firdan tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.

"Alyna...," panggil Yazid sebaik saja dia mengalihkan pandangannya ke arah aku. Luqman menghulurkan tangan ke arah aku dan perlahan aku menyambut untuk bangun.

"Alyna... maafkan aku. Maafkan aku atas semua apa yang berlaku. Kalau aku tak ajak Amsyar, mesti dia dapat tengok cucu dia kan. Maafkan aku, Alyna. Aku pernah sakiti kau."

Aku tersenyum kecil sambil menggelengkan kepala.

"Saya tak ada hak nak menghukum awak, Yazid. Saya dah maafkan awak. Semua orang berhak mendapat kemaafan sekiranya awak betul-betul mahu berubah. Saya akan doakan kesejahteraan awak," balas aku dengan nada yang sebak. Hampir saja air mata aku mahu berguguran jatuh.

"Terima kasih, Alyna. Semoga kau bahagia dengan Luqman dan anak-anak kau."

Aku hanya menganggukkan kepala. Mengulumkan senyuman kepadanya.


Previous: Bab 52
Next: Bab 54

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.