Bab 30

BAB 30

"SALAH!" tegur Luqman membuatkan jahitan aku terhenti.

"Betullah!"

"Salah. Macam ni caranya!"

"Eii! Abang ni betullah, cuma silap ni je!" Aku tetap mahu membela diri.

"Tetap salah! Kalau buat dekat pesakit mana boleh silap sikit-sikit!" Akhirnya aku mengalah dan membetulkan semula jahitan aku pada perut patung itu. Hampir berjam-jam aku menjahit perut patung ini. Mandi peluh aku dibuatnya.

"Okey siap!" ujar aku sambil meletakkan jarum di dalam bekas besi. Luqman menganggukkan kepalanya, tandanya dia berpuas hati dengan hasil kerja aku.

"Giliran Firdan pula."

Firdan mara ke hadapan dan mula mengambil posisi untuk menjahit perut patung itu. Hari ini kami belajar teknik menjahit dengan betul. Bukan jahit baju, ya.

"Alyna..."

Aku mendongakkan kepala saat namaku dipanggil olehnya. Aku lihat matanya masih terpaku pada Firdan yang sedang fokus menjahit.

"Ya, Prof?" sahut aku.

"Nanti jangan balik dulu. Ada benda saya nak tanya."

Aku sekadar menganggukkan kepala. Tanyalah sangat padahal nak ajak orang keluar. Malam tadi dah siap beritahu aku, nak ajak aku keluar makan malam dengan dia. Aku apa lagi, nak lah! Dah lama tak keluar kot.

*****

SELEPAS menunggu Firdan siap menjahit, kami dibenarkan balik. Firdan sudah awal-awal lagi balik. Laju betul. Tak pernah nak melepak dengan aku. Tepat-tepat ikut waktu balik, dia terus balik. Tak adanya nak lepak dengan kitaorang. Seperti yang dijanjikan, aku menunggu Luqman dekat parking kereta.

"Lama tunggu?"

Terkejut aku saat mendengar suara garau menyapa aku. Secara refleks aku menampar bahunya. Dia terkejut sambil mengaduh sakit.

"Aduh! Dah kenapa?" soalnya dengan wajah cemberut sambil mengosok-gosok bahunya. Aku hanya tersengih seperti kerang busuk.

"Siapa suruh terkejutkan orang, kan dah mendapat. Tamparan hebat dari gadis bernama Nur Alyna." Dengan selambanya aku menayangkan wajah bangga. Entah kenapa aku rasa seronok mengenakan dia. Sekali sekala apa salahnya.

"Oh! Suka ya kenakan abang. Tak apa. Tunggu giliran abang..."

Aku mencebikkan bibir lalu meloloskan diri masuk ke dalam kereta Luqman.

"Wah! Kereta baru nampak...," sindir aku sebaik saja memakai tali pinggang keledar. Luqman menoleh memandang aku dengan wajah kerek. Aku menahan gelak.

"Tu ikhlas ke perli?" Akhirnya terlepas juga gelak aku sambil menganggukkan kepala.

"Bukan kereta baru okey. Ni kereta lama cuma abang tukar cat. Ish!"

Mengekek aku ketawa.

"Gelak dah macam beruk kena geletek..." Sungguh pedas sindiran dia, terus terpadam gelak aku. Aku memandang dia dengan wajah tak puas hati. Dari tadi dia tak habis-habis nak samakan aku dengan haiwan. Tadi gorila, ni beruk pula. Apalah nasib aku sama dengan spesies beruk.

"Hah, diam dah? Penat dah gelakkan abang."

Aku tidak mengendahkannya, hanya mendiamkan diri sambil memandang ke luar tingkap.

"Alahai baby abang ni, merajuk ke?"

ZUPP!

Aku terus menoleh memandang wajahnya yang sedang fokus dengan pemanduan.

"Abang panggil apa tadi?" soal aku. Takut juga kalau aku salah dengar tapi masalahnya perkataan tadi tu jelas dengar dekat telinga aku tadi.

"Baby abang ni merajuk ke? Diam je kenapa?"

Aku menelan air liur payah. Dia ni memang suka buat aku jadi tak keruan! Perlu ke nak panggil aku 'baby'? Eii!

"Siapa baby abang? Nama saya Nur Alyna. Mana ada baby dekat situ," jawab aku. Luqman tertawa kecil.

"Ada. Nur Alyna baby abang sebab tu abang cintakan dia."

Tak tertahan lagi, akhirnya aku tersenyum malu. Tak pernah-pernah aku rasa gembira macam ni.

"Aik! Kenapa pipi tu merah sangat? Dah macam buah tomato dah merahnya. Karang meletup pula pipinya," selorohnya. Laju saja aku mencubit lengannya.

"Aduh! Aduh! Ish! Ni ketam ke apa? Lebam rasanya!" Mengekek aku mentertawakannya. Seronok! Seronok dapat menyakat dia.

"Jangan Aly. Abang tengah drive ni."

Aku masih lagi tertawa. Tahu takut. Kenakan aku lagi. Dia ingat aku ni tak boleh nak balas-membalas. Sekarang aku dah pandai! Sebab apa? Sebab aku dah luahkan perasaan dan cinta aku dibalas oleh si dia. Jadi perasaan malu tu tiba-tiba menghilang dengan sendirinya.

"Abang nak bawak Aly pergi mana?" soal aku sambil membetulkan posisi.

"Pergi Siam, Thailand." Jawapannya membuatkan aku terkaku secara tiba-tiba dan segera menoleh ke arahnya dengan kerutan di dahi.

"Abang... abang jangan main-main. Abang nak buat apa bawak Aly pergi sana. Mahu ayah dengan ibu tahu, mati Aly abang..." Aku masih lagi memakukan pandangan pada wajahnya yang kekal serius itu, tiada tanda-tanda mahu ketawa atau tersengih.

"Ya, abang serius. Ada nampak abang main-main ke?" soalnya dengan nada serius.

"Nak buat apa pergi Siam, ada apa? Tak boleh pergi masa cuti ke?" tanya aku bertubi-tubi. Hati aku sudah dibelenggu dengan perasaan resah-gelisah.

"Kahwin," jawabnya sepatah.

Terkelip-kelip mata aku memandang ke arahnya. Kahwin?

"Kahwin?"

"Ya, abang bawak Aly pergi Siam. Kita kahwin," ujarnya dengan selamba.

"Abang! Janganlah! Apa ni...." Aku menjerit kecil sambil menggelengkan kepala beberapa kali. Gila ke nak ajak aku kahwin dekat Siam? Mahu tak kena buang dari keluarga!

Tak lama kemudian, Luqman ketawa mengekek-kekek. Suka dia dapat mengenakan aku. Aku terus mencubit pehanya kuat, mujur sekarang tengah lampu merah. Kalau tidak mahu melayang kereta ni.

"Aduh! Hahaha... Sakitlah!"

Aku mendengus kuat lalu berpeluk tubuh.

"Alahai! Kan abang dah cakap nak ajak Aly dinner dengan abang. Lokasi makan tu biarlah rahsia dulu, tak kejutan lah macam tu. Ish!"

Aku mencebik.

"Aduh!"

Selamba dia saja mencubit bibir aku. Aku mengusap-usap bibirku.

"Cebik lah lagi, dah macam Donald Duck dah abang tengok. Comel!" ejeknya.

"Eii! Abang ni, sukalah tau!" cemberut aku. Dia sekali lagi ketawakan aku.

"Okey dah dah. Sabar, dah nak sampai dah. Nanti makan puas-puas. Abang belanja. Malam ni kita luangkan masa bersama-sama. Apa yang Aly tak puas dengan abang, malam ni juga abang nak tahu."

Aku hanya mendiamkan diri dan memandang suasana luar. Kereta sudah pun bergerak semula ke destinasi yang dipilih oleh Luqman.

Walaupun panas hati, tapi sebenarnya aku gembira. Dia nak ajak aku kahwin dekat Siam? Why not dia ajak aku kahwin dekat sini je, tapi ayah dengan ibu bagi ke aku kahwin dengan dia?

Wah! Sampai ke situ tahap pemikiran kau, Alyna! Boleh tak kau berhenti nak berangan macam tu! Nanti diri sendiri malu! Cukuplah kau dah lepas luahkan perasaan cinta monyet kau tu!


Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.