Bab 28

BAB 28

"CIK Kucing Hutan..."

Aku mendongak memandang ke arah satu susuk tubuh yang sedang duduk di hadapan meja aku. Sekarang adalah waktu rehat dan aku menghabiskan masa dengan membaca novel, cuba untuk mengelak darinya tapi dia ni lagi aku mengelak, lagi dia sengaja rapat dengan aku. Nak memujuklah tu. Nak saja aku tersenyum tapi buat masa sekarang ni aku tak nak tunjukkan dulu. Saja nak buat dia rasa tercabar.

Aku hanya mendiamkan diri, tidak memberi sebarang respons. Ada ke patut panggil aku kucing hutan? Sabar sajalah dapat mentor macam dia ni. Makin menjadi-jadi pula perangai kuat menyindir dia tu. Memang sengaja nak aku sakit hati. Sudahlah sakit hati ditinggalkan masih belum pulih, dia menambah-nambah pula.

"Nur Alyna..."

Aku tetap menyibukkan diri dengan membaca novel. Buat-buat tidak dengar.

"Sayang...."

Panggilan yang ketiga berjaya menarik perhatian aku. Dah kenapa dia nak panggil 'sayang'? Saja je kan? Nasib baik tak kuat sangat dia sebut perkataan tu. Tapi bila dia sebut perkataan tu terasa gembira pula. Sabar dulu! Jangan cepat cair!

"Nak apa, Prof?" soal aku dengan nada malas.

Dia melorekkan senyuman kecil.

"Marah abang lagi ke?" Sengaja dia ni nak buat babak sedih, nak aku ni rasa kasihan dengan dia lah ni.

"Tiada jawapan untuk soalan anda," jawab aku bersahaja.

Dia mencebikkan bibir.

"Betullah ni tak nak maafkan abang?"

Aku terdiam seketika. Serba salah pula dengan soalan dia tu.

"Erm. Bagilah Aly masa," balas aku dengan nada perlahan kemudian meletakkan penanda buku pada helaian terakhir aku baca.

"Baiklah. Abang tak paksa, tapi abang nak kita macam dulu. Abang rindu nak luangkan masa dengan Aly."

Aku hanya tersenyum kecil.

"Erm. Kalau tak sibuklah, Aly tak janji."

Dia menganggukkan kepalanya. Tak lama itu, Firdan menghampiri kami berdua.

"Dari mana?" soal Luqman pada Firdan.

"Tandas. Ramai orang dekat bahagian sana, ada orang kemalangan kot." Luqman menganggukkan kepala. Aku hanya memandang mereka berdua saja.

"Dah habis rehat kan? Jom sambung. Lepas tu boleh siapkan latihan yang saya akan berikan nanti."

Aku dan Firdan serentak menganggukkan kepala lantas kami bangun lalu mengekori langkah Luqman, kembali ke bilik latihan untuk menyambung latihan kami tadi.

*****

GILIRAN aku untuk menunjukkan beberapa langkah untuk membedah perut yang mempunyai ketumbuhan pada patung yang kononnya merupakan pesakit kami. Dengan penuh fokus, aku mula membedah. Luqman dan Firdan hanya memerhatikan aku dari tepi. Tak tipulah kalau aku tak ada perasaan gementar tapi aku cuba buangkan segala perasaan itu. Nak jadi doktor tak boleh wujudkan semua perasaan tu.

"Siap!" Aku berjaya mengeluarkan ketulan yang tidak terlalu besar dari perut patung itu. Luqman menganggukkan kepala.

"Lepas dah bedah, buat apa?" soal Luqman sambil memandang aku dan Firdan bersilih ganti.

"Jahit?" jawab aku.

"Jahit apa? Jahit baju? Kalau awak bagi jawapan macam tu dekat dalam kertas soalan atau depan penilai, mahu tak kena baling dengan mesin hayat. Sia-sia nyawa awak melayang dekat situ juga."

Aku mengetap bibir. Pedas betul sindiran dia. Agak-agaklah kut ye pun. Firdan kekal dengan reaksinya yang serius.

"Ya. Maafkan saya. Jahit semula tempat bahagian yang telah dibedah." Luqman menganggukkan kepalanya.

"Okey. Bagus. Sekarang ni, saya nak awak berdua buat latihan ni dalam masa 10 minit. Ada lima soalan saja."

Aku dan Firdan mengambil tempat duduk di bangku yang disediakan kemudian mengambil sebatang pen dan mula menjawab soalan diberi. Dari ekoran mata aku, ternampak seperti Luqman sedang memerhatikan aku lama sambil menongkat dagunya. Aku cuba abaikan tapi tak boleh.

Jujur, aku gembira dia ada di samping aku semula cumanya aku sengaja buat macam ni nak biar dia tahu yang aku sakit saat dia tinggalkan tanpa sebarang berita. Tujuh bulan itu sangat memberi kesan pada aku. Perasaan rindu itu tidak usah diterangkan bagaimana. Membuak-buak. Pernah terniat hendak mencari dia, tapi aku tak tahu nak mencari di mana.

Mulut aku nak saja meluahkan isi hati aku dekat dia. Walaupun peluang aku banyak tapi entah kenapa berat sangat aku nak luahkan. Adakah ini dinamakan ego? Ego ke aku ni? Salah ke aku bertindak macam ni? Dia cakap dia buat semua ni bersebab. Adakah sebabnya itu adalah aku? Tapi apa?

"Okey, masa dah tamat," suara garau Luqman memecahkan lamunan aku. Mujur sudah siap, lantas aku dan Firdan serentak menyerahkan kertas latihan itu kepada Luqman.

"Okey, sekarang dah pukul 5 petang. Boleh balik. Esok kita sambung untuk pelajaran yang lain." Kami berdua menganggukkan kepala.

*****

"ALYNA...."

Aku yang baru saja mahu melangkah terus berpaling memandang ke arah Luqman.

"Jangan balik dulu. Abang nak jumpa Alyna," ujarnya.

Aku hanya akur dan kembali duduk di hadapannya. Terasa janggal pula saat bertentang mata dengannya, kalau dulu aku akan mengukirkan senyuman tapi kali ni perasaan aku lain.

"Abang tak nak cakap banyak, Aly. Abang nak sangat Aly maafkan abang dan berikan abang peluang untuk tebuskan kesalahan abang tu. Sampai masanya abang janji abang akan ceritakan semua yang telah terjadi sepanjang kita berpisah, janji Aly maafkan abang."

Aku mengemamkan bibir dan menundukkan wajah aku.

"Abang tahu Aly terseksa saat abang tinggalkan Aly tanpa sebarang berita. Abang tahu apa yang abang buat ni adalah pekara yang paling bodoh sekali dalam hidup abang. Abang ingat abang dah cukup bijak untuk membuat sesuatu keputusan tetapi sebenarnya tidak Aly. Abang terasa diri abang ni bodoh. Terlalu bodoh, tinggalkan Aly macam tu saja tanpa beritahu apa-apa," tambahnya lagi, tiba-tiba membuatkan hati aku menjadi sebak mendengar suaranya yang sayu memohon maaf dari aku. Perlahan air mata aku menitis tanpa sedari.

"Aly... jangan menangis. Air mata seorang perempuan sangat berharga dan tak layak dibazirkan untuk lelaki macam abang. Abang tahu abang bukan lelaki yang sempurna untuk Aly."

Aku mengesatkan air mata sambil dahi aku berkerut mendengar ayatnya itu. Apa maksud dia?

"Abang nak ambil peluang sebelum terlepas sekali lagi. Aly ingat cerita abang di tepi pantai dulu, yang abang pernah sukakan seseorang yang orang tu pun tak tahu abang sukakan dia..."

Aku sekadar menganggukkan kepala sambil memaku memandang wajahnya itu. Jantung aku sudah tidak keruan. Berdebar-debar sehingga tanganku menjadi sejuk.

"Gadis yang abang cakapkan itu adalah Aly. Abang cintakan Alyna."

Diri aku bagaikan dipanah kilat saat mendengar ayat yang terpacul dari mulutnya itu. Maknanya selama ni aku tak bertepuk sebelah tangan? Serius ke? Aku tak mimpikan sekarang ni!

Tolonglah! Aku tak mimpi!


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.