Bab 38

BAB 38

LUQMAN memandu keretanya meninggalkan kawasan rumah Alyna, selepas berpuas hati barulah dia pulang ke rumah. Dia meletakkan sikunya pada bibir pintu kereta sambil menopang kepalanya manakala tangan sebelah mengawal stereng keretanya. Fikirannya agak serabut selepas mengetahui hal yang sebenar dari mulut Doktor Amsyar tempoh hari. Dia tidak pasti sama ada mahu memberitahu Alyna atau tidak. Dia kena lebih mengawasi tindak-tanduk Firdan.

Dia takut sekiranya Firdan akan bertindak luar jangkaannya. Orang yang sudah berdendam bukan boleh dibaca fikirannya. Beberapa kali Luqman melepaskan keluhannya, dadanya terasa sarat memikirkan keselamatan Alyna. Ikutkan hati mahu saja dia mempercepatkan pernikahannya.

"Siapa pula ni...," gumam Luqman perlahan saat anak matanya terpaku pada cermin sisi di sebelahnya. Ada sebuah kereta berwarna silver dari tadi mengekorinya tanpa dia sedar.

Luqman meningkatkan kelajuan keretanya mahu menghilangkan jejak dari kereta itu.

"Dia dah tak dapat jejak ke?" soal Luqman sendiri. Dia beberapa kali mengerling ke arah cermin sisi kiri dan kanan. Mahu memastikan dirinya tidak diekori lagi oleh kereta tadi.

PIN! PIN!

"Argh! Bodoh!"

Stereng keretanya dipukul beberapa kali. Panas betul hatinya apabila kereta tadi berjaya menjejaknya dan sekarang ini kereta itu menghalang jalannya. Dia terpaksa memberhentikan keretanya di bahu jalan.

Matanya mengerling ke arah telefon bimbitnya yang bergetar di atas tempat duduk penumpang. Tertera nama si cinta hatinya sedang membuat panggilan. Dia mengetap bibir dan membiarkan saja panggilan itu.

Dia keluar dari perut kereta lalu berhadapan dengan si gerangan yang mengekorinya dari tadi itu. Seorang lelaki yang memakai serba-serbi hitam menutup separuh wajahnya dengan hoodie.

"Siapa kau?" soal Luqman yang sudah menutupi separuh wajahnya dengan hoodie sama seperti lelaki itu.

"Tak perlu tahu aku siapa...," jawabnya dengan nada sinis. Luqman melepaskan dengusan kasar.

"Hei! Aku tak ada masalah nak main-main. Kau nak apa?" Luqman sudah hilang sabar. Jujur, dia tiada masa untuk bermain-main. Hatinya memberontak ingin tahu siapakah lelaki di hadapannya ini.

"Aku nak kau jauhkan diri dari Alyna!" tempik lelaki itu. Luqman mengetap gigi sehingga ternampak rahangnya bergerak-gerak. Geram.

"Kau nak apa? Jangan nak ganggu Alyna! Aku dapat tahu kau ganggu dia, memang kau kena dengan aku!" balas Luqman semula dengan nada sebal.

"Dia milik aku! Kau tak ada hak nak dapatkan dia! Dia aku yang punya!" amuk lelaki itu. Luqman bersedia sekiranya lelaki itu mahu menyerangnya. Mujur dia pernah belajar seni mempertahankan diri tanpa sesiapa yang tahu termasuk arwah mama dan papanya.

Tekaan Luqman benar belaka, lelaki itu menyerangnya dengan pisau lipat. Dia beberapa kali berjaya mengelak walaupun bahunya terkena hujung mata pisau itu. Mujur tidak terlalu dalam. Dia tangkas membalas serangan lelaki itu bertubi-tubi tanpa henti.

*****

TELEFON aku campak ke tepi katil. Hampir 33 kali aku menghubungi Luqman namun dari tadi dia tak angkat. Entah kenapa aku rasa tak sedap hati. Semua serba tak kena. Dah duduk, nak berdiri pula. Dah berdiri, kaki ke hulur ke hilir tanpa henti. Sudah seperti cacing kepanasan. Jantung pula bagaikan mahu terkeluar dari tangkai. Ada apa-apa jadi dekat Luqman ke?

Mata aku memandang lama pada jarum jam yang menunjukkan waktu sekarang. Sudah 50 minit berlalu, takkanlah Luqman tak sampai rumah lagi. Rumah dia dengan rumah aku bukannya jauh sangat. Ambil masa 20 minit sekiranya tiada kesesakan jalan raya. Ni dah lewat 30 minit, siapa yang tak risau?

Ya Allah... mana Luqman?

Aku meraup wajah beberapa kali. Resah gelisah. Aku menghenyakkan punggung di atas sofa sebaik saja tangan mencapai telefon bimbit.

Selagi aku mendail nombor Luqman dan berharap sangat dia angkat panggilan aku.

"Hello sayang...."

Dengar saja suaranya, aku menghembuskan nafas lega. Rasa nak menangis pun ada sekarang ni.

"Ya Allah, abang... Abang pergi mana? Puas Aly call. Abang buat Aly risau. Abang lewat 30 minit. Abang pergi mana?" soal aku bertubi-tubi tanpa memberi peluang Luqman untuk menjawab soalan aku satu per satu.

"Maafkan abang, Aly. Abang lambat sikit tadi pergi stesen minyak. Kereta abang habis minyak. Abang lupa nak isi, lepas tu telefon abang dalam beg. Abang tak dengar. Maaf ya, sayang...," jawab Luqman dengan nada serba salah.

"Oh yeke? Syukur sangat abang dah jawab panggilan Aly. Maafkan Aly sebab tanya abang bertubi-tubi. Abang mesti penat kan? Maafkan Aly sebab ganggu..."

"Tak adalah sayang. Abang happy Aly call abang. Aly okey kan? Tak ada apa-apa kan?" soalnya dengan prihatin. Aku tersenyum suka.

"Ya abang. Aly okey saja. Tak ada apa-apa. Sejak abang selalu perhatikan Aly dari jauh, tiada benda pelik berlaku lagi... terima kasih abang...," ucap aku seikhlas hati. Tanpa dia, siapalah lagi aku mahu meminta tolong. Lega sikit hati aku bila tiada lagi benda-benda aneh dalam rumah ni.

"Sama-sama sayang... abang lega dengarnya. Aly rehat okey. Esok kita jumpa macam biasa. Abang sayang Aly sangat-sangat... Selamat malam..."

Aku tersengih tanpa sedar.

"Ya abang. Abang pun rehat juga. Jangan nak sambung mengkaji. Jumpa esok! Aly pun sayang abang sangat-sangat! Selamat malam!" balasku dengan nada ceria.

Sebaik saja kami mematikan talian, aku terus merebahkan diri di atas tilam katil sambil tangan memeluk bantal guling dan juga selimut. Mata aku pejam rapat-rapat dengan senyuman di bibir.

*****

SEBAIK saja dia membersihkan lukanya di bahu dan lengan, perlahan-lahan dia membalut bahunya yang tercedera itu. Mujur tidak terlalu dalam lukanya. Dia bergelut dengan lelaki tadi sehingga tercedera. Dia masih tidak berpuas hati kerana tidak tahu siapa gerangan yang menyerangnya itu. Tapi apa yang pasti, lelaki itu mengenali Alyna.

"Takkan Firdan...," gumam Luqman perlahan sambil berbaring di atas sofa. Tangannya diletakkan di atas dahi.

"Kalau Firdan, macam tak kena pula...." Berkerut-kerut dahinya cuba meneka identiti lelaki itu tadi.

"Kalaulah aku dapat tangkap dia tadi, mesti aku dah tahu siapa dia... aduh! Aku ni pun lembik juga. Dah lama tak keluarkan bakat terpendam aku...," rungut Luqman dengan dirinya sendiri.

"Esok nak jumpa Aly, janganlah dia perasan apa-apa dekat aku ni," keluhnya. Dia mencapai telefon bimbitnya lalu terpapar gambar latar belakang telefon bimbitnya, gambar dia dan Aly di taman tasik tempoh hari.

Bibirnya mengukirkan senyuman lebar. Wajah Alyna diusap perlahan.

"Abang sentiasa cintakan Aly tanpa henti. Keselamatan Aly akan abang jaga. Abang takkan biarkan sesiapa berani sentuh Aly. Kalau diaorang sentuh, memang kena dengan abang nanti," celotehnya dengan diri sendiri.

"Tak sabar abang nak jadi raja dalam hati Aly. Nur Alyna, si permaisuri hati abang..." 


Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.