Bab 35

BAB 35

"HEI, sayang!"

Aku menoleh ke arah empunya suara yang menyapa aku itu. Laju saja aku mengukirkan senyuman saat anak mata bertentangan dengan anak mata milik Luqman.

"Lama tunggu?"

Aku menggelengkan kepala.

"Tak adalah. Baru je. Ceria je abang ni, ada apa-apa ke?" soal aku sebaik saja dia melabuhkan punggung di sebelah aku.

Entah kenapa tiba-tiba petang Ahad ini, dia mengajak aku berjumpa di taman tasik berhampiran dengan rumah aku. Suara dia dari dalam panggilan tadi bukan main ceria.

"Memang pun. Abang tengah happy sangat!" jawabnya sambil tersenyum lebar.

"Apa dia?"

"Abang ada kejutan untuk Aly malam ni...," ujarnya sambil menghulurkan satu beg kertas berwarna merah jambu. Berkerut dahi aku memandang beg kertas itu.

"Abang nak, malam ni Aly pakai baju yang abang dah beli ni. Lepas tu abang tak nak Aly solek tebal-tebal sangat. Natural saja. Boleh?"

Wah! Bukan main dia buat permintaan dekat aku untuk kejutan malam ni. Rasa berdebar-debar pula. Kejutan apa lagilah dia nak buat ni. Sejak aku dengan dia menjalani hubungan istimewa, kejutan dia bukan main banyak. Boleh sesak nafas aku dibuatnya.

"Yelah, boleh. Abang ni banyak sangat kejutan. Suka buat Aly berdebar-debar," ujar aku sambil mencuit bahunya. Dia tertawa kecil.

"Kejutan untuk insan yang kita sayang, nanti dah kahwin banyak lagi kejutan yang abang akan buat untuk Aly," ujarnya sambil mengenyitkan mata. Tergeleng-geleng kepala aku melihat dia. Tak sangka, Professor yang aku jumpa dulu berubah sedrastik ini. Manja!

*****

SEPERTI yang dijanjikan, malam itu aku mengenakan sehelai dress labuh berwarna ungu lilac, bercorak bunga halus putih dan kardigan berwarna hitam kelabu. Rambut aku ikat separuh dan separuh lagi dibiarkan terurai kemudian solekan aku pada wajah hanya natural saja seperti yang diminta oleh Luqman.

Jam menunjukkan pukul 7:30 malam, sekejap lagi pasti Luqman akan sampai. Aku mengambil masa yang ada dengan memeriksa sekeliling rumah dan memastikan pintu dapur serta tingkap ditutup dan dikunci.

PIN! PIN!

Aku tersenyum lebar saat terdengar bunyi hon dari luar rumah. Segera aku membuka pintu dan menyarung kasut bertumit berwarna putih kemudian mengunci pintu rumah. Laju saja aku memboloskan diri masuk ke dalam perut kereta Luqman.

"Ab..."

"Abang?"

Terkejut aku melihat Luqman yang tak berkelip melihat aku. Aku perasan penampilan dia malam ini agak berlainan. Warna pakaian pun sedondon dengan warna pakaian aku. Segak sungguh dia malam ini dengan menggayakan rambut ombak.

"Abang!" panggil aku dengan suara sedikit dikuatkan sambil memukul perlahan bahunya. Dia segera menggelengkan kepala.

"Abang dah kenapa? Seram Aly tengok abang macam tu!"

Dia mengusap belakang tengkuknya dengan wajah serba salah.

"Maaf, maaf... abang tak sengaja. Siapa suruh Aly cantik sangat malam ni? Tu macam ada yang memukau abang sampai tak sedar," jawabnya sambil menggenggam stereng dan menukar gear untuk bergerak.

"Alah abang ni! Ada-ada jelah... Haish...," rungut aku. Dia tertawa kecil.

"Betul abang tak tipu. Sayang abang malam ni cantik sangat. Tak sangka pula dress yang abang beli tu sesuai sangat dengan Aly."

Aku mencebikkan bibir. Orang dah puji kau sombong pula, Alyna. Aduhai...

"Yelah. Terima kasih... abang pun apa kurangnya. Bukan main segak malam ni, bau minyak wangi pun semerbak. Kejutan apa kali ni buat jantung orang nak tercabut je...," sindir aku. Dia tersengih.

"Adalah... Aly kalau mengantuk bolehlah lelap sekejap. Muka pun letih je tu. Ni mesti mengemas rumah kan?" tekanya.

"Eii! Skodeng orang eh!"

"Mana adalah! Abang teka je!"

Aku ketawa melihat mukanya yang gelabah itu.

"Mana tau, abang skodeng dalam diam.."

Luqman hanya tersenyum kecil.

*****

"ALY..."

"Alyna... kita dah sampai..."

Terpisat-pisat aku mahu mencelikkan mata saat terasa bahuku digoncang lembut.

"Dah sampai?" soal aku dengan nada serak. Nampak sangat lena betul aku tidur sampai tak sedar dah sampai. Aku nampak Luqman tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.

Serentak aku dan dia keluar dari perut kereta dan pandangan aku terpaku pada sebuah rumah yang sangat aku kenal. Kenapa otak aku blank semacam ni? Agaknya baru bangun tidur, otak tak dapat nak berfungsi dengan baik.

"Alyna!"

"Ibu?" Terkejut aku apabila ibu menerpa ke arah aku, tubuhku dipeluk erat olehnya. Terpinga-pinga aku memandang Luqman yang sedang berdiri di belakang ibu dan tak lama kemudian kelihatan ayah keluar dari rumah.

Berkerut dahi aku melihat Luqman bersalaman dengan ayah. Kejap! Aku mimpi agaknya ni. Aku masih lagi tidur dalam kereta. Tak akanlah aku sekarang ni ada dekat rumah aku? Agak jauh juga nak sampai sini, makan masa dua jam.

"Alyna... sudah-sudahlah berkerut dahinya tu. Tak rindu ayah ke?" soal ayah dengan senyuman di bibir.

"Kejap. Ni betul-betul ke Aly mimpi?" Aku memandang mereka bertiga bersilih ganti.

"Ya, Aly. Sekarang ni Aly dekat rumahlah. Ada benda yang ayah nak ajak Aly bincang dengan Luqman."

Terkelip-kelip mata aku memandang ibu. Aku tertawa kecil lantas memeluk tubuh ibu erat. Rindu!

*****

"WAH, bukan main lagi ya Aly sekarang sampai lupa dekat akak..."

Aku menoleh saat terdengar suara yang menegur aku, laju aku mendakap tubuhnya itu.

"Kak Mutiara! Rindu!" Kedengaran dia tertawa kecil. Rambutku diusapnya lembut.

"Ya, akak pun rindu kat Aly." Dia mengucup dahi dan pipi aku. Aku tersenyum suka.

Sebaik saja melepaskan rindu dengan Kak Mutiara, aku kembali duduk di atas sofa bersebelahan dengan ibu. Aku dan ibu saling berpelukkan sambil menunggu ayah untuk memulakan perbincangannya. Pada masa yang sama, aku tertanya-tanya juga. Ayah dengan ibu tak kisah, Luqman ada bersama aku ataupun ada satu kejutan di sebalik semua ini. Yelah, Luqman cakap malam ni ada kejutan untuk aku. Jangan, jangan! Okey! Chop! Sebelum tu tak boleh happy sangat, nanti putus harapan!

"Aly..."

Aku mendongakkan kepala saat terdengar suara ayah memanggil aku. Senyuman aku lorekkan sekali gus menganggukkan kepala. Ayah turut tersenyum kecil. Sudah lama aku tak nampak ayah tersenyum begitu juga dengan ibu. Wajah mereka tampak ceria hari ini menyambut kepulangan aku bersama Luqman.

"Aly, ada beberapa pekara yang ayah nak bincangkan dengan Aly dan juga Luqman. Ayah harap Aly dan Luqman dapat menerima keputusan ayah dan ibu. Ini semua untuk kebaikan Aly, ayah dah tak nak kongkong hidup Aly. Aly dah besar dan dah layak untuk menentukan kehidupan Aly sendiri."

Aku dengar suara ayah seperti menahan sebak. Dari jauh aku dapat mengesan air matanya yang sudah bertakung di tubir mata. Aku sendiri tak tahu apa yang sebenarnya ayah cuba untuk sampaikan? Jujur sekarang ni jantung aku berdegup kencang, aku takut ayah nak pisahkan aku dengan Luqman. Cukuplah sekali. Aku merayu sangat agar ayah dapat menerima Luqman sebagai ahli keluarga baru nanti.

Itu saja harapan aku...


Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.