Bab 47

BAB 47

KINI, aku sudah tahu, Luqman sememangnya hero aku. Rupa-rupanya dialah yang menyelamatkan aku selama ini. Dia sentiasa memerhatikan gerak-geri aku. Sekiranya dia di Pusat Makmal Negara dulu, dia meminta kawan dia untuk memantau ke mana saja aku melangkah. Saat aku tahu dialah yang menyelamatkan aku dulu, aku tak tahu mahu memberi respons apa. Lidah aku kelu. Aku kehilangan kata-kata.

"Sayang..."

Aku segera menoleh ke arahnya, terkejut mendengar Luqman memanggil aku sambil tangannya merangkul pinggang aku. Bibir aku ukirkan senyuman lebar saat wajahnya dekat dengan wajahku.

"Sayang termenung apa lagi?"

Aku menggelengkan kepala.

"Tak ada apa abang, cuma teringat kisah lama saja...," jawab aku dengan nada perlahan sambil mengusap pipinya. Dia tersenyum.

"Tak usah dikenang benda lama nanti teringat benda yang tak sepatutnya, tiba-tiba emosi berubah tau. Tak payah ingat. Sekarang ni, abang nak sayang pergi bersiap, kita pergi makan dekat luar lepas tu kita jumpa seseorang. Abang hidupkan enjin kereta dulu... okey?"

Tanpa banyak soalan, aku menganggukkan kepala dan meminta diri untuk bersiap manakala Luqman yang sudah dari tadi bersiap terus keluar dari bilik dan menghidupkan enjin keretanya.

*****

LUQMAN dan aku melangkah keluar dari perut kereta sebaik saja sampai di sebuah restoran mewah di tepi taman tasik. Kelihatan ramai pengunjung di situ memandangkan hari ini adalah hari Sabtu. Tangan aku digenggam erat oleh Luqman lalu kami melangkah masuk bersama ke dalam restoran tersebut. Aku tertanya-tanya juga, dengan siapa yang akan ada bersama kami nanti. Luqman beritahu aku sebentar tadi, ada seseorang yang turut bersama kami di restoran ini.

"Firdan?" Aku terus menyeru nama itu saat ternampak susuk tubuhnya yang sedang duduk seperti menunggu seseorang. Firdan tersenyum kecil lalu berjabat tangan dengan Luqman.

"Awak rupanya..."

Firdan menganggukkan kepalanya.

Luqman memesan makanan dan minuman untuk kami bertiga. Selepas pelayan mengambil pesanan kami. Masing-masing terdiam seketika sebelum Luqman bersuara.

"Sayang, Firdan dengan abang ada nak beritahu sayang tapi abang harap sayang jangan terkejut dan beri kami terangkan sampai habis. Boleh?"

Teragak-agak aku mahu menganggukkan kepala. Jantung sudah mula berdebar-debar. Aku ni memang darah gemuruh. Dengar saja benda saspens, laju saja jantung ni bertindak. Hati aku mula rasa tak sedap hati.

"Sebelum Prof mulakan, aku nak minta maaf dekat kau Aly. Sebenarnya dah lama aku nak jujur dengan kau tapi Prof dah dapat tahu lama hal ni, jadi dia nak aku berterus terang dan berbincang bersama-sama untuk selesaikan masalah ni. Aku harap sangat kau tak marahkan aku."

"Tak apa. Cakap jelah apa yang nak dicakapkan. Aly cuba fahamkan dan terima apa yang jadi," ujar aku sambil tersenyum kecil, cuba membuang perasaan gugup jauh-jauh.

"Sebenarnya..." Luqman memulakan cerita.

*****

TERHINJUT-HINJUT bahu aku menangis. Air mata lebat mengalir dari tubir mata aku. Serius, aku tak sangka ayah sanggup buat kerja terkutuk macam tu. Ayah seorang doktor yang bertauliah, dihormati ramai orang sanggup membunuh satu nyawa yang tidak bersalah atas satu asbab hanya perasaan cemburu. Paling yang aku tak boleh terima adalah, Yazid yang mengajak ayah untuk membuat pekara sekejam itu.

"Aku minta maaf, Aly. Memang asal niat aku nak balas dendam melalui kau supaya ayah kau tahu macam mana sakitnya kehilangan seseorang yang kita sayang. Lagi-lagi macam aku ni yang hidup sebatang kara. Aku dah janji dengan mak aku yang aku akan berjaya menjadi seorang doktor dan mampu merawat penyakit dia. Tapi semua tu hanya tinggal kata-kata tanpa sempat aku tunaikan disebabkan mereka. Aku gagal. Maafkan aku... aku keseorangan Aly. Aku rindu mak aku..."

Firdan menangis teresak-esak, beberapa kali dia meraup wajahnya. Sepertinya dia kesal akan perbuatannya yang menyimbah asid pada wajah Yazid. Memang aku terkejut bila dapat tahu Firdan sengaja merapatkan diri dengan aku hanya kerana dendam tetapi setelah dia jujur yang dia berasa selesa tiap kali bersama aku, dendamnya itu menjadi kabur. Perasaannya akan menjadi tidak keruan setiap kali nampak wajah ayah atau Yazid.

"Firdan... saya tak marahkan awak. Saya tak ada dekat situasi awak, perasaan awak saat kehilangan orang yang awak sayang terutamanya mak awak. Saya faham, Fir. Saya maafkan awak cuma pasal ayah tu, awak jangan apa-apakan dia. Kalau awak rasa nak laporkan hal ni pada pihak polis, saya tak halang. Daripada awak melakukan pekara yang tak sepatutnya, baik awak serahkan hal ini pada pihak polis...."

Dia menganggukkan kepala kecil. Air matanya masih lagi mengalir. Aku menoleh memandang ke arah Luqman yang sepertinya sedang memikir.

"Sayang... abang rasa hal ni kita kena tanya ayah supaya kita dapat tangkap Yazid tu sebelum dia buat benda yang tak sepatutnya. Terutamanya dekat sayang..."

Aku menganggukkan kepala tanda setuju. Aku kena dengar dari mulut ayah juga, sama ada dia yang mulakan rancangan itu dulu ataupun Yazid. Tapi aku pasti, Yazid yang mengajaknya kerana ayah tak pernah tergamak nak buat pekara macam tu tapi kalau ayah yang mengaku ayah mulakan dulu. Aku tak tahu apa yang harus aku katakan lagi.

Tak lama kemudian, makanan kami sampai dan Luqman menyuruh kami bertenang dan menikmati makanan dan minuman yang dipesan sebentar tadi. Dari ekor mata aku nampak Firdan memandang ke arah aku sekejap dengan senyuman tipis.

"Eh! Prof Luqman, abang Firdan dengan kak Aly!"

Agak terkejut juga mendengar satu suara yang menyapa kami dengan nada ceria. Serentak kami bertiga mendongakkan kepala memandang ke arah gerangan yang menyapa kami itu.

"Eh, Andra dengan Isha rupanya...," sahut aku dengan senyuman di bibir. Mereka turut tersenyum.

"Marilah makan bersama...," ajak Luqman.

"Eh! Tak menganggu ke?"

Aku dan Firdan menggelengkan kepala. Aku nampak laju saja Andra melabuhkan punggung di sebelah Firdan manakala Isha di sebelahnya.

"Korang buat apa dekat sini?"

"Saja, lapar sebenarnya lepas jalan-jalan dekat mall tadi. Lepas tu Isha ajak makan sini. Tak sangka pula korang ada kat sini...," jawab Andra sambil tersenyum lebar.

Andra atau nama penuhnya, Andra Farissa memang seorang yang pemurah senyuman dan ceria. Aku perasan sejak kebelakangan ni, dia dan Firdan rapat memandangkan Firdan selalu mengajar dia. Aku harap Firdan dan Andra menjadi satu pasangan yang istimewa supaya Firdan tidak keseorangan lagi. Mungkin dengan adanya Andra, hidup Firdan akan tidak kesunyian lagi dan aku mampu mengusir perasaan serba salah aku terhadapnya.


Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.