Bab 2

BAB 2

HARI ini aku terlewat masuk ke kelas Dr. Dennis. Inilah padahnya kalau tidur lewat malam disebabkan nak habiskan babak romantik di dalam novel kesukaan aku itu. Sekuat hati aku berlari tanpa hiraukan pandangan mata orang lain yang sedang melihat aku seperti masuk pertandingan larian marathon. Ada lagi seminit sebelum kelas bermula.

BUKKK!

Sekali lagi punggung aku selamat mencium lantai. Apalah nasib aku? Semalam dah terjelepok dan hari ini sekali lagi? Lama-lama tak ada punggung aku dibuatnya.

Dia menarik tangan aku untuk bangun. Perlahan aku mendongakkan kepala memandang gerangan di hadapan aku itu. Tertelan air liur aku melihat wajahnya. Kenapa dia lagi? Tak ada orang lain ke aku nak langgar? Sungguh klise betul babak-babak jalan cerita kehidupan aku ini.

"Cik?" Dia mengerling ke arah tag nama yang tergantung leher aku.

"Cik Nur Alyna... cik okey?"

Habislah dia dah tahu nama penuh aku. Aku sekadar menganggukkan kepala tetapi sebenarnya menahan sakit pada punggung aku yang terasa sengal.

"Kan saya dah pesan semalam. Jalan tengok sekeliling, jangan main pakai jalan saja. Kan sendiri yang sakit. Hati-hati selepas ini, ya," pesan si dia.

Aku tak memberi sebarang respons.

"Maafkan saya. Saya dah lambat...," ucapku lalu berlari.

"Hati-hati! Takut ada gajah dekat depan sana!"

Aku mengetap bibir mendengar pesanan 'ikhlas' dia itu. Kenapa dia mesti nak sindir aku?

Masuk saja kelas, kelihatan kawan-kawan kelas aku masih rancak berborak dan berbuat bising. Kelibat Dr. Dennis langsung tidak nampak di dalam kelas itu. Aku terus duduk melepaskan lelah yang terbuku di dada. Nafas aku cuba kawal supaya dapat hirup oksigen dengan sempurna. Tarik dan hembus beberapa kali untuk menenangkan hati.

"Aly, Doktor masuk lambat sikit. Dia kata nak buat ujian mengejut," ujar pengerusi kelas, Aydan.

Terbeliak biji mata aku mendengar kata-kata Aydan itu. Ujian?

Cepat-cepat aku keluarkan buku rujukan dan menelaah segala topik yang sudah dipelajari. Aku pegang kepala. Pening, mana mungkin semua ilmu ni boleh masuk dalam kepala otak aku dengan sekali imbas saja. Habislah! Ada beberapa topik yang aku belum ulangkaji lagi. Aku harap Dr. Dennis buat ujian mengenai topik yang sudah aku mahir sajalah. Janganlah topik minggu lepas.

"Selamat pagi, Dr. Dennis," ucap Aydan sebaik saja Dr. Dennis masuk ke dalam kelas sambil memegang sebuah fail yang berisi kertas ujian. Tertelan air liur aku melihat fail tebal itu. Macam tebal saja kertas ujian tu...

"Baiklah. Hari ini saya tak mengajar. Saya nak uji kefahaman kamu semua setakat mana yang kamu dah mahir sebelum kita masuk topik mengenai kajian. Topik kajian agak susah dan memerlukan masa untuk awak semua hadam ilmunya."

Semua menganggukkan kepala kecuali aku. Rasa nak terkucil saja. Mata aku tak lepas memandang kertas yang ada di dalam fail itu.

"Baiklah. Ujian ni saya nak kamu semua skor 80% ke atas. Siapa yang bawah 80%, saya akan 'hadiahkan' dengan denda yang terbaik punya."

Amaran Dr. Dennis buat aku semakin cacing kepanasan.

Ya Allah, tolonglah. Permudahkanlah soalan itu...

Masa menjawab diberikan selama 30 minit tapi aku dah habiskan masa nak dekat lima minit untuk soalan yang ke-20 daripada 30 soalan. Ya Allah, apa aku nak buat ni? 20 soalan terawal aku masih boleh jawab lagi tapi soalan 10 terakhir ini otak aku terus tak dapat nak berfungsi dengan baik.

"Baiklah, masa berbaki lima minit lagi."

Aku terus menggelabah saat Dr. Dennis memberitahu baki masa yang tinggal. Terpaksalah aku bedal saja jawapan untuk 10 soalan terakhir ini. Tawakal sajalah.... salah sendiri, kenalah tanggung sendiri. Kan?

Aku menopang dagu menunggu, Dr. Dennis memeriksa semua jawapan ujian tadi itu. Aku perhati saja ekspresi wajah Dr. Dennis yang sedang teliti menanda kertas ujian kami. Jantung aku pula langsung tak bagi aku bertenang walau sesaat. Dari tadi berdegup kencang tak berhenti.

"Baiklah semua... saya dah tanda semua kertas ujian kamu. Syabas, saya ucapkan kepada semua pelajar yang dapat menjawab soalan ujian saya dengan betul tetapi ada seorang pelajar saja yang saya tidak puas hati."

Jantung aku bagaikan terhenti saat Dr. Dennis merenung aku dengan renungan seperti tak makan setahun.

"Nur Alyna, saya agak kecewa dengan jawapan awak. Nampak sangat awak tak berikan perhatian sepenuhnya sewaktu saya mengajar. Markah awak pun sipi-sipi saja tapi tetap bawah 80%. Awak sorang saja yang dapat markah 79%." diriku bagaikan dipanah petir saat Dr. Dennis menyebut markah aku hadapan kawan-kawan sekelasku. Mereka mula mencuri-curi pandang ke arah aku. Ada yang senyum mengejek dan ada yang diam saja memandang aku.

"Jadi, saya tak ada nak berikan awak amaran lagi. Lepas ni setiap kali kelas saya, awak jangan masuk kelas saya. Awak akan saya hantar ke seorang pensyarah yang boleh ajar dan bimbing awak dengan lebih terperinci. Saya nak tengok awak boleh pulihkan semula prestasi awak ke tidak."

Mahu saja aku mengalirkan air mata di situ. Sungguh aku tak boleh nak terima kenyataan ini. Aku sorang sajakah yang teruk sangat di dalam kelas ini?

"Nur Alyna, awak dengar tak apa saya cakap?" tegur Dr. Dennis apabila dia lihat aku tidak memberikan sebarang reaksi.

"Ya...," jawab aku perlahan dan pandangan aku dijatuhkan ke lantai. Tak sanggup nak bertentang mata dengan Dr. Dennis dan mereka semua di dalam kelas itu.

"Awak akan belajar dengan Professor Luqman Rafhael, professor yang baru dipindahkan ke kolej ini. Biasanya dia selalu menghabiskan masa di lab atau bilik kerjanya yang berhampiran dengan tepi tasik tu," beritahu Dr. Dennis.

"Baik, doktor...," jawabku dengan nada sedikit bergetar menahan tangis.

Professor Luqman Rafhael? Mesti dah tua kerepot kan. Biasanya gelaran professor ini disandang oleh orang yang agak berusia. Kebiasaanyalah yang aku selalu tengok dekat siaran televisyen. Apalah nasib aku ini? Aku sorang pula tu yang dapat 79% . Bijak betul kawan-kawan aku ni.

Ya Allah... malunya.

Ni kalau ibu dengan ayah tahu, aku yakin mereka mesti akan membebel lebih-lebih lagi ayah yang dari kecil lagi menyuruh aku mewarisi kerjaya mereka sebagai doktor itu.

Perlahan aku meraup wajah sebaik saja Dr. Dennis melangkah keluar dari kelas. Seraya itu juga, air mata aku jatuh perlahan ke pipi, diseka laju oleh aku. Aku sedih dengan diri aku sendiri yang gagal membanggakan ibu dan ayah. Aku tak yakin dengan diri aku sendiri yang aku boleh mengikuti jejak langkah ibu dan ayah.

Maafkan Aly, ibu dan ayah...


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.