Bab 39

BAB 39

LAMA aku perasan Luqman merenung aku dari tadi. Aku tak pasti sebenarnya dia merenung aku ataupun dia sedang termenung. Firdan di sebelah aku kerling seketika sebelum menyiapkan tugasan yang diberikan oleh Luqman tadi. Suasana dalam bilik ini dari tadi sunyi. Biasanya adalah gelak ketawa atau bising berbual-bual. Masing-masing kena angin apa pun aku tak tahulah.

"Prof, saya nak ke tandas sekejap...," beritahu aku saat terasa perut aku sedikit memulas. Luqman memandang aku dengan senyuman kecil sebelum menganggukkan kepalanya.

*****

"FIRDAN... boleh saya tanya?" soal Luqman setelah memastikan Alyna keluar dari bilik kerjanya itu. Firdan yang fokus membuat latihan terus mendongak memandangnya. Dia menganggukkan kepalanya.

"Awak duduk dengan siapa?"

"Sorang."

"Keluarga awak?"

"Saya sorang saja. Mak dan ayah saya dah meninggal dunia."

Luqman menganggukkan kepalanya.

"Kalau saya tanya ni, awak jangan salah faham pula."

Firdan menjongketkan keningnya sesaat sebelum mengangguk.

"Awak ada apa-apa dengan Alyna?" soalan Luqman agak mengejutkan Firdan tetapi dia masih mengawal riak wajahnya.

"Alyna? Dia... erm.... kawanlah. Takkan awek saya pula. Dia jelah yang rapat dengan saya," jawab Firdan seperti tidak yakin dengan jawapannya itu. Luqman tertawa kecil sambil menganggukkan kepalanya.

"Oh.."

Krekkk...

*****

AKU menolak dedaun pintu setelah selesai membuang. Luqman tersenyum ke arah dan aku menyambut senyumannya dengan senyuman yang manis bak madu.

Aku melabuhkan punggung di tempat aku kemudian bermain-main dengan sebatang pen. Tak lama itu, Firdan pula meminta diri untuk ke tandas.

"Aly...," panggil Luqman meleret. Aku menoleh memandang wajah monyok Luqman itu. Berkerut dahi aku melihatnya. Dah kenapa monyok semacam? Tak elok saja...

"Apa abang?" perlahan aku menjawab.

"Rindu...," jawabnya dengan bibir sedikit dimuncungkan. Aku menjengilkan biji mata.

"Hesy! Abang ni... ingatkan apalah..."

Luqman tertawa kecil.

"Malam ni kita keluar, ya? Abang tak boleh tak tengok muka kesayangan abang nilah. Rasa nak kahwin cepat je..."

Aku menggelengkan kepala sambil tertawa kecil.

"Ya Allah, abang ni kan... miang..." Geram aku.

"Alah! Miang dengan bakal isteri. Bukan sesiapa."

"Tengoklah tu. Ada saja jawapannya..."

Luqman tersengih.

*****

MALAM itu, aku hanya mengenakan blaus lengan panjang berwarna biru laut dan seluar slack berwarna hitam. Cekak rambut berwarna putih aku pakaikan di kepala kemudian membelek-belek penampilan aku sebelum menapak keluar dari rumah, menunggu ketibaan Luqman yang mungkin dalam perjalanan ke sini.

Srehhh... Srehhh...

Aku memalingkan tubuh memandang ke arah punca bunyi di sebalik semak itu. Air liur aku telan begitu payah. Jantung aku berdegup kencang. Bunyi apa tadi tu? Ada haiwan liar ke? Tak mungkin pula haiwan liar, aku ternampak seperti bayangan orang.

"Sia... siapa tu?" soal aku dengan nada perlahan. Namun tiada sahutan.

"Alyna..."

"Huh!" Terhinjut bahu aku akibat terkejut terdengar suara seseorang memanggil aku.

"Sia... siapa?" Menggeletar lutut aku memandang ke arah satu susuk tubuh yang tidak jauh dari semak itu.

"Alyna..." Sekali lagi dia memanggil nama aku. Bulu roma aku sudah merinding tinggi. Mana Luqman? Tolonglah... sampai cepat!

"Aw... awak sia... siapa? Nak apa?" suara aku sudah mendatar. Aku tak suka orang bermain-main dengan aku. Sengaja nak menakut-nakutkan aku.

"Nak kau," jawabnya dengan hanya dua patah perkataan, membuatkan aku terkedu. Aku mengundurkan tapak beberapa langkah.

"Tunggu aku, Alyna..."

Aku menggelengkan kepala laju, laju aku memusingkan tubuh ingin melarikan diri.

BUK!

"Ya Allah sayang..."

Tubuh aku disambut oleh Luqman apabila aku hampir terjatuh saat melanggarnya tanpa sengaja.

"Abang... takut... takut..." Aku tanpa segan-silu memeluk tubuhnya. Menggigil seluruh badan aku.

"Shhh... abang ada. Maaf, abang lambat. Kenapa ni? Ada orang ganggu Aly?"

Laju aku menganggukkan kepala. Luqman menarik aku masuk ke dalam kereta. Dia memasangkan tali pinggang keledar untuk aku sebelum masuk ke bahagian memandu.

"Aly... take a deep breath. Pucat abang tengok muka Aly. Kenapa ni? Buat abang risau. Tell me, what is going on? Aly nampak apa?" soal Luqman sebaik saja kereta pacuan empat rodanya bergerak ke jalan raya.

"Aly... Aly nampak ada orang... dia tahu nama Aly... dia cakap dia nak Aly lepas tu dia suruh Aly tunggu dia..." Terketar-ketar aku menceritakan kejadian tadi. Luqman terdiam seketika sebelum mengusap lengan aku.

"Shh... sudah tenang, abang ada...," pujuknya lembut. Aku menganggukkan kepala sekali dan cuba menenangkan diri.

"Abang... Aly tak sedap hatilah sejak akhir-akhir ni. Aly ingat gangguan tu dah tak ada..."

Luqman menganggukkan kepalanya.

"Tak apa. Aly jangan takut. Lepas ni ibu dengan ayah pindah dekat rumah sekitar kawasan rumah abang tu, Aly tinggal situ ya. Abang akan ambil Aly pergi dan balik," ujarnya.

"Terima kasih abang. Maafkan Aly sebab menyusahkan abang..."

Luqman tersenyum kecil.

"Tak ada menyusahkan pun, sayang. Sudah ya.. jangan takut lagi..."

Aku tersenyum, menganggukkan kepala. Mujur Luqman cepat sampai sebelum gerangan tadi mengapa-apakan aku.

Siapa dia? Macam mana dia boleh tahu nama aku? Kenapa aku nak kena tunggu dia?

Macam-macam persoalan yang bermain di dalam minda aku ketika ini.

"Aly... nak makan apa hari ni?"

Suara Luqman memadamkan lamunan aku. Aku menoleh memandangnya.

"Aly tak kisah. Janji abang ada..."

"Abang memang sentiasa ada, mana boleh abang tak ada. Abang kalau nak makan mesti nak kena ada buah hati depan mata. Barulah seronok!"

Serentak kami ketawa.

"Alah, abang ni mengadanya. Dulu abang makan sorang boleh je?" usik aku.

"Siapa cakap boleh? Abang makan macam tak ada perasaan tau, lagi-lagi Alyna jauh dari abang. Melara hati abang..."

Mengekeh aku tertawakannya. Masalah tadi aku lupakan sekejap. Terhibur dengan sikap manja Luqman yang semakin manja itu. Makin dekat tarikh pernikahan kami, makin menjadi-jadi perangai manjanya.

"Aly, nanti hari sabtu dan ahad ni kita beli barang-barang untuk perkahwinan kita. Kalau boleh terus siap sebab abang nak kena kerja lebih masa sebelum abang ambil cuti panjang. Cuti Aly nanti pun abang uruskan. Jangan risau..."

Aku tersengih. Untungkan dapat suami professor, cuti pun dia uruskan. Tak payahlah aku bersusah payah nak memohon kelulusan cuti.

"Hah, apa sengih-sengih tu! Mesti berangan!"

"Eii! Abang ni terkejut Aly lah!" marah aku.

"Alololo... sorry... Jangan marah buah hati kita ni..."

Aku menggelengkan kepala.

Ada saja dia nak mengusik aku. Tak mengusik memang tak sah. Nasib baik sayang, kalau tak sayang, memang habis kena cubitan dan pukulan padu percuma dari aku.


Previous: Bab 38
Next: Bab 40

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.