Bab 4

BAB 4

SAMPAI saja di kedai runcit, aku terpinga-pinga mahu membeli apa. Akibat kejadian tadi membuatkan otak aku terus tidak dapat berfungsi. Mata aku pejam sesaat sebelum mencapai dua bungkus makanan ringan dan dua air tin minuman. Aku melangkah ke kaunter dan seseorang terlanggar bahu aku. Lengan aku ditahan olehnya.

"Maaf." Hanya sebutir huruf saja yang keluar dari mulutnya. Aku mendongak perlahan dan cuba mengintai wajahnya yang ditutupi dengan hoodie berwarna hitam. Kedua-dua belah tangannya diselukkan ke dalam poket jaket sebaik saja dia melepasi aku.

Mata aku teralih ke lantai apabila ternampak sesuatu benda berwarna coklat.

"Encik!" Aku mengambil dompet itu dan berlari anak ke arahnya.

"Dompet encik tercicir..." Dia menoleh perlahan dan mengambil dompetnya itu.

"Terima kasih," ucapnya lalu berjalan ke kaunter setelah mengambil dua bungkus roti dan setin air minuman isotonik.

"Bayar yang ni sekali." Dia menolak dua bungkus makanan ringan dan dua air tin minuman yang diambil oleh aku tadi. Aku berkerut cuba menahan tetapi lelaki itu terlebih pantas menghalang aku.

"Semua sekali RM 12.30."

Lelaki itu menganggukkan kepala lalu mengeluarkan sekeping not RM20 dan diberikan kepada juruwang itu.

"Keep the changes," katanya lalu menjinjit plastik itu keluar. Aku terkebil-kebil memandangnya yang sudah keluar dari kedai. Masalahnya makanan dengan minuman aku ada dalam plastik tu.

"Encik!" jerit aku sambil mengejarnya dari belakang. Sengaja menguji kesabaran aku yang selamba badak saja menonong jalan tanpa sedikit pun menoleh.

"Hei! Encik!" Aku menarik lengannya dan serentak langkah kami terhenti. Dia menoleh sedikit ke kanan dan melihat tangan aku yang sedang memegang lengannya. Aku terus melepaskan lengannya dan mengawal nafas. Letih berlari mengejarnya.

"Makanan saya...," kataku dengan nada perlahan. Takut pula tengok dia tak bergerak dari tadi. Dah macam patung aku tengok.

"Siapa kata ni awak punya?" soalnya dengan nada dingin.

Aku terkebil-kebil memandangnya. Sudahlah tak nampak muka, tangan aku gatal saja mahu menarik hoodienya itu. Aku menyengetkan sedikit bibirku ke tepi.

"Habis tu kenapa awak ambil makanan saya tu? Bak balik!" Berani aku menghulurkan telapak tangan ke arahnya. Kedengaran dia tertawa kecil.

"Boleh tapi dengan satu syarat."

Aku menghela nafas. Siap bersyarat bagai pula. Letih aku begini. Sudahlah penat berlari tadi belum hilang. Lantas aku mengeluarkan dompet dan mencapai sekeping not RM20 dan diberikan kepadanya.

Krik.

Krik.

Krik.

Dia langsung tak bergerak mahu mengambil duit yang dihulur oleh aku.

"Saya tak cakap bayar guna duit."

Aku mendengus geram lalu menyimpan semula duit itu ke dalam dompet.

"Habis itu? Cepatlah! Saya nak minum, kehausan dah ni!" rengek aku.

Dia tertawa kecil. Aku memutarkan bebola mataku 180 darjah. Dari tadi asyik ketawa saja dia ni, buat aku naik berang pula.

"Nak pesan dekat awak, lain kali jangan keluar seorang diri. Zaman sekarang ni ramai orang jahat, jadi jangan sangka awak cukup berani untuk keluar sorang diri. Pasal syarat tu saya bergurau saja. Jumpa lagi nanti."

Dia mengeluarkan dua bungkus roti dan tin air minuman isotonik miliknya kemudian plastik itu disangkutkan pada tangan aku.

Aku terpinga-pinga memandang susuk tubuhnya yang sudah jauh dari pandangan aku.

*****

SEBENTAR lagi kelas Doktor Dennis akan bermula dan aku pula terpaksa membawa diri berjumpa dengan Professor Luqman. Apalah nasib aku ini? Belajar dengan orang lain sedangkan kawan-kawan belajar di dalam kelas sendiri.

Agak-agaknya, Professor Luqman ni orangnya macam mana, ya? Tua ke muda? Biasanya yang selalu nampak professor ni tua. Tak kisahlah siapa pun, janji boleh tolong aku usaha nak naikkan prestasi aku. Aku boleh buktikan dekat ibu dan ayah yang aku boleh skor dalam semua ujian terutama subjek yang diajar oleh Doktor Dennis.

Aku terus menapak ke bangunan sebelah dan menaiki tangga menuju ke tingkat dua. Tercungap-cungap nafas aku saat sampai di laras dua. Mataku meliar mencari makmal yang dimaksudkan oleh Doktor Dennis tempoh hari. Jarang aku datang ke sini, dalam setahun boleh kira, berapa kali saja masuk ke makmal kajian itu. Biasanya guna makmal kajian yang terletak di bangunan depan sana.

Aduh!

Kaki aku tersilap langkah dan jatuh terjelepok di atas lantai. Dahi aku berkerut menahan sakit. Aku ni hidup asyik jatuh saja. Patutlah prestasi aku pun macam tu. Sadis sungguh kehidupan aku ini.

"Nur Alyna..." Satu tangan muncul di hadapan aku. Perlahan aku mendongakkan kepala dan melihat gerangan yang memanggil nama penuh aku itu.

"Okey tak?" soalnya.

Aku menganggukkan kepala dan menyambut huluran tangannya, bangun, menstabilkan diri.

"Cari siapa?" soalnya lagi.

Aku terjengah-jengah ke makmal kajian itu. Kosong. Tak ada orang tapi ada banyak fail dan buku berselerakan di atas meja panjang. Mana pula Professor Luqman ni?

"Hello... dengar tak? Saya tanya awak ni..." Dia memetik jari di hadapan wajahku. Aku terkejut dan terundur sedikit ke belakang.

"Erm. Saya cari Prof. Luqman Rafhael," jawabku perlahan dan memandang anak matanya seketika sebelum mengalihkan pandangan ke lantai.

"Prof. Luqman, ada apa ya?" soalnya lagi. Banyak pula soalan dia ni. Takkan aku nak details untuk aku beritahu dia.

"Ada hal sedikit mengenai pelajaran."

Dia menyingkap rambut ke belakang dan menyilangkan tangannya.

"Nak jumpa dia kena buat temujanji awal."

Terbuntang mata aku mendengar kata-katanya. Nak jumpa kena buat temu janji? Apa dia artis ke apa, nak temu janji bagai. Aku dah lah nak cepat, dia boleh memain dengan aku.

"Tak nak beritahu tak apalah. Saya telefon dia."

Aku mengeluarkan iPhone lalu mendail nombor telefon milik Prof. Luqman.

Bunyi deringan telefon datang dari dalam poket kot makmalnya lantas dia mencapai dan mengangkat panggilan tersebut.

"Hello?" Si dia sudah melorekkan senyuman kecil.

"Erk..." Aku kehilangan kata-kata. Mahu saja pengsan di situ. Malu! Malu!

Aku mematikan talian dan menyimpan telefon bimbit ke dalam poket seluar.

"So, you know who is Prof. Luqman Rafhael?" tanya Luqman.

Aku sekadar mampu menganggukkan kepala sekali. Lutut lemah bagaikan diketuk dengan penukul.

"Hey, Alyna, Alyna.. saya pakai tag nama dekat leher ni awak langsung tak baca, ya? Patutlah masa jalan semuanya awak main pakai bedal saja berjalan. Main langgar saja orang di sekeliling awak. Sangat cuai, Alyna. Macam tu juga dalam pelajaran, awak tak boleh cuai. Sekarang awak yang susah bila prestasi awak menurun."

Aku tersentap. Bibir diketap. Air mata ditahan. Jumpa-jumpa saja dah kena kutuk macam tu. Aku ni dah lah hati sentimental. Sensitif.

"Alyna? Awak ada suara tak? Ke dah bisu?"

Aku menganggukkan kepala.

"Ya. Ada," jawab aku perlahan menahan getaran tangisan yang bakal tumpah.

"Jom masuk makmal. Masa tak pernah tunggu kita tau," ujar Luqman lalu mengekori aku masuk ke dalam makmal.

Hati aku rasa nak memberontak. Rasa nak balik saja. Tak sanggup aku nak hadap muka dia ni sampai pukul 2 petang. Ni baru sikit dia main sindir-sindir, belum berejam lagi.

Ya Allah, kuatkan lah hati aku.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.