Bab 25

BAB 25

"APA?"

Bergema suasana ruangan bilik kerja Amsyar. Matanya terpaku pada seorang susuk tubuh lelaki yang memakai kot putih sama sepertinya sedang berdiri di hadapan cermin tingkap sambil menggenggam kedua-dua belah tangannya. Dia memukul bingkai besi tingkap itu kuat.

"Asal pulak kau nak batalkan perkahwinan aku dengan anak kau!" amuk Yazid.

Amsyar melepaskan keluhan kecil.

"Zid, anak aku tu muda lagi... Tak tergamak aku nak hancurkan harapan dia. Aku tahu dia dah banyak merancang. Nak realisasikan impian dia. Aku dah buat diaorang berjauhan, jadi kau tak perlulah risau," ujar Amsyar sambil menyandarkan belikatnya pada kerusi dan merapatkan kedua-dua belah tangannya. Keluhan panjang dilepaskan.

"Kau pasti yang anak kau takkan cari dia? Anak kau nak praktikal dekat luar daerah kan?"

Amsyar sekadar menganggukkan kepala.

"Aku tak nak yang dia praktikal sama daerah dengan lelaki tak guna tu. Alyna aku punya. Kau ingat tu!"

Amsyar tidak menjawab, dia meraup wajahnya sekali gus meramas rambutnya. Kusut kepalanya ketika itu.

"Macam mana dengan Firdan?" soal Yazid sambil menoleh sedikit, ekor matanya dihalakan ke arah Amsyar.

"Asal kau tanya aku pula pasal budak tu? Dia dah tak ada kena mengena dengan kita."

Yazid ketawa besar sambil menggelengkan kepala.

"Hoi! Bakal bapak mentua! Kau ni memang tak pandai nak ambil kisah pasal anak kau kan? Si Firdan tu dah jadi kawan rapat anak kau sejak Luqman pindah, kau tak rasa ke Firdan akan balas dendam dekat kau, lepas apa yang kau dah buat dekat dia dulu?"

Amsyar menelan air liurnya payah, tiba-tiba tekaknya terasa pahit.

"Alyna kawan dengan Firdan?"

Yazid menganggukkan kepalanya.

Amsyar terdiam. Dia terus menghalakan anak matanya pada sebuah bingkai gambar di atas meja kerja. Gambar dia bersama Noura dan Alyna yang ketika itu baru saja berusia 4 tahun. Satu perkataan saja akan disebut setiap kali memandang gambar itu.

Gembira.

"Zid, kau jangan nak salahkan aku seorang. Kau pun ada waktu kita buat."

Yazid mencebikkan bibirnya lalu menghenyakkan punggung di atas sofa berhampiran tingkap itu.

"Buat semua bersebab, Amsyar..." Mudah saja jawapan Yazid sambil tersenyum senget.

"Firdan tu dulu budak polos tapi sekarang aku tengok dia ada perubahan." Sengaja Yazid meresahkan hati Amsyar lagi. Dia beberapa kali meraup wajahnya kasar. Sungguh sarat pemikiran dia.

"Sudahlah Yazid. Aku letih. Nantilah kita bincangkan lagi."

Yazid menggelengkan kepala sambil mendengus. Dia bingkas bangun lalu membawa langkah keluar dari bilik Amsyar.

"Arghh!" Yazid terhentak ke dinding ketika seseorang menolaknya kasar kemudian tubuhnya diheret ke belakang bangunan hospital itu, jauh dari pandangan orang lain.

"Ahhh!" Ketajaman mata pisau belati itu menyentuh kulit wajahnya.

"Yazid..." Namanya dipanggil, gerangan itu meninggung di hadapannya.

"Aku nak kau rasa apa aku rasa saat itu...."

Yazid terkial-kial memandang wajah gerangan itu sebaik saja topeng diwajahnya ditanggalkan.

"Fir..." Belum sempat dia menyebut nama itu, Firdan terlebih dahulu mencekak lehernya kuat sehingga dia terkapai-kapai mencari nafas.

"Kau dengan Amsyar sama je! Lebih kejam dari banduan dekat luar sana! Disebabkan korang berdua aku tak dapat nak habiskan pengajian aku dan pada masa yang sama mak aku mati!" Keras nada suara Firdan, dia melepaskan tangannya dari leher Yazid kasar.

"UhukUhuk!" Terbatuk-batuk Yazid sebaik saja lehernya dilepaskan. Bagaikan nyawanya sudah hampir ke garisan penamat sebentar tadi.

"Ka... kau nak apa...?" soal Yazid tersekat-sekat.

"Aku nak balas apa yang korang dah buat dekat aku..."

Yazid menggelengkan kepalanya. Firdan tersenyum sinis. Senyuman yang penuh makna.

"Ta... tak. Nan... nanti..." Belum sempat Yazid menghabiskan percakapannya, Firdan mengeluarkan satu botol kecil yang mengandungi asid.

"Firdan, ka... kau nak buat apa?" Terketar-ketar suara Yazid menyoal.

Firdan tidak menjawab soalan Yazid sebaliknya dia menekup mulutnya dengan kain kemudian menyimbah satu botol asid itu pada wajahnya. Meronta-ronta Yazid saat asid itu bertindak pada kulit wajahnya.

Selepas beberapa minit, Yazid tidak sedarkan diri. Tidak dapat menahan keperitan asid itu, akhirnya dia pengsan. Firdan mengheret tubuh itu masuk ke dalam keretanya lalu dibawa jauh dari situ.

Sesudah memastikan dia berada jauh dari hospital itu, Firdan memberhentikan kenderaannya lalu tubuh Yazid dicampak ke dalam semak-samun berhampiran dengan hutan tepi jalan itu.

"Tinggal Amsyar saja. Tak apa Amsyar, anak kau dalam pemerhatian aku. Aku masih berbaik lagi sebab anak kau tak macam kau! Kau tunggu masanya akan tiba nanti. Dendam tetap dendam," gumam Firdan lalu memecut laju meninggalkan tempat itu.

*****

AMSYAR sudah beberapa hari tidak nampak Yazid. Dia mahu membincangkan mengenai hal tempoh hari tetapi lelaki itu seolah-olah menghilangkan diri. Dia termenung memikirkan kesalahan besar yang pernah dia buat. Nyawa orang yang sedang nazak dibiarkan begitu saja kerana perasan iri hati yang sudah menguasainya.

Firdan merupakan protegenya, yang menjalani praktikalnya di hospital ini. Tak dinafikan, Firdan memang seorang calon doktor yang dicari-cari selama ini. Semua tugasan yang diberikan kepadanya, semuanya disiapkan dengan sempurna tanpa cacat-cela. Semua warga hospital itu bangga dengannya tetapi satu kejadian menyebabkan semuanya berubah.

Ibu Firdan sedang sakit tenat dan memerlukan rawatan secepat mungkin. Firdan merayu-rayu kepadanya dan juga Yazid untuk merawat ibunya. Idea Yazid telah berjaya menghasut fikirannya. Ketika Firdan menjalani kursus di luar kota selama tiga hari, mereka langsung tidak memberi sebarang rawatan kepada ibunya. Pulang saja dari kursus itu, ibunya telah meninggal dunia. Firdan langsung tak dapat terima kenyataan itu, dia menyiasat sendiri apa yang berlaku selama tiga hari dia tiada di hospital itu.

Hanya kerana cemburu mereka pada Firdan, dia sanggup membiarkan nyawa insan yang disayangi Firdan dalam keadaan sakit.

"Arghhh!" jerit Amsyar sambil meramas rambutnya kasar. Kepala otaknya sakit memikirkan hal itu.

"Apa aku nak buat ni? Alyna... tak boleh... Alyna tak bersalah dan dia tak tahu apa-apa pun pasal benda ni. Dia tak boleh sentuh anak aku." Beberapa kali Amsyar menggelengkan kepalanya.

"Abang?" Amsyar menoleh terkejut ke arah pintu bilik kerjanya itu. Wajah sang isteri yang sedang berkerut ditatapnya.

"Kenapa abang ni? Banyak sangat kerja ke?" soal Noura sambil mendekati suaminya.

Perlahan Amsyar menggelengkan kepala.

"Tak. Letih je. Awak dah habis kerja?"

Noura sekadar menganggukkan kepala. Dia tersenyum tipis. Noura juga tidak tahu apa yang telah dia buat pada ibu Firdan bersama Yazid. Kalau tahu, mahu dia ditinggalkan.

Kusut. Sungguh kepala otaknya kusut memikirkan hal itu. 


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.