MATI terus ketawa Tan Sri Zaidi saat melihat Shana tiba-tiba
muncul di hadapannya. Mukanya yang tadinya manis bertukar tegang. Sama seperti
hari-hari semenjak Shana kembali dari Australia enam bulan lalu. Kemudian,
akhbar di tangan perlahan-lahan dilipat dan diletakkan di sisi kanan.
“Abang...” sapa Puan Sri Ratna.
Tan Sri Zaidi hanya tunak memandang paha sendiri. Hilang
minat pada cerita isterinya.
“Abang kenapa?” tanya Puan Sri Ratna, hairan. Ceritanya
tentang Mak Indah yang termasukkan garam ke dalam air kopi, masih belum habis
tapi suaminya sudah terdiam. Tadi dilihat Tan Sri Zaidi nampak gembira. Lalu,
lambat-lambat kepala dipalingkan ke belakang.
Shana!
Entah kenapa, hatinya yang kembang serta-merta menguncup
dengan sendiri. Kecil hati. Bukan pada Shana, melainkan pada Tan Sri Zaidi.
Suaminya masih tak dapat menerima kepulangan Shana. Terus menghukum Shana
sedangkan mereka tahu betapa Shana sudah berubah.
“Shana... marilah, duduk sekali dengan mama dan papa,”
pelawa Puan Sri Ratna dengan bibir berhias senyuman manis.
Sebagai seorang isteri dan ibu, dia teringin melihat suami
dan anaknya itu berbaik-baik seperti dulu. Boleh duduk sebelah-menyebelah dan
bercerita tentang apa saja. Dia tak mahu kerana layanan Tan Sri Zaidi, Shana
mengambil keputusan tinggal di rumah lain. Jika itu sampai terjadi, hatinya tak
akan gembira. Cukuplah dua tahun anak itu dibawa pergi daripadanya. Janganlah
hendaknya ada peluang kali kedua!
Akur, Shana mula mengatur langkah. Namun saat semakin
hampir, papanya tiba-tiba saja bangun.
“Abang masuk bilik dululah, Ratna. Ada kerja nak kena buat.”
“Duduklah dulu. Dah lama kita tak bersembang bertiga,” pujuk
Puan Sri Ratna.
“Masa abang terlalu berharga untuk dibazirkan demi orang
yang tak pernah tahu menghargai,” balas Tan Sri Zaidi. Dia sengaja menyindir
Shana.
“Abang janganlah cakap macam tu. Yang sudah tu sudahlah.”
Bibir, Shana gigit kuat-kuat. Jika berdarah pun dia tak
peduli kerana hatinya lebih dulu membuak-buak dengan darah. Kata-kata sinis
papanya terasa menusuk di lubuk hatinya yang paling dalam.
Di hati papa, apakah tak ada perkataan maaf?
“Tak semudah itu, Ratna!”
“Janganlah macam tu abang. Kesian dia.”
“Pernah ke dia kesian pada kita dulu, Ratna?”
Rabak hati Shana dengan kata-kata itu. Matanya terasa pedih,
namun sedaya mungkin ditahan. Jangan gugur di hadapan Tan Sri Zaidi. Menjadi
anak kesayangan, kemudian setelah melakukan kesalahan berkali-kali, dia
bagaikan tak wujud lagi di mata papanya, bukanlah hal yang mudah.
Tapi hendak disalahkan siapa bila dialah yang mencipta onar?
Hubungan papa dan anak, dialah yang telah merosakkannya.
Bukan papanya!
Banyak yang telah dibuat, namun maaf papanya tak
berkurangan. Tetap utuh hari demi hari. Dituduh yang bukan-bukan, digelar gila
dan tak waras. Tetap juga papanya pekakkan telinga dan butakan hati. Tapi
papanya hanya manusia biasa yang ada kurang dan lebih. Sampai satu tahap bila
tingkahnya menjadi tak terkawal, papanya hilang pertimbangan.
Ya, hanya dia seorang yang bersalah. Hanya dia!
“Dah dua tahun lebih, abang. Lupakanlah,” nasihat Puan Sri
Ratna penuh harap.
“Dalam dua tahun lebih ni abang tak pernah lupa apa yang dah
dia buat. Dia betul-betul memalukan kita berdua.”
Usai berkata, Tan Sri Zaidi berlalu dengan kepala
menggeleng. Tak betah lagi berhadapan dengan Shana yang telah banyak mengelar
luka hatinya.
“Papa...” panggil Shana perlahan. Lirih nada suaranya.
Tan Sri Zaidi berhenti, namun tak berpaling. Lambat-lambat
Shana mengatur langkah menghampiri papanya. Lantas, dipegang kedua-dua belah tangan
kasar itu. Digenggam erat sebelum dibawa ke bibirnya dan dikucup hangat. Lama.
Setitis air matanya titis di pipi. Sebaknya rasa, hanya ALLAH saja yang tahu.
Betapa, kesilapannya telah menjarakkan hubungan mereka berdua.
“Maaf...”
Hanya sepatah itu yang bibirnya mampu ungkapkan walau
ikutkan hati, banyak yang mahu diluahkan. Semenjak pulang ke tanah air, tak
pernah sekalipun dia diberi peluang memohon maaf daripada papanya. Setiap kali
dicuba, setiap kali itu juga papanya mengelak dengan pelbagai alasan. Pantang
melihat kelibatnya, papanya akan cepat-cepat angkat kaki dengan muka tak
terpeta dengan senyuman.
Tak ada reaksi daripada Tan Sri Zaidi. Memandang Shana jauh
sekali.
“Shana tahu, Shana dah banyak kecewakan papa. Shana minta
maaf. Benar-benar minta maaf, pa...” pinta Shana sekali lagi.
Masih kaku. Tan Sri Zaidi hanya membiarkan tangannya
dipegang Shana.
“Pandang Shana, papa. Shana sayangkan papa. Shana sangat
sayangkan papa. Tolonglah Shana, papa..”
Makin lebat air mata di pipi Shana. Luluhnya hati bila
merasakan dia seolah-olah bercakap sendiri. Sedangkan Tan Sri Zaidi hanya kaku. Dadanya terasa
sesak. Sakit rupa-rupanya mengharapkan kemaafan orang, apalagi orang yang
letaknya dekat di hati.
Spontan, seraut wajah Raqib dan Nadra bagaikan bermain-main
di matanya.
TUHAN... dosaku pada mereka masih belum terampunkan kerana
aku masih tak mampu berhadapan dengan mereka. Beri aku kekuatan dan jangan
ambil nyawaku sebelum aku menemui mereka, desis hati kecil Shana.
Dan, Adriah? Ya ALLAH...
“Papa...”
Perlahan-lahan, Tan Sri Zaidi merungkaikan pegangan Shana.
Tanpa kata, dia meneruskan langkah, satu demi satu anak-anak tangga didaki.
Sedang Shana yang melihat, tersedu sendiri. Gontai tubuhnya
melorot ke lantai sebelum tangisannya pecah membingitkan suasana di ruang tamu
mewah milik Tan Sri Zaidi. Luruh hati melihat penolakan papanya. Bukan ini yang
diharapkan ketika meninggalkan bumi Australia.
“Sabarlah Shana. Sabarlah, sayang...”
“Papa dah tak nak layan Shana lagi. Shana dah hilang papa
yang selama ni sangat baik dengan Shana. Shana nak papa, mama...”
“Anak mama!”
Terus Puan Sri Ratna tarik Shana dalam pelukannya. Didakap
sekujur tubuh anaknya itu erat-erat, penuh kasih sayang. Dikucup kepala Shana
bertalu-talu tanpa rasa malu. Dia setuju Shana sudah melakukan kesalahan. Dia
akur salah yang dilakukan anak itu bukannya kecil dan bukannya sekali. Namun
dia tak dapat menerima hukuman Tan Sri Zaidi yang bagaikan tak berpenghujung
pada anak itu.
Kalau bukan mereka sebagai suami isteri membetulkan
kesilapan anak-anak, siapa lagi yang mahu melakukannya?
Sukar benarkah suaminya itu hendak memahami?
“Tapi... tapi... Shana tak salahkan papa, ma. Anak jahat
macam Shana memang patut dilayan macam ni. Semuanya salah Shana. Salah Shana,
mama.”
Selebat mana air mata di pipi Shana, selebat itu juga air
mata di pipi Puan Sri Ratna. Di matanya, Shana kelihatan sangat kasihan. Yang
ditagih anak itu, bukan harta benda. Jauh sekali nama dan pangkat. Hanya kasih
sayang dan itu pun daripada papa sendiri. Tak juga daripada orang lain.
“Sabar, sayang...” pujuk Puan Sri Ratna terus.
Tak tahu kata apa lagi, yang perlu diberi untuk hidangan
jiwa Shana yang parah. Sejujurnya, dia serba salah. Di kanan, suami dan di kiri
pula anak. Yang seorang sering melakukan kesalahan dan kini telah insaf.
Seorang lain, sentiasa memaafkan dan kemudian jerih dengan tingkah si anak.
Hanya yang pasti, kedua-duanya sangat dia sayang. Masing-masing punya tempat
khas dalam hatinya.
“Shana sedih, mama. Shana sangat sedih.”
“Jangan sedih. Mama percaya suatu hari nanti papa akan
maafkan Shana dan papa akan layan Shana sama macam layanan papa pada Shana
dulu-dulu,” ujar Puan Sri Ratna lembut. Rambut Shana, diusap-usap penuh kasih.
“Bila mama? Dah berbulan Shana tunggu.”
“Bila papa yakin yang Shana dah berubah.”
“Tapi Shana dah sedar. Shana tak akan ulang lagi apa yang
dah pernah Shana buat. Shana menyesal mama.”
Puan Sri Ratna seka air mata di pipi Shana. Kemudian
dipegang kedua-dua belah pipi Shana. Direnung dalam-dalam mata yang masih beranak
sungai itu. Lantas dikucup dahi Shana, lama. Dalam diam, dia berharap seluruh
kekuatannya diserap masuk ke tubuh anak kesayangannya itu. Biarkan Shana dapat
terus bertahan hidup di atas muka bumi ini walau seribu rintangan datang
menghalang perjalanan.
“Percaya dengan mama, papa akan terima Shana.”
“Tapi...”
“Shana percayakan mama. Kan?”
Shana angguk seketika sebelum kembali memeluk erat tubuh
Puan Sri Ratna. Kalau pun mamanya sekadar mahu menyedapkan hatinya, dia tetap
mahu percaya. Dia perlu lebih bersabar dalam mengembalikan kepercayaan papa
kepadanya. Jika dia bersungguh, lambat-laun tentu kekerasan papanya akan
mencair juga.
“Shana tak nak kerja dengan papa semula?” tanya Puan Sri
Ratna selepas masing-masing kembali tenang.
Shana geleng dengan senyuman lirih. Sebahagian hatinya masih
bersedih.
“Shana tak yakin boleh angkat muka nak berhadapan dengan
staf papa. Kalau boleh Shana nak mereka lupa yang Shana pernah kerja di sana
dan menjatuhkan air muka papa. Shana malu mama,” balas Shana perlahan.
“Sampai bila?”
Shana angkat bahu. Tak ada jawapan untuk pertanyaan mamanya
itu. Kisah memalukan itu, biarlah hanya tamat dua tahun lalu. Untuk
membiarkannya tersingkap sekali lagi, dia tak rela. Adanya Haidar, dia tak
diperlukan di sana. Lambat-launKristal Architectsakan diterajui oleh diknya itu juga.
Minatnya terhadap syarikat keluarga mereka itu hilang saat dia sedar, dunia
bukan lagi keutamaannya. Sampai masanya kelak, segala-galanya akan ditinggalkan
begitu saja. Hendak berebutkan harta dengan Haidar, bukan dia orangnya.
Kalau dulu, mungkin. Tapi kini, dia tak mahu. Haidar boleh
ambil apa saja yang adiknya itu suka. Tentang hidupnya, tahulah dia bagaimana
hendak menguruskannya. Kalau ulat di dalam batu boleh hidup, apalagi dia yang
punya segala kudrat. Ilmu yang digalas tak akan dibiarkan begitu saja.
“Tak kesian pada papa?”
“Haidar ada.”
Tapi itu juga syarikat Shana. Shana kena ambil tahu dan
sama-sama pastikan syarikat tu terus maju.“
“Shana yakin Haidar akan pastikan Kristal lebih maju
daripada sebelum ni.”
“Kalau Haidar tak mampu?”
“Mama kenal dia, kan?”
Sudahnya, Puan Sri Ratna hanya mampu melepaskan keluhan
panjang. Yakin, hebat mana pun dia memujuk, hati Shana tak akan terpujuk. Bagi
Shana,Kristal
Architectstentu saja telah meninggalkan kenangan
buruk. Tempat anaknya itu bangkit
daripada kecewa. Kemudian, rebah kembali kerana cinta yang tak berbalas.
Jika diletakkan dia di tempat Shana pun, mungkin dia akan
berfikir panjang sebelum kembali bekerja disana.
“Mama bagi modal untuk berniaga, mahu?”
Shana geleng. Tangan mamanya digenggam erat-erat, sama erat
seperti dia memegang tangan papanya tadi. Kalau diberi kesempatan, dia mahu
memegang tangan mereka berdua selagi hayat masih ada.
“Shana dah selesa kerja dengan Aunty Anne.”
“Aunty Anne pun suka
Shana kerja di sama. Dia kata, sejak Shana ada, semua orang rajin kerja. Tak
ada yang curi tulang,” katanya ceria. Kemudian dia tersenyum. Geli hati dengan
cerita kawan baiknya itu tentang Shana.
“Wah... ni aunty kena belanja Shana makan ni sebab dah jadi
mata-mata aunty,” gurau Shana sambil tergelak kecil.
“Tapi Shana nak kerja berapa lama dengan aunty tu?”
“Shana rasa bebas di situ mama. Shana tak perlu fikirkan
apa-apa.”