Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 18

SEPANJANG perjalanan balik dari Gerai Yong Hanifa, Shana terasa seperti dipanggang di atas bara. Bukan kerana cuaca yang sudah mula membahang, tapi permintaan Naim yang di luar jangkaannya. Lelaki itu, ternyata lembut gigi dibandingkan lidah. Tetap sama seperti empat tahun lalu.

Kalaulah dia tahu Naim begitu, dia tak akan melayan lelaki itu dengan baik. Biar Naim tahu langit itu bukannya rendah. Sia-sia saja dia membayar harga makanan sedangkan apa pun tak masuk ke perutnya. Usai saja membasuh minda lelaki tak sedar diri itu, dia terus angkat kaki.

Panggilan Naim yang mengalahkan halilintar, dibuat pekak!

Namun belum pun sempat kakinya melintas jalan, mahu menuju ke Kedai Buku Kasih, langkahnya terhenti sebaik saja melihat seraut wajah dengan senyum simpul di bibir.

Kenapa hari ni nasib aku begitu malang? Tanya hatinya geram.

“Hai... sayang,” sapa Rafie dengan sengihan di bibir.

“Hai!” balas Shana kurang mesra. Bukannya dia mahu berlagak sombong. Tapi jengkel dengan sikap gatal lelaki yang bekerja di bank, selang beberapa bangunan dari Kedai Buku Kasih.

Sayang? Uwek! Tekak Shana meloya tiba-tiba.

“Ke mana tadi? Abang cari Shana kat kedai buku tapi Shana tak ada. Baru nak balik, tiba-tiba Shana muncul. Kita ni memang berjodoh agaknya. Memang Shana rasanya bakal isteri abang.”

Abang?

Ikutkan mahu saja dimuntahkan apa saja yang ada di perut kala ini di hadapan Rafie. Sungguh tak berkenan setiap kali Rafie membahasakan diri abang dengannya. Mungkin ini juga yang Thaqif rasa saat dia tergedik-gedik memanggil lelaki itu abang walaupun setelah dilarang berkali-kali.

“Saya ke Gerai Yong Hanifa. Ada apa ya Encik Rafie cari saya?”

“Shana...” seru Rafie lembut. Mata dikedipkan sekali pada Shana. “Berapa kali nak cakap ni, jangan panggil Encik Rafie, panggil abang aje. Degil ya? Nak kena babab dengan abang tau dia ni?”

Kalau tadi Shana hanya terasa nak muntah, tapi kini rasa-rasa itu seperti tak mampu ditahan lagi. Lelaki bernama Rafie ini benar-benar meloyakan. Ingat dia ayam ke boleh dibabab sesuka hati.

Lempang laju-laju nak? Tanya hati Shana.

“Maaflah, saya tak biasa panggil orang abang.”

“Tak biasalah yang nak kena biasa-biasakan. Kalau tak sampai bila-bila pun akan jadi tak biasa.”

“Ada apa yang datang cari saya? Perlukan pertolongan?”

“Ya, memang datang nak minta tolonglah ni.”

“Apa dia?”

“Nak minta tolong Shana temankan abang makan tengah hari nanti. Bosanlah makan sorang-sorang,” kata Rafie sambil mempamerkan air muka gembira. Teruja membayangkan dia dan Shana akan duduk di meja yang sama, berdua-duaan. Menikmati makanan sambil berbual-bual manja.

Pertama kali memandang Shana, hatinya bagaikan dilanda geroda. Ada tarikan pada wajah gadis itu yang membuatkan hidupnya tak keruan. Makannya tiba-tiba saja jadi tak kenyang. Mandi memanglah mandi, namun ketika mandi itu dia membayangkan yang bukan-bukan. Ketika tidur, sering saja dia bermimpikan Shana datang padanya dengan senyuman walaupun yang dipeluk, isterinya.

Pendek kata, sejak wujudnya Shana di Kedai Buku Kasih, hidupnya hilang tenteram.

“Maaflah, Encik Rafie. Bukannya tak sudi tapi saya dah janji dengan orang lain,” bohong Shana.

Makan bersama-sama Rafie. Duduk saling bertentangan mata. Berbual-bual mesra. Sungguh... dia tak mahu!

“Dengan siapa? Lelaki yang dengan Shana tadi tu ke?” Rafie bertanya. Muka cerianya berubah suram.

“Bukan,” balas Shana pantas.

Naim menyangka dia punya hubungan dengan Thaqif. Rafie menganggap dia dan Naim ada apa-apa hubungan. Kedua-dua lelaki itu memang sangat-sangat menjengkelkannya. Agaknya memang lelaki baik-baik, yang tahu menghargai perempuan sudah pupus di muka bumi ini.

Kalau benar sudah pupus, kenapa Thaqif berbeza daripada mereka?

Ditayang muka gedik. Dibuat suara menggoda. Dikenyit-kenyit mata. Pun, Thaqif tak pernah peduli. Malah, selamba saja menempelaknya sesuka hati. Senyum dan ketawa juga tak mahu Thaqif berikan padanya. Itulah yang membezakan Thaqif dengan mereka berdua. Perbezaan yang membuktikan bahawa lelaki itu memiliki kualiti tersendiri, sama seperti Raqib.

“Habis tu Shana janji dengan siapa?”

Boyfriend saya.”

“Siapa?” tanya Rafie bagaikan mendesak.

Shana berusaha mempamerkan senyuman manis. Dia kini ibarat terlepas daripada mulut buaya, masuk ke mulut naga. “Kalau saya cakap pun Encik Rafie tak akan kenal. Jadi tak perlulah Encik Rafie tahu,” ujarnya setenang mungkin. Jika tak memikirkan soal malu, mahu juga ditempek pada Rafie supaya jangan lagi mengganggunya. Bukan baru hari ini lelaki itu mencarinya di Kedai Buku Kasih.

“Tapi abang tetap nak tahu siapa.”

“Thaqif!” Senafas Shana memberitahu. Kalau Thaqif mendengar, mahu kepalanya dipenggal lelaki itu.

“Siapa tu? Abang kenal ke tak dengan Thaqif tu?” Ada kerut pada dahi Rafie. Cemburunya menyala membayangkan Shana berjalan bersama-sama dengan seorang lelaki yang langsung tak dikenali tadi, masih belum hilang. Kini, satu lagi nama lelaki yang disebut gadis itu.

Tergelak perlahan Shana dengan pertanyaan itu. Bodoh benar di telinganya.

“Kan... saya dah cakap encik tak kenal.”

“Dah lama kenal ke?”

“Dah empat tahun kenal. Tak lama lagi kami nak bertunang dah, lepas tu terus kahwin. Encik doakan supaya kami bahagia ya? Nanti bila harinya sampai saya akan berikan kad pada encik. Jangan tak datang pula.”

Pantas Rafie menggeleng dengan muka serius. Mendoakan Shana berbahagia dengan lelaki lain, tak mungkin. Shana itu impiannya dan dia akan pastikan Shana tak terlepas ke tangan sesiapa. Selagi status gadis digalas Shana, dia akan berusaha untuk mendapatkan Shana untuknya.

“Abang akan doakan Shana untuk abang!”

“Hah?” Mulut Shana melopong. Sangkanya, bila menjawab begitu Rafie akan akur.

“Sedangkan orang yang dah kahwin pun boleh bercerai, apalagi bila masih belum ada apa-apa ikatan.”

Kedua-dua tangan Shana masih ada di sisi, namun terasa sudah sampai ke pipi Rafie yang berkata-kata seperti lelaki tak bertamadun. Tak faham bahawa dia menolak dengan cara yang paling halus. Mungkin lelaki yang satu ini hanya akan mengerti dengan bahasa jerit dan pekik.

Tapi soalnya, dia tak mahu lagi memalukan dirinya sendiri. Cukuplah sekali itu dan sampai ke hari ini, rasa malu itu terus diheret. Dia tak mahu memakai baju tapi sebenarnya telanjang di mata banyak orang.

“Saya jalan dululah Encik Rafie. Assalamualaikum...”

Tanpa menunggu balasan kata daripada Rafie, dia angkat kaki. Hatinya haru. Bingung memikirkan niat Naim. Belum lagi diambil kira Rafie yang tiba-tiba saja masuk ke dalam hidupnya. Kononnya, jatuh cinta pandang pertama dengannya. Pendek kata, Naim dan Rafie benar-benar sudah berjaya mengharu-birukan hidupnya, hari ini.

“Ni... balasan sebab aku pernah haru-birukan hidup Thaqif ke ni?”


EMPAT minggu berlalu sejak Shana hilang daripada pandangan mata Thaqif. Sungguh... dia rasa gembira. Bahagia kerana tak perlu lagi memikirkan strategi untuk memastikan gadis itu lenyap daripada hidupnya.

Tapi... entah kenapa di sebalik rasa tenang, ada masa-masanya dia seakan-akan tercari-cari bayang-bayang Shana. Lebih haru, di mana-mana tempat Shana pernah muncul di situlah matanya jadi terpaku. Paling kerap, di hadapan lif. Kadang-kadang, sehingga pintu lif tertutup rapat, matanya tetap hala ke depan.

“Ada apa sebenarnya dengan aku ni?” bisik Thaqif sendiri.

Dan kini, detik ini dia sedang berdiri di hadapan jalan bertentangan dengan Kedai Buku Kasih.

“Kalau hari ni tak free, harap esok free ya. Abang berharap!”

Rafie pergi sebelum sempat Shana membalas kata-katanya. Lantas, dia mengeluh. Jengkel! Merasakan dada kembali lapang dan lampu hijau pun menyala, tanda dia sudah boleh melintas jalan. Namun menyedari seseorang muncul secara tiba-tiba di sisinya, dia berpaling. Lalu, lampu hijau bertukar merah sekali lagi.

Thaqif!

Sebaris nama itu hanya bergema di hatinya, tak terluahkan kerana tak ada keperluan berbuat begitu.

Untuk masa beberapa detik, masing-masing saling bertenung-tenungan. Shana dengan rupa tenang. Thaqif dengan riak serba salah. Ada debaran menggila dalam hatinya. Mulut ingin menyapa Shana, bertanya khabar gadis itu selepas empat minggu berlalu. Namun bibir terasa seakan-akan kaku.

Shana nampak tak berubah, masih sihat dan cantik seperti biasa.

Cantik? Terasa kepala sendiri bagaikan mahu dihantukkan di atas jalan raya saat tersedar dia sedang memuji Shana.

Lampu hijau berlambang pejalan kaki kembali menyala. Tanpa kata, Shana kembali meneruskan langkah dengan tenang. Misinya bersama Budriz dan Yasmin, gagal. Tak ada keperluan untuk saling bertegur sapa dengan Thaqif. Biarlah mereka meneruskan jalan hidup sendiri.

“Dia pergi? Pergi macam tu aje?” tanya Thaqif perlahan.

Langkah tertib Shana diamati terus dengan rasa tak percaya. Sangkanya, gadis itu akan mengedik seperti biasa kerana itulah Shana yang dia kenali.

“Dia tak tegur aku langsung? Senyum pun tak ada sikit pun?” tanya Thaqif sendiri, sekali lagi.

Dahinya yang berpeluh sedikit, Thaqif kesat dengan sapu tangan. Masih melihat Shana yang semakin mengecil dan kemudian hilang ditelan Kedai Buku Kasih. Beberapa orang yang menghampirinya kerana hendak melintas jalan, langsung tak diendahkan. Fikirannya masih menerawang memikirkan Shana.

Kemudian, lambat-lambat dia berpaling ke belakang. Mahu balik ke Menara Semarak dan meneruskan kerjanya seperti biasa. Untuk apa dia ada di sini dia tak mengerti. Tahu-tahu saja dia berhenti di hadapan Shana yang ditinggalkan seorang lelaki dalam lingkungan usia awal 40-an.

“Siapa lelaki itu? Mangsa baru Shana ke?”

Sambil berjalan, sambil mulutnya berkata-kata. Lalu langkahnya, jadi sangat perlahan.

“Kalau mangsa baru, kenapa pilih lelaki yang nampak berumur? Dah tak ada ke lelaki muda yang lebih sesuai dengan dia dalam dunia ni?”

Kali ini, peluh yang menitis di dahi diseka dengan belakang tangan. Tidak puas hati kerana Shana langsung tak mengendahkannya. Lebih tak puas hati kerana mudah benar Shana mencari mangsa baru. Hanya sebulan selepas dia menolak gadis itu! Takkah itu menampakkan peribadi sebenar Shana?

“Tapi tak nampak ke Shana yang muka lelaki itu macam lelaki gatal? Dahlah tu, bukan lawa pun.” Kaki Thaqif sudah memasuki Menara Semarak. Tiba di hadapan pintu lif, tempat Shana selalu menunggunya, kakinya berhenti. Tegak dia berdiri. Tajam renungannya pada dinding yang menjadi tempat sekujur tubuh Shana bersandar dengan senyuman manis di bibir.

“Tapi kenapa dia langsung tak nak tegur aku? Cakap ‘hai’ pun tak sudi?”

Muka, Thaqif raup dengan kedua-dua belah tangannya. Hatinya rasa berat, rasa merusuh sendiri, entah atas alasan apa. Tak pasti mana satu puncanya. Shana yang seperti tak mengenalinya langsung atau Shana yang sudah mencari pengganti yang lain dalam masa yang singkat.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.