Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 10

THAQIF diam saja sepanjang perjalanan balik ke pejabat. Shana di sebelahnya juga bisu melayan perasaan sendiri. Masing-masing hanya meneruskan langkah seperti hari-hari biasa. Kali ini, jarak yang diambil seperti diukur dengan pembaris. Langkah Thaqif tak besar sehingga memaksa Shana memanjangkan kaki. Langkah Shana juga tak kecil sampai Thaqif terpaksa memperlahankan gerak.

Tiba dia hadapan Menara Semarak, mereka berhenti. Juga seperti selalu.

Untuk entah hari ke berapa, Thaqif mengalah lagi pada Shana. Tetap juga menemani Shana bersarapan pagi. Setiap hari, tanpa ada hari yang terkecuali melainkan pada hari dia tak masuk ke pejabat. Anehnya, Shana hanya mahu makan bersama-samanya pada waktu pagi. Tengah hari, hanya sekali itu. Ketika mereka bertemu untuk pertama kalinya. Selepas itu memang Shana tak pernah membuka mulut mahu makan tengah hari dengannya.

Pelik, tapi dia malas ambil peduli soal itu.

Awal-awal dulu dia tak tahu apa makanan kesukaan Shana. Kini dia tahu. Kadang-kadang, belum pun Shana buka mulut pada yang mengambil pesanan, mulutnya ringan memberitahu. Kalau dulu dia pesan air Milo untuk Shana, kini tak lagi. Shana rupa-rupanya tak minum air itu. Kata Shana, Milo sebenarnya lebih sesuai untuk kanak-kanak. Bukan orang dewasa seperti mereka.

Teori mengarut! Tapi dilayankan saja kerana makin lama kenal, makin dia tahu bagaimana cara hendak mendiamkan Shana.

Jika ditanya pada hati, dia sendiri tak pasti sama ada dia ikhlas atau sebaliknya. Yang dia tahu, dia malas mahu bersoal jawab dengan Shana jika permintaan yang dibuat tak dituruti. Selebihnya, Shana bukannya meminta bulan dan bintang. Hanya ditemani makan. Itu pun, bukan hari-hari Shana minta dibelanja. Malah sejak kebelakangan ini, Shana menolak setiap kali dia mahu membayar harga makanan mereka.

“Nak tanya sikit boleh?” tanya Thaqif selepas mereka berhenti.

“Tanya apa?” Shana balas pertanyaan Thaqif dengan pertanyaan juga.

“Awak dah kahwin ke belum?”

Meletus ketawa perlahan Shana. Dia nampak riak serba salah pada muka Thaqif. Mungkin malu terpaksa bertanyakan soalan itu. Padahal baginya, itu hanya soalan biasa. “Yang abang tiba-tiba berminat nak tahu ni kenapa? Abang dah jatuh cinta pada saya ya? Ke sebab abang dah berura-ura nak hantar rombongan meminang ke rumah saya?”

“Jangan nak perasanlah!”

Terus juga Shana ketawa. Makin lama masa berlalu, makin dia selesa memanggil Thaqif dengan gelaran abang. Tak lagi janggal macam awal-awal kenal dulu. Namun Thaqif tetap juga bersaya dan berawak dengannya. Hanya, tak ada lagi bantahan daripada lelaki itu. Riak jengkel tak terpeta pada wajah Thaqif setiap kali dipanggil abang.

Mungkin Thaqif hanya pasrah. Berserah saja dengan apa yang mahu dibuat. Lagipun Thaqif lebih tua daripadanya, tak ada salahnya kalau dia memanggil Thaqif begitu. Anggap saja sebagai tanda penghormatan daripadanya.

Bila sampai masanya nanti, aku masih nak panggil dia abang juga ke?

Ah... dia tak tahu! Yang penting, dia mahu menghadapi hari ini seadanya. Hari lain, biarkan masa dan keadaan yang menentukan. Tak mahu diberatkan kepalanya untuk hal-hal yang belum pasti. Mungkin yang dirancang begini, tak mustahil yang jadi begitu.

“Dah kahwin ke belum?” tanya Thaqif bagaikan mendesak.

“Buat apa saya nak jawab kalau saya sendiri tak tahu tujuan abang tanyakan soalan tu pada saya.”

“Jawab ajelah!”

Shana geleng. Soalan itu bukanlah sesusah soalan Matematik yang perlu dijawab ketika SPM dulu. Tak ada formula perlu digunakan untuk mencari penyelesaiannya. Tapi sengaja diabaikan. Mahu melihat sejauh mana kesabaran Thaqif boleh bertahan, walau dia tahu lelaki itu memang sangat-sangat sabar. Jika dengan lelaki lain, jangankan menemani dia bersarapan setiap hari, silap-silap awal lagi pipinya sudah ditempeleng. Atau barangkali, sebakul dihadiahkan maki hamun padanya.

“Kalau jawab dapat apa?”

Thaqif diam. Geram bila Shana sudah mula bersoal jawab dengannya.

“Kalau tak jawab abang marah ke?”

Jari-jemari kasarnya, Thaqif patah-patahkan sehingga mengeluarkan bunyi. Perbuatan yang tak elok, namun sering dilakukan jika rasa geram mula mengambil tempat dalam dirinya. Lebih baik dia mematah-matahkan tulang-temulang sendiri, daripada tulang-temulang Shana dikerjakan.

“Marahlah tu sebab tu patah-patahkan jari sendiri macam selalu abang buat kalau bengang dengan saya. Tak elok tau, abang buat macam tu. Nanti tulang abang rosak.”

Kening Thaqif berkerut. Shana seperti tahu apa yang berlegar-legar di kepalanya.

“Saya tak patahkan jari awak dah cukup baik.”

“Sinisnya dia,” ejek Shana, namun dia tersenyum sendiri.

Sejak mengenali Thaqif, dia tak pasti sama ada lelaki itu pernah menghadiahkan senyuman padanya. Tak ingat. Atau mungkin, sekali pun tak pernah Thaqif buat.

“Pergi baliklah!” halau Thaqif seperti selalu.

“Sombong,” kata Shana tanpa ada rasa bersalah. Thaqif melayannya kasar, maka dia membalas kasar juga.

“Kata tadi nak tau sama ada saya dah kahwin ke belum?”

“Dah tak nak tahu dah. Lantaklah kalau dah kahwin atau belum. Bukan urusan saya dan tak penting untuk saya peduli.”

Ikutkan, memanglah dia ingin tahu soalan itu semakin lama semakin kerap menghunjam benaknya. Hendak bertanya, bibirnya seakan-akan lumpuh. Bimbang dikata menjaga tepi kain Shana. Namun hari ini, tiba-tiba saja hatinya tergerak. Eloklah ditanya daripada terus berteka-teki sendiri.

Malangnya, Shana seperti tak sudi mahu memberikan kerjasama. Lebih suka bermain tarik tali dengannya.

“Kalau macam tu saya balik dulu. Bye, abang!

Shana berpusing, tapi tak terus melangkah. Tahu, Thaqif masih ada di belakangnya. Bibirnya menguntum senyum. Sendiri!

“Kalau saya isteri orang, saya tak akan kejar lelaki lain sebab dialah dunia saya. Adanya dia, saya dah tak perlukan orang lain.”

Usai berkata-kata, Shana pergi tanpa menunggu Thaqif membalas kata-katanya. Tak perlu dihuraikan dengan lebih jelas kerana dia yakin Thaqif bukannya lelaki dungu. Segulung ijazah dalam bidang Industrial Designer telah membuktikan betapa lelaki itu punya otak. Bukan hanya berotak tapi di dalamnya kosong. Tapi otak yang punya isi!

“Okey... dia belum kahwin!”

Thaqif lega. Sekurang-kurangnya, taklah dia berasa begitu bersalah kerana menyangka dirinya didampingi isteri orang.

Adanya dia, saya dah tak perlukan orang lain.

Ayat terakhir Shana menusuk masuk ke hatinya. Kedengaran ikhlas dan polos. Langsung tak sama dengan Shana yang dikenali selama ini. Langkah gadis itu dilihat semakin ke hadapan, lalu diam-diam dia mara. Untuk pertama kalinya, dia nekad mengikuti jejak langkah Shana. Mahu tahu siapa sebenarnya Shana yang seperti gula-gula getah dalam hidupnya.


NAIM! Itu yang terdetik di hati Shana. Jantungnya terasa berdebar-debar. Tak percaya dengan apa yang dilihat, namun matanya tak mungkin menipu. Jauh sekali berhalusinasi kerana dia bukan Shana yang dulu. Yang selalu mengangankan Naim dalam jaga dan lenanya. Shana yang itu telah lama dikuburkan.

Naim dan kenangan tak indah mana itu telah dibuang jauh-jauh. Sudahnya, dia hanya kaku di ruang tamu mewah rumah yang menjadi syurga mereka sekeluarga.

“Shana...” sapa Naim lembut.

Tetap juga Shana berdiri tegak. Memandang terus pada Naim yang sudah ikut berdiri.

“Shana apa khabar?” tanya Naim walau tiada tindak balas daripada Shana.

“Kenapa Naim ada kat sini?” tanya Shana tegas. Bukan marah, bukan benci. Tak juga mahu nampak lemah di hadapan lelaki yang pernah menjadi tunangnya dulu. Kemudian, memutuskannya sehari sebelum majlis perkahwinan mereka dan sekali gus meranapkan kekuatannya.

“Shana sihat?” Naim tak mengendahkan pertanyaan Shana.

“Untuk apa Naim tanya?”

“Dah lama kita tak jumpa Shana. Naim nak tahu khabar Shana.”

“Lepas empat tahun?”

Naim diam. Kepalanya tunduk memandang hujung kaki sendiri. Reaksi Shana memang telah diduga. Namun dia akan sabar dan bertahan kerana sememangnya dialah yang bersalah.

“Lepas apa yang berlaku?” tanya Shana terus. Sinis nada suaranya.

Mudah benar rupanya menjadi seorang Naim. Tak suka buang dan bila sampai masa datang kembali bagaikan tak bersalah, bertanya pula khabarnya.

“Shana...”

Shana paling ke sisi kiri. Datin Sri Ratna menggeleng perlahan ke arahnya. Ada senyuman manis terbit diulas bibir mama kesayangannya itu. Akhirnya, perlahan-lahan dia menarik nafas panjang sebelum melepaskannya satu demi satu. Dalam diam, dia mengharapkan hati yang radang kembali tenang.

Kisah dia dan Naim, bukan lagi soal penting selepas segala-galanya berakhir. Tak jadi suami isteri, bukan bermakna mereka berdua harus menjadi musuh. Yang sudah, biarkan saja berlalu. Berdendam tak akan mampu membuatkan dia berundur ke belakang dan sekali gus melenyapkan Naim daripada kotak memorinya.

Soal hatinya, bagaimana?

Tak apa! Dia sudah belajar melupakan. Semalam bukan lagi soal penting dalam hidupnya. Hari esok dan seterusnya, itu yang mahu difikirkan. Tak perlu dikejar semalam jika esok lebih baik untuknya.

“Duduklah Naim. Minumlah air yang dibawa Mak Indah,” pelawa Puan Sri Ratna.

Ikutkan hati, memang dia marah dengan apa yang telah Naim buat. Bukan gara-gara air muka yang dipijak lelaki itu, tapi hanya sebab Shana dan impian anaknya yang menggunung tinggi. Namun, jodoh sudah tidak ada, sia-sia saja jika terlalu disimpan di dalam hati.

“Terima kasih aunty.”

Naim masih juga berdiri. Shana hanya melihat. Tenangnya air muka mamanya mendatangkan insaf dalam dirinya.

“Shana dah lama balik?” tanya pula Puan Sri Ratna pada anak gadisnya.

“Baru lagi, mama.”

“Mama masuk dulu. Naim kata ada benda nak cakap dengan Shana. Shana pun, bersabarlah. ALLAH tak memberi tentu ada sebabnya. Mama yakin, Naim bukan yang terbaik untuk Shana. Tentu ada lelaki yang lebih baik yang memang dijanjikan untuk anak sebaik Shana,” pesan Puan Sri Ratna.

Kalau Naim hendak terasa dengan kata-katanya, dia tak peduli. Ketika Naim membatalkan perkahwinan dengan Shana, Naim langsung tak kisah pada Shana. Dia bukan berniat membalas dendam, hanya mahu Naim tahu betapa apa yang telah Naim buat itu merupakan kesalahan yang bukannya kecil. Memaafkan boleh, melupakan tak mungkin!

“Shana tahu, mama. Shana dah tak nakkan Naim lagi.”

Puan Sri Ratna angguk, lega. Kemudian berlalu tanpa memandang wajah Naim. Sedangkan Naim yang mendengar kata-kata anak dan ibu itu, resah gelisah.

Melihat langkah mamanya yang kian menjauh, Shana kembali berpijak di alam realiti. Kata-kata mamanya memang tak ada salahnya. Dia yakin, ALLAH lebih tahu dibandingkannya. Naim tentu bukan lelaki terbaik untuknya dan dia mungkin akan dihadiahkan lelaki yang jauh lebih baik lagi. Dia telah berjanji mahu menjadi anak yang patuh. Dalam apa pun keadaan, dia mengharapkan reda mama dan papanya. Cukuplah kesilapan demi kesilapan yang dibuat.

“Duduklah, Naim,” suruh Shana. Dia kemudian melabuhkan punggung di sofa bertentangan dengan Naim.

“Terima kasih, Shana...”

“Ada apa datang sini?” tanya Shana lagi. Kali ini nada suaranya lebih lembut dibandingkan tadi.

“Naim nak minta maaf pada Shana. Naim tahu Naim salah. Tak patut buat Shana macam tu. Naim menyesal.”

“Berapa orang anak?” Shana senyum. Kemudian geleng. Dia sengaja memesongkan bicara. Tak mahu diungkit kisah lalu.

“Dua,” balas Naim ringkas.

Lebar senyuman Shana. “Alhamdulillah. Tahniah,” ucapnya ikhlas, benar-benar dari hati.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.