“SIAPA ni,
abang?” tanya Shana sebaik saja Thaqif
muncul bersama-sama Yasmin di Gerai Yong Hanifa. Gerai yang selama ini menjadi
destinasi sarapan pagi mereka berdua. Satu-satunya gerai yang masakannya
menepati selera Shana, selepas beberapa kali bertukar gerai dengan pelbagai
alasan.
“Awak rasa?” tanya Thaqif sinis. Bibirnya juga sinis. Tanpa
dipelawa dia duduk di hadapan Shana. Tangan Yasmin ditarik supaya duduk di
sisinya. Sengaja berbuat begitu demi memahamkan Shana yang selama ini begitu
sukar hendak faham jika hanya diterangkan dengan kata-kata.
“Adik abang ke?” duga Shana.
“Adik?” Membulat mata Thaqif. Hatinya berdebar-debar.
Takkanlah mudah benar Shana mematahkan pembohongannya?
“Bukan ke? Kalau bukan, maaflah sebab saya tak tahu banyak
tentang abang. Saya tengok muka abang dan dia macam ada iras. Itu yang saya fikir
dia adik abang,” kata Shana sambil tersenyum.
Mengerti kini, apa yang ingin Thaqif sampaikan padanya.
Lebih daripada itu, hatinya sendiri masih
belum pulih, apalagi bila malam tadi papanya sengaja menolak pinggan
sehingga jatuh ke lantai dan berderai. Hanya gara-gara dia yang menyendukkan
nasi tersebut. Hatinya yang melihat Mak Indah mengutip deraian kaca itu, ikut
berderai sama.
Kemarahan papanya kini seperti tak terbatas. Dia
sungguh-sungguh terkilan!
“Ini Yasmin! Lain kali jangan pandai-pandai buat andaian
sendiri. Tak perlu berlagak pandai kalau otak tu kosong.”
Kelat senyuman Shana. Hari ini, Thaqif tampak berbeza dengan
hari-hari biasa. Memang bahasa lelaki itu kadang-kadang tak indah mana. Ada
masa-masanya mampu juga membuatkan sabar yang dipupuk bertabur di jalanan. Tapi
tak juga sepedas ini. Malu juga dia pada Yasmin. Betapa dia di mata Thaqif
bagaikan langsung tak ada harga. Tapi dia cuba juga berlagak tenang.
Dibandingkan kata-kata Thaqif dengan penolakan papanya,
kata-kata lelaki itu tak besar mana.
Sedangkan Yasmin yang melihat senyuman Shana, mengetap
bibir. Tak menduga, Thaqif sebongkak itu. Padahal, abangnya selalu melayan
orang lain dengan baik. Apalagi jika orang itu seorang perempuan.
“Maaflah, saya salah,” pinta Shana rendah.
“Inilah manusia, buat salah minta maaf. Buat salah lagi,
minta maaf lagi,” bebel Thaqif.
“Abang...” tegur Yasmin. Hatinya seperti tak sanggup melihat
Shana terus dimalukan Thaqif.
“Kenapa? Tak betul ke apa yang abang cakapkan ni?”
Shana tunduk memandang kuku sendiri. Banyak pula cakap
Thaqif hari ini. Cumanya, setiap kata-kata itu seperti bertujuan memalukannya
di hadapan Yasmin. Tiba-tiba dirasakan, Thaqif yang ada di hadapannya ini
berbeza dengan Thaqif yang semalam. Dan kalau diberikan pilihan, dia lebih
memilih Thaqif yang semalam dibandingkan hari ini. Meski sinisnya sama, tetap
ada perbezaan yang ketara.
Namun hatinya ingin tahu, yang mana satu diri Thaqif yang
sebenarnya?
“Abang ada nak makan apa-apa ke? Kalau ada saya orderkan.” Shana bertanya tanpa
memandang muka Thaqif.
“Saya datang bukan nak makan!”
Shana angkat muka. Namun yang dipandang bukannya Thaqif,
sebaliknya Yasmin. Senyuman dihadiahkan pada Yasmin sambil kepala menggeleng
perlahan. Thaqif yang memandang ke sisi kanan, langsung tak sedar.
“Min nak makan, abang.”
“Tak payahlah! Makan kat tempat macam ni, ingat bersih ke?”
Kening Yasmin berkerut. Sejak bila abangnya kisah soal itu
semua?
“Orang yang tak ada duit aje yang makan kat tempat-tempat
macam ni, Min. Bukan orang macam kita. Jangan makan kat sini. Nanti abang
belanja Min makan kat tempat lain,” sambung Thaqif angkuh.
Lewat ekor matanya, dia menjeling Shana yang hanya tenang.
Gadis itu seperti langsung tak tercuit dengan kata-katanya yang jelas mahu
menyakitkan hati. Jauh sekali mahu berbalah kata dengannya seperti selalu.
Diam-diam, hatinya ingin tahu yang hati Shana itu sebenarnya diperbuat daripada
apa?
Jika sama dengan hatinya, kenapa tak tercuit? Kenapa tak
marah atau sakit hati?
“Abang hina makanan?”
“Bukan! Abang hanya bercakap tentang realiti hidup. Ramai
orang dalam dunia ni yang suka ambil kesempatan pada orang lain. Lupa macam
mana nak jaga air muka sendiri demi nak penuhkan perut. Tak gitu, Shana?” tanya
Thaqif pada Shana. Senget bibirnya kerana menghadiahkan Shana dengan senyuman
sinis.
Ikutkan hati, dia taklah sekejam itu. Malah ketika mulutnya
terus mengomel, rasa bersalahnya menebal. Namun demi menyingkirkan Shana
daripada hidupnya, dia harus menjadi manusia yang tak hati.
Dia tak perlukan Shana dalam kehidupannya.
Shana hanya senyum. Tak seronok mana disindir orang. Namun
ditahan saja telinganya kerana hakikat sebenar bukanlah begitu. Hidupnya tak
sempit sehingga terpaksa menagih belanja orang. Kalau dia mahu, hari-hari dia
boleh memilih makan di hotel lima bintang kerana dia lebih daripada mampu.
Tapi untuk apa disebut jika Thaqif tak pernah tahu siapa
sebenarnya dia.
Selebihnya, dia tak mahu memalukan Thaqif. Cukuplah selama
ini dia mempermain-mainkan hidup Thaqif walaupun dia tak berniat jahat. Hanya
hati Thaqif terlalu ampuh untuk ditundukkan. Akhirnya, yang terduduk bukannya
lelaki itu. Sebaliknya, dia dan Yasmin yang terpaksa menadah telinga mendengar
kata-kata Thaqif yang seperti berbangga dapat memalukannya.
Jangan kecil hati dengan dia, Shana. Jangan benci dia sebab
dia tak sejahat itu!
Itu yang hati kecil Shana ucapkan berkali-kali, ketika ini.
Dia tahu Thaqif bukan lelaki kejam. Dalam masa beberapa bulan, tak banyak yang
dia tahu tentang Thaqif. Tapi dia sangat pasti lelaki itu memang seorang yang
sangat baik.
Lantaran itu, tak ada sebab untuk dia membenci Thaqif.
Sebaliknya, Thaqiflah yang patut kecil hati dan benci
padanya. Pun, bukan salahnya kerana dia hanya bidak. Itu juga bukan satu
kesalahan kerana baginya, gembira dan bahagia itu perlu dicipta. Bukannya
datang bergolek seperti sebiji bola.
Hanya usaha yang dibuat gagal dan dia, pasrah. Ikhtiar lain perlu dicari
dan dilaksanakan, yang tentunya tak melibatkan dirinya.
“Awak dengar ke tak saya cakap apa, Shana?”
Shana angguk sambil tersenyum. Lucu bila Thaqif berlagak
serius begitu.
“Dah tu kenapa diam? Dah bisu ke?”
“Abang harapkan saya jawab apa?” tanya Shana datar.
“Bukan ke selama ini awak selalu kaya dengan jawapan dan
alasan. Apa dah jadi dengan lidah awak hari ni?”
“Tadi sebelum abang datang, saya minum air panas. Lidah saya
rasa melecur. Sebab tu saya banyak diam daripada bercakap hari ni,” balas Shana
selamba. Nada suaranya rendah kerana tak ada apa yang perlu dimarahkan. Usaha
Thaqif untuk melihat dia menjerit-jerit atau menangis-nangis seperti perempuan
kematian suami, tak akan berhasil.
“Saya tak nak tahu!”
“Tadi abang yang sibuk nak tahu. Kan?”
“Awak ni...”
Meletus perlahan ketawa Shana. Geli hati melihat Thaqif yang
nampak bersungguh-sungguh benar. Dia bukanlah jenis yang banyak cakap. Tapi
setiap kali berlawan kata dengan Thaqif, dia selalu memastikan dirinya tak
kalah di tangan lelaki itu. Kini, sekali lagi dia mampu mematahkan hujah Thaqif
dengan mudah.
“Ketawa kenapa?” tanya Thaqif garang. Sakit pula hatinya.
Lain yang diharap, lain yang terjadi.
“Sebab abang kelakar. Saya ketawalah. Salah ke?”
“Kenapa awak suka menyakitkan hati saya?”
“Sebab abang tak pernah sakitkan hati saya. Jadi biarkan
saya aje yang sakitkan hati abang,” jawab Shana berani.
Yasmin yang melihat, mengulum senyum. Tak berani ketawa
walau hatinya bagaikan digaru-garu. Terhibur melihat Thaqif dan Shana saling
berbalas kata. Tak ada kemesraan kerana gaya percakapan mereka jelas berbeza.
Namun nampak sangat comel. Ada masa-masanya, jelas terpeta keserasian.
Kalau mereka saling jatuh cinta, dia akan jadi orang pertama
memberikan sokongan. Namun saat menyedari hakikat, hatinya rasa hampa. Kalau
abangnya sukakan Shana, dia tak perlu menjadi teman wanita olok-olok Thaqif.
“Ni... saya nak kenalkan awak dengan girlfriend saya. Syarifah Yasmin!”
“Hai...” Shana hulur tangan pada Yasmin. Sesaat, dua tangan
menjadi satu dan senyum saling berbalas. “Saya, Shana Melati.”
“Syarifah Yasmin.”
“Patutlah Thaqif kata kulit saya macam arang, girlfriend dia putih macam susu Marigold
rupanya,” luah Shana selamba.
Yasmin yang mendengar, pantas memandang Thaqif yang sudah
berubah air muka. Tak menduga Shana menyebut soal itu. Dia tak berniat, namun
perkataan itu semalam memang ada diucapkan. Kalau diterangkan pada Yasmin yang
dia tak sengaja, tentu adiknya itu tak akan percaya. Hendak berbohong, itu
bukan dirinya.
“Jadi, awak dah tengok cermin. Kan?”
“Maksud abang?”
“Awak dan Yasmin bezanya macam langit dan bumi.”
Terkaku Shana. Terkelu lidahnya hendak membalas kata-kata
Thaqif. Meskipun sudah bersedia, tak pula dia menduga Thaqif sanggup berkata
sejauh itu. Tunak matanya menancap wajah Thaqif. Entah kenapa, hatinya di dalam
terasa seakan-akan mengecil pada bicara Thaqif kali ini.
Hina benarkah jika tak punya kulit putih?
“Jangan ingat saya tak tahu yang awak hanya kerja di Kedai
Buku Kasih.”
“Kenapa kalau saya kerja di sana?”
“Taraf kita tak sama. Macam enggang dan pipit Shana...” ujar
Thaqif berterus terang. Muka Shana tak berani dipandang.
Namun di bawah meja, dia meramas tangannya sendiri.
Kuat-kuat. Berkali-kali hatinya menitipkan kata maaf pada Shana. Tahu, dia tak
sepatutnya merendah-rendahkan diri dan pekerjaan yang digalas Shana. Baginya,
kerja apa pun tak mengapa asalkan sumbernya halal. Hanya dalam kes Shana, dia
terpaksa berkata begitu kerana dia sememangnya tak punya pilihan lain lagi.
“Abang anggap saya macam tu ke?”
“Habis awak nak saya anggap macam mana lagi bila awak setiap
hari mengendeng di sisi saya? Dan kalau betul awak nak hidup senang, awak kena
usaha. Tak ada benda yang mudah dalam dunia ni,” nasihat Thaqif. Kali ini dia
benar-benar ikhlas dengan apa yang dikata. Untuk maju ke hadapan, setiap orang
memang perlu berusaha. Tak ada kejayaan yang boleh datang bergolek dalam hidup.
Sungguh... Shana terasa seperti dirinya direndah-rendahkan
Thaqif. Tapi salah lelaki itukah bila dialah yang menyalakan pelita dalam hati
Thaqif?
Malu! Ya, itulah yang Shana rasa ketika ini walau tak ada
yang tepat dalam andaian Thaqif. Mungkin kehadiran Yasmin yang membuatkan rasa
itu hadir. Sedangkan jika dia mahu, boleh saja diabaikan kata-kata Thaqif.
Kalau dia jahat, kata-kata pedas lelaki itu boleh saja dibidas dengan kata-kata
yang jauh lebih pedas. Mahu hidup di sisi Thaqif, sekuman pun hatinya tak teringin.
Dan kesilapan paling bodoh pernah dilakukan sejak kenal Thaqif, mengajak lelaki
itu kahwin dengannya. Semalam! Itu memang dia kesal.
Mungkin kerana itu, hari ini Thaqif membawa Yasmin bertemu
dengannya. Mahu dia sedar siapa dirinya yang sebenar.
“Awak dah faham kan apa yang nak saya sampaikan pada awak?”
tanya Thaqif pada Shana yang hanya diam.
Shana angguk dengan riak tenang, walau malunya tak tergambar
dengan kata-kata. Malah, ada juga rasa hendak menangis. Teruk benar dia
dikerjakan Thaqif hari ini. Selalunya, dia yang menewaskan Thaqif dengan mudah.
Namun hari ini lelaki itu langsung tak memberikan sebarang ruang padanya.
Benarlah betapa hidup ini tak ubah seperti laut. Ada pasang
surutnya.
“Baguslah kalau dah faham. Jadi berhentilah kejar saya. Saya
rimas! Kalau awak masih degil, saya akan pastikan awak dibuang kerja. Saya akan
jumpa dengan Madam Anne tu!”