Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 1

BERAPA kali nak cakap ni? Saya tak kenal awak! Tolonglah... tolong berhenti ganggu hidup saya macam ni. Saya tak suka,” kata Thaqif sambil menggenggam erat telefon bimbit berjenama iPhone yang melekap di telinganya. Tidak ada angin, tidak ada ribut. Tiba-tiba saja dia diganggu seorang perempuan yang tidak dikenali sejak empat minggu lalu. Rusuh hari-harinya kerana gangguan itu.

Pantang bangun tidur, perempuan itu akan menghubunginya. Sebelum tidur pun, telefon juga. Belum lagi masa makan tengah hari. Kalau tidak dilarang, mahu setiap jam perempuan itu mencarinya.

“Saya kenal abang!” jawab Shana tenang. Entah macam manalah raut Thaqif saat ini agaknya.

“Saya tak kenal awak!”

“Saya kenal abang!”

“Tolonglah...” Kata-kata Thaqif mati begitu saja. Hilang diksi untuk meneruskan bicara. Memanglah dia tidak bercakap dalam nada yang tinggi, tapi takkanlah perempuan itu tidak merasakan betapa saat ini dia sedang tertekan. Atau, dia perlu marah-marah semata-mata mahu mengenyahkan perempuan itu daripada hidupnya?

Tapi... seumur hidupnya, mana dia pernah melayan perempuan dengan kasar. Keganasan, memang sangat-sangat dia benci!

“Tolong apa abang?” tanya Shana. Suaranya tak terlalu lembut, tak juga terlalu kasar.

“Berhenti cari saya. Boleh?”

“Saya boleh tolong abang apa saja. Termasuk angkat almari kat rumah abang. Buang sampah kat rumah abang. Bersihkan halaman rumah abang. Bersihkan kolam renang kat rumah abang. Tapi tolong yang satu tu memang tak bolehlah. Minta maaf ya, bang?”

Keluhan Thaqif kedengaran. Cuba berfikir. Manalah tahu ada antara kawan-kawannya yang sengaja mahu menggula-gulakannya. Tak ada. Suara itu terlalu asing di telinganya. Entah dari planet mana agaknya perempuan itu datang?

“Siapa awak sebenarnya ni?”

“Shana Melati. Kan dah bagi tahu hari tu lagi? Abang lupa ya? Sampai hati tak ingatkan saya. Padahal, hari-hari saya ingatkan abang. Kadang-kadang, saya makan tak kenyang. Tidur tak lena dan mandi pun tak basah. Semuanya sebab abang tau...”

“Itu saya dah tahu, Cik Melati.”

“Jadi... kenapa abang tanya lagi?”

Cik Melati? Shana ketawa kecil. Nama itu terasa janggal di telinganya. Bahkan, dia sering terlupa yang di belakang nama Shana itu wujud satu nama lain. Nama yang suatu ketika dulu sangat dibenci kerana sering menjadi bahan ejekan kawan-kawan di sekolah. Malah, selalu buat dia berfikir mahu ke Jabatan Pendaftaran Negara. Kemudian angkat sumpah untuk membuang nama yang sangat kekampungan itu. Mujur saja papanya melarang. Tak cukup dengan itu, siap mengugut akan memotong elaun bulanannya. Tak ada pilihan lain, terus saja dia menggalas nama itu.

Tapi itu dulu. Ketika otaknya masih belum dapat berfikir dengan matang. Seiring masa berlalu, dia sudah tak peduli. Bukannya teruk mana pun nama Melati itu. Bukan juga semua orang ada nama tradisional begitu pada zaman serba moden ini. Bahkan, namanya kini telah tergolong dalam kalangan nama-nama yang unik.

Dan mendengar nama itu disebut Thaqif seketika tadi, dia rasa seronok. Kedengaran lembut saja sebaris nama itu di telinganya.

“Apa yang kelakar sangat tu?”

“Abang tahu tak, abang orang pertama dalam dunia ni yang panggil saya dengan nama Melati.”

Kali ini lebih panjang keluhan yang muntah daripada bibir Thaqif. Ikutkan hati mahu saja dihentikan perbualan tak penting ini. Tapi apa gunanya? Nanti-nanti Shana akan menghubunginya lagi. Sedangkan kalau boleh, dia mahu tamatkan segala-galanya hari ini juga. Biar esok-esok dia dapat kembali menjalani hidup seperti biasa.

“Awak nak apa ni daripada saya?”

“Saya nak abanglah. Nak apa lagi?”

“Hah?” Tinggi sedikit nada suara Thaqif. Hari ini, Shana nampak lebih berani daripada hari-hari sebelum ini.

“Abang takut ya?” Shana sudah ketawa-ketawa. Kalaulah orang tahu dia bercakap begini dengan seorang lelaki, tentu dia sudah dilabelkan sebagai perempuan gedik.

Bibir, Thaqif gigit kuat-kuat. Sebal mendengar pertanyaan itu. Lebih menyakitkan hati bunyi ketawa di hujung talian sana. Nampak benar Shana sengaja mahu mengenakannya. Dia lelaki, tak mungkin boleh takut dengan perempuan. Hanya dia tak sudi melayan hal remeh-temeh. Apalagi, melayan orang yang tak berkaitan dalam hidupnya.

“Awak hantu ke sampai saya nak rasa takut bagai?”

“Abang takut dengan hantu ke?”

Thaqif menarik nafas panjang-panjang, kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Dalam diam, dia cuba mengumpulkan sabar yang semakin bertabur. Dalam suara yang lunak, Shana bagaikan tahu cara untuk menaikkan kemarahannya.

“Takkanlah muka lawa macam abang ni takut dengan hantu kot? Kelakar pula saya rasa.”

Lawa? Dia kata aku lawa? Sungguh Thaqif tak dapat menerima kata-kata itu. Baginya, lawa itu hanya merujuk kepada perempuan. Tak rela dirinya dikatakan lawa. Lagipun, bila masanya Shana pernah melihat dia?

“Tapi abang jangan bimbang. Kalau saya hantu, saya akan jadi hantu yang paling cantik dalam dunia ni.”

Sekali lagi suara di sana kedengaran menyapa telinga Thaqif. Tak mengilai seperti puntianak. Hanya sesedap telinga mendengar. Kalau imannya lemah, tentu dia sudah tergoda. Atau kalau lelaki lain, awal-awal lagi sudah disambut kemunculan Shana dengan berlapang dada. Cumanya, dia bukanlah selemah itu. Perempuan dan perkahwinan, tak ada langsung dalam perancangannya. Setidak-tidaknya, bukan dalam masa terdekat ini.

“Dalam dunia ni, kita tak patut takut dengan hantu. Kita hanya boleh takut dengan ALLAH aje.”

Nasihat yang Shana beri, terasa seakan-akan menampar pipi Thaqif. “Awak merepek apa ni?” tanya Thaqif geram.

“Mana ada saya merepek. Saya cakap benda yang betul. Lagipun abang tentu lebih tahu daripada saya. Hari-hari saya nampak abang pergi masjid kalau abang tak ada apa-apa kerja di luar.”

“Awak intip saya?”

Thaqif menghempas tubuhnya di atas tilam empuk. Dadanya rasa berdebar-debar. Mendengar kata-kata Shana kali ini, dia yakin setiap langkahnya diintip. Tapi kalau benar, kenapa dia tak pernah sedar selama ini? Atau... dia yang hanya memandang sehala, langsung tidak berpaling ke kiri dan ke kanan ketika berjalan?

Tapi anehnya, Shana. Lelaki mengintip perempuan, dia memang selalu dengar. Perempuan mengintip lelaki, ini pertama kali dia tahu. Dan lebih memalukan lagi, lelaki itu dia. Aduhai...

“Abang ni, tak baik tau berprasangka pada saya.” Nadanya seperti berjauh hati, namun tanpa pengetahuan Thaqif, dia tersenyum lebar.

Tidak ada satu pun kata-kata Thaqif yang membuatkan dia berasa kecil hati. Kalau ada yang perlu merasakan perasaan itu, Thaqiflah orangnya. Kalau dia di tempat lelaki itu, tentu awal-awal lagi dia sudah memaki hamun.

Mujur Thaqif bukan jenis lelaki begitu. Kalau tak, ke manalah aku nak sorokkan muka yang dah pernah malu berkali-kali ni?

Ah... sudahlah Shana! Yang berlalu, biarkan saja berlalu. Tekadnya hanya satu, dia tidak mahu mengingatkan hal-hal yang sedih, walaupun tak mungkin kerana dia dan kesedihan bagaikan sudah diikat mati. Setidak-tidaknya, bukan sekarang. Biarkan masa dan keadaan saja yang menjadi penentu. Paling tidak pun, biarlah sehingga tugas yang diamanahkan padanya usai.

“Saya tak prasangka. Kalau awak tahu setiap hari saya pergi masjid, itu bermakna awak intip saya. Betul kan?”

“Kalau saya kata saya ternampak. Macam mana?”

“Setiap hari?”

“Kalau ya?”

Sinis gelakkan Thaqif memecahkan suasana bilik yang tadinya sunyi. Jika jarum jatuh tentu jelas kedengaran. Kepalanya kemudian menggeleng walaupun dia tahu Shana tak mampu melihat. Dia bukannya budak-budak yang mudah diperdaya. Dia lelaki dewasa yang setiap hari belajar daripada pengalaman. Bukan juga anak remaja yang baru hendak mengenal hidup.

“Kenapa abang ketawa?” Shana ingin tahu. Bukannya dia tak mendengar bunyi ketawa Thaqif yang lain macam itu.

“Awak tahu tak yang awak ni kelakar?” sinis juga suara yang kedengaran.

Kenapa sukar benar hendak memahamkan perempuan itu?

“Adakah abang sedang memuji saya?”

“Awak rasa?”

“Abang rasa?”

“Awak rasa?” Sekali lagi Thaqif membalikkan soalan Shana dengan soalan juga. Kalau masing-masing membalas pertanyaan dengan pertanyaan, bila segala-galanya akan selesai? Dia sudah berada di tahap bosan. Matanya sudah mengantuk. Melayan Shana berkata-kata memang tidak ada untungnya. Kalau esok dia tertidur di pejabat, memang Shana bakal mendapat habuan kemarahannya.

“Terima kasihlah kalau abang memang berniat puji saya. Kalau tak puji pun saya anggap abang puji saya. Abang nak kata saya perasan pun saya terima aje. Bukannya selalu orang kata saya ni perasan.”

Tak malu gila aku ni, desis hati kecil Shana.

Selambanya suara Shana, buat Thaqif jadi terkelu lidah. Seumur hidupnya, belum pernah lagi dia bertemu perempuan seperti itu. Rata-rata yang dilihat, perempuan yang bila berhadapan dengannya, selalu menjaga tingkah laku. Bercakap dalam nada suara yang perlahan, malah ada kalanya langsung tak kedengaran. Terpaksa disuruh ulang sekali lagi. Tak cukup dengan itu, asyik mempamerkan muka merah padam. Berjalan juga tunduk seperti mencari duit syiling yang hilang.

Tapi perempuan bernama Shana Melati itu?

Harapkan nama saja sedap. Indah dengan gabungan moden dan tradisional. Tapi rasa malu seperti tak ada dalam diri.

Anak siapa dia ni? Tanya hati kecil Thaqif berkali-kali. Bukan baru hari ini, tapi sejak hampir empat minggu lalu.

“Jangan kacau saya lagi!” Tegas Thaqif selepas sunyi beberapa detik. Dia mahu menamatkan perbualan ini.

“Kalau saya nak kacau juga?”

Menyirap darah Thaqif dengan balasan kata daripada Shana. “Saya tukar nombor lain!”

“Okey, abang boleh tukar nombor lain tapi saya akan call abang guna nombor baru tu nanti. Jangan tak jawab pula tau.”

“Awak tak akan dapat nombor baru saya tu.”

“Kalau nombor sekarang ni saya boleh dapat dengan mudah, tentu tak susah juga saya dapat nombor tu nanti. Pendek kata, abang tak akan boleh lari daripada saya kecuali kalau saya yang nak abang lari.” Tenang saja Shana bersuara. Dia mengatakan apa yang sebenarnya. Kalau Thaqif menggunakan nombor telefon Afrika pun, dia memang akan mendapatkan nombor itu dengan mudah. Tak perlu lelaki itu membuang masa semata-mata tak mahu dijejakinya.

“Abang tak payahlah buat kerja sia-sia tu.”

Thaqif kepal tangan kirinya. Degilnya Shana buat dia geram. Keyakinan Shana menyakitkan jiwanya. Kalau dia perempuan, memang dijerit kuat-kuat. Biar isi dunia tahu betapa dia tidak suka diganggu begini.

“Habis tu awak nak apa ni?”

“Abang jumpa dengan saya esok!”

“Kalau saya tak nak!”

Buatnya Shana perempuan gila, macam mana?

Bergoyang-goyang tubuh Thaqif. Ngeri membayangkan dia akan bertemu empat mata dengan Shana yang entah siapa-siapa. Memanglah suara Shana kedengaran sedap di telinganya. Tapi suara itu belum menjamin yang akal Shana cukup sihat. Orang yang waras tidak akan mengejar lelaki yang tak dikenali.

“Abang ingat saya orang gila eh?”

Liur, Thaqif telan berkali-kali. Matanya memandang ke kiri dan ke kanan. Tak ada. Yang ada di dalam biliknya, hanya dia semata-mata. Kalau pun Shana ada di ruang yang sama, tak mungkin boleh mendengar suara hatinya. Tapi macam mana Shana seperti tahu apa yang ada dalam fikirannya?

“Saya tak nak jumpa awak!” Sekali lagi Thaqif menyuarakan keputusannya.

Siapa Shana mahu menentukan hidupnya?

“Tak apa tapi abang jangan marah kalau lepas ni saya akan ganggu abang lebih kerap lagi.”

“Awak...”

“Esok saya jumpa abang dekat Restoran Murni Discovery pukul 1.00 tengah hari.”

“Kalau saya tak pergi?”

“Saya datang pejabat abang.”

“Awak jangan melampau ya?”

Shana ketawa lagi. “Bye, abang sayang...” potong Shana pantas. Tidak mahu mendengar bantahan daripada Thaqif.

Terus Thaqif campak telefon bimbitnya di atas katil usai. Ikuatkan hati memang dia tak sudi. Tapi mengenangkan itu saja jalan yang ada untuk menghentikan kekarutan yang sedang melanda hidupnya, dia akur. Biarlah segala-galanya berakhir apabila mereka bertemu empat mata. Selepas itu dia tentu tidak akan menerima panggilan daripada Shana lagi.

“Tapi kalau dia masih degil?”

Kepala yang tiba-tiba saja terasa berdenyut-denyut, Thaqif picit dengan tangan kanan. Lama-lama diganggu Shana, tak mustahil dia yang sihat bakal dihinggapi penyakit. Kalau sakit biasa masih boleh diterima, kalau sakit kronik, memang diburu perempuan yang satu itu hingga ke lubang cacing. Biar sama-sama dapat penyakit kronik.

“Abang sayang?”

Serta-merta Thaqif terasa tekaknya mual. Tak malu, desis hati kecilnya.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.