Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 23

T

HAQIFyang baru balik joging hanya berdiri tegak dengan nafas yang agak tercungap-cungap. Tangan kasarnya berpaut erat pada pagar berwarna silver yang berukir cantik. Pandangannya dibuang ke luar. Mencari sesuatu yang tentunya tak ada di hadapan jalan rumahnya.

“Shana. Shana Melati,” ungkapnya perlahan.

Kepala diramas. Terasa fikiran sendiri bagaikan sudah tak waras sejak kebelakangan ini. Sasau kerana asyik teringatkan Shana. “Sihat ke dia? Dah baik ke luka dia?”

Terus matanya terpaku di luar. Hati masih memikirkan Shana. Selepas membersihkan dan seterusnya mengubati luka di dahi Shana, gadis itu terus pergi. Tak ada senyuman, ketawa jauh sekali. Yang ada hanya ucapan terima kasih. Itu pun diucapkan dengan air muka kosong.

Sungguh... dia sakit hati melihat Shana dalam rupa dingin begitu!

“Aku rasa... aku rasa...”

Bibir sendiri ditutup, tak tergamak mahu meluahkan betapa dalam hatinya ada rindu berputik. Gila, tapi dia terasa mahu dikejar Shana sekali lagi. Memang diakui betapa rimasnya dia bila ada yang tergedik-gedik mengendengnya. Namun, gadis itu tak pernah bertindak jauh ke depan.

Tak pernah sekali pun Shana memegang tubuhnya. Menyentuh di hujung jari juga tak. Yang bercakap lepas hanya bibir itu. Itu pun Shana tak bercakap benda-benda yang mengarut dan kotor. Hanya terus berkisah tentang hal-hal yang berkaitan dengan hidup dan kehidupan.

“Menyesalnya aku sebab rendah-rendahkan dia. Bila dia betul-betul dah makin jauh, aku rasa kehilangan...”

Keluhan Thaqif muntah sekali lagi. Dia mahu berpusing, masuk ke rumah dan membersihkan dirinya. Terus memandang ke luar rumah tak akan membuatkan Shana muncul di hadapannya.

“Eh... Min? Budriz?” Thaqif gugup sendiri. Dadanya berdebar-debar. Dengarkah mereka?

“Menungkan apa, abang?” tanya Budriz dengan kening terjongket.

“Tak menung pun, saja sejukkan badan sebelum masuk rumah.”

“Selalu tu abang terus masuk aje walaupun berpeluh.”

“Sesekali Budriz. Itu pun nak kecoh ke?”

“Tapi tadi... Min macam dengar abang sebut nama seseorang. Siapa tu?”

“Abang rasa baik Min pergi korek telinga. Dah tak dengar dah tu.” Usai berkata-kata, Thaqif ketawa. Seboleh mungkin, dia cuba bertingkah selamba. Bimbang apa yang terbuku di hatinya dapat dihidu. Tak rela dia menjadi bahan usikan mereka. Paling tak mahu didengar, dia seperti sedang menjilat ludah sendiri.

Beria-ia menolak Shana, sudahnya dia tersungkur juga pada saat gadis itu sudah tak mengendahkannya.

“Budriz pun dengar. Kan, Budriz?”

“Ya, Budriz dengar juga. Abang sebut nama siapa?”

“Tengok tu, Budriz pun dengar apa yang abang cakap tadi. Abang dah tak ada pointnak tuduh Min tak korek telinga. Abang tak payah nak berdalih sangatlah, abang. Berlindung balik daun, lebar macam mana pun orang tau jugalah,” kata Yasmin bangga.

“Abang tak berlindung okey!”

“Abang berlindung. Budriz tau.”

Kali ini, perhatian Yasmin jatuh pada Budriz. Keningnya terjongket sedikit. Ada senyuman melebar pada bibirnya. Meskipun sering ditegur kerana tak memanggil Budriz abang, dia tetap selamba. Baginya, apa sangat beza selama beberapa minit. Lainlah jika tujuh tahun atau tujuh belas tahun.

“Kembar... memanglah saling menyokong!”

“Masalahnya, kami berdua memang dengar. Abang nak dalih apa lagi?”

“Oh... kalau bab mengenakan abang, sanggup berkomplot. Bila suruh panggil Budriz abang, Min tak mahu pula. Perangai jenis apa ni, Min?”

“Tujuh minit aje kot! Itu pun masih nak berkira?”

“Tetap lebih awal daripada Min.” Thaqif tak mahu mengalah. Tanpa pengetahuan Yasmin dan Budriz, dia berusaha memesongkan ingatan adik-adiknya itu. Tak mahu mereka terus mempersoalkan nama yang disebut. Kalau nama orang lain, dia tak kisah.

“Abang tetap abang dan adik tetap adiklah, Min...”

Tajam mata Yasmin menyorot Budriz. Sakit hati bila abang kembar yang tadi berpihak kepadanya, memilih haluan yang lain. “Yang kau tiba-tiba tak nak sokong aku, kenapa?”

“Sebab kau kurang ajar!”

“Apa pulak aku kurang ajar?”

Pinggang, Yasmin cekak dengan kedua-dua belah tangannya dan itu memperlihatkan dia sama seperti Syarifah Najibah ketika muda-muda dulu. Budriz selalu begitu. Kalau tak puas hati dengannya, selalu menggelarnya kurang ajar. Kata Budriz, dia sering lupa kalau Budriz lahir lebih awal daripadanya.

“Tu... mata macam tu, dosa tau! Aku ni abang kau ya?”

“Peduli apa aku dengan kau.”

“Abang tengoklah betapa kurang sopannya adik abang ni,” adu Budriz pada Thaqif.

Ketawa Thaqif meletus. Tercuit hatinya melihat adik-adiknya bertingkah sesama sendiri. Nama saja kembar, tapi perangai memang kadang-kadang langsung tak serupa. Apatah lagi bila masing-masing selalu ingin menang. Tapi dalam banyak keadaan, mereka berdua sebenarnya selalu sepakat. Bab mengenakannya, memang mereka bersatu hati.

“Dan abang... lagi besar pangkat sebab abang adalah abang kepada adik-adik abang yang dah tua bangka, tapi perangai macam kanak-kanak Ribena.”

“Eh!” Serentak Budriz dan Yasmin bersuara.

Leganya hati Thaqif. Budriz dan Yasmin nampaknya lebih berminat membangkitkan soal siapa adik dan siapa abang. Bukannya sebaris nama Shana yang meniti di bibirnya tadi.

“Lantak koranglah kalau nak bergaduh. Abang nak masuk dalam sebab badan dah berlengas.”

“Nanti dulu!” tahan Yasmin pantas.

Kening Thaqif terjongket. Dia bertanya tanpa soalan.

“Tadi... abang sebut nama Shana, kan?”

Soalan Yasmin membuatkan kepala Thaqif terasa seperti dibaling batu. Mereka dengar!

“Budriz dengar juga,” sokong Budriz pantas.

Dua biji batu terasa kena tepat di atas kepala Thaqif. Membahang seluruh tubuhnya.

“Abang rindukan Shana ya?”

Kali ini, bukan saja dua biji batu mengenainya, tapi berbiji-biji dan jumlah keseluruhannya tak mampu dikira kerana datangnya bertubi-tubi. Kalau sepasang telinga yang mendengar, mungkin dia masih boleh berdalih. Jika sudah dua pasang, helah apa yang boleh digunakan pada saat kebuntuan melanda dirinya.

“Abang ingatkan Shana ke?” tembak Budriz selamba.

Thaqif terasa mahu menampar mukanya sendiri.Jangan pernah menyebut nama Shana walaupun di hadapannya tak ada sesiapa. Bila sudah tertangkap begini, dia benar-benar hilang arah. Hendak mencipta pembohongan, dia tak begitu ahli dalam soal itu.

“Kan abang dah tolak dia?”

Makin bertubi-tubi soalan Budriz dan Yasmin, makin haru perasaan Thaqif.

“Abang...”

“Korang berdua merepek apa ni? Kenapa nak sebut-sebut nama orang yang dah tak ada kaitan dengan abang?”

“Tapi tadi...”

“Apa? Tolong ya... jangan nak ada-adakan cerita yang tak ada!” potong Thaqif pantas. Kalau dia punya kuasa ghaib, saat ini juga dia akan menghilangkan dirinya. Kalau pun tak, dia akan menghilangkan ingatan Budriz dan Yasmin terhadap apa yang dikatakan sebentar tadi. Biar tak diungkit-ungkit pada masa akan datang.

“Min dengarlah tadi,” ujar Yasmin dengan suara yang lain macam.

Budriz siku Yasmin sedikit. “Dah abang kata tak tu, taklah... Yakan ajelah apa yang abang kata tu. Shana bukan sesiapa pun dalam hidup abang. Betul macam tu, kan abang?” Budriz mengajukan kata-kata itu pada Thaqif, namun matanya hala ke muka Yasmin yang jelas terpalit riak kurang senang.

Ya... dia dengar! Yasmin juga dengar. Tapi jika Thaqif mahu menafikannya, kenapa perlu mereka terus mencari kemenangan? Pada siapa piala kemenangan itu mahu ditunjukkan?

“Aku dengarlah,” bisik Yasmin perlahan. Tak mahu Thaqif mendengar.

“Aku dengar juga,” balas Budriz. Thaqif dilihat memandang sisi kiri.

“Dah tu?”

“Diam-diam aje dulu.”

Sudahnya Yasmin akur walaupun dia masih belum berpuas hati. Motif abangnya menyebut nama Shana, mahu diselidiki.

“Bila korang berdua nak kahwin?” tanya Thaqif.

Niat mahu masuk ke rumah dibatalkan. Alang-alang sudah punya kesempatan, biarlah dia bertanyakan perkembangan hubungan adik-adiknya dengan pasangan masing-masing. Bukannya baru semalam Yasmin kenal Quzairy. Bukannya dua hari lepas Budriz memperkenalkan Zaza padanya.

Kalau sudah bertahun-tahun kenal, hendak ditunggu apa lagi? Baiklah diikat saja dengan ikatan perkahwinan.

“Nak kahwin macam mana kalau syarat ibu sangat jelas.”

Syarifah Najibah, kalau hitam katanya maka hitamlah jadinya. Jika putih tak mungkin boleh bertukar warna lain.

“Ibu kata, kami tak boleh kahwin selagi abang tak kahwin,” sampuk Yasmin.

“Abang belum nak kahwin lagilah.”

“Kalau pun tak kahwin, ibu kata sekurang-kurangnya abang kena ada teman istimewa.”

“Abang tak minatlah tu semua.”

Bibir berkata begitu, namun seraut wajah manis milik Shana bagaikan tersenyum menyapanya. Gila... ini betul-betul gila, desis hati kecil Thaqif.

“Sampai bila, abang?” Budriz ingin tahu.

“Entah!”

“Abang...” Yasmin ketap bibir. Hilang diksi hendak diungkapkan. Dia mahukan Thaqif punya pasangan hidup bukan semata-mata kerana dia mahu hidup di sisi Quzairy. Tapi, dia mahu melihat abang sulungnya itu bergembira dan berbahagia seperti dia dan juga Budriz.

“Biar abang tolong korang yakinkan ibu, okey?”

“Tak ada gunanya. Macam abang tak kenal ibu kita tu. Ibu tu kalau dah kata dia, kata dialah. Kecualilah kalau Budriz dan Yasmin ambil keputusan untuk kahwin di Thailand,” gurau Budriz sambil ketawa kecil.

Dia bukanlah terdesak benar hendak berkahwin kerana usianya masih muda. Kerjayanya juga baru saja hendak bermula dan dia sangat suka dengan kerja yang dibuat. Namun, desakan demi desakan yang datang daripada Zaza buat dia rasa rimas. Balik-balik yang disebut soal mahu mengikat perhubungan mereka. Lantaran itu, diturutkan saja kehendak gadis kesayangannya itu.

“Lepas tu kemarahan ibu pada Budriz dan Min, sampai tujuh keturunan pun tak reda. Hidup pun jadi tak tenang. Nak macam tu?”

“Min tak nak, kalau Budriz nak, pergilah sorang-sorang,” kata Yasmin cuak.

“Tak nak. Mintak simpang!”

“Lain kali cakap tu jangan merapu sangat. Tiap yang keluar daripada bibir kita ni doa, Budriz. Ingat tu.”

Bila Budriz senyum sambil merapatkan dua tangan sebagai tanda memohon ampun, dia menggeleng. Terus ditumbuk perlahan bahu adiknya itu. Kalau Yasmin, mungkin dipeluk bahu itu erat. Dia sayangkan mereka sama banyak. Bahkan walau hubungan dia dan Syarifah Najibah tak mesra mana, dia selalu meletakkan ibunya itu di tempat teratas, di bawah Pencipta Abadi. Kemudian barulah ayah dan adik-adiknya. Lantaran itu, dia mahu Yasmin dan Budriz juga begitu.

“Kalau macam tu, abang bawa calon abang secepat mungkin.”

“Abang mana ada sesiapalah, Budriz.”

“Shana,” sebut Yasmin.

Thaqif terkelu lidah sebelum menggeleng. Nak pandang muka dia pun, Shana tak sudi sekarang ni.

Nak ajak jumpa ayah dan ibu? Dalam mimpi!

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.