Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 17

TIDAK seperti semalam, hari ini Kedai Buku Kasih agak lengang. Di sudut-sudut, Fathia, Dewi dan Ah Meng hanya duduk melepaskan lelah. Sedangkan Shana rancak bernyanyi-nyanyi perlahan di kaunter pembayaran sambil tangan memegang sebungkus kerepek pisang yang masih belum dibuka.

Otaknya menerawang jauh. Misi memikat Thaqif yang disusun Budriz dan Yasmin ternyata gagal. Sepatutnya dia tak perlu lagi bekerja di sini kerana wujudnya dia hanya untuk dekat dengan Thaqif. Namun entah kenapa, dia senang dengan suasana di sini. Kawan-kawan baik. Madam Anne juga baik.

Soal gaji yang rendah, langsung tak difikirkan. Bukan duit yang dicari di sini, tapi ketenangan dan kegembiraan.

“Shana...”

Shana panggung kepala. Mukanya berubah saat wajah Naim menyapa matanya.

“Kenapa ke sini?” tanya Shana perlahan.

“Naim nak jumpa dengan Shana sekejap.”

“Shana tengah kerja Naim.”

“Sekejap aje!” pinta Naim bagaikan mendesak. Selagi tak bercakap dengan Shana, selagi itu hatinya merusuh.

“Petang nanti. Lepas Shana habis kerja.”

“Tak boleh sebab Naim tau yang Shana akan cari alasan yang lain. Naim nak jumpa Shana sekarang.”

Bibir, Shana ketap dengan hati yang berbuku. Strateginya nyata mudah dipatahkan Naim. Memang itu yang akan dilakukan jika Naim akur. Demi menjaga hubungan dengan Tan Sri Zaidi, dia rela jika tak bertemu dengan Naim sampai bila-bila.

“Tak boleh Naim. Kedai buku ni bukan Shana punya.”

“Kalau Shana nak, Shana boleh beli kedai buku ni. Tinggal minta aje duit pada uncle.”

“Baliklah Naim. Lain kali kita jumpa.”

Hati di dalam terasa panas. Cara Naim bercakap, macamlah duitnya ada berguni-guni.

Naim geleng. Katalah apa pun yang Shana mahu, dia tak akan mengalah kali ini. Cukuplah gadis itu mengabaikan panggilan dan setiap WhatsApp yang dikirim.

“Jangan degil boleh tak?”

“Tak boleh!”

Kuat rengusan Shana. Sakitnya hati bukan kepalang. Degilnya Naim hari ini memang luar biasa. Seingatnya, Naim yang pernah dikenali bukan seperti ini. Lelaki itu dulu, sangat memahami orangnya. Memaksa dia melakukan apa yang tak mahu dibuat juga tak. Mana pergi Naim yang itu?

“Tunggu luar!”

“Tak nak! Naim tak nak sebab nanti Shana lari.”

Malas mempedulikan sikap kebudak-budakan Naim, terus Shana bangun. Pada Ah Meng dikatakan yang dia mahu keluar seketika. Sempat juga dipesan supaya tempatnya diambil alih. Mujur saja Ah Meng hanya akur tanpa sebarang pertanyaan. Jika tak, terpaksa dia meminta pertolongan Fathia atau Dewi.

“Kita pergi kedai makan depan sana ya?” ajak Naim perlahan.

“Tak payah! Kat sini aje,” tolak Shana tegas. Pelik bila Naim nampak begitu beria-ia.

“Kita pergi restoranlah, boleh kita sembang sambil minum-minum. Sini panas, nanti Shana jadi tak selesa pula.”

Sekali lagi Shana akur. Melihat pada orang yang lalu-lalang di hadapan Kedai Buku Kasih, kata-kata Naim ada logiknya juga. Tak rela jika dirinya dijadikan tontonan orang ramai walaupun dia bukannya siapa-siapa.

Seperti selalu, walaupun Thaqif tak ada tetap juga Gerai Yong Hanifa yang menjadi pilihannya kerana dekat.

“Shana... mana Thaqif?” tanya Yong Hanifa.

Shana telan liur. Hanya senyuman diberikan sebagai membalas pertanyaan wanita berusia 40-an itu. Terlalu biasa makan di sini membuatkan dia dan Thaqif dikenali. Tentu Yong Hanifa menyangka yang dia dan Thaqif mempunyai hubungan istimewa.

“Saya makan dan minum macam biasa ya kak,” pinta Shana.

Yong Hanifa senyum mengerti. “Encik pula nak makan apa?” soalnya pada Naim.

Naim diam. Matanya memerhatikan kawasan sekeliling yang agak tak selesa. Seleranya yang tadinya membuak-buak seakan-akan tertutup rapat. Dia membayangkan mereka makan di sebuah restoran yang terkenal. Lengkap dengan pendingin hawa. Langsung tak dijangka, dalam masa empat tahun ini selera Shana sudah bertukar. Gaya hidup mewah seperti tak wujud lagi dalam diri Shana.

Ada apa sebenarnya dengan gadis itu?

“Naim nak makan apa?” tanya Shana setelah pertanyaan Yong Hanifa dibiarkan sepi.

“Kenapa kita makan kat sini?” bisik Naim, tak mahu sampai ke telinga Yong Hanifa.

“Kenapa kalau makan kat sini?”

“Tak selesalah. Panas!”

Kipas yang berpusing ligat di atas, Shana pandang. Mereka duduk berhampiran kipas dan memang tak logik kalau Naim berasa panas. Atau, terlalu lama duduk di negara orangbuat lelaki itu berubah menjadi ‘putera lilin?’. Tapi bila dilihat rupa geli-geleman Naim, dia menggeleng.

“Kalau nak ke tempat lain, pergi sorang-sorang sebab Shana tak akan pergi.”

“Bagi ajelah saya fresh orange,” ujarnya hendak dengan tak hendak saja.

“Makan?”

“Saya dah kenyang!”

Melihat langkah Yong Hanifa yang menjauh, tajam mata Shana menatap Naim. Kalau dulu, dia memang seperti Naim. Tapi ketika itu, Naim hanya mengamalkan gaya hidup yang biasa-biasa kerana lelaki itu dibesarkan dalam kalangan keluarga berekonomi sederhana.

Tapi kini, mengapa terbalik pula?

“Naim nak cakap apa sebenarnya dengan Shana? Cakaplah sekarang sebab Shana tak boleh lama. Habis makan nanti Shana nak balik tempat kerja. Tak lama lagi pelanggan ramai. Kesian kawan-kawan yang lain nanti.”

“Kenapa kerja kat situ?”

“Kenapa tak boleh?”

“Tak adalah. Tempat tu tak sesuai dengan Shana. Shana kena kerja di tempat yang lebih baik daripada tu. Kalau tak ada yang nak ambil Shana kerja, Shana boleh kerja di syarikat papa Shana.”

Benarlah! Naim memang sudah semakin berubah. Padahal, dulu-dulu pun Naim pernah bekerja kilang semasa menunggu keputusan SPM. Kata Naim, kerja apa pun tak mengapa asalkan halal. Kini, mana prinsip yang dijunjung lelaki itu?

“Shana suka kerja di sana.”

“Cari kerja lainlah, Shana!” kata Naim bagaikan mendesak.

Mata Shana mencerun. Kurang gemar dengan nada yang Naim gunakan. Lupakah Naim betapa antara mereka kini sudah tak punya apa-apa hubungan. Yang tinggal, hanya persahabatan. Itu pun dia sudah mengatakan yang mereka tak mungkin boleh menjadi kawan rapat. Cukuplah sekadar tak bermusuh. Yang penting, kemarahan Tan Sri Zaidi padanya tak terus marak menyala.

“Naim nak bincangkan apa dengan Shana?” Malas dia melayan kata-kata Naim yang tak penting mana itu.

“Naim tak bahagia.”

“Jadi?”

“Boleh beri Naim satu lagi peluang?”

“Untuk apa?” tanya Shana selamba walau hati di dalam sangat terkejut. Padanlah Naim hanya tinggal di Kuala Lumpur seorang diri. Lebih daripada itu, Naim menipunya saat mengatakan kehidupan keluarganya baik-baik saja.

“Untuk Naim tebus semua kesilapan yang dah Naim buat pada Shana.”

“Yang mana satu?”

“Shana...”

“Nak tebus kesalahan yang mana satu?”

“Yang Naim tak jadi kahwin dengan Shana. Yang Naim tinggalkan Shana sedangkan lagi satu hari...”

“Yang Naim perlukan bukan peluang daripada Shana. Tapi nasihat,” potong Shana selamba.

Meja yang sepi di sisi kanan, Shana pandang sekilas. Meja itu selalu jadi tempat dia dan Thaqif duduk. Kadang-kadang, dia menghadap TV. Ada masa-masanya, jika Thaqif cepat, lelaki itulah yang akan hala ke TV. Berkali-kali juga isu tempat duduk menjadi perbalahan mereka berdua.

Hidup tanpa Thaqif, mudah kerana dia tak perlu mengejar masa. Bimbang kalau-kalau Thaqif sampai lebih dahulu ke pejabat dibandingkan dia. Jika itu terjadi, tak mungkin dapat dicuri masa lelaki itu. Tak payah lagi menghubungi Thaqif tiga kali sehari dan menghantar WhatsApp atau SMS, telegram, PM di FB dan macam-macam lagi. Masanya jimat, duit juga jimat. Tapi di waktu yang lain, sesekali teringin juga mendengar bebelan lelaki yang jarang hendak tersenyum padanya itu.

“Nasihat apa Shana?”

“Nasihat macam mana nak pastikan bahagia kekal jadi milik Naim bersama isteri dan anak-anak.”

“Naim tak bahagia dengan dia!”

“Sebab tu Naim datang dengan harapan Naim akan bahagia dengan Shana?”

“Naim sayangkan Shana.”

“Sayang?” Senget senyuman Shana. Mudah rupanya menjadi lelaki bernama Naim ini. Tak suka tinggalkan dan cari lain. Bila yang itu juga tak suka, patah balik kepada yang ditinggalkan. Mungkin bagi lelaki itu, perempuan ibarat kain buruk yang diambil bila rasa perlu dan buang bila tak perlu.

“Sumpah... Naim tak tipu!”

“Jangan bersumpah. Tiba-tiba Naim keluar dari gerai ni kilat muncul dan sambar Naim, tak ke rentung?” tempelak Shana tenang.

Marah. Ya... dia sangat marahkan Naim! Mujur saja sabarnya masih ada, jika tak memang berbirat pipi lelaki itu. Sangkanya Naim mendekatinya kerana kesal dengan apa yang pernah dibuat dulu. Ikhlas mahu berteman dengannya tanpa sebarang maksud. Rupa-rupanya, baik Naim baik bersebab.

“Shana mendoakan yang tak baik pada Naim?”

“Bukan pada Naim tapi pada semua orang yang hanya pandai berjanji tapi pada akhirnya janji hanya tinggal janji semata-mata.”

“Naim dah menyesal, Shana...”

“Kesal Naim tu tak akan membawa kita kembali ke masa empat tahun dulu. Kalau boleh bawa, Shana sedia terima Naim.”

“Itu di luar kemampuan Naim.”

“Jadi segala-galanya dah tak memberi apa-apa makna lagi.”

“Shana dah ada pengganti Naim?”

“Bukan urusan Naim.”

“Thaqif ke orangnya?”

Pantas Shana angkat muka. Nama Thaqif di bibir Naim, kedengaran sumbang di telinganya. Muka lelaki itu kelihatan sedikit merah padam. Mungkin benar-benar panas. Atau, boleh jadi bengang dengan penolakannya. Dia pernah sayangkan Naim. Sangat sayang sehingga hampir gila kerana lelaki itu. Tapi untuk memperjudikan hidup di sisi Naim sekali lagi, tak mungkin.

Kalau terjadi juga, pada ketika itu dia benar-benar sudah hilang akal. Patut dimasukkan ke Hospital Bahagia atau Hospital Tanjung Rambutan.

“Dia ke yang menyebabkan peluang Naim untuk hidup di sisi Shana hilang?”

“Bukan dia, tapi Naim!”

“Masa tu Naim mentah lagi Shana. Tak matang dalam berfikir sampai tak tahu bezakan mana intan mana kaca.”

“Sampai keluar anak dua orang, baru Naim sedar yang Shana ni intan ya?” sinis Shana. Dia ketawa kecil. “Tak sangka lama benar masa yang Naim ambil.”

“Bu... Bukan. Naim... Naim...”

“Tak payah terangkan sebab dah tak penting lagi. Shana tak nak kita bermusuh tapi untuk baik macam dulu, tak mungkin. Baliklah pada anak-anak dan isteri Naim. Bahagia itu pilihan kita. Kalau Naim nak bahagia dengan mereka, maka bahagialah Naim. Kalau tak, bukan salah sesiapa sebab Naim yang tak reti buat pilihan,” nasihat Shana tulus.

“Naim dah cuba Shana!” Tekan Naim bersungguh.

“Sebanyak mana Naim usaha?”

“Dia degil! Tak nak ikut cakap Naim macam Shana.”

Tipikal suami curang, desis hati kecil Shana.

“Sekarang ni Shana mungkin lebih degil daripada dia, Naim!”
Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.