Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 22

THAQIF gigit bibir kuat-kuat. Hatinya rasa gedebak-gedebuk tak menentu. Lewat ekor mata, dia menjeling Syarifah Najibah. Panjang-panjang langkah yang diambil ibunya. Sesaat dua lagi, pasti ibunya akan berdiri tegak di hadapannya. Dua tangan ibunya pasti kejap memegang pinggang bagaikan ibu tiri.

Kurang ajar punya Budriz dan Yasmin, makinya dalam hati.

“Kenapa tak lari?” tanya Syarifah Najibah kuat.

Terus Thaqif menikus. Jangankan mengangkat muka, menjeling Syarifah Najibah pun dia tidak sanggup. Tentu muka putih melepak ibunya memerah seperti dibakar matahari.

“Kenapa tak lari?” Sekali lagi Syarifah Najibah bertanya. Makin kuat suaranya. Nafasnya menderu-deru bagaikan baru selesai lari 100 meter. Letih mengejar anak-anaknya yang tak pernah duduk diam. Belum pun sekolah menengah, sudah pandai melanggar perintahnya.

“Nanti ibu marah,” jawab Thaqif takut-takut.

“Menjawab! Kalau ibu bercakap, tak pernah tak menjawab. Sebab tulah jadi degil macam ni.”

Dahi Thaqif berkerut sedikit. Namun hatinya memprotes dalam diam. Ibunya memang begitu. Kalau menjawab, ibunya marah. Kalau tak menjawab pun ibunya jadi lebih marah.

“Maaf ibu. Thaqif tak sengaja. Thaqif...”

“Tak sengaja? Ingat ibu nak percaya ke bila Thaqif cakap macam tu?” potong Syarifah Najibah garang.

Kepala yang tidak gatal, digaru. Makin hari, anak-anaknya dilihat makin tidak mendengar kata. Ada-ada saja yang dibuat Thaqif, Budriz dan Yasmin. Pantang jika dia bersikap alpa.

“Ibu...”

Muka diangkat, tapi hanya sesaat. Tidak berani berbalas pandang dengan mata Syarifah Najibah yang merenungnya tajam. Kalau boleh tembus, memang berlubang-lubang mukanya. Sekali lagi dia mengutuk Budriz dan Yasmin dalam hati. Kalau bukan adik-adiknya yang menyuruh dia memanjat pokok rambutan gading di belakang rumah, tentu dia tidak perlu berhadapan dengan ibunya.

Silapnya, dia juga. Peluang melarikan diri terbuka luas. Ibunya tidak mungkin dapat mengejar kalau dia ikut lari bersama-sama Budriz dan Yasmin. Tapi tetap juga dia memilih berhadapan dengan Syarifah Najibah. Terus juga mendengar ibunya merungut-rungut memarahi mereka adik-beradik.

“Thaqif tahu tak yang Thaqif lebih tua daripada Budriz dan Yasmin?”

Thaqif angguk pantas. Lebih rela jadi burung belatuk daripada mendengar suara tinggi Syarifah Najibah. Ibunya kalau sudah mula membuka mulut, entah bila agaknya baru boleh berhenti.

“Tahu ke tidak?”

Thaqif garu leher yang tiba-tiba saja terasa gatal. Angguk... bukan tanda ya ke?

“Thaqif! Ibu cakap dengan Thaqif kan? Dengar ke tidak?”

“Maaf ibu...”

“Ibu bosan dengan ucapan maaf Thaqif!” Terus Syarifah Najibah tarik telinga Thaqif dan dipulas kuat. Seluruh rasa geram pada Budriz dan Yasmin dilepaskan di telinga anak sulungnya itu.

“Aduh... sakit ibu! Sakit...” rintih Thaqif perlahan.

Dia cuba menolak-nolak tangan Syarifah Najibah. Namun makin cuba ditolak, makin telinganya terasa sakit. Sudahnya, dia hanya kaku. Hanya matanya saja memerah menahan sakit. Ini bukannya pertama kali telinganya dipulas, hampir setiap hari. Tetap juga telinganya tidak kebal.

“Padan muka Thaqif!”

“Ibu... karang telinga Thaqif putus kalau ibu pulas kuat sangat.”

“Biarkan putus telinga Thaqif hari ni. Ibu memang dah hilang sabar dengan Thaqif dan adik-adik. Kalau ibu bercakap, tak pernahnya nak dengar. Bila ibu kata jangan, makin Thaqif buat. Thaqif macam sengaja nak cabar kesabaran ibu. Hah... rasakan!” Syarifah Najibah gigit bibir. Rintihan Thaqif langsung tidak diendahkan.

“Maaf, ibu...”

“Sebab Thaqif tak jaga adik-adik Thaqif, ibu pulas lagi kuat!” Makin Syarifah Najibah menguatkan pulasan di telinga Thaqif.

“Ibu...” Titis juga air mata Thaqif. Perit terasa menjalar di seluruh tubuhnya.

Syed Faruq yang muncul di muka pintu sambil diiringi Budriz yang memegang beg bimbitnya dan Yasmin yang melilitkan baju kotnya di leher, menggeleng. Kesal dengan sikap garang Syarifah Najibah pada anak-anak.

“Jibah sudahlah tu. Kenapa buat Thaqif macam ni?” tegurnya serius.

“Biarkan! Budak degil macam ni, memang kena layan kasar. Budriz dan Min, kejap lagi pun kena dengan ibu. Jangan ingat bila abang kamu dah kena dengan ibu, kamu boleh terlepas. Tunggulah giliran Min dan Budriz pula! Ibu memang dah hilang sabar ni,” kata Syarifah Najibah geram.

Budriz pandang Yasmin yang sudah menelan liur. Lambat-lambat mereka berdua bersembunyi di belakang Syed Faruq.

“Habislah kita lepas ni, Min...” bisik Budriz pada Yasmin yang berusia enam tahun.

“Kita lari jauh-jauh nak tak, Budriz?”

“Ke mana?”

“Ke Thailand. Min dengar, ramai orang yang lari ke Thailand sekarang ni. Entah apa yang bestnya dengan Thailand tu Min tak tahu. Tapi itu aje tempat yang biasa Min dengar. Kat TV pun kata macam tu.” Yasmin terus juga berbisik.

Syed Faruq yang mendengar bisikkan dua anaknya itu, kulum senyum. Lari ke Thailand, itu kalau hendak berkahwin dua. Kalau Syarifah Najibah ikut mendengar, tentu angin isterinya semakin menjadi-jadi. Silap-silap boleh putus telinga Budriz dan Yasmin dikerjakan isterinya itu.

“Lepaskan telinga Thaqif. Sakit dia.”

“Tak payah! Biar dia ingat lain kali. Dia main-main dengan Jibah. Ingat Jibah adik dia agaknya.”

Syed Faruq menghampiri Syarifah Najibah yang masih memulas telinga Thaqif. Ditolak perlahan tangan kanan isterinya. Kemudian direndahkan badannya. Dengan senyuman di bibir, dia menyeka air mata di pipi Thaqif. Telinga anaknya yang memerah, ditiup-tiup penuh kasih sayang. Mengharap sakit Thaqif segera pergi.

“Kesian anak ayah,” katanya perlahan. “Ibu tegur sebab ibu sayang,” sambungnya dengan senyuman.

Thaqif terus juga mengalirkan air mata. Telinganya masih perit.

“Jibah ni... cuba belajar bersabar sikit. Jangan keras sangat dengan anak-anak.”

“Hah... abang menangkan sangatlah! Esok-esok kalau anak-anak kita tak jadi orang, abang yang bertanggungjawab.”

“Mengajar tak semestinya dengan kekerasan, Jibah.”

“Anak-anak kita degil sangat! Jibah geram. Thaqif ni pun bukannya boleh diharap. Ikut aje cakap adik-adik dia.”

Kepala Thaqif yang menikus, Syed Faruq usap penuh kasih. Syarifah Najibah kata Thaqif tidak boleh diharap. Padahal, Thaqif itulah yang paling senang diuruskan. Paling mendengar kata dan selalu hormatkan dia dan Syarifah Najibah. Malah dia yakin, Thaqif punya kesempatan untuk melarikan diri dengan Budriz dan Yasmin tadi. Seperti selalu, tetap juga Thaqif berdiri tegak. Menunggu hukuman yang bakal dijatuhkan Syarifah Najibah.

“Tak boleh ke Jibah tegur guna mulut aje? Perlu ke gunakan tangan?” tempelak Syed Faruq tenang.

Dulu-dulu seingatnya, Najibah tidaklah garang begitu. Tutur kata Syarifah Najibah selalu lembut hingga dia jatuh sayang. Akhir-akhir ini saja Syarifah Najibah nampak berubah. Mungkin tertekan kerana dia kerap pulang lewat. Kerja yang disandang menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Lalu perhatian pada isteri dan anak-anak sedikit terabai.

“Abang ni, semua yang Jibah buat, ada aje yang tak kena. Bencillah macam ni!”

Mata Syarifah Najibah mencerlang merenung Budriz dan Yasmin. Kemudian Thaqif pula menjadi perhatiannya.

“Dah... Thaqif bawa adik-adik pergi mandi.”

Saat mereka bertiga berlalu, Syed Faruq berdiri tegak di hadapan Syarifah Najibah. Isterinya dilihat masih cantik walaupun sudah berusia 30 tahun. “Jibah garang-garang dengan Thaqif, esok-esok kalau kita tak dapat cucu daripada Thaqif, abang salahkan Jibah,” usiknya pada Syarifah Najibah. Biar isterinya itu garang macam mana pun, dia tetap sayang.

“Kenapa pula Jibah yang salah?”

“Sebab Jibah dah tanamkan dalam minda dia yang semua perempuan garang. Nanti-nanti kalau Thaqif tak nak kahwin, jangan Jibah nak paksa-paksa pulak.”

Usai berkata, Syed Faruq meninggalkan ruang tamu.

Syarifah Najibah kaku. Bukan Thaqif baru 10 tahun ke?


MUKA, Thaqif raup dengan kedua-dua belah tangannya. Kemudian keluhan berat dilepaskan ke udara kerana dadanya terasa sempit. Secebis kenangan ketika masa kecilnya melintas ingatan. Hatinya sebak. Sedih membayangkan rupa sugul ibunya setiap kali berhadapan dengannya.

Dia rasa bersalah dan dia tahu betapa teruknya dia kerana melayan ibu yang telah melahirkannya dengan cara yang tak wajar.

“Maafkan Thaqif, ibu. Thaqif tak reti melayan ibu dengan baik,” bisik Thaqif pilu.

Kepala diletakkan di atas meja yang terdapat di dalam perpustakaan minimilik keluarganya. Niat mahu menyiapkan kerja pejabat tergendala. Balik-balik, seraut wajah sedih ibunya bermain-main di mata.

“Thaqif... tak tidur lagi?”

Thaqif berpaling. “Ayah,” sapanya dengan senyuman kelat. “Tak tidur lagi?” tanya Thaqif kembali.

Syed Faruq masuk walaupun tak dipelawa. Lantas punggung dilabuhkan di sofa berhampiran Thaqif. “Mata ayah tak ngantuk lagi. Tengok-tengok kat sini terang, sebab tu ayah datang.”

“Ibu?”

“Tidur.”

Perit rasa kerongkong Thaqif ketika mendengar sepatah kata itu. Rasa bersalah kembali datang. Namun ada juga terselit lega. Diam-diam dia berharap ibunya itu tak akan terjaga hingga ke pagi. Biar lupa pada kesedihan kerana tingkahnya.

“Ibu nampak sedih sangat tadi, Thaqif.”

“Ibu nangis ayah?”

“Tak. Tapi dia nampak lebih sedih dibandingkan hari-hari sebelum ni. Ayah takut sampai satu masa ibu dah tak boleh bertahan dan dia menangis. Ayah tak nak itu sampai terjadi,” ujar Syed Faruq lembut.

Kalau Thaqif masih anak kecil, mahu juga dia mengusap rambut anak sulungnya itu penuh kasih. Namun kerana faktor usia, dia tahu Thaqif pasti malu jika dia berbuat demikian. Walau di matanya, Thaqif itu tetap anak kecilnya. Sama seperti Budriz dan Yasmin.

“Thaqif dah cuba ayah tapi Thaqif tak boleh.”

“Maafkanlah ibu, Thaqif. Setiap orang dalam dunia ni tak pernah lepas daripada melakukan kesalahan. Ibu pun macam tu juga. Berilah dia peluang untuk tebus kesalahan yang dia pernah buat pada Thaqif. Jangan terus-menerus benci ibu macam ni. Tak baik buat macam tu.”

“Thaqif tak pernah benci ibu, ayah. Sekuman pun perasaan tu tak pernah terdetik di hati Thaqif sebab Thaqif sayangkan ibu sama seperti Thaqif sayangkan ayah, sayangkan Min dan Budriz.”

“Tapi Thaqif tak boleh berbaik-baik dengan ibu. Masih tak dapat maafkan ibu?”

“Thaqif dah lama maafkan ibu,” balas Thqaif perlahan.

Kejadian 17 tahun lalu tak mudah untuk dinyahkan daripada kotak fikiran. Gara-gara leka bermain PSP, dia terlupakan Yasmin yang bermain-main seorang diri. Tahu-tahu saja, dia terdengar jeritan Yasmin dan saat dilihat, adiknya itu sudah berada di lantai tingkat bawah dengan mata terpejam rapat.

Terlalu marah dengan kecuaiannya, Syarifah Najibah hilang kawalan diri petang itu. Ibunya lupa kedudukan mereka berdua yang betul-betul di atas tangga. Lalu, tangan ibunya yang selalu pantas bertindak melebihi akal fikiran, menolak tubuhnya sekuat hati. Dia yang tak bersedia, melayang jatuh di sebelah Yasmin.

“Thaqif!”

Hanya itu yang dia sempat dengar. Jeritan daripada pemilik tangan yang menolaknya tadi. Kemudian, segala-galanya jadi kelam, sekelam hatinya setiap kali berhadapan dengan Syarifah Najibah hingga ke hari ini. Bukan tangan yang patah dimarahkan. Bukan dahi yang bertanda didendamkan. Tapi hukuman yang dikenakan padanya yang saat itu berusia 13 tahun, itulah yang dikesalkan.

Dia bersalah, tapi takkanlah darah Yasmin perlu dibayar dengan darahnya pula?

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.