MI GORENG di atas meja, sedikit pun tak Shana endahkan walaupun tadi
dia sendiri yang mencedok mi tersebut ke dalam pinggannya. Jari-jemari kanannya
hanya sibuk mengacau-ngacau air di dalam gelas. Khusyuk, seolah-olah yang
diputar itu dunia yang berlegar-legar di sekelilingnya.
“Kenapa tak makan mi goreng tu?” tanya Thaqif selepas
beberapa minit masa berlalu.
“Tak lalu. Tak selera,” balas Shana datar.
“Kenapa?”
“Ada batu besar dalam kepala,” jawab Shana main-main.
Tak seperti selalu, tak ada senyum dan ketawa di bibirnya.
Hatinya tak tenang. Jiwanya merusuh sendiri. Kebisuan dan kebekuan papanya
bagaikan beban yang tak mampu ditanggung. Lantaran itu, pagi-pagi lagi dia
sudah keluar rumah. Menunggu Thaqif di hadapan pintu lif.
Ikutkan hati, mahu saja dikisahkan pada Thaqif. Bukan
inginkan pertolongan. Simpati jauh sekali. Hanya sekadar mahu meringankan
hatinya yang bergalau sejak malam tadi. Namun, bibirnya tak tersebut. Membuka
pekung di dada sendiri, dia tak cukup kuat.
Selebihnya, Thaqif bukannya siapa-siapa dalam hidupnya, walaupun dalam
masa hampir tiga bulan ini dia galak memburu lelaki itu.
“Ada sebesar Batu Bersurat di Terengganu?” Sinis nada suara
Thaqif.
“Abang pernah tengok ke?”
“Tak pernah!”
“Dah tu kenapa sebut kalau abang sendiri tak pernah tengok?”
“Saja suka-suka. Kenapa, tak boleh ke?”
“Boleh aje.”
“Dah tu apa masalahnya yang sampai nak tanya-tanya?”
Shana geleng dalam senyuman. Tak lebar mana, namun dia
ikhlas dengan senyumannya. Merenung lama pada wajah Thaqif, dia menarik nafas
perlahan. Lelaki itu bukannya siapa-siapa dalam hidupnya. Hanya seorang yang
terlalu asing dan tentunya sampai ke detik ini Thaqif tertanya-tanya siapa
sebenarnya dia. Malah, dia tahu yang Thaqif tak pernah pun ikhlas dengannya.
Duduk di hadapannya seperti saat ini, semata-mata tak mahu bersoal jawab
dengannya.
Dia tahu hakikat itu. Hanya mata sengaja dibutakan daripada
melihat riak kurang senang Thaqif apabila berhadapan dengannya. Telinga
ditulikan daripada mendengar nada suara Thaqif yang jelas terkandung rimas bila
berbicara dengannya.
Namun, sepanjang malam tadi dia berharap supaya siang cepat
menjelmakan diri. Tak sabar mahu melihat Thaqif. Hanya melihat tanpa ada
sebarang harapan. Setidak-tidaknya, dia dapat merasakan adanya seseorang di
sisinya. Meskipun, seseorang itu hadir atas dasar terpaksa.
“Kenapa?”
“Apa yang abang maksudkan dengan kenapa tu?” tanya Shana
kembali pada Thaqif.
“Muka macam arang aje.”
“Adakah abang menghina saya sebab saya hitam?”
Berubah air muka Thaqif dengan soalan spontan daripada
Shana. Bukan itu niatnya. Jauh sekali mahu menghina kulit Shana. Ayat yang
meluncur di bibirnya datang begitu-begitu saja tanpa dirancang. Lebih daripada
itu, dia tak melihat kulit Shana hitam
seperti arang. Gadis itu hanya berkulit sawo matang. Malah sebagai lelaki,
diakui betapa segala-gala yang ada pada Shana itu sudah sangat sempurna. Tak
perlu berkulit putih melepak seperti susu.
“Saya tahulah saya ni hitam legam macam malam,” ujar Shana
perlahan. Kulit di tangannya dilihat dan dicubit-cubit kecil.
Kulitnya memang tak putih, hendak diapakan lagi?
Makin bersalah Thaqif rasa saat melihat Shana membelek kulit
sendiri. Sungguh... bukan itu niatnya. Kalau pun kulit Shana hitam seperti
arang, siapa dia hendak mempersoalkan setiap kejadian yang telah dicipta ALLAH?
Kulitnya sendiri, walaupun putih bukan bermakna tak ada cacat cela di
mana-mana.
“Maaf...” ucap Thaqif rendah.
“Tak perlu,” jawab Shana sebak. Bukan kerana kulitnya yang
tak cerah. Tapi kerana Thaqif masih melayannya dengan baik, walaupun dia sudah
menghuru-harakan hidup lelaki itu.
“Saya betul-betul minta maaf, Shana...” Thaqif ucapkan ayat
itu sesungguh hati.
Shana geleng sambil tersenyum. Pinggan mi goreng yang belum
disentuh, ditolak ke depan. Hari ini seleranya benar-benar tak ada. Kalau
dipaksa, bimbang akan dimuntahkan kembali. Yang ada di kepalanya tika ini,
seraut wajah papa kesayangannya yang tak lagi memandangnya.
“Shana...”
Shana terus tersenyum. Nada serba salah Thaqif tak sukar
ditelah. Panggilan Shana yang meniti di bibir lelaki itu mencuit hatinya. Hanya
sebulan saja Thaqif memanggilnya Melati. Kemudian lelaki itu enggan dengan
alasan, nama Melati itu sangat tak sesuai dengan sikap mengada-ngadanya. Malas
melawan, dibiarkan saja. Shana atau Melati, tak ada bezanya kerana kedua-duanya
memang namanya. Terserah pada Thaqif mahu menggelar dia apa. Asal jangan dengan
gelaran yang buruk, itu pun sudah cukup baik baginya.
Sedangkan Thaqif yang melihat senyuman itu, rasa terhukum
sendiri.
“Ada problem? Nak
kongsi?”
“Mana abang tahu saya ada problem?”
“Saya tahulah.”
“Abang perhatikan saya ke? Saya ingat, selama ni abang tak
nampak pun wujudnya saya,” ujar Shana tenang.
“Kalau dah hari-hari awak menebeng depan mata saya, butalah
kalau saya tak nampak awak. Kan?”
Shana diam. Tak berhajat untuk menjawab pertanyaan Thaqif.
Kali ini, air pula disorong ke depan. Jam di tangan, dipandang sekilas. Masa
yang tinggal semakin sedikit. Sebentar lagi, dia dan Thaqif harus kembali ke
tempat kerja masing-masing dan mula meneruskan rutin harian.
“Abang dah habis minum kan?”
Thaqif angguk. Gelas kopi O yang sudah kosong, ditolak ke
sisi. Setiap hari dia menemani Shana bersarapan pagi. Namun dia tak pernah
makan kerana perutnya sudah dipenuhkan di rumah. Balik-balik, yang dipesan
hanya secawan kopi O. Mahu melihat Shana makan dan minum sendiri, rasa seperti
tak sesuai.
“Kalau macam tu, kita gerak sekaranglah ya?”
Dahi Thaqif berkerut. Jam di tangan dipandang seketika.
“Awak tak makan apa-apa hari ni.”
“Saya tak lapar.” Masih jawapan yang sama Shana berikan.
“Makanlah sikit. Saya tunggu...”
Lama Shana renung Thaqif. Dalam dan tajam renungannya
menyapu bersih seraut wajah tenang Thaqif. Kalau dihitung-hitung, entah berapa
banyak masa Thaqif yang telah disia-siakan untuk dirinya. Belum lagi mengambil
kira duit lelaki itu yang terpaksa dikeluarkan demi membayar harga makanannya.
“Kahwin dengan saya, abang?” pinta Shana tiba-tiba.
“Apa?” Mulut Thaqif seakan-akan melopong.
“Kahwin dengan saya, biar saya tahu akan ada seseorang yang
boleh tarik tangan saya kalau saya jatuh,” kata Shana tanpa mengalihkan
pandangannya.
“Gila?”
Shana raup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Keluhan
panjang kemudian dilepaskan bebas ke udara. Kepala didongakkan ke atas. Kipas
yang berpusing terasa tak mampu menyejukkan hati sekeping miliknya. Rasa malu
tiba-tiba saja menerpa diri. Terlalu dibuai emosi buat dia tak sedar apa yang
dikatakan pada Thaqif.
Dia tak cintakan Thaqif, tak mungkin dia mampu hidup di sisi
lelaki itu.
“Kadang-kadang saya memang gila sikit. Abang tahu tu, kan?
Jadi, sila abaikan apa yang saya repekkan tadi.”
Tanpa menunggu Thaqif, Shana pantas mengatur langkah.
Panjang-panjang langkahnya, tak terkedek-kedek seperti biasa. Cukuplah setakat
ini untuk hari ini. Malunya pada Thaqif bukan kepalang, walau dia masih berusaha
untuk berlagak tenang dan selamba. Bibir, terasa mahu ditampar laju-laju.
Kenapa tergamak benar derhaka pada tuannya?
KUSUT air muka Thaqif. Hidupnya benar-benar telah dihuru-harakan
Shana. Otaknya buntu. Permintaan gila Shana pagi tadi benar-benar menghantuinya.
Gusar kalau-kalau Shana memaksudkan apa yang dikata. Hari ini mungkin Shana
kata, hanya main-main. Esok-esok mungkin Shana bukan lagi bergurau.
Kalau itu sampai terjadi, apa yang perlu dijawab?
Menemani gadis itu makan setiap hari, bukan bermakna dia
sudi hidup di sisi Shana buat selama-lamanya.
Tidak! Dia belum cukup gila untuk memperjudikan hidup
bersama-sama seorang perempuan yang tak dikenali dengan baik. Lebih penting
lagi, dia tak rasa hendak menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat ini.
Kalau beberapa tahun lagi, itu dia tak pasti kerana dia merancang, sedangkan
ada yang menjadi perancangan utama.
“Habis tu abang nak buat apa sekarang ni?”
“Abang tak tahu. Min tolonglah abang. Abang betul-betul tak
tahu macam mana nak singkirkan perempuan tu daripada hidup abang,” adu Thaqif
bagaikan anak kecil.
“Agaknya perempuan tu betul-betul sukakan abang tak?”
“Abang tak suka dia, okey!” Tinggi nada suara Thaqif.
Yasmin ketawa perlahan. Geli hati melihat Thaqif yang nampak
begitu beria-ia. “Kalau tak suka kenapa abang temankan dia sarapan hampir
setiap hari?” duga Yasmin, ingin tahu.
“Dia paksa abanglah.”
“Tapi abang ada mulut untuk kata tak, kan?”
“Dia ugut abang,” bela Thaqif pada diri sendiri.
Bibir Yasmin menjuih sedikit. Mengejek Thaqif yang sudah
begitu dewasa tapi takut dengan ugutan seorang perempuan. Kalau Budriz ada
ketika ini, pasti bilik Thaqif bergema dengan ketawa abang kembarnya itu.
Perangai Budriz, memang mereka sekeluarga sudah sangat maklum. “Kalau dia
betul-betul ikhlas dengan abang. Macam mana?”
“Tak ada maknanyalah, Min!”
“Kalau dia betul-betul nak kahwin dengan abang, macam mana?”
“Yasmin!” Setakah lagi suara Thaqif naik. Dia bercerita pada
Yasmin kerana inginkan sokongan adik bongsunya itu. Mahu Yasmin memberikan idea
bernas untuk melenyapkan Shana daripada kehidupannya. Namun yang dilihat,
Yasmin seperti berpihak pada Shana walaupun adiknya itu tak kenal pun siapa
Shana. “Abang tak minat nak hidup berkeluarga, apalagi dengan perempuan seperti
Shana. Tengok gaya dia, memang ada ciri-ciri negatif. Tak boleh diharap
langsung,” tuduh Thaqif selamba.
Dia bukan bercakap kosong, tapi berdasarkan pemerhatiannya
selama beberapa bulan ini. Bagaimana Shana tiba-tiba muncul dalam hidupnya
dengan gaya gedik. Mula mengatur itu dan ini. Memaksa sesuka hati walau gadis
itu nampak dengan jelas mukanya yang tak pernah rela. Ugutan demi ugutan Shana
pula menjengkelkannya. Belum lagi bila dia terpaksa mengeluarkan duit pada
sesuatu yang tak mendatangkan faedah padanya.
Selama ini dia berusaha untuk bersabar. Yakin, lambat-laun
Shana tentu akan meninggalkannya. Tapi bila Shana sudah berani menyebut soal
kahwin padanya, dia sudah tak betah terus bertahan. Lantaran itu, sesuatu perlu
dilakukan. Shana tak boleh dibiarkan terus mendekatinya.
“Sampai bila abang nak hidup sendiri?”
“Sampai bila-bila!”
“Bukan semua perempuan macam ibu, abang. Lagipun ibu pun dah
sedar silap dia selama ini,” kata Yasmin kesal.
“Beri abang idea, Min.” Sengaja Thaqif memesongkan bicara.
Kepala Yasmin menggeleng. Selepas bertahun-tahun masa
berlalu, Thaqif masih lagi dihantui kenangan silam. Padahal, Thaqif boleh
melepaskan semuanya perlahan-lahan jika abangnya itu mahu. “Min tak ada idea.”
“Yasmin...”
Yasmin menggeleng sambil menggaru-garu pipi yang terasa
gatal. Terdetik juga rasa bersalah melihat rupa kusut Thaqif. Tapi tak ada apa
yang boleh dibantu dan dia pun memang tak mahu membantu.
“Abang tak selesa kalau terus dikejar dia, Min. Hidup abang
tak tenang sejak dia muncul. Tolonglah, abang...” Lirih nada suara Thaqif. Dia
benar-benar mahu keluar daripada kemelut yang dicipta Shana untuknya.
Yasmin pejamkan mata rapat-rapat. Yang dilihat, kelopak
mawar gugur satu per satu!