Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 16

SAMPUL surat pemberian Yasmin di tangan dipandang. Lama seperti ada sesuatu yang menarik di situ. Jujurnya, lidah Thaqif jadi terkelu tiba-tiba. Soalan spontan adiknya itu langsung tak terjangkau di fikirannya. Kalau dia bahagia selepas memperlakukan Shana begitu, dia memang bukan manusia.

Ya... dia tenang! Tapi taklah dia sampai mahu bertepuk tangan kerana sudah menghina air muka Shana.

“Abang betul-betul gembira ke lepas buat Shana macam tu?” tanya Yasmin. Bentuk soalan yang lain, tapi maksudnya masih sama.

Berkali-kali Thaqif telan liur, tetap juga tekak terasa haus. Rupa sedih Shana, sampai ke saat ini seperti berulang-alik di minda dan matanya. Dia bukan lelaki kejam. Makanya, langsung dia tak gembira dengan apa yang telah dibuat. Bahkan, kalau diikutkan hati dia mahu memohon maaf pada gadis itu.

“Mana Min dapat benda ni?” tanya Thaqif, cuba mengalihkan bicara.

“Tak penting mana Min dapat. Yang penting, amanah Shana dah Min jalankan.”

“Mana Min jumpa Shana?”

Yasmin gigit bibir. Rasa panik mula menjengah. Terlalu kecewa dengan tingkah si abang, buat dia terlupa yang Thaqif tak sepatutnya tahu siapa Shana dalam hidup dia dan Budriz.

“Min... kenal Shana?”

“Kenal!” balas Yasmin spontan.

Dahi Thaqif berkerut seribu. Begitu bersahaja gaya Yasmin menjawab buat dia tertanya-tanya sendiri. “Sejak bila Min kenal dengan Shana?”

“Sejak abang kenalkanlah. Tak ingat?” Dengan senyum terpeta pada wajah, Yasmin sengaja mengangkat-angkat keningnya. Tak boleh terlalu serius kerana Thaqif nampak berminat benar hendak tahu.

“Budak nilah...”

Merasakan pipinya sakit dicubit Thaqif, Yasmin menolak pantas. Thaqif bukannya mencubit main-main, tapi benar-benar cubit. Jika dibiarkan lebih lama lagi, tak mustahil esok dia ke tempat kerja dengan pipi lebam.

“Macam mana pemberian Shana boleh ada pada Min?”

“Tak payah ambil tahulah, abang. Shana bukannya orang penting pun dalam hidup abang.”

“Yasmin...” Meleret cara Thaqif menyeru nama Yasmin. Lama matanya terpaku ke wajah Yasmin. Muka bujur sirih itu diamati demi membaca sekeping hati milik adiknya itu. Sebetulnya, dia kurang gemar dengan kata-kata Yasmin. Yang bersalah itu Shana, tapi Yasmin seperti meletakkan seluruh kesalahan di atas pundaknya. Hanya gara-gara ayat-ayatnya yang kedengaran seperti sangat bongkak.

“Tengah hari tadi Min pergi makan di Gerai Yong Hanifa. Jumpa Shana kat situlah,” terang Yasmin. Nada dan air mukanya dipastikan tenang. Thaqif tak boleh menaruh sebarang syak wasangka. Tak rela dia dimarahi kerana pelan tak masuk akal yang telah dibuat bersama-sama Budriz dan Shana.

Namun dalam hati, dia memohon maaf kerana terpaksa menipu Thaqif.

“Makan dengan siapa?” Jatung Thaqif rasa berdenyut. Tak mahu ceritanya dan Shana sampai ke pengetahuan orang lain, terutamanya ayah mereka. Bimbang lain pula penerimaan ayahnya itu. “Ayah tak join sekali, kan?”

“Ayah tak ada. Min makan sorang-sorang. Bila jumpa Shana, Min makan dengan dia.”

Lega! Itu yang Thaqif rasa, sama seperti perasaannya sejak kebelakangan ini. Sejak Shana tak lagi menjadi bayang-bayangnya. Bunyinya agak kejam, tapi dia memang berasa lebih tenang. Terasa dunia bagaikan sarat dengan kedamaian. Malah, hidupnya kembali seperti sebelum wujudnya Shana.

“Dia dengan siapa?”

“Abang harapkan dia dengan siapa?”

“Abang tanya aje Min tanpa ada apa-apa maksud. Takkanlah itu pun salah bagi Min? Tak fahamlah abang dengan Min ni.”

“Min tak ada pun cakap apa-apa. Yang abang nampak macam gelabah sangat tu kenapa? Atau sebenarnya dalam diam, abang... abang...” Kata-kata sengaja Yasmin matikan di situ. Tampang Thaqif dipandang penuh minat. Cuba mencari sesuatu yang mungkin tak pernah disedari.

“Apa maksud Min ni? Cuba cakap tu biar terang dan jelas. Jangan nak belok-belok macam orang minum todi.”

“Apa agaknya rasa todi tu ya abang?”

“Yasmin!”

Sudahnya ketawa Yasmin meletus juga. Tak ada gunanya dia marah-marah pada Thaqif jika Shana sendiri langsung tak berkecil hati. Bukan salah Thaqif jika abangnya itu tak melayan Shana dengan baik. Sebaliknya, yang bersalah dia dan Budriz. Turut diseret sama Shana yang bermurah hati membantu.

“Kalau Min tanya sikit boleh tak?”

“Apa?” Kening Thaqif terjongket sedikit.

“Abang langsung tak rasa tertarik dengan Shana?”

“Mintak simpang!”

“Teruk benar ke dia tu abang?”

“Sangat teruk okey! Seumur hidup abang, abang tak pernah jumpa dengan perempuan gedik macam tu. Min... kalau abang tahu buat pergi macam Shana tu, abang kerat Min kecik-kecik. Lepas tu bagi makan ikan.”

Terhambur ketawa Yasmin. Teringat, kelat-kelat masam muka Shana ketika diminta menjadi perempuan gedik. Itu pun setelah berlagak sopan santun, tapi sebelah mata pun tak dipandang abangnya itu. Berhari-hari jugalah dia dan Budriz menjadi tenaga pengajar untuk Shana. Mujur Shana itu cepat belajar.

“Dalam ni apa Min?” tanya Thaqif selepas ketawa Yasmin reda. Entah apa yang lucu benar hingga Yasmin ketawa beria-ia, dia tak tahu.

“Duit!”

“Duit apa?”

“Shana kata duit abang yang abang gunakan untuk bayar harga makanan dia. Kalau terlebih, dia halalkan dan kalau terkurang dia minta abang halalkan. Tapi katanya lagi, rasanya tak terkurang sebab semua dia dah kira. Kalau abang tak percaya, dalam tu ada sekali resit-resit harga makan dan minum dia,” kata Yasmin lancar mengalahkan kereta api. Apa yang dikatakan Shana, itulah yang dia ungkap kembali.

“Tapi abang tak pernah minta dia bayar.” Ada kesal dalam nada Thaqif.

“Dia kata tak nak terhutang budi pada abang.”

“Kenapa, takut tergadai body?”

“Abang nak ke bodydia yang cantik tu?” Yasmin gelak-gelak suka, mengejek Thaqif.

“Abang dah halalkan setiap sen yang abang keluarkan untuk dia.” Malas Thaqif melayan Yasmin yang suka sangat bercakap hal-hal yang dianggap merepek.

“Min tak tahulah abang. Min cuma tolong dia aje. Lebihnya kami berdua hanya berbual-bual kosong.”

“Marah benar dia dengan abang agaknya Min ya?”

Yasmin jongket bahu dengan bibir mencebik. Itu juga telah dikatakan pada Shana, namun kawannya itu hanya menggeleng dengan senyuman.

“Memang marahlah sampai sesen pun duit abang dia tak nak makan. Padahal, abang dah halalkan,” ujar Thaqif sekali lagi sambil menggeleng kesal. Dia bagaikan ternampak-nampak bagaimana cara Shana menyuap makanan ke mulut. Sopan!


SEJAM telah berlalu. Yasmin pun awal-awal lagi sudah meminta diri dengan alasan mengantuk. Thaqif sendiri letih. Tenaganya sudah habis digunakan sepanjang hari di pejabat. Namun puas dipaksa, mata tetap liat. Balik-balik, matanya menjeling sampul surat pemberian Shana. Separuh hatinya menyuruh buka, tapi separuh lagi menegah meminta dikembalikan saja pada Shana esok.

“Kalau aku pulang balik, siapa yang nak hantar pada dia?”

Dada sendiri dipandang. Lama. Mencari nama yang boleh diminta pertolongan.

“Akulah! Siapa lagi?”

Liur ditelan berkali-kali. Belum pun bertemu dengan Shana, dia sudah berasa lain macam. Jika benar-benar gadis itu muncul di hadapannya, dia tak tahu bagaimana harus bereaksi. Untuk bertingkah biasa, tak mungkin! Dia bukan lelaki jenis selamba. Selepas menyakiti orang, dia tak mampu senyum dan ketawa.

“Suruh Yasmin?”

Kepala digeleng-geleng. Tak mungkin! Sebelum keluar tadi, Yasmin sempat berpesan tak mahu dikaitkan lagi dengan Shana.

“Habis aku nak minta tolong siapa?”

Suasana serba biru di dalam bilik tidurnya dipandang. Kemas kerana segala-galanya tersusun rapi.

“Kalau suruh Budriz?”

Terus selimut di kaki ditolak pantas, kemudian dia duduk dengan kaki memijak lantai. Masih memikirkan soal sampul surat milik Shana. Ikuatkan, boleh saja jika dia memejamkan mata dan menerima pemberian Shana. Bukannya dia yang meminta duitnya dikembalikan. Jika gadis itu mahu memulangkannya, apa salahnya diambil. Soal buruk sikit, tentu saja tak wujud.

Namun di sisi yang lain, dia tak sampai hati.

“Muktamad. Budriz!”

Setelah berdiri, kaki diayun menuju ke ruang menonton TV. Tak perlu menjengah ke bilik Budriz kerana dia tahu adiknya ketika ini melepak di depan kaca TV. Budriz seperti dilahirkan bersama-sama TV, bukannya Yasim. Ataupun, Budriz, Yasmin dan TV itu sebenarnya dilahirkan kembar tiga.

“Abang? Tak tidur lagi?” sapa Budriz saat melihat Thaqif.

“Ni abang tengah tidurlah ni. Tidur sambil berjalan sambil bercakap sambil hirup udara segar,” sindir Thaqif.

“Loyar buruk!”

“Ada loyar baru ke?”

“Isyh... malas Budriz layan abang! Lebih baik tengok cerita Battleship ni lebih baik,” rungut Budriz sambil mencebik.

Pandangan kembali dibuang ke kaca TV. Hati ingin tahu mengapa Thaqif masih belum tidur kerana tidur lewat, memang bukan Thaqif orangnya kecuali jika terpaksa. Tapi mahu bertanya, dia malas. Tahulah abangnya itu bercerita jika ada yang mahu dikisahkan padanya.

“Dah berapa kali abang tengok Budriz tengok cerita ni?”

“Tak ada cerita lain yang menarik, Budriz layan ajelah cerita ni. Nak tengok DVD, Budriz malas.”

“Kalau tak ada cerita menarik, tidurlah Budriz. Sesekali tidur awal tu bagus. Badan dah letih, kan?”

“Abang membebel macam perempuan,” ejek Budriz sambil ketawa kecil.

“Salah ke betul apa yang abang cakap?”

“Betul.”

“Dah tu masih nak lawan cakap abang lagi?”

Sudahnya Budriz tersengih-sengih terus. Thaqif itu memang jenis kaya dengan nasihat. Sama seperti Syarifah Najibah. Cuma bezanya, ibu mereka lebih kepada membebel sedangkan Thaqif gemar mengingatkan. Kadang-kadang, pada ayah mereka pun Thaqif ingatkan juga.

Yang abangnya tak pesan, hanya pada ibu mereka. Hanya itu!

“Abang ada nak cakap apa-apa pada Budriz ke?”

“Mana ada. Saja nak tengok Budriz tengok cerita apa.”

“Sekarang dah tengok, kan? Nak tunggu apa lagi kat sini?”Bibir Budriz mencebik, nampak benar Thaqif cuba berlindung.

Untuk usikan itu, Budriz dapat tumbukan Thaqif di bahu. Sejak kecil, nakal adiknya itu sudah ketara. Tingkah itu kini menjadi ikutan Yasmin. Malah ada masa-masanya, Yasmin yang perempuan itu boleh jadi lebih nakal dibandingkan Budriz. “Tolong abang boleh?”

“Dah agak dah tadi lagi. Apa dia?”

“Bagi benda ni pada orang,” kata Thaqif sambil mengangkat sampul surat di tangannya.

“Apa tu?” Budriz buat-buat tanya. Mahu mengaburi mata Thaqif.

“Tak payah tahu!”

“Kalau macam tu, sorry... tak nak tolong. Lagipun sepanjang minggu ni Budriz busy.”

“Sekejap pun tak boleh lari?”

Budriz geleng kepala, laju-laju. Dia tak menipu bila mengatakan dia sibuk. Tapi kalau pun ada masa lapang, dia tetap tak akan menolong Thaqif. Biarkan abangnya melakukan sendiri. Mana tahu dengan cara itu, terungkap juga kata-kata maaf daripada Thaqif. Buat menghilangkan rasa malu yang Shana tanggung.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.