Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 7

“ADIK-ADIK Thaqif sebenarnya ke mana ni? Dah lewat macam ni pun tak balik lagi. Fikir rumah ni hotel ke?” tanya Syed Faruq sambil membebel. Dia boleh bertolak ansur dalam apa pun keadaan. Namun jika ada ahli keluarga yang tak ada di meja makan tepat pada masanya, itu memang kepantangannya.

Prinsipnya, siang hari masing-masing boleh buat apa saja yang diinginkan. Boleh bekerja hingga letih. Boleh membeli-belah sampai kaki rasa nak tercabut. Atau, bersukan sesuka hati. Tak akan ditanya, tak akan disekat.

Tapi bila malam, semua perlu ada di rumah! Makan malam bersama-sama dan nikmati rezeki yang diberikan ALLAH dengan rasa gembira. Jika diberikan 30 minit saja masa untuk bersama-sama isteri dan anak-anaknya, dia sudah lebih daripada bersyukur.

Lebih daripada itu, selagi masing-masing tak punya keluarga sendiri, mereka bertiga tetap miliknya!

“Jumpa kawan-kawan, ayah.”

“Siapa?”

Thaqif jongket bahu. Tak tahu kerana tak diberitahu. Baginya, dia tak ada halangan jika adik-adiknya mahu berada di luar rumah, asalkan mereka tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Mereka sudah begitu dewasa untuk disekat itu dan ini. Lagipun, mereka pergi berdua dan dia percaya mereka akan saling menjaga antara satu sama lain.

“Lain kali, tanya. Kalau tak cakap, jangan bagi keluar!” Tegas kata-kata Syed Faruq.

Thaqif senyum nipis. Langsung tak gentar dengan ketegasan ayahnya kerana dia tahu, hati ayahnya sangat baik.

“Kalau perlu diikat, ikat aje adik-adik Thaqif tu.”

Gelakkan halus Thaqif meletus juga. Namun seketika gelakkan itu bergabung dengan Syed Faruq dan Syarifah Najibah. Kalau adik-adiknya masih berumur 10 ke 11 tahun, memang tak ada apa-apa masalah jika benar-benar diikat. Tapi jika sudah menjangkau usia 26 tahun, silap-silap gaya dia pula yang diikat. Dua lawan satu, tentu awal-awal lagi dia bakal tewas.

“Kadang-kadang abang rindukan masa lalu, Jibah...”

“Tak ada benda yang tak berubah dalam dunia ni, abang.”

“Ya, anak-anak kita yang dulu kecil pun masing-masing dah besar. Yang lelaki dah kalahkan ketinggian abang. Yang perempuan dah jadi lebih besar daripada Jibah. Mungkin tak lama lagi, kita bakal terima menantu. Lepas tu keluarga kecil kita akan berkembang jadi besar,” ujar Syed Faruq dalam senyuman.

Tak ada orang di dalam dunia ini yang tak mahu punya sebuah keluarga bahagia. Dia, salah seorang daripada mereka. Memiliki seorang isteri seperti Syarifah Najibah, menjadi ayah kepada anak-anak yang baik, dia benar-benar bersyukur. Selain mahu melihat anak-anaknya hidup gembira dan bahagia, dia seperti tak mahu meminta apa-apa lagi.

Syarifah Najibah senyum. Masa berlalu, banyak perkara berubah. Namun ada juga yang tak berubah. Thaqif. Hanya anak itu yang dirasakan tak berubah. Tetap kekal begitu walau dia tak pernah lelah meminta daripada TUHAN.

“Siapa nak kahwin dulu? Thaqif atau adik-adik?” tanya Syed Faruq menyakat Thaqif.

Merah sedikit rupa Thaqif. Segan ditanya depan-depan begitu, apalagi di hadapan Syarifah Najibah.

“Thaqif lambat lagi ayah,” balasnya perlahan.

“Kenapa pula? Hal baik tak elok dilewat-lewatkan Thaqif. Nanti Thaqif tua, anak Thaqif masih sekolah tadika. Masa tu nak mengaku anak sendiri anak pun dah segan sebab dah rupa macam datuk dan cucu. Nak pegang tangan pun tak nak sebab takut ada yang bertanya,” luah Syed Faruq selamba.

“Bagi ajelah budak-budak tu lepas dulu.”

“Siapa abang siapa adik ni?”

“Zaman dah berubah, ayah. Tak kisah siapa dulu asalkan dibuat dengan cara yang betul.”

“Tak takut orang kata langkah bendul?” tanya Syed Faruq ingin tahu pendirian Thaqif.

“Langkah bendul cuma adat, ayah.”

“Tapi ibu harap, biar Thaqif dulu. Lepas tu baru adik-adik,” sampuk Syarifah Najibah. Jujurnya, dia sangat suka melihat panorama ketika ini. Thaqif nampak lebih santai berkata-kata dan murah dengan senyum dan ketawa. Meskipun senyum dan ketawa itu bukan untuknya, dia tetap tak mahu berganjak ke mana-mana. Kalau boleh mahu mendengar dan melihat anaknya itu terus berkeadaan begitu.

SELESAI mencuci pinggan yang digunakan, Thaqif mengelap tangan. Tegak dia berdiri menghadap singki. Dalam masa yang sama, kepalanya ligat berputar. Sekejap memikirkan tentang kerja yang dibawa balik. Sekejap kemudian teringatkan Shana yang masih juga tak berubah-ubah. Pertemuan dengan gadis itu tiga hari lalu, nyata tak membuahkan hasil.

“Lama mana lagi ni aku nak kena bertahan dengan dia?”

Rungutan itu perlahan saja terucap di bibir Thaqif. Tak perlu bercakap dalam nada yang kuat kerana di situ, tak ada sesiapa. Yang ada, hanya dinding bisu yang tak mungkin mengerti betapa galaunya hati sekeping miliknya.

“Okey tak kalau aku marah dia? Tengking-tengking dia ke?”

Pantas kepala digeleng. Tak suka dengan apa yang diluahkan bibir sendiri. Berkasar, bukan caranya kerana dia sangat benci pada keganasan. Tak kira dalam bentuk apa pun atau dengan sebab apa juga. Berkasar dengan perempuan yang terkenal dengan kelemahan, lagilah dia tak mahu. Tak pernah terlintas di hatinya.

“Tapi dia nampak macam obsess sangat dengan aku.”

Kenapa ya?

Kali ini, pertanyaan itu hanya terlintas di benaknya. Tak terkeluar di bibir. Tapi sungguh! Dia benar-benar pelik. Shana tak kenal dengannya. Dia sendiri, rasanya belum begitu tua untuk terlupa yang dia dan Shana saling mengenali. Sekayu mana pun dia, dia masih tahu menilai rupa manusia. Gadis secantik Shana, tak mungkin akan dilupakan walaupun berjumpa secara tak sengaja.

“Siapa awak sebenarnya Shana? Apa yang awak nakkan daripada saya?”

Thaqif buntu sendiri. Kalau dikata Shana mengejarnya kerana harta, mustahil. Gaya dan penampilan Shana tak membuktikan kenyataan itu. Belum lagi diambil kira telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy Note 4 yang Shana pegang. Bedak yang gadis itu guna juga sempat dijeling. Mac!

“Mungkin dibeli kat pasar malam agaknya?”

Tapi dia yakin, bedak itu bukan berharga RM10. Dia pernah membelinya, untuk Yasmin. Bukannya sekali atau pun dua kali. Malah, baru beberapa hari lepas pun dia beli juga. Langsung tak ada beza dengan apa yang Shana pegang.

“Beg tangan dia pun bukannya calang-calang. LV lagi.”

Beli di pasar malam juga?

Tak! Dia yakin beg tangan Shana itu juga bukan tiruan. Sebabnya, dia juga pernah membeli beg yang sama ketika di Paris dulu. Bukannya satu yang dibeli, tapi dua. Dia tahu matanya tak mungkin tertipu. Lebih daripada itu, dia memang agak sensitif dengan barang-barang yang dibuat daripada kulit. Matanya cekap membuat perbandingan antara yang asli dan tiruan.

Kasut?

Tudung bertingkat-tingkat yang nampak lembut itu?

Sah... Shana bukan mahukan hartanya!

Jadinya, kalau bukan harta yang gadis itu mahu, apa lagi? Dia? Lagilah tak masuk akal! Tak ada gadis yang waras di dalam dunia ini sanggup mengejar lelaki yang tak dikenali tanpa ada sebarang sebab yang kukuh. Soalnya, apa sebabnya dan untuk apa Shana sampai sanggup melakukan apa saja demi menarik perhatiannya?

Sungguh... Thaqif buntu sendiri!

“Ah... sudahlah! Kalau nak fikirkan pasal minah tu, sampai ke subuh pun tak mungkin akan selesai.”

Usai berkata, Thaqif berpaling ke belakang. Mahu menyambung kerja-kerja pejabat yang tak sempat dihabiskan. Masanya akhir-akhir ini terbiar tak berguna hanya gara-gara mencari jalan mahu mengelakkan diri daripada terus dikejar Shana. Namun, langkahnya kaku. Di hadapannya, Syarifah Najibah memandangnya penuh minat.

“Ibu...” sapanya perlahan. Tak ada senyuman di bibirnya.

Syarifah Najibah tersenyum. Namun di sudut hatinya yang paling dalam, dia menangis. Rindunya mahu melihat senyuman ikhlas di bibir Thaqif, hanya ALLAH yang tahu.

“Kenapa makan sikit sangat tadi?” tanya Syarifah Najibah tenang.

“Dah kenyang.”

“Takkanlah cepat benar kenyangnya? Ibu masak tak sedap ke? Kalau tak sedap, bagi tahu ibu ya?”

“Sedap.” Sepatah Thaqif balas.

Sepatah! Hanya sepatah yang dijawab Thaqif dan hati Syarifah Najibah kian basah. Beratnya mulut Thaqif, bagaikan diikat dengan batu-batu kerikil. Sedangkan dia berharap Thaqif akan bercakap, bercakap dan terus bercakap dengannya sehingga anak sulungnya itu kehabisan air liur. Kemudian, esok dan hari-hari seterusnya akan disambung dengan cerita yang lain pula.

Demi Thaqif, dia sanggup mengorbankan seluruh masa yang dia ada! Hanya demi Syed Thaqif!

Namun, segala-galanya hanya angan-angan. Kesilapan masa lalu telah mencipta jurang yang sangat dalam antara dia dan Thaqif. Puas didekatkan, sayangnya semua yang dibuat seakan sia-sia.

TUHAN... aku rindukan Thaqif. Aku terlalu rindukan anakku ini, rintihnya dalam hati.

“Kalau... kalau... sedap, kenapa Thaqif tak tambah?”

“Dah kenyang,” ulang Thaqif sekali lagi.

Syarifah Najibah tarik nafas dalam-dalam, kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Kalaulah masa boleh diundurkan ke belakang, dia sanggup melakukan apa saja demi memastikan dia tak pernah jauh dari hati Thaqif. Sayangnya, kelebihan sehebat itu tak pernah dikurniakan kepada manusia, apalagi dia yang terkenal dengan banyak kekurangan.

Dosa yang ada, entahkan terampun, entahkan akan diheret sehingga nyawanya bercerai daripada badan.

“Esok Thaqif nak makan apa? Ibu masakan ya?”

“Tak kisah.”

“Ada apa-apa makanan yang Thaqif teringin nak makan tak? Kalau ada cakap aje pada ibu,” tawar Syarifah Najibah sekali lagi.

“Tak ada.”

Terpejam rapat mata Syarifah Najibah. Hatinya sebak, jiwanya rawan. Namun air mata ditahan seboleh mungkin supaya tak titis di pipi. Tak mahu kerana air matanya, Thaqif gagal mendapatkan keredaan ALLAH kerana reda itu hanya akan ada bila ada redanya sebagai ibu. Tak rela hidup Thaqif tak berkat hanya kerana dia terasa hati tanpa pengetahuan anak itu.

Bukan salah Thaqif! Dialah yang pernah bersalah kerana terlalu menurut kata hati dan darah muda. Kini, dia sedang menjalani hukumannya.

“Ibu masakkan kari kepala ikan, boleh?”

“Boleh.”

“Lauk lain? Thaqif suka sayur kailan, kan?” Masih juga Syarifah Najibah mahu menarik perhatian Thaqif. Bukannya di rumah mereka tak ada pembantu rumah. Ada. Malah, tukang kebun dan pemandu juga disediakan Syed Faruq. Namun tugas masak-memasak memang jatuh di bahunya sejak setahun kebelakangan ini. Tak ada sesiapa yang memaksa, melainkan atas kehendaknya sendiri. Biarlah air tangannya mengikat kembali hati-hati yang pernah menjauhinya. Syukur, dia berjaya kecuali hati Thaqif yang masih gagal dia pegang.

“Suka,” jawab Thaqif ringkas. Dia menggigit bibir sendiri, perlahan. Hati ingin berkata banyak dengan Syarifah Najibah. Mahu memuji betapa masakkan ibunya hari ini, sangat sedap. Malah, tak ada dalam sehari makanan yang dimasak ibunya mengecewakan. Namun bibir seakan-akan lumpuh untuk berkata-kata banyak. Tak reti terus mencipta bual, jauh sekali mahu membeli jiwa ibunya itu.

“Thaqif naik dulu ya? Nak buat kerja.”

Syarifah Najibah angguk. Masih berusaha mempamerkan senyum walau seakan-akan tak punya kekuatan. “Jangan tidur lambat sangat. Esok nak kena bangun pagi dan pergi kerja pula,” nasihatnya tulus.

Makin hari, dilihat Thaqif semakin dekat menghampiri jejak langkah Syed Faruq. Dia... sangat risau! Baginya, sudah sampai masanya Thaqif tidak terlalu memikirkan soal kerja. Dalam usia 30 tahun, anak itu sepatutnya sudah mempunyai isteri dan anak-anak comel sebagai penyeri perkahwinan.

“Sebab Jibah dah tanamkan dalam minda dia yang semua perempuan garang. Nanti-nanti kalau Thaqif tak nak kahwin, jangan Jibah nak paksa-paksa pulak.”

Liur ditelan saat kata-kata Syed Faruq berpuluh-puluh tahun lalu itu singgah di ingatannya. Dia kesal!

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.