Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 25

HIDUP ini ibarat roda yang berputar. Kadang di atas, kadang di bawah. Tak mungkin statik di tempat asal. Itu yang sedang bermain-main di minda Thaqif. Kalau dulu, hampir setiap pagi Shana menunggunya di depan lif Menara Semarak. Alasan gadis itu, mahu mengajaknya bersarapan di Gerai Yong Hanifa.

Kini, setelah lebih sebulan dia meminta gadis itu menjauhinya, dia pula yang berdiri di hadapan Kedai Buku Kasih. Menunggu kedatangan Shana yang seperti buah tak gugur. Padahal kalau dihitung-hitung, belum pun sampai 10 minit dia di sini. Hanya masa yang terasa bergerak seperti kura-kura.

“Jangan sesekali bagitahu Shana yang abang dah tahu. Kalau dia tahu, siap!”

Itu amarannya sebelum meninggalkan bilik Yasmin malam tadi, ketika sudah berada betul-betul di hadapan pintu bilik. Saat melihat anggukan Budriz dan Yasmin yang serentak, terus diayun langkah. Tak mahu kekal di situ. Bimbang semakin melihat tangisan Yasmin, semakin marahnya mencanak-canak naik.

Hati yang tak tenteram bercampur panas, ditenangkan dengan mengalunkan zikir. Kemudian dia tidur sampai ke pagi.

“Baru sampai ke?” tanya Thaqif sinis sebaik saja Shana muncul.

“Taklah! Malam tadi lagi dah sampai,” jawab Shana selamba. Tak mengerti untuk apa Thaqif ada di hadapannya saat ini.

“Kenapa tak datang dari minggu lepas lagi?” Terus Thaqif berloyar buruk.

“Ingat nak datang minggu sebelum minggu lepas lagi.”

“Baik datang tahun depan aje.”

“Bagus juga idea tu. Terima kasihlah ya sebab sudi kongsi. Tak terfikir pun tadi nak jawab macam tu.” Masih juga selamba nada suara Shana. Tudung bawal berwarna merah bata yang ditiup angin pagi, ditolak sedikit.

Menyirap saja darah Thaqif dengan ketenangan yang pada pada wajah Shana. Gadis itu kelihatan tenang seperti biasa. Langsung tak tercuit dengan kehadirannya. Selamba saja membalas kata-katanya. Macamlah kala ini mereka berdua berada di dalam mahkamah.

“Orang suka menipu memang lambat berfikir,” tempelak Thaqif tiba-tiba.

“Apa awak cakap tadi?”

“Penipu!”

“Apa?” Dahi Shana berkerut.

“Pembohong!”

Hati Shana berdebar-debar. Tuduhan Thaqif menyakitkan hatinya. Dia pernah mengejar suami orang, itu betul dan itulah satu-satunya hal paling buruk pernah dilakukan dalam seumur hidupnya. Namun, menipu dan berbohong memang tak ada dalam kamus hidupnya. Dia tak pernah belajar pelajaran seburuk itu dan tak pernah pun mahu belajar. Pembohongan pertama akan menyebabkan munculnya pembohongan kedua, ketiga dan seterusnya tanpa henti.

“Kalau awak datang ke sini semata-mata nak sakitkan hati saya, baik awak balik ajelah. Saya malas nak layan!”

“Hipokrit!” tuduh Thaqif tanpa ada senyum di bibir.

Hipokrit! Sepatah tuduhan itu benar-benar menyentak hati Shana. Bercincin matanya merenung Thaqif yang berdiri hanya beberapa meter daripadanya. Kalau boleh dibaham, Thaqif mungkin akan bergelar arwah pada hari ini. Lelaki itu boleh berkata apa saja, tapi jangan sesekali menganggap dia berpura-pura. Kalau suka, dia kata suka. Kalau tak, dia kata tak. Untuk bersikap hipokrit, memang bukan dia orangnya!

“Apa masalah awak sebenarnya ni, Thaqif?”

“Yang bermasalah bukan saya, tapi awak!”

“Apa yang saya dah buat pada awak? Semua dah selesai. Saya tak kacau hidup awak lagi macam yang awak nak sangat tu. Jadi, apa lagi yang awak tak puas hati dengan saya?”

“Tanya diri awak sendiri. Saya takkan cakap!” Sengaja Thaqif bermain tarik tali dengan Shana. Berbulan-bulan gadis itu membuatkan hidupnya bermain dengan teka-teki. Selepas Shana pergi pun teka-teki itu masih mengekorinya kerana gagal dicari penyelesaiannya. Tak cukup dengan itu, bayang-bayang gadis itu juga bagaikan sumpahan dalam hidupnya.

Kini, salahkah jika dia mahu membalas apa yang pernah dia dapat?

“Saya tak tahu!”

“Otak awak ada, kan? Kenapa tak gunakan untuk berfikir. Kenapa asyik perlu nak disuap orang?”

“Lantaklah! Malas layan...”

Padanlah hatinya berdebar-debar sebelum keluar dari rumah tadi. Sangkanya, berpunca daripada rasa geram kerana Haidar yang dengan sengaja menumpahkan air di bahunya. Rupa-rupanya, itu petanda yang dia terpaksa berhadapan dengan Thaqif seawal pagi begini.

“Selamat tinggal!”

“Jangan pergi dulu!”

“Saya tak ada masa nak layan orang yang tak ada kaitan dengan saya. Tolong pergi dari sini kalau awak rasa tak ada apa-apa yang nak dibeli. Jangan bazirkan masa saya sebab saya tak senang.”

“Yang awak bazirkan masa saya selama berbulan-bulan tu, apa cerita?”

Kata-kata Thaqif kali ini membuatkan Shana terkaku. Kelu lidah untuk terus berlawan kata dengan Thaqif. Nada suara Thaqif tak tinggi walaupun agak menjengkelkan di telinganya. Namun, nada itu seperti memberitahu sesuatu. Lalu, ditatap dalam-dalam wajah Thaqif walaupun hati terasa gentar. Cuba mencari sesuatu dan ternyata sesuatu yang dicari ada di situ.

Ya... rahsia sudah tak lagi bergelar rahsia! Tapi kenapa Yasmin dan Budriz tak mengatakan apa-apa padanya? Atau, mereka berdua juga tak tahu yang Thaqif sebenarnya sudah tahu?

Sudahlah! Tamatlah riwayat aku hari ni di tangan Thaqif. Dia tentu tak akan lepaskan aku dengan mudah.

“Dah dapat fikir?”

Shana terasa jari-jemarinya sedikit menggigil kerana berasa cuak. Mungkin resam orang bersalah memang begini. Tak mampu berlagak tenang walaupun telah dicuba sedaya upaya. Padanlah Thaqif menyebut perkataan penipu dan pembohong. Turut diungkap kata hipokrit.

Tapi, sungguh... dia tak berniat berbohong dan menipu! Yang dilakukan, hanya mahu membantu Yasmin dan Budriz.

Hanya itu. Hanya itu niatnya semata-mata! Tapi jika diterangkan, fahamkah Thaqif?

“Hmm... tak sangka lamanya masa yang awak ambil untuk berfikir ya, Shana? Nak tertidur saya tunggu.” Selamba saja Thaqif menutup mulutnya, beraksi seolah-olah dia benar-benar mengantuk.

“Ke otak awak tu dah karat dan tak boleh digunakan lagi?”

Shana ketap bibir. Sesedap rasa saja Thaqif berkata begitu hanya semata-mata kerana dia bersalah.

Kening, Thaqif terjongket sedikit. Sengaja dipukul hati Shana kerana dia melihat jelas perubahan pada wajah gadis itu. Shana nampak sedikit pucat dan takut-takut. Tidak lagi berani seperti tadi.

Padan muka, desis hati kecil Thaqif. Gembira kerana dapat mengenakan gadis itu.

“Kalau tak ada apa-apa yang penting, saya nak masuk kerja.”

Tergelak perlahan Thaqif dengan alasan Shana. Kini, dia benar-benar yakin yang fikirannya dan Shana sejalan.

“Tak semudah itu, sayang...”

Sayang? Shana telan liur berkali-kali. Tapi makin ditelan, makin haus jadinya.

“Sayang ingat, senang nak lepaskan diri daripada abang?”

Abang? Shana melihat, dunia di sekelilingnya semakin lama semakin kelam. Renungan tajam Thaqif mengerikannya. Dalam keadaan begini, baru kesalnya datang. Dia tak sepatutnya mencampuri urusan keluarga Budriz dan Yasmin.

Tapi mereka kata, Thaqif itu lelaki baik. Jika rancangan terbongkar, Thaqif tak akan bertindak apa-apa. Malangnya, Thaqif yang ada di hadapannya ini langsung tak sama dengan Thaqif yang dibayangkan. Berbeza juga dengan Thaqif yang dikejar saban hari tanpa putus asa.

“Dah tahu kan kenapa saya ada di sini sekarang ni?” tanya Thaqif.

Shana angguk, walaupun bibir seperti ingin menjawab.

“Jadi, awak terimalah yang awak dah buat salah besar pada saya?”

Sekali lagi Shana angguk dengan muka tunduk ke bumi. Pertama kali dia berasa sangat takut dengan orang. Hidup di tengah-tengah bumi asing pun tak pernah menerbitkan rasa seperti ini.

“Kalau macam tu, ikut saya!”

“Tak nak!” Pantas Shana menjawab. Bimbang kalau dirinya diapa-apakan.

“Ikut saya!” ulang Thaqif sekali lagi.

“Tak akan!

“Ikut!” desak Thaqif bila Shana terus kaku. Kalau Shana itu Yasmin, memang diheret.

“Saya kata tak nak tu, tak naklah. Tak faham?”

“Dalam kamus hidup saya cuma ada perkataan nak. Perkataan tak nak tu belum cipta.”

“Saya tetap tak nak! Nak suruh saya guna bahasa Sanskrit ke baru awak nak faham apa yang saya cakapkan ni ke?” Terjegil mata Shana merenung Thaqif.

Dia mengaku dia bersalah. Tapi siapa Thaqif hendak memaksanya?

“Tak! Cakap bahasa Urdu sebab bahasa tu aje yang saya faham,” balas Thaqif sinis. Bibir diketap rapat-rapat. Raut selamba walau takut-takut yang terpeta pada muka Shana buat dia makin sakit hati.

“Okey... saya minta maaf! Puas hati?”

“Sikit pun tak!”

“Habis tu, awak nak suruh saya buat apa lagi? Benda dah jadi dah pun.”

“Ikut saya balik hujung minggu ni,” pinta Thaqif keras. “Saya tak kira, Shana! Sebab awak yang mulakan, awak harus tamatkan. Apa pun jadi, ingat... hujung minggu ni awak mesti ikut saya balik!” potong Thaqif pantas. Tak sudi lagi mendengar penolakan daripada Shana. Helah jauh sekali. Sudah sampai masanya Shana pula mengikut telunjuknya, selepas puas gadis itu menjadikan dia seperti lembu dicucuk hidung.

“Sebab awak nak sangat jadi girlfriend saya, saya akan kenalkan awak macam tu pada ibu dan ayah saya.”

“Saya tak nak! Saya takkan buat macam tu. Tugas saya dah selesai. Lain-lain hal awak selesaikan dengan Min dan Budriz.”

“Ingat semudah itu nak lepaskan diri daripada saya lepas berbulan-bulan awak jadi hantu, ikut saya?”

“Bukan salah saya! Saya hanya ikut rancangan Budriz dan Yasmin.”

“Awak bukannya budak kecil yang tak reti berfikir sampai sanggup ikut rancangan bodoh Min dan Budriz. Kalau dia orang terjun lombong, awak nak ikut?” Thaqif ingin tahu. Bila Shana hanya diam, dia tersenyum sinis. “Seronok ya awak main-mainkan saya. Dapat apa?”

“Niat saya hanya nak tolong. Itu aje! Salah ke?”

“Salah! Kalau pun awak baik hati sangat nak buat amal jariah, pergi rumah kebajikan atau rumah anak-anak yatim. Mereka lebih memerlukan khidmat bakti awak daripada adik-adik saya tu.”

Shana meramas kuat tali beg tangan yang masih tersandang di bahunya. Dia di hadapan Thaqif kini, tak ubah seperti pesalah yang menunggu dijatuhkan hukuman. Tapi mana dia sangka niat baiknya bakal memakan dirinya. Rasa marah dan geram nampaknya benar-benar sudah merubah Thaqif menjadi orang lain.

“Saya nak balik ofis. Hujung minggu ni, saya ambil awak. Sama ada nak atau tak, awak kena nak juga. Kalau tak, saya akan tunjukkan semua WhatsApp yang awak beri pada saya tu kat ibu dan ayah awak. Biar mereka tahu macam mana buruknya perangai anak perempuan mereka.”

“Awak tak boleh buat macam tu, Thaqif!” Sudahlah dia ada rekod buruk dalam mengejar lelaki, silap-silap dia tak akan diakui anak oleh Tan Sri Zaidi.

“Boleh! Saya boleh buat apa yang saya nak dan awak kena tebus kesalahan awak pada saya. Kalau tak, saya tak akan maafkan awak sampai mati. Jangan sampai awak tak dapat masuk syurga sebab berdosa pada saya,” ujar Thaqif bagaikan mengugut Shana.

Alang-alang mandi, biar basah! Detik hatinya,

“Tapi...”

“Hujung minggu ni. Ingat!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.