Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 15

AKU minta maaf bagi pihak abang aku, Shana,” pinta Yasmin perlahan. Parau sedikit nada suaranya. Rasa bersalah menderu-deru masuk ke hatinya. Rancangan supaya Shana mendekati Thaqif, rancangan dia dan Budriz. Namun yang menerima hukuman atas rancangan itu hanya Shana sendiri.

Ikutkan, dia seperti tak punya air muka untuk berhadapan dengan Shana ketika ini. Malu bukan kepalang. Tapi mengenangkan dia dan Budriz harus bertanggungjawab atas segala-galanya, digagahkan juga kaki bertemu dengan Shana. Mujur Budriz juga bukan jenis tak bertanggungjawab.

“Aku minta maaf juga, Shana. Tak sangka jadi macam ni pula.” Rendah nada suara Budriz.

Shana pandang Yasmin yang sudah tunduk. Kemudian Budriz yang baru saja melepaskan keluhan.

“Habis tu kau sangka, jadi macam mana Budriz?” tanya Shana pada Budriz.

Budriz diam. Mendengar cerita Yasmin tentang apa yang dikatakan Thaqif pada Shana, buat dia rasa segan. Tapi kerana dia lelaki, dia berusaha untuk mempamerkan air muka tenang. Lagipun, yang bersalah bukan hanya Thaqif. Sebaliknya, dia dan Yasminlah pesalah yang paling patut dijatuhkan hukuman. Kerana mementingkan diri sendiri, mereka melibatkan Shana. Kini, mereka duduk di hadapan Shana demi menagih kemaafan daripada kawan mereka itu.

“Abang aku bukan jenis macam tu sebelum ni.”

“Ya... dengan peminta sedekah pun dia boleh beramah mesra, apalagi dengan orang macam kita ni,” ujar Yasmin demi membenarkan kata-kata Budriz. Dia tak mengada-adakan cerita yang tak ada. Yang dikatakan tentang Thaqif memang kenyataan yang mungkin Shana belum tahu.

“Memanglah, peminta sedekah tu tak gedik,” kata Shana sambil tergelak kecil.

Demi mendengar gelak itu, Yasmin dan Budriz saling berpandangan. Tak menjangka mereka akan melihat Shana ketawa. Padahal, sebelum keluar rumah mereka sudah bersedia menerima apa saja kemarahan daripada Shana. Kalau dimaki hamun pun akan diterima dengan berlapang dada.

“Korang berdua pun janganlah serius sangat. Aku okeylah. Tak ada hallah!”

“Takkanlah okey kot?”

“Dah tu kau mendoakan supaya aku tak okey ke Min?”

“Bukanlah macam tu. Tapi teruk benar kata-kata yang abang aku gunakan pada kau. Siap hina kerja kau lagi.”

“Dia pernah kata muka aku macam arang.”

“Hah?” Mulut Budriz melopong. “Kau biar betul Shana?” tanyanya tak percaya. Thaqif yang dia kenal bukan jenis begitu. Tapi melihat pada tampang Shana, mustahil gadis itu mengada-adakan cerita yang tak ada. Kalau di hadapan Yasmin, Thaqif boleh mengata Shana. Di belakang, tentu lebih hebat lagi.

“Kau tengok muka aku ni macam penipu ke?”

Dahi Budriz berkerut. Kepalanya, digaru-garu perlahan. “Takkanlah abang aku jahat benar, Shana?”

“Kau ingat abang kau baik sangat ke?”

Yasmin dan Budriz, masing-masing terdiam. Kelu lidah untuk membalas kata-katanya, Shana senyum lebar sambil mengusap kening kanan miliknya. Geli hati melihat air muka mereka yang seperti sukar menelan kata-katanya. Tentu selama ini yang mereka lihat ada pada Thaqif, hanya warna putih semata-mata.

“Teruklah muka korang bila serius macam tu. Akhirnya, aku dapat tengok di mana seirasnya korang berdua,” usik Shana pada Budriz dan Yasmin.

Untuk kata-kata itu, Yasmin menepuk tangan kiri Shana yang berlabuh di atas meja. Geram. Dia dan Budriz gagal mendapatkan tidur yang lena malam tadi gara-gara memikirkan hati Shana yang mungkin terluka kerana Thaqif. Tapi kini, kawan mereka itu masih boleh mempamerkan senyuman manis. Tetap gemar mengusik dia dan Budriz seperti selalu. Seolah-olah, apa yang Thaqif kata langsung tak berkesan di hati Shana.

Sebetulnya, hati Shana ini diperbuat daripada apa?

Jika diletakkan dia di tempat Shana, mungkin dia sudah meraung hebat!

“Serius sikit boleh tak Shana?” Budriz menjegilkan mata pada Shana.

“Tak payahlah serius sangat Budriz. Aku rasa peliklah kalau kau dan Min buat muka macam tu. Rasa macam aku ada buat salah yang besar walaupun aku tak tahu apa yang dah aku buat,” akui Shana terus terang.

“Kau tak marah kami berdua?” Yasmin ingin tahu.

“Apa perlunya aku marah kau dan Budriz?”

“Abang aku hina kau,” ujar Yasmin rendah. Malu kembali datang menerpa.

Lama Shana renung anak mata Yasmin. Dia tahu apa yang Yasmin dan Budriz rasa. Hanya kerana Budriz lelaki, Budriz tak mempamerkan air muka sugul. Sedangkan Yasmin memang gagal menyembunyikan rahsia hati.

“Tak apa Min. Aku tak ambil hati sikit pun sebab kalau aku kat tempat abang kau, mungkin itu juga yang akan aku buat. Atau sebab nama aku Shana Melati, bukan Syed Thaqif, tindakan aku mungkin jauh lebih kejam. Misalnya, tak cukup dengan mulut aku akan beraksi dengan tangan dan kaki sekali semata-mata nak tunjukkan betapa marah dan meluatnya aku pada orang yang aku tak suka,” luah Shana panjang lebar.

Apa yang dikatakan mungkin kedengaran seperti bergurau, tapi dia tak main-main. Hanya kata-kata dan ayat yang dipilih, agak santai. Tak mahu situasi tegang terus menyelubungi mereka bertiga.

Thaqif dan hinaan lelaki itu, tak mungkin dapat memisahkan persahabatan mereka bertiga. Apalagi, sejak kembali ke tanah air, hanya mereka berdua saja kawan yang dia ada.

“Tapi aku tetap rasa bersalah, Shana.”

“Jangan, Min! Kalau kau anggap aku kawan, jangan pernah rasa bersalah. Kita kawan, kan?”

“Ya... sampai mati!” Yasmin capai tangan Shana. Kemudian digenggam erat-erat.

“Ya... sampai mati!” Itu juga yang dijawab Budriz walaupun soalan itu tak diajukan padanya.

Hanya dua tahun mereka bertiga berkenalan. Itu pun di bumi orang. Tak banyak juga yang mereka tahu tentang Shana. Namun tempoh dua tahun itu membuatkan hubungan mereka rapat. Sayang kalau mereka harus kehilangan seorang kawan sebaik Shana yang sanggup melakukan apa saja untuk mereka, walaupun sudahnya hanya membuatkan kawan mereka itu dimalukan Thaqif.

Empat orang kawan mereka tuju demi meminta pertolongan. Semuanya tak mahu membantu dengan pelbagai alasan. Namun atas tiket persahabatan, Shana sanggup mencuba. Sungguh... dia tak mahu hilang kawan sebaik Shana!

“Tapi sorry ya... aku dah tak dapat tolong korang lagi. Hati abang korang keras macam batu.”

Yasmin dan Budriz ketawa perlahan. Lega bila Shana tak terus menyalahkan mereka.

“Aku pun tak sangka dia tak cair dengan kau.”

“Kau cair ke dengan aku?” tanya Shana pada Budriz.

Pantas Budriz menggeleng. Shana itu baginya hanya kawan, tak lebih daripada itu. Lagipun kalau dia ada hati pada Shana, di mana hendak dicampakkan Zaza?

“Yalah, aku tau aku ni hitam macam arang,” rajuk Shana, berpura-pura.

Bila Budriz mengetap bibir, ketawanya dan Yasmin bergabung membingitkan suasana. Namun dalam diam, dia mendoakan supaya Thaqif bertemu dengan perempuan yang benar-benar Thaqif inginkan dalam hidup. Yang kena dengan cita rasa lelaki itu. Biar Thaqif bahagia dan seterusnya dapat membuka jalan untuk Budriz dan Yasmin hidup di sisi pasangan masing-masing.

“Terima kasih sebab tolong kami, Shana walaupun rancangan kita gagal,” ucap Yasmin tenang.

“Kalau berjaya kan bagus?” Shana, gelak-gelak selepas berkata begitu.

“Kalau kau betul-betul jadi dengan abang aku, bukan olok-olok... lagilah aku suka!”

“Gila!”

“Kenapa gila kalau kau dan abang aku sama-sama single and available?” Budriz ikut mengusik Shana.

“Mimpi ngerilah abang korang sebab hari-hari terpaksa menghadap aku!”

Sudahnya, ketawa mereka bertiga bergema memecahkan suasana bisu di Suraya Seafood di Kampung Baru! Benar, mereka bertiga gagal dalam memastikan rancangan yang dibuat bertemu kejayaan. Namun mereka tak gagal dalam mempertahankan erti sebuah persahabatan. Mereka masih boleh senyum dan bergelak ketawa walaupun selepas apa yang berlaku.


MASUK saja ke perpustakaan mini milik keluarga mereka, tempat Thaqif sedang membaca sebuah buku, Yasmin terus menghulurkan sampul surat berwarna putih. Tak mahu bertangguh kerana ini yang diamanahkan Shana padanya. Bimbang kalau lebih lama masa diambil, semakin lupa jadinya kelak.

“Apa ni Min?” tanya Thaqif dengan kerut di dahi.

“Ambil ajelah. Tak payah tanya-tanya,” kata Yasmin bagaikan mendesak. Sebetulnya dia masih terkilan dengan kata-kata Thaqif pada Shana.

Thaqif capai juga sudahnya. Dibelek-belek seketika sebelum diletakkan di atas pahanya. Nanti-nanti masih boleh dilihat isinya. Hanya ketika ini, dia mahu berbual-bual dengan Yasmin. Adiknya dilihat agak dingin sebaik saja mereka meninggalkan Shana di Gerai Yong Hanifa pagi semalam.

Shana! Apa agaknya yang dibuat gadis itu ketika ini, pada saat ini?

Pagi tadi, tak seperti pagi-pagi yang lain, Shana tak lagi menunggunya di tepi lif Menara Semarak. Malah, tak ada satu pun mesej atau panggilan yang diterima daripada gadis itu. Shana bagaikan hilang ditelan bumi. Bila dia berpaling ke belakang sebelum memboloskan diri di dalam lif, tetap juga Shana tak muncul.

Sihat ke Shana?

Menyedari betapa otaknya seperti tak berada pada paksi yang betul, pantas Thaqif menggeleng-geleng kepala. Apa perlunya dia mengingati Shana? Apa untungnya jika tahu khabar berita gadis itu?

“Min duduk sekejap boleh?”

“Min ada kerja urgentnak kena buat,” kata Yasmin beralasan. Masih belum bersedia bertentang mata dengan Thaqif.

“Duduklah sekejap. Ada benda abang nak cakap pada Min.”

Yasmin menggeleng. Sampai ke detik ini, dia tak percaya abang yang selalu disanjung sanggup mengeluarkan kata-kata yang tak sepatutnya pada Shana. Benci macam mana pun, Thaqif harus tahu menjaga air muka orang lain. Tak rugi jika kejahatan dibalas dengan kebaikan. Bukankah itu yang Thaqif ajarkan pada dia dan Budriz selama ini? Jadi, bila sampai giliran Thaqif, kenapa lain yang abangnya buat?

Takkanlah Thaqif itu spesies ketam? Mengajar anak berjalan lurus sedang jalan sendiri senget-benget!

“Duduklah...” Tangan Yasmin, Thaqif tarik supaya duduk di sisinya.

Panjang muncung Yasmin bila akhirnya dia terpaksa mengalah. Mahu berkeras, dia tak sampai hati.

“Min marah abang?” tanya Thaqif lembut. Pada bibirnya, ada senyuman.

Yasmin geleng, walau bibir hendak mengiakan. Tapi kalau buat begitu, apa perlunya?

“Pasal Shana?”

Tajam mata Yasmin menombak anak mata Thaqif. Selama ini dia cukup hormatkan Thaqif. Lantaran itu, dia seperti tak percaya dengan telinga sendiri. Kalau orang lain yang bercerita, sungguh dia tak akan percaya. “Min tak rasa apa yang abang buat tu betul. Kalau pun tak suka dia, abang tak perlu hina dia sampai macam tu sekali. Teruk benar ke kalau kerja di tempat macam Shana tu kerja, abang?”

Thaqif terus tersenyum. Telahannya nyata tak silap. “Min sangka abang macam tu ke?”

“Min tak sangka tapi telinga Min sendiri yang dengar.”

Panjang, Thaqif hela nafas. Kemudian dilepaskan perlahan. Itu yang Yasmin dengar daripada mulutnya. Yang Yasmin tak tahu, sepanjang malam dia tak tidur kerana dihantui rasa bersalah pada Shana. Dia tak patut berkata begitu hanya semata-mata mahu menyakitkan hati Shana. Membuatkan gadis itu benci padanya.

Siapa dia hendak menghina pekerjaan Shana? Sekurang-kurangnya, gadis itu membuat pekerjaan yang halal.

“Abang tak bermaksud macam tu Min.”

“Tapi itu yang abang katakan pada dia!”

“Abang tahu abang salah dan abang betul-betul rasa bersalah pada Shana. Tapi hanya itu satu-satunya jalan yang abang ada untuk pastikan dia tak terus kejar abang. Abang tak ada pilihan lain, Min.”

“Dan... abang bahagia ke sekarang ni lepas buat macam tu?”

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.