SEPANJANG perjalanan balik dari Gerai Yong
Hanifa, Shana terasa seperti dipanggang di atas bara. Bukan kerana cuaca yang
sudah mula membahang, tapi permintaan Naim yang di luar jangkaannya. Lelaki
itu, ternyata lembut gigi dibandingkan lidah. Tetap sama seperti empat tahun
lalu.
Kalaulah
dia tahu Naim begitu, dia tak akan melayan lelaki itu dengan baik. Biar Naim
tahu langit itu bukannya rendah. Sia-sia saja dia membayar harga makanan
sedangkan apa pun tak masuk ke perutnya. Usai saja membasuh minda lelaki tak
sedar diri itu, dia terus angkat kaki.
Panggilan
Naim yang mengalahkan halilintar, dibuat pekak!
Namun
belum pun sempat kakinya melintas jalan, mahu menuju ke Kedai Buku Kasih,
langkahnya terhenti sebaik saja melihat seraut wajah dengan senyum simpul di
bibir.
Kenapa
hari ni nasib aku begitu malang? Tanya hatinya geram.
“Hai...
sayang,” sapa Rafie dengan sengihan di bibir.
“Hai!”
balas Shana kurang mesra. Bukannya dia mahu berlagak sombong. Tapi jengkel
dengan sikap gatal lelaki yang bekerja di bank, selang beberapa bangunan dari
Kedai Buku Kasih.
Sayang?
Uwek! Tekak Shana meloya tiba-tiba.
“Ke
mana tadi? Abang cari Shana kat kedai buku tapi Shana tak ada. Baru nak balik,
tiba-tiba Shana muncul. Kita ni memang berjodoh agaknya. Memang Shana rasanya bakal
isteri abang.”
Abang?
Ikutkan
mahu saja dimuntahkan apa saja yang ada di perut kala ini di hadapan Rafie.
Sungguh tak berkenan setiap kali Rafie membahasakan diri abang dengannya.
Mungkin ini juga yang Thaqif rasa saat dia tergedik-gedik memanggil lelaki itu
abang walaupun setelah dilarang berkali-kali.
“Saya
ke Gerai Yong Hanifa. Ada apa ya Encik Rafie cari saya?”
“Shana...”
seru Rafie lembut. Mata dikedipkan sekali pada Shana. “Berapa kali nak cakap
ni, jangan panggil Encik Rafie, panggil abang aje. Degil ya? Nak kena babab
dengan abang tau dia ni?”
Kalau
tadi Shana hanya terasa nak muntah, tapi kini rasa-rasa itu seperti tak mampu
ditahan lagi. Lelaki bernama Rafie ini benar-benar meloyakan. Ingat dia ayam ke
boleh dibabab sesuka hati.
Lempang
laju-laju nak? Tanya hati Shana.
“Maaflah,
saya tak biasa panggil orang abang.”
“Tak
biasalah yang nak kena biasa-biasakan. Kalau tak sampai bila-bila pun akan jadi
tak biasa.”
“Ada
apa yang datang cari saya? Perlukan pertolongan?”
“Ya,
memang datang nak minta tolonglah ni.”
“Apa
dia?”
“Nak
minta tolong Shana temankan abang makan tengah hari nanti. Bosanlah makan
sorang-sorang,” kata Rafie sambil mempamerkan air muka gembira. Teruja
membayangkan dia dan Shana akan duduk di meja yang sama, berdua-duaan. Menikmati
makanan sambil berbual-bual manja.
Pertama
kali memandang Shana, hatinya bagaikan dilanda geroda. Ada tarikan pada wajah
gadis itu yang membuatkan hidupnya tak keruan. Makannya tiba-tiba saja jadi tak
kenyang. Mandi memanglah mandi, namun ketika mandi itu dia membayangkan yang
bukan-bukan. Ketika tidur, sering saja dia bermimpikan Shana datang padanya
dengan senyuman walaupun yang dipeluk, isterinya.
Pendek
kata, sejak wujudnya Shana di Kedai Buku Kasih, hidupnya hilang tenteram.
“Maaflah,
Encik Rafie. Bukannya tak sudi tapi saya dah janji dengan orang lain,” bohong
Shana.
Makan
bersama-sama Rafie. Duduk saling bertentangan mata. Berbual-bual mesra.
Sungguh... dia tak mahu!
“Dengan
siapa? Lelaki yang dengan Shana tadi tu ke?” Rafie bertanya. Muka cerianya
berubah suram.
“Bukan,”
balas Shana pantas.
Naim
menyangka dia punya hubungan dengan Thaqif. Rafie menganggap dia dan Naim ada
apa-apa hubungan. Kedua-dua lelaki itu memang sangat-sangat menjengkelkannya.
Agaknya memang lelaki baik-baik, yang tahu menghargai perempuan sudah pupus di
muka bumi ini.
Kalau
benar sudah pupus, kenapa Thaqif berbeza daripada mereka?
Ditayang
muka gedik. Dibuat suara menggoda. Dikenyit-kenyit mata. Pun, Thaqif tak pernah
peduli. Malah, selamba saja menempelaknya sesuka hati. Senyum dan ketawa juga
tak mahu Thaqif berikan padanya. Itulah yang membezakan Thaqif dengan mereka
berdua. Perbezaan yang membuktikan bahawa lelaki itu memiliki kualiti
tersendiri, sama seperti Raqib.
“Habis
tu Shana janji dengan siapa?”
“Boyfriend saya.”
“Siapa?”
tanya Rafie bagaikan mendesak.
Shana
berusaha mempamerkan senyuman manis. Dia kini ibarat terlepas daripada mulut
buaya, masuk ke mulut naga. “Kalau saya cakap pun Encik Rafie tak akan kenal.
Jadi tak perlulah Encik Rafie tahu,” ujarnya setenang mungkin. Jika tak
memikirkan soal malu, mahu juga ditempek pada Rafie supaya jangan lagi
mengganggunya. Bukan baru hari ini lelaki itu mencarinya di Kedai Buku Kasih.
“Tapi
abang tetap nak tahu siapa.”
“Thaqif!”
Senafas Shana memberitahu. Kalau Thaqif mendengar, mahu kepalanya dipenggal
lelaki itu.
“Siapa
tu? Abang kenal ke tak dengan Thaqif tu?” Ada kerut pada dahi Rafie. Cemburunya
menyala membayangkan Shana berjalan bersama-sama dengan seorang lelaki yang
langsung tak dikenali tadi, masih belum hilang. Kini, satu lagi nama lelaki
yang disebut gadis itu.
Tergelak
perlahan Shana dengan pertanyaan itu. Bodoh benar di telinganya.
“Kan...
saya dah cakap encik tak kenal.”
“Dah
lama kenal ke?”
“Dah
empat tahun kenal. Tak lama lagi kami nak bertunang dah, lepas tu terus kahwin.
Encik doakan supaya kami bahagia ya? Nanti bila harinya sampai saya akan
berikan kad pada encik. Jangan tak datang pula.”
Pantas
Rafie menggeleng dengan muka serius. Mendoakan Shana berbahagia dengan lelaki
lain, tak mungkin. Shana itu impiannya dan dia akan pastikan Shana tak terlepas
ke tangan sesiapa. Selagi status gadis digalas Shana, dia akan berusaha untuk
mendapatkan Shana untuknya.
“Abang
akan doakan Shana untuk abang!”
“Hah?”
Mulut Shana melopong. Sangkanya, bila menjawab begitu Rafie akan akur.
“Sedangkan
orang yang dah kahwin pun boleh bercerai, apalagi bila masih belum ada apa-apa
ikatan.”
Kedua-dua
tangan Shana masih ada di sisi, namun terasa sudah sampai ke pipi Rafie yang
berkata-kata seperti lelaki tak bertamadun. Tak faham bahawa dia menolak dengan
cara yang paling halus. Mungkin lelaki yang satu ini hanya akan mengerti dengan
bahasa jerit dan pekik.
Tapi
soalnya, dia tak mahu lagi memalukan dirinya sendiri. Cukuplah sekali itu dan
sampai ke hari ini, rasa malu itu terus diheret. Dia tak mahu memakai baju tapi
sebenarnya telanjang di mata banyak orang.
“Saya
jalan dululah Encik Rafie. Assalamualaikum...”
Tanpa
menunggu balasan kata daripada Rafie, dia angkat kaki. Hatinya haru. Bingung
memikirkan niat Naim. Belum lagi diambil kira Rafie yang tiba-tiba saja masuk
ke dalam hidupnya. Kononnya, jatuh cinta pandang pertama dengannya. Pendek
kata, Naim dan Rafie benar-benar sudah berjaya mengharu-birukan hidupnya, hari
ini.
“Ni...
balasan sebab aku pernah haru-birukan hidup Thaqif ke ni?”
EMPAT minggu berlalu sejak Shana hilang
daripada pandangan mata Thaqif. Sungguh... dia rasa gembira. Bahagia kerana tak
perlu lagi memikirkan strategi untuk memastikan gadis itu lenyap daripada
hidupnya.
Tapi...
entah kenapa di sebalik rasa tenang, ada masa-masanya dia seakan-akan
tercari-cari bayang-bayang Shana. Lebih haru, di mana-mana tempat Shana pernah
muncul di situlah matanya jadi terpaku. Paling kerap, di hadapan lif.
Kadang-kadang, sehingga pintu lif tertutup rapat, matanya tetap hala ke depan.
“Ada
apa sebenarnya dengan aku ni?” bisik Thaqif sendiri.
Dan
kini, detik ini dia sedang berdiri di hadapan jalan bertentangan dengan Kedai
Buku Kasih.
“Kalau
hari ni tak free, harap esok free ya. Abang berharap!”
Rafie
pergi sebelum sempat Shana membalas kata-katanya. Lantas, dia mengeluh.
Jengkel! Merasakan dada kembali lapang dan lampu hijau pun menyala, tanda dia
sudah boleh melintas jalan. Namun menyedari seseorang muncul secara tiba-tiba
di sisinya, dia berpaling. Lalu, lampu hijau bertukar merah sekali lagi.
Thaqif!
Sebaris
nama itu hanya bergema di hatinya, tak terluahkan kerana tak ada keperluan
berbuat begitu.
Untuk
masa beberapa detik, masing-masing saling bertenung-tenungan. Shana dengan rupa
tenang. Thaqif dengan riak serba salah. Ada debaran menggila dalam hatinya.
Mulut ingin menyapa Shana, bertanya khabar gadis itu selepas empat minggu
berlalu. Namun bibir terasa seakan-akan kaku.
Shana
nampak tak berubah, masih sihat dan cantik seperti biasa.
Cantik?
Terasa kepala sendiri bagaikan mahu dihantukkan di atas jalan raya saat
tersedar dia sedang memuji Shana.
Lampu
hijau berlambang pejalan kaki kembali menyala. Tanpa kata, Shana kembali
meneruskan langkah dengan tenang. Misinya bersama Budriz dan Yasmin, gagal. Tak
ada keperluan untuk saling bertegur sapa dengan Thaqif. Biarlah mereka
meneruskan jalan hidup sendiri.
“Dia
pergi? Pergi macam tu aje?” tanya Thaqif perlahan.
Langkah
tertib Shana diamati terus dengan rasa tak percaya. Sangkanya, gadis itu akan mengedik
seperti biasa kerana itulah Shana yang dia kenali.
“Dia
tak tegur aku langsung? Senyum pun tak ada sikit pun?” tanya Thaqif sendiri,
sekali lagi.
Dahinya
yang berpeluh sedikit, Thaqif kesat dengan sapu tangan. Masih melihat Shana yang
semakin mengecil dan kemudian hilang ditelan Kedai Buku Kasih. Beberapa orang
yang menghampirinya kerana hendak melintas jalan, langsung tak diendahkan.
Fikirannya masih menerawang memikirkan Shana.
Kemudian,
lambat-lambat dia berpaling ke belakang. Mahu balik ke Menara Semarak dan
meneruskan kerjanya seperti biasa. Untuk apa dia ada di sini dia tak mengerti.
Tahu-tahu saja dia berhenti di hadapan
Shana yang ditinggalkan seorang lelaki dalam lingkungan usia awal 40-an.
“Siapa
lelaki itu? Mangsa baru Shana ke?”
Sambil
berjalan, sambil mulutnya berkata-kata. Lalu langkahnya, jadi sangat perlahan.
“Kalau
mangsa baru, kenapa pilih lelaki yang nampak berumur? Dah tak ada ke lelaki
muda yang lebih sesuai dengan dia dalam dunia ni?”
Kali
ini, peluh yang menitis di dahi diseka dengan belakang tangan. Tidak puas hati
kerana Shana langsung tak mengendahkannya. Lebih tak puas hati kerana mudah
benar Shana mencari mangsa baru. Hanya sebulan selepas dia menolak gadis itu!
Takkah itu menampakkan peribadi sebenar Shana?
“Tapi
tak nampak ke Shana yang muka lelaki itu macam lelaki gatal? Dahlah tu, bukan
lawa pun.” Kaki Thaqif sudah memasuki Menara Semarak. Tiba di hadapan pintu
lif, tempat Shana selalu menunggunya, kakinya berhenti. Tegak dia berdiri.
Tajam renungannya pada dinding yang menjadi tempat sekujur tubuh Shana
bersandar dengan senyuman manis di bibir.
“Tapi
kenapa dia langsung tak nak tegur aku? Cakap ‘hai’ pun tak sudi?”
Muka,
Thaqif raup dengan kedua-dua belah tangannya. Hatinya rasa berat, rasa merusuh
sendiri, entah atas alasan apa. Tak pasti mana satu puncanya. Shana yang
seperti tak mengenalinya langsung atau Shana yang sudah mencari pengganti yang
lain dalam masa yang singkat.