LIMA hari telah berlalu, namun bayangan Shana yang pergi begitu
saja asyik berulang tayang di minda Thaqif. Puas dipaksa, tetap juga tak mahu
pergi. Macam gula-gula getah yang gagal ditanggalkan. Shana di matanya ketika
itu dengan Shana yang saban hari mengejarnya, bezanya bagai langit dengan bumi.
“Mana satu sebenarnya Shana?”
Entah kenapa, makin lama terasa makin banyak tanda tanya di
kepalanya dan semua itu berkaitan dengan Shana. Dia tak mahu tahu, namun hati
di dalam melonjak-lonjak tak dapat bertahan.
“Ada apa sebenarnya dengan Shana?”
Mundar-mandir Thaqif berjalan di dalam bilik pejabatnya.
Risau memikirnya yang mungkin Shana dilanda masalah. Hendak bertanya, dia malu
kerana dia terlebih dulu sudah memalukan gadis itu. Mahu bertanya pada
kawan-kawan Shana, siapa pun dia tak kenal. Teringatkan Sakinah, pantas dia
mengheret langkahnya ke luar.
“Sakinah...
awak kenal pekerja Madam Anne?” ajunya pada Sakinah.
“Madam
Anne mana bos?” tanya Sakinah kembali. Terkejut bila Thaqif tiba-tiba saja
muncul di hadapannya. Bertanya pula soalan yang agak kabur di telinganya.
“Berapa
banyak Madam Anne yang awak kenal ni?”
“Adalah
beberapa orang. Kenapa bos?”
Keluhan
kasar Thaqif kedengaran. Terjegil sedikit matanya. Sakinah ini ada masa-masanya
suka juga membuat loyar buruk dengan kawan-kawannya. Manalah tahu diam-diam,
dia dikenakan gadis yang setiap hari sentiasa saja tersenyum. Dimarah dan
ditegur pun, tetap juga berwajah selamba.
“Alah,
yang ada kedai buku kat sebarang jalan tu. Awak selalu beli asam kat mini
market dekat-dekat kedai buku tu, kan?”
“Saya
memang selalu beli asam kat situ. Tapi saya tak kenal sesiapa. Selalu tu saya
beli, bayar, senyum dan lepas tu balik pejabat. Kenapa bos? Ada sesiapa yang
dah buat silap pada bos ke?”
“Awak
ni jauh benar fikirnya. Sesekali otak tu cubalah berfikir tentang hal-hal yang
positif biar hidup tu berkembang sikit,” bebel Thaqif perlahan.
“Dah
tu bos tiba-tiba datang tanya soalan tu, saya rasa pelik. Selalu tu nak dengar
bos buka mulut tentang hal yang tak berkaitan dengan kerja, payah benar. Macam
dalam mulut tu ada emas permata,” kata Sakinah panjang lebar. Dengan Thaqif,
memang dia berani kerana lelaki itu bukan jenis pemarah. Tak banyak bersuara,
tapi murah dengan senyuman. Air muka juga selalu tenang. Tak seperti Syed Faruq
yang selalu saja berwajah serius. Memandang orang seperti hendak ditelan.
“Ramai
benar ke pekerja kat sana?”
“Kedai
buku atau mini market?”
“Kedai
bukulah!” rengus Thaqif. Selain suka makan asam, dia juga tahu yang Sakinah
selalu bertukar-tukar novel dengan Yasmin. Tentu gadis itu biasa memasuki Kedai
Buku Kasih itu.
“Ada
beberapa orang. Kenapa bos?”
“Berapa
orang perempuan dan berapa orang lelaki?”
“Saya
tak kiralah pulak, bos.”
“Eh...
awak ni! Pergi sana hari-hari. Kadang-kadang pagi pergi, tengah hari pergi.
Petang pun pergi. Takkanlah tak tahu pula?”
“Lah...
bos tak pernah suruh saya kira sebab tu saya tak pernah ambil tahu. Kalau bos
suruh, hari pertama lagi saya dah kira. Apa kata, petang nanti bila saya pergi
sana saya tengok dan tanya nama semua pekerja dia?” tawar Sakinah ikhlas. Pelik
pula Sakinah melihat tingkah Thaqif hari ini. Seingat dan setahunya, Thaqif itu
tak pernah ambil tahu hal orang yang tak berkaitan dengan syarikat. Kalau
berjalan pun hanya tunduk. Hendak beramah mesra dengan orang lain, memanglah
kempunan. Yang lelaki itu tahu, hanya senyum, senyum dan senyum sehingga banyak
hati di Menara Semarak ini yang jatuh tergolek kerana suka.
“Awak
ni tak boleh membantu langsunglah!”
“Bos
marah saya ke?” Sakinah garu-gara kepala berikat ekor kuda miliknya.
“Awak
nampak saya tengah senyum ke sekarang ni?”
“Tapi
apa salah saya?”
“Buat
ajelah kerja awak tu. Kalau tak siap, jangan harap awak boleh balik awal macam
biasa hari ni,” ugut Thaqif kurang puas hati. Kemudian, langkah diayun
meninggalkan meja kerja Sakinah.
Bukannya dia tak perasan yang Sakinah selalu hilang. Sehari,
kalau tak tiga kali, dua kali. Namun tak ditegah kerana gadis itu hanya membeli
asam. Itu pun bukan pada waktu kerja. Tapi waktu minum pagi, makan tengah hari
dan minum petang. Pergi dalam masa yang sangat singkat.
Dengan langkah panjang-panjang, dia meninggalkan Menara Semarak
menuju ke Kedai Buku Kasih tanpa sebarang pesanan. Selagi tak melihat Shana
dengan matanya sendiri, dia tak akan dapat duduk dengan selesa. Hatinya
libang-libu. Bagaikan ada yang tak kena. Dia benci berada dalam keadaan seperti
ini.
“Eh... itu Shana tu,” kata Thaqif saat melihat Shana yang
seperti menyorok di kaunter bayaran kedai telefon bimbit yang dijaga seorang
gadis berbangsa Cina. Kedai itu terletak di kiri Kedai Buku Kasih. Dia
berselindung di sebalik tiang. Tak mahu kehadirannya dikesan gadis itu. Niatnya
hanya mahu melihat Shana dari jauh. “Tapi... apa yang dibuatnya
terbongkok-bongkok macam memerhatikan seseorang?”
Terus Thaqif amati tingkah Shana yang agak pelik di matanya.
Nampak seperti sedang mengelak daripada seseorang.
“Eh... siapa pula lelaki yang macam mencari-cari sesuatu
atau seseorang tu? Dia cari Shana ke?”
Melihat Shana semakin tunduk dengan rupa cuak, Thaqif yakin
memang Shana sedang mengelak daripada lelaki yang sedang bercekak pinggang itu.
Siapa dia? Seingatnya, itu bukan lelaki sama yang dilihat bersama-sama Shana
pada minggu lalu. Yang ini nampak lebih muda dan tinggi lampai.
“Eh... berapa banyak lelaki Shana ada ni?”
Hatinya di dalam seperti terasa sesuatu. Rasa apa, dia
sendiri gagal menyelaminya. Hanya dia kurang senang membayangkan Shana
bertukar-tukar lelaki seperti bertukar baju.
Cemburu? Tak mungkin!
Cemburu? Gila! Adakah aku cemburu tengok Shana dengan lelaki
lain? Mustahil dan itu tak akan berlaku!
Saat lelaki yang masih bercekak pinggang itu pergi dengan
rupa marah dan Shana tiba-tiba bangun daripada tempat persembunyiannya, Thaqif
tetap juga menjadi pemerhati. Namun, dia bukannya memerhati semata-mata,
sebaliknya inginkan jawapan terhadap apa yang baru saja dilihat.
Baru saja dia mahu keluar mendapatkan Shana, tiba-tiba Shana
lari lintang-pukang saat muncul seorang lelaki dari arah kanan.
“Ni... bukan lelaki minggu lepas ke?”
Tanpa berfikir panjang, ketika melihat Shana berlari menuju
ke arah jalan raya, terus Thaqif ikut berlari. Pantas tangannya mencekup lengan
Shana saat gadis itu hendak melintas jalan tanpa melihat ke kiri dan ke kanan.
Malangnya, pegangannya terlepas dan dalam sekelip mata, Shana tersembam mencium
lantai.
“Shana!” jerit Thaqif.
Terus dia tunduk dan menarik lengan Shana supaya berdiri.
Untuk masa beberapa detik, dia dan Shana saling berpandangan. Terkejut dengan
apa yang baru saja berlaku. Langsung tak peduli pada dahi Shana yang sudah pun
berdarah. Dan entah kenapa, dia melihat Shana sangat cantik dengan baju kurung
kapas berwarna krim berbunga hijau kecil-kecil.
“Aduh...” ucap Shana tiba-tiba.
“Shana...” Tersedar, terus tangan Thaqif naik ke dahi kanan
Shana.
“Aduh... sakit!” spontan tangan Shana menepis tangan Thaqif
yang sempat menyentuh lukanya.
“Itulah... itulah dia kalau tak reti nak pandang kiri kanan.
Buat jalan raya macam bapa dia yang punya. Berlari macam kena kejar polong. Dah
jatuh, dah luka macam ni baru nak tau rasa sakit,” bebel Thaqif setelah pulih
daripada rasa terkejut. Jantungnya yang berdetak laju, perlahan-lahan kembali
ke rentak asal. Gerunnya dia membayangkan jika lengan Shana tak sempat ditarik,
kemudian tubuh Shana disambar lori berkepala merah yang dipandu laju.
Shana diam. Tahu dia bersalah, maka dia jadi tak berani
hendak membalas kata-kata Thaqif. Selebihnya, dia berasa terhutang budi dengan
Thaqif. Kalau lelaki itu tak ada, tentu hari ini akan jadi hari terakhirnya.
“Kenapa diam?” sergah Thaqif.
Terangkat bahu Shana sedikit. Terkejut dengan sergahan
Thaqif yang tiba-tiba.
“Selalu tu mulut macam bertih goreng. Gedik mengalahkan anak
remaja.”
Hati Shana sakit bila dikata gedik oleh Thaqif. Tapi
disabarkan hatinya kerana dia bersalah. Dia memang pernah mengedik mengejar
Thaqif walau lelaki itu tak tahu niat asalnya.
“Saya nak balik kedai buku,” kata Shana perlahan. Tak rela
terus menjadi tontonan Thaqif dan beberapa orang yang tertoleh-toleh pada
mereka berdua.
“Macam tu aje?” sinis Thaqif.
“Nak macam mana lagi. Benda dah berlaku pun,” kata Shana
selamba.
“Takkanlah macam tu aje?” Jelas, Thaqif benar-benar tak puas
hati. Shana benar-benar sudah bertukar menjadi pasif. Umpama pahat dengan
penukul, sekali diketuk sekali bergerak.
“Habis tu awak nak suruh saya buat apa?” tanya Shana
bagaikan membentak. Cuaca yang panas membuatkan luka di dahinya jadi
bertambah-tambah berdenyut. Dia mahu segera balik ke rumah, membersihkan
lukanya. Madam Anne akan dihubungi setelah dia sampai di rumah kelak.
“Memang dasar tak mengenang budi!”
“Thaqif!” bentak Shana. Kesabarannya hanya tinggal senipis
kulit bawang.
“Thaqif?” tanya Thaqif selamba. Bibirnya mencebik sedikit
sedangkan mata tertancap pada dahi Shana. Luka gadis itu mungkin sedikit, namun
hatinya yang melihat terasa bagaikan dicarik halus.
Apa yang aku sedang rasa ni? Perasaan apakah ini?
“Bukan abang?” Usai berkata, kening Thaqif terjongket
sedikit. Mengejek Shana yang tampak bengang.
“Awak bukan abang saya!”
“Dulu pun saya bukan abang awak juga. Kenapa awak tetap
panggil saya abang walaupun saya larang?”
“Dulu tu saya bodoh!” balas Shana selamba. Tak mengerti,
mengapa Thaqif seperti sengaja mengungkit cerita semalam. Sedangkan
segala-galanya telah berakhir.
Kiranya mereka sudah 0-0. Apa lagi yang Thaqif tak puas
hati?
Terkejut Thaqif dengan kata-kata Shana itu. Selama ini, tak
pernah dilihat Shana membentak dan mengeluarkan kata-kata kasar begitu. Gadis
itu benar-benar sudah berubah dalam masa sebulan.
“Sekarang ni kiranya awak dah pandailah ya?”
“Apa masalah awak ni sebenarnya? Apa yang awak tak puas hati
lagi? Dah hina saya depan Yasmin. Apa lagi yang awak nak?”
“Shana...”
Hilang kata-kata Thaqif. Lemah hatinya bila Shana mengungkit
kisah itu. Rasa bersalah menderu-deru masuk ke dalam hatinya. Hakikatnya, dia
tak pernah berniat hendak menghina Shana, apa lagi di hadapan Yasmin. Dia
bukannya lelaki sejahat itu. Hanya dia terpaksa berbuat demikian demi diri
sendiri.
“Dahlah... saya nak pergi. Kalau awak nak terpacak
tengah-tengah panas ni, awak buatlah sorang-sorang.”
“Nak ke mana?”
“Bukan urusan awak!”
“Dahi tu luka. Perlu dicuci cepat dan diletak ubat. Tampal
plaster supaya kuman tak masuk.”
Cepat-cepat Shana mahu menyentuh lukanya, namun tangannya
ditepis lembut oleh Thaqif.
“Jangan pegang! Tangan entah-entah berkuman. Nanti jadi
lebih teruk lagi,” rungut Thaqif.