Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 12

MI GORENG di atas meja, sedikit pun tak Shana endahkan walaupun tadi dia sendiri yang mencedok mi tersebut ke dalam pinggannya. Jari-jemari kanannya hanya sibuk mengacau-ngacau air di dalam gelas. Khusyuk, seolah-olah yang diputar itu dunia yang berlegar-legar di sekelilingnya.

“Kenapa tak makan mi goreng tu?” tanya Thaqif selepas beberapa minit masa berlalu.

“Tak lalu. Tak selera,” balas Shana datar.

“Kenapa?”

“Ada batu besar dalam kepala,” jawab Shana main-main.

Tak seperti selalu, tak ada senyum dan ketawa di bibirnya. Hatinya tak tenang. Jiwanya merusuh sendiri. Kebisuan dan kebekuan papanya bagaikan beban yang tak mampu ditanggung. Lantaran itu, pagi-pagi lagi dia sudah keluar rumah. Menunggu Thaqif di hadapan pintu lif.

Ikutkan hati, mahu saja dikisahkan pada Thaqif. Bukan inginkan pertolongan. Simpati jauh sekali. Hanya sekadar mahu meringankan hatinya yang bergalau sejak malam tadi. Namun, bibirnya tak tersebut. Membuka pekung di dada sendiri, dia tak cukup kuat. Selebihnya, Thaqif bukannya siapa-siapa dalam hidupnya, walaupun dalam masa hampir tiga bulan ini dia galak memburu lelaki itu.

“Ada sebesar Batu Bersurat di Terengganu?” Sinis nada suara Thaqif.

“Abang pernah tengok ke?”

“Tak pernah!”

“Dah tu kenapa sebut kalau abang sendiri tak pernah tengok?”

“Saja suka-suka. Kenapa, tak boleh ke?”

“Boleh aje.”

“Dah tu apa masalahnya yang sampai nak tanya-tanya?”

Shana geleng dalam senyuman. Tak lebar mana, namun dia ikhlas dengan senyumannya. Merenung lama pada wajah Thaqif, dia menarik nafas perlahan. Lelaki itu bukannya siapa-siapa dalam hidupnya. Hanya seorang yang terlalu asing dan tentunya sampai ke detik ini Thaqif tertanya-tanya siapa sebenarnya dia. Malah, dia tahu yang Thaqif tak pernah pun ikhlas dengannya. Duduk di hadapannya seperti saat ini, semata-mata tak mahu bersoal jawab dengannya.

Dia tahu hakikat itu. Hanya mata sengaja dibutakan daripada melihat riak kurang senang Thaqif apabila berhadapan dengannya. Telinga ditulikan daripada mendengar nada suara Thaqif yang jelas terkandung rimas bila berbicara dengannya.

Namun, sepanjang malam tadi dia berharap supaya siang cepat menjelmakan diri. Tak sabar mahu melihat Thaqif. Hanya melihat tanpa ada sebarang harapan. Setidak-tidaknya, dia dapat merasakan adanya seseorang di sisinya. Meskipun, seseorang itu hadir atas dasar terpaksa.

“Kenapa?”

“Apa yang abang maksudkan dengan kenapa tu?” tanya Shana kembali pada Thaqif.

“Muka macam arang aje.”

“Adakah abang menghina saya sebab saya hitam?”

Berubah air muka Thaqif dengan soalan spontan daripada Shana. Bukan itu niatnya. Jauh sekali mahu menghina kulit Shana. Ayat yang meluncur di bibirnya datang begitu-begitu saja tanpa dirancang. Lebih daripada itu, dia tak melihat kulit Shana hitam seperti arang. Gadis itu hanya berkulit sawo matang. Malah sebagai lelaki, diakui betapa segala-gala yang ada pada Shana itu sudah sangat sempurna. Tak perlu berkulit putih melepak seperti susu.

“Saya tahulah saya ni hitam legam macam malam,” ujar Shana perlahan. Kulit di tangannya dilihat dan dicubit-cubit kecil.

Kulitnya memang tak putih, hendak diapakan lagi?

Makin bersalah Thaqif rasa saat melihat Shana membelek kulit sendiri. Sungguh... bukan itu niatnya. Kalau pun kulit Shana hitam seperti arang, siapa dia hendak mempersoalkan setiap kejadian yang telah dicipta ALLAH? Kulitnya sendiri, walaupun putih bukan bermakna tak ada cacat cela di mana-mana.

“Maaf...” ucap Thaqif rendah.

“Tak perlu,” jawab Shana sebak. Bukan kerana kulitnya yang tak cerah. Tapi kerana Thaqif masih melayannya dengan baik, walaupun dia sudah menghuru-harakan hidup lelaki itu.

“Saya betul-betul minta maaf, Shana...” Thaqif ucapkan ayat itu sesungguh hati.

Shana geleng sambil tersenyum. Pinggan mi goreng yang belum disentuh, ditolak ke depan. Hari ini seleranya benar-benar tak ada. Kalau dipaksa, bimbang akan dimuntahkan kembali. Yang ada di kepalanya tika ini, seraut wajah papa kesayangannya yang tak lagi memandangnya.

“Shana...”

Shana terus tersenyum. Nada serba salah Thaqif tak sukar ditelah. Panggilan Shana yang meniti di bibir lelaki itu mencuit hatinya. Hanya sebulan saja Thaqif memanggilnya Melati. Kemudian lelaki itu enggan dengan alasan, nama Melati itu sangat tak sesuai dengan sikap mengada-ngadanya. Malas melawan, dibiarkan saja. Shana atau Melati, tak ada bezanya kerana kedua-duanya memang namanya. Terserah pada Thaqif mahu menggelar dia apa. Asal jangan dengan gelaran yang buruk, itu pun sudah cukup baik baginya.

Sedangkan Thaqif yang melihat senyuman itu, rasa terhukum sendiri.

“Ada problem? Nak kongsi?”

“Mana abang tahu saya ada problem?”

“Saya tahulah.”

“Abang perhatikan saya ke? Saya ingat, selama ni abang tak nampak pun wujudnya saya,” ujar Shana tenang.

“Kalau dah hari-hari awak menebeng depan mata saya, butalah kalau saya tak nampak awak. Kan?”

Shana diam. Tak berhajat untuk menjawab pertanyaan Thaqif. Kali ini, air pula disorong ke depan. Jam di tangan, dipandang sekilas. Masa yang tinggal semakin sedikit. Sebentar lagi, dia dan Thaqif harus kembali ke tempat kerja masing-masing dan mula meneruskan rutin harian.

“Abang dah habis minum kan?”

Thaqif angguk. Gelas kopi O yang sudah kosong, ditolak ke sisi. Setiap hari dia menemani Shana bersarapan pagi. Namun dia tak pernah makan kerana perutnya sudah dipenuhkan di rumah. Balik-balik, yang dipesan hanya secawan kopi O. Mahu melihat Shana makan dan minum sendiri, rasa seperti tak sesuai.

“Kalau macam tu, kita gerak sekaranglah ya?”

Dahi Thaqif berkerut. Jam di tangan dipandang seketika. “Awak tak makan apa-apa hari ni.”

“Saya tak lapar.” Masih jawapan yang sama Shana berikan.

“Makanlah sikit. Saya tunggu...”

Lama Shana renung Thaqif. Dalam dan tajam renungannya menyapu bersih seraut wajah tenang Thaqif. Kalau dihitung-hitung, entah berapa banyak masa Thaqif yang telah disia-siakan untuk dirinya. Belum lagi mengambil kira duit lelaki itu yang terpaksa dikeluarkan demi membayar harga makanannya.

“Kahwin dengan saya, abang?” pinta Shana tiba-tiba.

“Apa?” Mulut Thaqif seakan-akan melopong.

“Kahwin dengan saya, biar saya tahu akan ada seseorang yang boleh tarik tangan saya kalau saya jatuh,” kata Shana tanpa mengalihkan pandangannya.

“Gila?”

Shana raup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Keluhan panjang kemudian dilepaskan bebas ke udara. Kepala didongakkan ke atas. Kipas yang berpusing terasa tak mampu menyejukkan hati sekeping miliknya. Rasa malu tiba-tiba saja menerpa diri. Terlalu dibuai emosi buat dia tak sedar apa yang dikatakan pada Thaqif.

Dia tak cintakan Thaqif, tak mungkin dia mampu hidup di sisi lelaki itu.

“Kadang-kadang saya memang gila sikit. Abang tahu tu, kan? Jadi, sila abaikan apa yang saya repekkan tadi.”

Tanpa menunggu Thaqif, Shana pantas mengatur langkah. Panjang-panjang langkahnya, tak terkedek-kedek seperti biasa. Cukuplah setakat ini untuk hari ini. Malunya pada Thaqif bukan kepalang, walau dia masih berusaha untuk berlagak tenang dan selamba. Bibir, terasa mahu ditampar laju-laju. Kenapa tergamak benar derhaka pada tuannya?


KUSUT air muka Thaqif. Hidupnya benar-benar telah dihuru-harakan Shana. Otaknya buntu. Permintaan gila Shana pagi tadi benar-benar menghantuinya. Gusar kalau-kalau Shana memaksudkan apa yang dikata. Hari ini mungkin Shana kata, hanya main-main. Esok-esok mungkin Shana bukan lagi bergurau.

Kalau itu sampai terjadi, apa yang perlu dijawab?

Menemani gadis itu makan setiap hari, bukan bermakna dia sudi hidup di sisi Shana buat selama-lamanya.

Tidak! Dia belum cukup gila untuk memperjudikan hidup bersama-sama seorang perempuan yang tak dikenali dengan baik. Lebih penting lagi, dia tak rasa hendak menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat ini. Kalau beberapa tahun lagi, itu dia tak pasti kerana dia merancang, sedangkan ada yang menjadi perancangan utama.

“Habis tu abang nak buat apa sekarang ni?”

“Abang tak tahu. Min tolonglah abang. Abang betul-betul tak tahu macam mana nak singkirkan perempuan tu daripada hidup abang,” adu Thaqif bagaikan anak kecil.

“Agaknya perempuan tu betul-betul sukakan abang tak?”

“Abang tak suka dia, okey!” Tinggi nada suara Thaqif.

Yasmin ketawa perlahan. Geli hati melihat Thaqif yang nampak begitu beria-ia. “Kalau tak suka kenapa abang temankan dia sarapan hampir setiap hari?” duga Yasmin, ingin tahu.

“Dia paksa abanglah.”

“Tapi abang ada mulut untuk kata tak, kan?”

“Dia ugut abang,” bela Thaqif pada diri sendiri.

Bibir Yasmin menjuih sedikit. Mengejek Thaqif yang sudah begitu dewasa tapi takut dengan ugutan seorang perempuan. Kalau Budriz ada ketika ini, pasti bilik Thaqif bergema dengan ketawa abang kembarnya itu. Perangai Budriz, memang mereka sekeluarga sudah sangat maklum. “Kalau dia betul-betul ikhlas dengan abang. Macam mana?”

“Tak ada maknanyalah, Min!”

“Kalau dia betul-betul nak kahwin dengan abang, macam mana?”

“Yasmin!” Setakah lagi suara Thaqif naik. Dia bercerita pada Yasmin kerana inginkan sokongan adik bongsunya itu. Mahu Yasmin memberikan idea bernas untuk melenyapkan Shana daripada kehidupannya. Namun yang dilihat, Yasmin seperti berpihak pada Shana walaupun adiknya itu tak kenal pun siapa Shana. “Abang tak minat nak hidup berkeluarga, apalagi dengan perempuan seperti Shana. Tengok gaya dia, memang ada ciri-ciri negatif. Tak boleh diharap langsung,” tuduh Thaqif selamba.

Dia bukan bercakap kosong, tapi berdasarkan pemerhatiannya selama beberapa bulan ini. Bagaimana Shana tiba-tiba muncul dalam hidupnya dengan gaya gedik. Mula mengatur itu dan ini. Memaksa sesuka hati walau gadis itu nampak dengan jelas mukanya yang tak pernah rela. Ugutan demi ugutan Shana pula menjengkelkannya. Belum lagi bila dia terpaksa mengeluarkan duit pada sesuatu yang tak mendatangkan faedah padanya.

Selama ini dia berusaha untuk bersabar. Yakin, lambat-laun Shana tentu akan meninggalkannya. Tapi bila Shana sudah berani menyebut soal kahwin padanya, dia sudah tak betah terus bertahan. Lantaran itu, sesuatu perlu dilakukan. Shana tak boleh dibiarkan terus mendekatinya.

“Sampai bila abang nak hidup sendiri?”

“Sampai bila-bila!”

“Bukan semua perempuan macam ibu, abang. Lagipun ibu pun dah sedar silap dia selama ini,” kata Yasmin kesal.

“Beri abang idea, Min.” Sengaja Thaqif memesongkan bicara.

Kepala Yasmin menggeleng. Selepas bertahun-tahun masa berlalu, Thaqif masih lagi dihantui kenangan silam. Padahal, Thaqif boleh melepaskan semuanya perlahan-lahan jika abangnya itu mahu. “Min tak ada idea.”

“Yasmin...”

Yasmin menggeleng sambil menggaru-garu pipi yang terasa gatal. Terdetik juga rasa bersalah melihat rupa kusut Thaqif. Tapi tak ada apa yang boleh dibantu dan dia pun memang tak mahu membantu.

“Abang tak selesa kalau terus dikejar dia, Min. Hidup abang tak tenang sejak dia muncul. Tolonglah, abang...” Lirih nada suara Thaqif. Dia benar-benar mahu keluar daripada kemelut yang dicipta Shana untuknya.

Yasmin pejamkan mata rapat-rapat. Yang dilihat, kelopak mawar gugur satu per satu!

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.