Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 6

MALAS melayan ditambah sakit hati, Thaqif jalan selaju mungkin. Tak mahu bersaing dengan Shana yang masih mengekor di belakangnya. Menyesal tak sudah dia kerana bertemu dengan Shana. Sudahnya, jangankan berhenti mengejarnya. Disuruh jangan memanggilnya abang pun gadis itu tak mahu menurut.

Masanya benar-benar terbuang! Dan kini, dia harus memikirkan cara lain untuk mengelakkan diri daripada terus diburu Shana.

“Abang, tunggulah!” pinta Shana.

Makin panjang langkah yang diambil Thaqif. Mahu segera sampai ke Menara Semarak yang hanya beberapa ratus meter jaraknya. Rupa-rupanya, diburu perempuan agak menggerunkan. Apalagi, perempuan yang tak tahu malu seperti Shana.

“Abang, tunggulah saya sekejap. Janganlah jalan laju-laju sangat. Tak terkejar saya jadinya.”

Thaqif buat-buat tak dengar. Dia anggap, Shana bukan bercakap dengannya. Dia bayangkan dia hanya berjalan sendiri selepas balik daripada makan tengah hari. Sedangkan, yang kenyang hanya perut Shana. Dia hanya minum segelas air epal.

“Abang!” jerit Shana kuat. Dia terus berhenti mengejar langkah Thaqif.

Beberapa orang yang lalu-lalang, memandang Shana dan Thaqif penuh minat, bersilih ganti. Mahu tahu drama apa yang sedang berlangsung di tengah-tengah panas yang masih berbahang.

Kuat Thaqif mengetap bibirnya. Langkah dihentikan, menunggu Shana. Namun tetap juga gadis itu tak menghampirinya. Lantas, dia berpatah kembali ke belakang dan berjalan pantas ke arah Shana yang masih memakukan langkah. Kalau Shana itu adiknya, memang diluku-luku kepala itu biar panas. Gagal menarik perhatiannya, gadis itu tarik pula perhatian orang ramai.

Buatnya ada yang mengenalinya kerana Menara Semarak yang terletak di situ, mana hendak diletakkan muka?

Kalau Syed Faruq tahu, takkah dia bakal dibebel?

“Gaduh ke?” tegur seorang perempuan separuh umur. Sekejap dia pandang Thaqif, sekejap kemudian dipandang Shana.

Shana tersengih. “Dia ni kedekut betul mak cik. Mulut aje kata sayangkan saya, tapi bila saya mintak dibelikan aiskrim pun tak nak. Tu yang masam muka macam asam kecut. Macamlah saya minta dia bawa saya makan angin kat Korea. Atau pun minum secawan teh kat Turki. Tak pun makan malam di Paris. Ni, aiskrim tepi jalan aje! Tak patut, kan mak cik?” tanya Shana selamba. Dia tersenyum manis pada perempuan peramah itu. Atau dalam bahasa yang lebih kasar, perempuan yang suka menjaga tepi kain orang. Pantang jika yang dilihat agak menarik perhatian.

“Memang tak patut!”

Thaqif terasa seperti mahu mencekik-cekik leher Shana biar gadis itu berhenti bernafas hari ini.

“Kamu pun, jadi suami janganlah kedekut sangat,” tegur perempuan itu bersungguh-sungguh memberi nasihat.

“Dengar tu abang!” ejek Shana pada Thaqif.

“Perempuan ni kalau selalu tak banyak kerenah, tiba-tiba jadi banyak tu tandanya ada yang tak kena pada dia.”

“Maksud mak cik?” tanya Shana. Berminat hendak tahu.

Sedangkan Thaqif yang melihat, terasa hati bagaikan digaru-garu. Sudahlah dia hendak cepat sampai ke Menara Semarak. Tak cukup dengan Shana, kini terpaksa pula menadah telinga mendengar ceramah tentang rumah tangga daripada perempuan yang langsung tak dikenali. Benar-benar membuang masanya.

Entah badi apa, akhir-akhir ini dia sering disapa orang yang tak dikenali. Mula-mula, Shana. Kemudian mak cik ini pula. Selepas ini entah siapa pula yang bakal muncul menghuru-harakan hidupnya.

Memang nasib aku ni tak berapa nak baik agaknya sekarang ni, desis hati kecil Thaqif.

“Yalah, mungkin kamu berdua nak terima orang baru agaknya.”

“Anak, maksud mak cik?”

Shana jeling Thaqif, yakin yang ketika ini hati Thaqif tentu sedang memaki hamun dirinya. Tapi biarlah. Selagi telinganya tak mendengar, dia tak akan peduli. Lainlah kalau Thaqif bercakap menggunakan mulut, di hadapan matanya. Itu barulah harus difikirkan apa yang patut dia rasa.

“Ya. Mungkin tak lama lagi akan ada anak yang bakal lahir. Tentu comel macam kamu berdua juga,” puji perempuan tersebut.

Shana tergelak kecil. Terhibur walaupun tekaan perempuan itu langsung tak mengena.

Anak? Ada anak dengan Thaqif? Ada anak secomel mereka berdua?

Tak mungkin!

Baginya, dia hanya singgah sebentar dalam hidup lelaki itu. Kemudian, dia akan pergi begitu saja. Berumah tangga dan punya seorang suami, juga anak-anak comel, tak ada dalam perancangannya buat masa ini. Cukuplah hanya dua kali itu saja niat mahu mempunyai keluarga pernah disimpan. Tak mahu ditambah menjadi tiga dalam masa terdekat ini. Dia sudah cukup selesa dengan hidupnya kini.

Punya seorang suami, belum tentu dia akan jadi selapang sekarang ini.

“Kamu jangan marah-marah dia lagi ya?”

Kelat senyuman Thaqif. “Yalah mak cik, nanti saya tak marah-marah dia lagi. Saya akan belikan isteri saya yang saya sayang sangat-sangat ni kilang aiskrim, letak dalam rumah. Boleh buat mandi kalau dah jemu makan nanti. Atau mengidam,” balas Thaqif. Sengaja perkataan isteri ditekankan untuk memberitahu Shana betapa hatinya mendidih kerana dianggap suami yang kedekut hanya gara-gara Shana.

Padahal, dia belum dipunyai sesiapa!

“Betul ke abang?” Shana sudah menayangkan rupa teruja.

“Betul sayang!” Tekan Thaqif sambil tersenyum lebar. Namun hati di dalam merungut tak sudah.

“Baguslah macam tu.” Kemudian perempuan itu berlalu begitu saja.

Shana yang melihat langkah yang kian menjauh itu, ketawa perlahan. Tak menduga ada pelakon tambahan yang sudah berlakon dalam filem dia dan Thaqif walaupun tak pernah dipinta.

“Apa lagi yang awak nak ni Melati? Nak makan, saya dah beri. Nak minum, saya dah beri. Tak cukup ke sampai awak nak kena buat macam ni sekali? Eh... saya malulah orang anggap saya macam tu!”

“Saya nak abang!”

“Saya tak nak awaklah! Berapa ratus kali nak cakap? Ke awak nak saya cakap dalam bahasa lain selain daripada bahasa Melayu dan Inggeris ni?”

“Bahasa apa yang abang boleh cakap lagi?”

“Hei...”

“Abang nak saya bomohkan abang ya supaya cintakan saya? Kalau nak, saya buat nanti,” potong Shana selamba. Suka melihat muka merah padam milik Thaqif. “Bomoh Siam okey kot, abang? Dengarnya ilmu mereka kuat.”

Kaki kembali Thaqif ayun tanpa membalas kata-kata Shana yang seperti orang tak bertamadun. Zaman moden, masih berfikir soal bomoh bagai, nampak benar betapa gadis itu hidup di zaman batu. Cumanya, kalau benar kenapa jadi begitu berani mengejar lelaki? Gadis zaman batu tentu saja tak begitu.

Tak mahu memikirkan soal itu, kepala digelengkan. Berterusan melayan kerenah Shana, akalnya bakal hilang. Darahnya bakal naik melambung. Kalau terkena strok, mungkin dia bakal koma selama-lamanya.

“Jangan ikut saya!”

“Saya tak ikut abang,” katanya sambil kaki terus melangkah mengikut Thaqif sehingga berhenti di hadapan Menara Semarak.

“Jangan ikut saya naik ke pejabat!” tegah Thaqif. Cukup-cukuplah dia dimalukan Shana hari ini. Kalau dibiarkan Shana terus mengekorinya, tak mustahil satu pejabat kecoh hari ini.

Tak! Tak akan dibenarkan Shana terus mencatat memori hitam dalam hidupnya!

“Siapa yang nak ikut pun? Saya hanya nak tengok abang sampai masuk dalam bangunan. Nak pastikan abang tak kena culik. Lepas tu saya baliklah ke tempat kerja saya pula.”

Ringan saja tangan Thaqif mahu meramas bibir Shana. Cakap-cakap gadis itu selalu lepas. Langsung tak berfikir panjang bila berkata-kata. Dia yang mendengar pula terasa semput nafas. Kemudian, tanpa mengendahkan Shana, dia melangkah laju ke hadapan. Biar cepat sampai. Rimas jika terus diekori begini.

“Kesian dia. Susah hati aku kerjakan,” kata Shana sambil tergelak sendiri.

Namun melihat bayang-bayang yang semakin menghilang, dia bersandar di tiang lampu isyarat sambil mengeluh panjang. Melihat Thaqif, menanggapi penerimaan lelaki itu yang sangat pasif, dia tahu yang dia bakal menghadapi jalan yang sukar. Tapi dia akan cuba bertahan selagi mana dia mampu bertahan. TUHAN, tolonglah...

DAH 30 tahun aku hidup dalam dunia ni, tapi tak pernah aku jumpa perempuan macam tu. Muka cantik, sawo matang. Senyum manis macam gula. Ayu bertudung. Pakai baju kurung kain kapas bertanah pink dan berbunga putih. Tapi perangai, jauh panggang dari api. Tak malu betul!” rungut Thaqif sebaik saja melepasi pintu utama. Merah padam mukanya kerana menahan geram.

Masih teringat-ingat betapa selambanya seraut wajah milik Shana setiap kali bersuara. Bibir nipis itu tak pernah lekang dengan senyum dan ketawa. Malah, setiap kata-katanya ditangkis dengan berani. Langsung tak peduli pada muka kelatnya yang rimas dengan gangguan yang bertali arus.

“Bos... cakap apa tu?” tegur Sakinah sambil tersenyum.

“Tak ada apa-apa!” balas Thaqif selamba.

“Eh... macam marah aje?” tanya Sakinah lagi. Masih tersenyum manis. Sengaja mahu berbual-bual dengan Thaqif. Bosnya itu dilihat tergesa-gesa keluar sebaik saja jarum jam menunjukkan ke angka 1.00 tengah hari.

“Awak ada buat salah ke?”

Sakinah geleng lembut. Kemudian dia tergelak-gelak perlahan. Tahu, Thaqif sengaja mahu mengenakannya.

“Yakin ke tak ada?”

Kali ini Sakinah berdiri tegak, tak lagi bersandar di tepi meja. Thaqif nampak seperti serius, tak tenang seperti selalu. Kalau silap gaya, mungkin hari ini dalam sejarah dia bakal ditengking lelaki kesukaan ramai di Menara Semarak itu, kecuali dia. Thaqif baginya hanya seorang bos dan dia setiausaha kepada lelaki itu.

“Pergi tengok cermin dan tengok apa yang awak sedang pakai sekarang ni, Atikah!” tegur Thaqif tiba-tiba kepada Atikah yang baru melepasi dia dan Sakinah yang masih berdiri.

Atikah yang tak bersedia, terkedu. Tubuhnya yang berskirt singkat dan biasanya sengaja diliuklentokkan, dipandang.

Usai berkata-kata, Thaqif terus melangkah tanpa mengendahkan Sakinah yang bungkam. Telinganya mendengar gelak ketawa beberapa orang staf yang tentunya melihat dan mendengar apa yang dikata pada Atikah, tapi dipekakkan telinga. Lama, sangat lama sebenarnya dia teringin menegur Atikah yang selalu mengenakan pakaian sesuka hati. Bukan saja warnanya terang-benderang, singkat pun tak usah dikata. Seperti sengaja mengundang banyak mata supaya terus memakukan pandangan di tempat-tempat yang tak sepatutnya.

Belum lagi diambil kira solekkan di muka yang mengalahkan warna pelangi. Pendek kata, selagi ada warna, selagi itulah Atikah mahu praktikkan di muka. Dia yang melihat, kadang-kadang rasa ngeri sendiri.

“Ini semua Shana punya pasallah ni!”

Terus Thaqif masuk ke bilik pejabatnya dan menghempaskan punggung di kerusi empuk. Teringatkan Shana kembali, dia merengus kasar. Kepala dipegang dengan kedua-dua belah tangannya. Hati yang geram masih gagal dipulihkan. Semuanya terasa serba tak kena. Dalam sekelip mata, ketenangannya bagaikan direnggut pergi. Padahal, dia bukannya jenis yang mudah melatah. Marah-marah jauh sekali kerana dia manusia yang selalu belajar daripada pengalaman. “Huh! Harapkan muka aje cantik. Teruknya,” bebel Thaqif terus. Sabar yang cuba dipupuk, bertabur sekali lagi. Seketika, duduknya yang sendeng ditegakkan serta-merta. Matanya membulat sendiri.

“Apa aku cakap tadi? Muka dia cantik?”

Thaqif tepuk dahi dengan telapak tangan. Agak kuat. Tak percaya dalam pada meluat pada Shana, dia masih sempat memuji gadis itu yang sememangnya berwajah menarik. Yang lebih tak dapat diterima akal, dia dapat mengingati dengan jelas warna dan corak baju yang tersarung di tubuh ramping Shana.

“Aku ni dah kenapa? Geram sampai tak boleh lupa dengan setiap yang ada pada dia?”

Kepala, Thaqif geleng-geleng pantas dengan riak cuak. Cuba mengenyahkan bayang-bayang Shana yang bagaikan tak mahu meninggalkannya. Dalam dinginnya pendingin hawa, terasa dahinya bagaikan berpeluh. Namun saat disapu dengan belakang tangan, kering.

“Apa yang awak dah buat dengan hidup saya ni Shana Melati?”

“Melati? Siapa tu Thaqif?” tanya Syed Faruq ingin tahu. Dia berdiri di muka pintu.

“Tak ada siapa-siapa. Thaqif ingat nak tanam pokok melati kat taman mini ibu.”

Dahi Syed Faruq berkerut, namun dia tak mahu bertanya lagi. “Dah solat? Kejap lagi ada meeting.”

“Nak pergilah ni,” balas Thaqif malu. Terlalu melayan perasaan, terlupa pada tanggungjawab sebagai seorang hamba-NYA.Ini semua, Shana punya pasal!

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.