“AUNTY... hari ni
I keluar awal sikit dan I balik lewat sikit juga tau,” kata Shana sebaik saja
melihat Madam Anne menapak mendekatinya. Seperti hari kebiasaannya, tepat pukul
10.30 pagi, Madam Anne akan muncul di Kedai Buku Kasih yang dijaganya sejak sebulan yang lalu.
Kemudian, tepat pukul 12.00 tengah hari, kembali hilang meneruskan rutin
hariannya, entah di mana. Yang dia tahu, Madam Anne ada beberapa butik dan
kedai bunga.
Hari ini wanita berusia awal 50-an itu memakai baju berwarna
hijau lumut. Seperti biasa, terlilit mafela di lehernya. Mafela yang selalu
menjadi bahan usikannya. Katanya, sekarang ini mana ada orang memakai mafela di
leher. Zaman itu telah lama berlalu dan Madam Anne harus keluar daripada
kepompong. Namun Madam Anne hanya gelak sambil berkata dia buta fesyen.
Sudahnya, tetap juga Madam Anne datang dengan gaya yang sama. Mafela di
lehernya, berganti saban hari.
“You nak ke mana?”
“Kalau I cakap I nak pergi dating, aunty tak akan percaya,
kan?”
“I memang tak percayakan you. Mana pernah you tinggalkan
kedai sejak kerja. Balik-balik you minta Fathia, Dewi atau Ah Meng bungkuskan
makanan untuk you. Kalau I paksa you makan luar pun you tak mahu. Macam mana I
nak percaya?” tanya Madam Anne sambil memberikan alasan. Mendengar Shana hendak
pergi dating, dia rasa teruja.
Meletus perlahan ketawa Shana. Tak menduga, dalam diam
rupa-rupanya Madam Anne memerhatikannya.
“Tapi betul, hari ni I nak pergi dating.”
“Lelaki mana yang dah putus wayar dalam kepala tu mahu
dating sama you?” usik Madam Anne pada Shana.
Fathia yang berada di rak yang menempatkan buku-buku perniagaan,
ketawa kecil. Ayat Madam Anne memang mencuit hati. Cara mereka berdua berbalas
kata kelihatan sangat comel di matanya. Selamba saja Shana menentang kata-kata
bos mereka itu. Langsung tak ada rasa takut. Lagipun Madam Anne yang dia kenali
memang terkenal baik. Tak pernah melayan pekerja dengan kasar. Pendek kata,
antara mereka dan Madam Anne, lebih kepada kawan-kawan dibandingkan pekerja
dengan bos.
“I tak tipulah aunty.”
“I akan percaya bila you hantar kad kahwin pada I. Masa tu I
janji akan beri you hadiah besar.”
“Kalau Shana hantar kad kahwin pada you, I merajuk terjun
lombong. Tak mahu balik kerja dengan you lagi,” kata Ah Meng sambil tersenyum.
Rambut yang menutup matanya, ditolak sedikit ke tepi. Tangannya masih memegang senaskhah
buku resepsi yang mahu dipindahkan ke rak atas.
“Fasal apa?” Madam Anne padang Ah Meng.
“I frust sebab
Shana reject cinta I.”
“You ingat bunga tu sekuntum? Ada melambaklah bunga dalam
dunia ni Ah Meng. Mahu mati sebab putus cinta, itu teruk okey! Tolong you
jangan beri malu pada kaum kita ya?”
Berderai ketawa Shana dan Fathia. Madam Anne, meskipun
berbangsa China, sangat fasih berbahasa Melayu. Bukan seperti Ah Meng yang ada
masa-masanya tersangkut bila berkata-kata kerana gagal mencari diksi yang
betul. Kadang-kadang, lain yang nak dikata lain perkataan yang digunakan.
Sudahnya terkulat-kulat Ah Meng kerana segan diketawakan mereka.
“I tak mahu bunga Madam. I mahu Shana.”
“I dah ada yang punyalah Ah Meng. You terlambat beberapa
saat. You kena cari orang lain,” usik Shana pada Ah Meng. Tahu, lelaki berusia
19 tahun itu sengaja menyakatnya.
“Saya tak percayalah Kak Shana dah ada yang punya,” sampuk
Fathia sambil menjongketkan kening.
“You tengok? Kawan you pun tak percaya sama you. Macam mana
I nak percaya pada you, Shana?”
“Fathia dengki dengan I, aunty. Tak ada orang ajak dia
dating sebab tu dia cakap pada you macam tu.”
“Mana Kak Shana tau?”
“Sebab hari-hari pun Fathia ada dengan Kak Shana. Makan pun
kat kedai hujung sana. Kan?”
“Masa cuti saya pergi datinglah Kak Shana.”
“Tak percaya!”
“Tak kisah!”
Sudahnya ketawa mereka berempat meletus membingitkan suasana yang damai. Masa mereka berborak
begitu memang tak lama mana. Sedikit masa lagi, kedai buku ini akan mula
didatangi pengunjung. Namun masa yang ada itu digunakan untuk saling
berkata-kata dan menyakat sesama sendiri.
“Boleh I keluar awal hari ni aunty?” tanya Shana sekali lagi
bila ketawa mereka telah reda.
Persahabatan Madam Anne dengan Puan Sri Ratna tak mahu
dijadikan tiket untuk dia mengambil kesempatan. Di sini, dia pekerja dan
selayaknya pekerja dia harus bertingkah seperti seorang pekerja yang
berdedikasi.
“Boleh. Jangan balik awal sangat tau.”
“Hah?” Dahi Shana melopong. Tak faham apa yang mahu Madam
Anne sampaikan.
Madam Anne ketawa mempamerkan lesung pipit kecil di pipi
kanannya. Suka melihat Shana melopong begitu. Dia mengenali Shana bukan
baru-baru ini, tapi sudah menjangkau puluhan tahun kerana dia dan Puan Sri
Ratna itu sudah berkawan sejak berada di zaman universiti lagi.
Dan kerana mengenali Shanalah, maka dibiarkan saja Shana
bekerja dengannya walaupun ikutkan akal, memang tak logik. Tan Sri Zaidi punya
syarikat yang sangat gah. Cawangan melangkau ke segenap negeri di Malaysia.
Tapi Shana memilih bekerja di kedai buku kepunyaannya. Dia percaya, Shana punya
alasan tersendiri.
“Kalau you balik cepat, nanti rindu you tak habis. I tak nak
tengok muka monyok you esok pagi.”
Segan memanglah segan diusik begitu, namun Shana tetap juga
ketawa. Lega dengan pelepasan yang diberikan Madam Anne.
“Dan lagi...” Mata Madam Anne jatuh ke tangan kanan Shana.
“You jangan asyik makan kerepek pisang tanduk tu. Memanglah tak memudaratkan,
tapi makanan goreng-goreng ni you patut elakkan,” pesan Madam Anne pada Shana.
Sejak hari pertama bekerja dengannya, Shana dilihat sudah mula menjadikan
kerepek pisang tanduk yang dibeli daripada peniaga buta di tepi kedai buku itu
sebagai makanan rutin.
Ah Meng dan Fathia sudah meninggalkan mereka berdua.
“Sedap, aunty.”
“I tahu sebab itu orang jual.”
Shana tersengih bak kerang busuk. Jawapan Madam Anne
menggelikan hatinya. Seperti dulu juga, kawan mamanya itu tak pernah kering
dengan lawak jenak. Hanya dulu dia tak begitu mengendahkannya. Asyik leka
dengan dunia sendiri. Habis dilupakan orang-orang yang ada di sekitarnya.
“I sukalah kerepek pisang ni aunty.”
“Kalau pun you suka, takkanlah you nak makan setiap masa? I
tengok you bukan makan pagi aje, tengah hari, petang dan Fathia kata pada I,
setiap kali balik kerja you mesti bawa bekal sekampit dua.”
“I bayarlah aunty. Bukannya I makan free tau.”
“I tak kata you makan free
okey! I tahu papa you banyak duit. Kalau mahu, dengan kakak jual kerepek tu
sekali dia boleh beli.”
“Itu duit dia, bukan duit I. Yang I makan, I bayar dengan
duit gaji yang aunty beri pada I minggu sudah,” kata Shana bersungguh-sungguh.
“Tapi kalau dah asyik you aje yang makan. Bila masa
pelanggan lain nak rasa?”
Shana pegang kerepek plastik kerepek pisang tanduk keluaran
Kerap-kerup Kerepek MD di tangannya. Tak tahu di mana sedapnya kerepek pisang
tanduk ini, tapi setiap hari dia selalu memastikan mulutnya mengunyahnya.
Kadang-kadang, sebelum tidur pun dia makan juga. Kata Fathia, dia sudah gian
dengan kerepek pisang tanduk tersebut. Tapi dia hanya ketawa-ketawa.
Gian dengan kerepek pisang tanduk, rasanya boleh dimaafkan
lagi dibandingkan dengan giankan candu.
“I nak kayakan mak cik tulah aunty!”
“You ni ada aje jawabnya!”
“You jangan marah-marah aunty. Nanti muka you naik
kedut-kedut. Kalau Uncle Eric tinggalkan you, I tak tau.”
“You ni nakallah! I bagi tahu mama you nanti biar dia pukul
you dengan rotan,” ujar Madam Anne pada Shana.
Mati kutu Madam Anne dengan usikan Shana. Kepala digelengkan
dengan senyuman di bibir. Dibandingkan Shana yang dulu, dia lebih sukakan Shana
yang ini. Lebih ramah dan selalu tersenyum. Bukannya berat mulut yang hanya
menjawab sepatah bila ditanya berpatah-patah kata. Dia tahu apa yang menimpa
Shana kerana antara dia dan Puan Sri Ratna memang tak ada rahsia. Bukan sekali
dua juga dia melihat air mata di pipi kawannya itu. Tak ada ibu di dunia ini
yang rela melihat kekecewaan si anak.
Tapi sebagai seorang ibu, dia tak memandang masa lalu
sebagai satu beban. Baginya, setiap hari manusia melakukan kesilapan dan
kesilapan itu adalah proses belajar yang tak pernah ada hujungnya.
“Sorry, aunty. I
gurau aje. Saja nak menyakat aunty sebab dulu I selalu tak peduli pada aunty.
Maafkan I ya aunty?”
Kalau dihitung-hitung, bukan hanya dengan Madam Anne, dia bersalah.
Malah, ramai kawan mama dan papanya yang hanya dilayan acuh tak acuh.
“You tak ada salah pada aunty.”
“I jahat sikit dulu aunty,” akui Shana perlahan. Tentu malu
mamanya kerana sikapnya.
“Mana ada you jahat. Anak remaja memang suka buat hal
sendiri. Sama macam Nelly dan Nick.”
“Tapi Nelly dan Nick baik. Tak macam I.”
“Kalau you macam anak-anak I, nanti I confuse mana satu anak I, mana satu anak Ratna. You mahu ke kalau
kami tertukar anak?”
Akhirnya bibir Shana kembali tersenyum. Tahu, Madam Anne
sengaja mahu menghilangkan kesedihannya. Padahal, sudah terang lagi bersuluh.
Kulit Nancy dan Nick putih melepak, sedangkan kulitnya sawo matang. Tak mungkin
Madam Anne tak dapat membezakan walau mungkin tingkah mereka serupa.
“Terima kasih aunty sebab ambil I kerja sini.”
“Kenapa you nak kerja di sini Shana?”
Shana ketawa. Teringat sebaris nama dan seraut wajah di
dalam kiriman WhatsApp sebulan lalu. Kerana lelaki itu dia di sini. Tapi
biarlah Madam Anne tak tahu apa-apa. Tak rela dia menjadi mangsa ejekan kawan
mamanya itu. Kalau sampai ke pengetahuan mamanya, ke mana muka hendak disimpan
kelak?
“I nak cari pengalaman kerja.”
“Aunty tahu you tipu. Tapi aunty tak kisah. You boleh kerja
selama mana yang you nak. Aunty tak kisah.”