PINTU bilik, Thaqif tutup. Bahu yang sakit ditumbuk-tumbuk
perlahan. Barulah terasa seluruh tubuhnya bagaikan lesu tak bermaya. Macamlah
sudah mengangkat kayu balak. Namun, ada rasa lega bertapak di hati. Kerja-kerja
pembangunan projek perabot pejabat yang sedang ditangani semakin lancar
perjalanannya. Dia yakin, Semarak Sdn. Bhd. akan terus bersemarak dalam mereka, membuat dan memasang perabot,
setanding dengan syarikat lain.
Tak sia-sia dia meninggalkan telefon bimbit di dalam bilik.
Jika tak, tak mungkin dia dapat membuat kerjanya dengan aman kerana gangguan
Shana. Padahal, gadis itu bukannya penting untuk dijaga hati dan perasaan. Bahkan,
jika Shana hilang, dia tak akan mencari.
Duduk di atas katil, dia mencapai telefon bimbit.
25 missed called!
101 mesej di WhatsApp.
“Padan muka!” ejek Thaqif pada Shana. Tanpa mengendahkan
puluhan dan ratusan angka itu, dia menuju ke bilik air. Mahu mencuci muka dan
menggosok gigi. Selepas itu dia mahu tidur. Hendaknya, janganlah Shana muncul
lagi dalam mimpinya. Sejak bertemu empat mata dengan Shana, boleh dikatakan
saban hari dia memimpikan gadis itu. Tak cukup mengejarnya di alam realiti,
dalam mimpi pun Shana tak mahu membiarkan dia tenang.
“Minta-minta dia tak datang dalam mimpi aku malam ni. Kalau
datang, aku cekik!”
Terus badan direbahkan di atas tilam empuk. Kemudian selimut
ditarik menutupi sehingga ke dada. Teringatkan lampu yang masih terpasang, dia
kembali duduk. Saat itu juga kedengaran telefon bimbitnya berbunyi.
“Isyh... tak boleh ke dia biarkan aku tidur dengan aman?”
rungut Thaqif.
Ringan tangannya mencapai telefon yang diletakkan di meja
sisi di tepi katil. Mahu melihat, kali ini apa lagi yang Shana mahu.
‘Kalau abang tak telefon, jangan
salahkan saya kalau saya muncul kat pejabat abang esok pagi. Saya cakap pada
ayah abang yang saya ni kekasih abang’.
Terus Thaqif tolak selimut yang bergumpal di kakinya.
Semakin lama Shana dilihat semakin berani. Setiap hari, ada-ada saja ugutan
gadis itu demi mematikan tindakannya. Ikutkan, memanglah dia mahu mengabaikan
ugutan Shana itu. Namun bila mengenangkan tampang Shana yang selamba, dia yakin
gadis itu akan mengotakan apa yang dikata. Lantas, jarum jam dijeling. Pukul
2.00 pagi!
“Sakitnya hati aku!”
Telefon bimbit yang dilekapkan ke telinga, dipegang
kejap-kejap supaya tak terjatuh. Kalau pecah berderai, dia sendiri yang rugi.
Lainlah jika Shana bermurah hati menggantikan dengan yang baru, yang lebih
mahal.
“Angkatlah!” rungut Thaqif sambil ketap bibir.
“Helo, assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam!” balas Thaqif bengang. Kalau tak
mengenangkan Shana itu perempuan, menang sudah dijerkah kuat-kuat.
“Abang pergi mana? Dari tadi lagi saya telefon. Sampai
tertidur saya tunggu abang.”
Tak seperti biasa, hari ini Thaqif rasa suara Shana
berlainan. Malu nak diakui yang suara itu kedengaran, seksi! Mungkin kerana
Shana baru terbangun daripada tidur. Tapi sungguh, nada seperti itu seakan-akan
menjadi gangguan baginya.
Apa hal dengan aku ni? Shana aje kot!
“Nak apa?” Gangguan yang terasa, cuba Thaqif tepis.
Jangankan Shana, ratu cantik dunia pun belum tentu mampu
menggodanya. Tak semudah itu.
Tapi suara Shana tadi...
Kenapa dengan suara Shana?
Seksi!
Terus Thaqif ketuk kepala sendiri dengan jari. Meluat dengan
hati yang seperti gatal.
“Tak nak apa-apa. Cuma rindukan abang aje. Sampai hati tak
jawab telefon saya. Abang ke mana?”
Kalau tadi kepalanya diketuk dengan jari, kini Thaqif terasa
hendak menggunakan batu-bata pula supaya berkecai. Tapi yang mahu diketuk bukan
kepalanya, kepala Shana. Alasan yang gadis itu berikan benar-benar menyakitkan
hati. Setakat rindu yang entah berapa peratus itu Shana mencarinya, sangat tak
berbaloi. Lebih menyebalkan bila dia diugut untuk tujuan yang remeh begitu.
Dia fikir aku apa? Orang suruhan dia?
“Saya ada kerja urgent
kena buat tadi,” ujar Thaqif tenang. Tak ada gunanya marah-marah pada Shana
kerana makin dia marah, makin Shana suka. Biarlah hati hanya disabarkan.
“Jangan seksa diri dengan bawa balik kerja pejabat kat
rumah. Kerja pejabat buat dekat pejabatlah, kat rumah rehat, charge balik tenaga yang hilang sebab
esok nak kerja semula. Kena rehat cukup-cukup.”
Bebelan Shana yang tak ubah seperti mak nenek itu Thaqif dengar dengan dahi berkerut. Inilah
pertama kali kata-kata positif yang Shana keluarkan. Jika tak, semuanya
dianggap negatif kerana gadis itu berkata-kata sesedap rasa. Namun tak pula dia
terasa hendak mengucapkan terima kasih. Meskipun, nasihat itu tanda mengambil
berat.
“Ada lagi nak cakap?”
“Tak ada. Selamat malam, abang. Jangan lupa mimpikan saya
tau. Saya harap abang mimpi duduk bersanding atas pelamin dengan saya. Kita pakai
baju kahwin warna pink. Bye!”
Tak sempat Thaqif membalas, Shana telah mematikan talian.
“Aku nak tidur ke tak malam ni?” tanya Thaqif ragu-ragu
sendiri. “Buatnya aku betul-betul mimpi macam yang dia kata tu, macam mana?”
Namun
mengenangkan esok hari kerja, Thaqif matikan lampu dan pejamkan mata
rapat-rapat. Doanya tetap sama, janganlah Shana muncul dalam tidurnya malam
ini. Dia tak mahu terus bermimpi ngeri setiap hari.
MELIHAT seraut wajah Shana berdiri di tepi lif yang tertutup rapat,
Thaqif terasa seperti hendak berpatah ke belakang. Tahu, Shana tak mungkin akan
muncul jika bukan kerana dirinya. Sedangkan dia, langsung tak terasa hendak
beramah mesra dengan gadis itu di awal pagi begini. Lewat petang dan malam pun
tak mahu juga. Namun segala-galanya telah agak lewat bila senyuman lebar sudah
Shana hadiahkan padanya.
Entahkan kerana doanya tak cukup ikhlas, atau entahkan doa
Shana yang sesungguh hati, malam tadi, maka Shana betul-betul datang dalam
mimpinya. Bukan setakat datang, siap duduk bersanding dengannya di atas
pelamin. Lebih haru lagi, baju yang dikenakan ke tubuh benar-benar seperti yang
Shana harap. Pink.
Gila! Itulah mimpi paling buruk pernah dialami dalam seumur
hidupnya.
Warna pink?
Sungguh... itu warna yang tak patut wujud di dunia ini!
“Hai... abang!” tegur Shana ceria. Terserlah sinar di
matanya.
“Tak ada kerja ke datang tempat kerja orang?”
“Ada. Tapi nak breakfast
dengan abang dulu,” ujar Shana selamba.
“Tak nak! Saya dah sarapan kat rumah tadi.”
“Tapi saya belum sarapan lagi.” Ramah Shana berkata walau
tak ditanya Thaqif.
Thaqif jongket bahu dengan riak kosong. “Bukan masalah saya.
Ajak ajelah kawan-kawan awak yang lain,” cadang Thaqif tanpa perasaan.
“Saya tak ada kawan.”
“Dalam dunia ni, tak pernah lagi saya dengar ada orang mati
sebab terpaksa sarapan sorang-sorang,” balas Thaqif sinis. Dia tak tahu di mana
Shana bekerja, namun dia yakin tentu tak jauh dari sini. Kalau tak, masakan
Shana boleh muncul sesuka hati tak ubah seperti biskut Chipsmore. Mujur saja
sampai setakat hari ini, gadis itu hanya menunggunya di lobi pejabat. Tak
pernah naik walaupun sekali.
“Temankan saya makan ya? Sekejap aje!”
“Tak nak. Tak ada keperluan dan tentu aje temankan awak
makan tak akan mendatangkan keuntungan pada saya.”
Shana diam. Otaknya ligat berfikir apa yang perlu dibuat
supaya Thaqif tunduk pada permintaannya. Bukanlah perutnya begitu lapar. Pada
waktu pagi, seleranya selalu tak ada. Tapi dia perlu makan atau keluar dengan
Thaqif lebih kerap lagi supaya dia dapat mengenali Thaqif. kemudian mula
belajar cara untuk melembutkan hati lelaki itu. Seperti orang tua-tua dulu
kata, tak kenal maka tak cinta. Dah kenal baru cinta.
Tapi dalam situasinya, dia tak mengharapkan apa-apa daripada
Thaqif. Cinta jauh sekali!
“Temankan saya, abang dapat pahala.”
“Siapa yang mengajar awak bila perempuan dan lelaki bukan
mahram duduk makan di meja yang sama tu boleh dapat pahala?”
“Saya ajak makan aje, bukan buat apa-apa pun,” sangkal
Shana.
“Tak tahu ke kalau lelaki dan perempuan berdua-duaan, di
tengah-tengah ada syaitan?” tempelak Thaqif sambil tersenyum sinis. Melihat air
muka Shana berubah, dia puas hati. Mana boleh tahan asyik dia saja yang
dikenakan gadis itu. Sesekali dia mahu juga membalas rasa sakit hatinya.
“Itu saya tahulah.”
“Jadi apa perlunya minta perkara bukan-bukan daripada saya?”
“Saya cuma minta temankan. Tak ajak pun makan di tempat
tertutup. Kat kedai makan tepi jalan tu aje,” jawab Shana rendah. Berlakon
suci, sekali lagi. Ikutkan, malu juga dia bila ditempelak Thaqif begitu. Mujur
tak ada orang lain di situ. Jika tak, entah di mana patut disorokkan muka.
“Niat tak menghalalkan cara, Melati.”
Tak perlu dilihat di cermin pun, Shana yakin mukanya merah
padam walaupun kulitnya tak putih melepak. Dia tahu, Thaqif sengaja buat begitu
demi membangkitkan rasa marah dalam dirinya. Dia tak marah kerana apa yang
dikatakan Thaqif itu tak ada salahnya. Yang dia rasa, hanya malu. Cumanya, dia
perlu bertahan untuk satu tempoh tertentu kerana kata telah dibuat. Kini, dia
sedang berusaha untuk mengotakan katanya.
Mungkir janji, bukan dia orangnya!
“Kalau macam tu, saya pergi dululah. Mungkin lain kali aje
saya sarapan sama-sama dengan abang.”
“Eloklah tu. Tapi lain kali pun tak elok juga.”
Shana ketap bibir rapat-rapat dengan hati yang sebak.
Tiba-tiba dia jadi teringat betapa terhegeh-hegehnya dia mengejar Raqib suatu
ketika dulu. Lebih memalukan, tangannya pernah memeluk tubuh Raqib ketika
hampir-hampir terjatuh di dalam bilik pejabat lelaki itu. Tak sengaja, tapi dia
sempat berasa gembira dan bahagia. Namun dalam banyak kejadian, dia paling
kesal mengingatkan bibirnya pernah mencecah pipi Raqib. Betapa murah harga
dirinya saat kewarasan dibutakan oleh nafsu serakah. Dia menyesal!
Ya... ALLAH, ampunkanlah segala kekhilafan hamba-MU yang
lemah ini. Aku malu!
“Saya pergi dulu, bang...”
Tubuh, Shana pusingkan membelakangi Thaqif. Tak sanggup mahu
terus berhadapan dengan lelaki itu. Ya, hari ini dia sudah tak ada air muka
untuk ditunjukkan pada Thaqif. Walau tak menyimpan sebarang niat serong, tetap
juga rasa malunya menebal. Yakin, betapa nilainya di mata Thaqif makin rendah.
Mungkin awalnya 100%, kini yang tinggal tak sampai pun 10%.
Tapi biarlah! Cukuplah hanya ALLAH tahu betapa dia berniat
baik. Hanya cara yang digunakan agak tak molek dipandang mata dan ditangkap
hati.
Niat tak menghalalkan cara!
Betul, dia tak akan menyangkal sedikit pun apa yang Thaqif
kata.
Dia yakin masih ada cara lain yang boleh digunakan. Tapi,
cara yang bagaimana?
Awalnya, dia cuba mendekati Thaqif dengan cara yang baik,
sekadar menyapa dengan kata-kata yang elok. Tapi Thaqif langsung tak membalas.
Sudahnya, cara agresif digunakan kerana Thaqif bukannya seperti lelaki lain.
Tembok hati Thaqif tak serapuh daun mapel. Dia harus melakukan sesuatu yang
luar biasa supaya Thaqif sedar kewujudannya. Lantaran itu, sampai ke hari ini
dia masih tak jemu-jemu menarik perhatian Thaqif dengan aksi dan kata-kata yang
mungkin tak sanggup pun diluahkan perempuan lain kepada seorang lelaki.
Lebih daripada itu, dia tak mahu pada akhirnya, benar-benar
akan ada cinta yang timbul. Kalau pun bukan di pihak Thaqif, di pihaknya
sendiri. Lelaki sebaik Thaqif, bodohlah jika ditolak. Namun untuk hidup
bersama-sama lelaki itu juga tak mungkin. Mereka berbeza. Thaqif berhak
mendapatkan seorang perempuan yang benar-benar baik. Kalau pun tak sempurna,
mungkin boleh menghampiri kesempurnaan. Sedangkan dia, jalan kehidupannya telah
dicacatkan kelemahannya.
“Shana... tunggu!” panggil Thaqif tiba-tiba. Dalam masa
beberapa saat, dia sudah berdiri di sisi Shana. Melihat air muka Shana yang
suram, dia jadi tak sampai hati. “Saya bagi awak masa 15 minit aje. Kalau awak
makan lambat, saya tinggal!” Terus Thaqif berjalan mendahului Shana.
Dalam masa yang sama dia rasa aneh, kenapa perlu dia peduli
pada kesedihan Shana? Ah!