Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 5

HELO... dah berangan sampai ke mana? Kutub utara? Ke Antartika? Bulan? Bintang?” tanya Thaqif sambil menempelak Shana. Tak pasti apa yang berlaku. Namun, sejenak tadi dilihat Shana seakan-akan hanyut dengan dunia sendiri. Malah, sempat dilihat kepala Shana menggeleng-geleng perlahan.

“Tak berangan pun. Cuma terkilan sebab abang tak nak suapkan saya makan. Terus saya hilang selera makan yang tadinya membuak-buak. Kalau tak licinlah nasi dalam pinggan tu,” kata Shana mengusik Thaqif. Bibirnya sengaja dimuncungkan ke arah pinggan yang masih berbaki dengan nasi lemak kukus.

Hampir pitam Thaqif dengan jawapan Shana. Mahu saja ditepuk mulut sendiri kerana ramah bertanya. Patut dibiarkan saja walau hanya sebutir nasi yang masuk ke perut Shana tadi. Bukan urusannya, maka tak perlu terlalu disibukkan. Yang perlu dilakukan, menyelesaikan apa yang patut dengan gadis itu, kemudian balik semula ke pejabat dengan hati lapang. Esok, harinya tentu akan ceria seperti biasa.

“Jangan nak berlakon sangatlah! Tak habis-habis nak berdrama.”

“Kalau abang heronya, saya sudi aje jadi heroin walaupun terpaksa berlakon untuk seumur hidup.”

“Awak ni kan, saya tak tahulah nak cakap apa lagi.”

“Cakaplah tentang ayat-ayat cinta!”

Serius, Shana terasa hendak muntah darah dengan sebaris ayat yang disebut. GelI-geleman tekaknya. Demi lelaki itu, dia sudah melakukan banyak perkara yang tak pernah dilakukan sebelum ini. Ayat-ayat merapu juga mudah saja meluncur melewati bibirnya bagaikan air mengalir.

Tinggi harapannya, bila sampai masanya kelak, dia tak akan dipertemukan lagi dengan Thaqif. Kata-kata dan tingkahnya yang memalukan diri sendiri, biarkan tamat begitu saja. Tak rela diungkit, bimbang malunya hingga tujuh keturunan pun tak hilang.

“Betul-betul boleh tak, Cik Melati?”

Melati? Shana sengih dengan panggilan Thaqif padanya. Nama yang makin sebati di telinganya akhir-akhir ini.

“Tak payah panggil ciklah. Macam kat pejabat aje.”

“Peduli apa kalau saya nak panggil pun!”

“Tapi saya lagi suka kalau abang panggil saya sayang daripada panggil Cik Melati. Janggallah...”

Meremang bulu roma Thaqif. Mati kemudian hidup semula, selepas itu mati kembali, pun dia tak teringin memanggil Shana sayang. Kalau tak mengenangkan sopan santun, mahu saja dipanggil ‘hoi’ pada gadis itu. Biar Shana tahu betapa tak gemarnya dia terus diekori seperti bayang-bayang.

Seumur hidupnya, inilah pertama kali dia bertemu dengan gadis yang tak malu seperti Shana.

In your dreams!

“Kalau abang tak nak panggil sayang, panggil honey pun okey. Saya terima!”

“Jangan harap!”

Sweetheart boleh?” Mata sengaja Shana kelip-kelipkan demi menarik perhatian Thaqif.

“Boleh blah!” kata Thaqif senafas. Hati Shana sebenarnya diperbuat daripada apa sehingga langsung tak peduli dengan apa yang dikata? Kalau perempuan lain, awal-awal lagi sudah meraung hebat agaknya. Atau, cepat-cepat angkat kaki kerana tak mampu menahan malu.

“Jangan bongkak sangat. Karang abang menangis kalau tiba-tiba saya hilang.”

“Eh... tak kuasalah saya! Kalau awak betul-betul hilang, silap-silap saya buat kenduri pulut kuning tiga hari tiga malam. Kalau masih tak cukup juga saya akan buat tujuh hari tujuh malam. Jemput orang satu Malaysia.”

“Wah... ni yang saya makin suka abang ni. Dahlah handsome, pemurah pula tu.”

Terjegil mata Thaqif. Ada-ada saja jawapan daripada Shana yang menyakitkan hatinya. Kalau kurang sabar, memang Shana bakal dicepuk tangannya. Niatnya mahu menyakitkan hati Shana, balik-balik dia juga yang dikenakan.

Shana tergelak perlahan. Air di dalam gelas kembali disedut. Sekilas, jam di pergelangan tangan dipandang. Masa rehat semakin berlalu. Namun, dia tak perlu gusar kerana Madam Anne sudah memberi izin. Jika tak, memang ditinggalkan Thaqif begitu saja walaupun urusan mereka masih belum selesai.

Sebenarnya, memang tak ada apa-apa yang penting. Niat bertemu muka dengan Thaqif sekadar mahu melihat lelaki itu jenis yang bagaimana. Selepas tahu, barulah dia boleh menyusun langkah seterusnya. Bila Thaqif bukannya jenis panas baran, itu bonus terbesar untuknya.

Selepas ini, tak perlulah dia berasa gusar kalau-kalau dimaki hamun Thaqif. Lelaki itu bukan jenis begitu.

“Rasanya awak dah banyak sangat mengarut. So... apa tujuan awak nak jumpa saya?”

“Rindu!”

“Lagi sekali awak merepek-meraban macam ni, saya tinggalkan awak. Daripada melayan awak yang tak berfaedah ni, lebih baik saya siapkan kerja-kerja pejabat saya yang tertangguh sebab awak.”

“Kejaplah... bagi saya rehat lima minit. Saya rasa macam penat sikit.”

Thaqif gigit bibir. Tak puas hati dengan permintaan Shana. Gadis itu seperti sengaja bermain tarik tali dengannya. Dia tak suka! Namun berterusan melihat Shana yang tersandar di kerusi, disabarkan hatinya. Memang gadis itu nampak seperti letih walaupun sesudah makan dan minum.

Berjalan kaki sejauh satu km ke apa tadi?

Melihat peluh halus merintik di dahi Shana, dahinya berkerut. Dalam keadaan pendingin hawa yang terpasang pun masih sempat berpeluh. Kulit jenis apa dia ni? Namun, dihulurkan juga tisu pada Shana. Bila hulurannya disambut berserta dengan senyuman meleret, sekali lagi dia terasa seperti mahu menghantukkan kepalanya ke dinding.

Yang aku baik sangat, apa pasal?

“Terima kasih. Saya tahu abang baik.”

Tak seperti biasa, kali ini lembut saja nada suara Shana. Thaqif terpana. Jika Shana baru muncul dalam hidupnya saat ini, bukan sejak beberapa minggu lalu, tak juga sejak 30 minit tadi, tentu hatinya tercuit dengan kelembutan gadis itu. Mana ada lelaki yang suka pada gadis yang berperangai tak semenggah. Sayangnya, imej gadis itu sudah tercalar sejak hari pertama Shana menghubunginya dengan kata-kata, “Assalamualaikum... abang!” Sejak detik itu, Shana di matanya sudah tampak hitam seperti malam.

Walau hakikatnya, gadis itu hanya berkulit sawo matang. Sesuai dengan bentuk mukanya yang bujur sirih.

“Maaf kalau abang rasa saya ganggu abang selama ni. Saya tak simpan niat jahat. Hanya sekadar nak berkenalan dengan abang. Itu aje!”

“Saya tak percaya!” sangkal Thaqif.

Semata-mata nak berkenalan, Shana sanggup memalukan diri sendiri? Memburu dirinya seperti dia perempuan dan gadis itulah si lelaki yang berlagak berani? Sungguh... tak masuk akal! Barangkali, Shana lupa yang dia seorang lelaki dewasa yang sudah tahu membezakan mana yang betul dan mana pula yang salah.

“Saya tak tipu. Saya betul-betul nak jadi kawan abang.”

“Awak tak kenal saya kan sebelum ini?”

“Sebab tak kenallah saya nak berkenalan. Kalau dah kenal buat apalah susah-susah nak kenal lagi. Buang masa aje, kan?”

“Macam mana awak boleh tiba-tiba nak kenal dengan saya?”

Shana senyum. Kalau dikhabarkan pada Thaqif cerita yang sebenarnya, makin berantakanlah dunia ini jadinya.

“Itu rahsia yang tak boleh saya bagi tahu pada abang. Belum sampai masanya atau masanya betul-betul tak akan sampai.”

“Tapi saya tetap nak tahu!”

Shana geleng. Kalau Thaqif acukan buku lima di mukanya pun dia tak akan berterus terang. Amanah yang telah diberikan, akan digalas sampai bila-bila. Kalau cerita terbongkar, biarlah bukan daripada mulutnya. Kalau mulut yang lain, dia tak kisah. Ketika itu, mungkin keadaan sudah berubah. Kalau pun tak lebih baik, mungkin akan jadi lebih buruk daripada sekarang ini.

Biarlah. Dia sudah berusaha dan selebihnya, biarkan masa dan keadaan yang menjadi kayu ukur.

Apa yang dia tahu, kalau benar-benar berjodoh tentu tak akan ke mana-mana. Halangan juga tak mungkin menjadi masalah yang besar.

“Maaf. Yang itu saya tak akan cakap pada abang walau macam mana pun abang paksa saya.”

“Kalau macam tu, saya tak minat nak berkenalan dengan awak!”

Sakit pula hati Thaqif dengan kata-kata Shana. Jangankan dengan Shana, dengan mana-mana perempuan pun dia tak mahu berkenalan. Hidupnya sudah terlalu sibuk untuk disibukkan lagi dengan perempuan. Kalau pun dia mahu mengubah statusnya, bukan dalam jangka masa terdekat ini.

Perempuan?

Ada jeritan lantang! Ada cubitan kuat! Ada bebelan yang tak berhenti! Ada kemarahan yang menggila! Ada kesedihan yang seperti tak mahu hilang! Ada segala-galanya hanya dengan membayangkan figura itu.

Thaqif geleng kepalanya perlahan. Tak mahu memikirkan soal perempuan dan soal berumah tangga. Dia sudah selesa dengan hidupnya yang sekarang. Hanya sejak munculnya Shana, keselesaannya sedikit berubah. Masa rehatnya lebih banyak dicuri gadis itu daripada digunakan sendiri. Mahu menukar nombor telefon yang lain, terasa seperti tak berbaloi langsung. Nombor itu sudah digunakan sejak berbelas-belas tahun lalu. Semua kenalannya juga tahu nombor itu.

Kalaulah dapat disingkirkan terus Shana daripada hidupnya, alangkah bahagianya rasa.

“Abang janganlah sombong sangat dengan saya.”

“Jangan panggil saya abang!” larang Thaqif untuk kesekian kalinya. Panas juga hatinya dianggap sombong.

“Saya nak panggil juga.”

“Jangan. Saya tak suka!”

Shana goyang-goyangkan kepalanya. Tanda tak mahu peduli pada larangan Thaqif. “Saya tak ada abang, tak pernah pun panggil orang abang. So... abang tak payahlah nak kedekut sangat dengan saya. Tak rugi pun kalau saya panggil abang dengan panggilan abang. Tak akan buat sehelai pun bulu roma abang tu jatuh ke lantai. Rambut jauh sekali. Lagipun dah memang abang tua dua tahun daripada saya. Eloklah kalau saya panggil abang sebagai tanda hormat. Kan?”

“Tinggalkan saya. Berhenti kacau saya mulai daripada saat ini!” Tegas Thaqif.

“Saya tak nak tinggalkan abang.”

“Saya tak sukalah awak kacau-kacau hidup saya macam ni?”

“Teruk sangat ke gangguan saya pada abang?” Shana tayangkan rupa polos.

“Bukan aje teruk, tapi sangat teruk sampai saya rasa nak pindahkan awak ke planet yang di dalamnya tak ada sesiapa. Biarkan awak hidup sorang-sorang supaya awak tak kacau hidup orang lain lagi.”

“Kejamnya abang ni.”

“Awak lagi kejam sebab buat hidup saya yang dulunya tenang jadi serabut.” Tajam mata Thaqif menyorot wajah mulus Shana.

Sedangkan Shana yang mendengar kata-kata Thaqif, hanya mampu mempamerkan segaris senyuman manis. Sungguh... melihat Thaqif beria-ia minta dijauhi, rasa simpatinya jatuh melimpah-ruah. Betapa dia sudah menghuru-harakan hidup lelaki itu. Entahkan lena tidur Thaqif, entahkan tidak, dia benar-benar tak tahu!

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.