BEG bimbit diletakkan di
sisi kiri. Lantas tubuh dijatuhkan di atas sofa empuk sebelum kepala
disandarkan kasar. Mata dipejamkan rapat-rapat sambil bibir melepaskan keluhan
panjang. Letihnya rasa, TUHAN saja yang tahu. Kalau dirinya robot, lama agaknya
skru-skru yang ada di tubuhnya tercabut. Satu demi satu. Mujur saja dia
manusia. Ada isi, tulang, urat dan darah yang bekerjasama memastikan dia masih
terus bernafas.
“Aku merepek apa ni?”
tanya Thaqif perlahan pada diri sendiri.
Ada senyuman pada
bibirnya. Geli hati mengenangkan dalam pada letih, mindanya masih mampu
berfikir sesuatu yang berada di luar kotak. Kalau tak letih, mungkin mindanya
boleh pergi lebih jauh lagi. Kalau dibiarkan terus, mungkin seketika nanti dia
sudah ada di angkasa.
“Shana...” desisnya
perlahan.
“Mata pejam tapi mulut
bercakap. Cakap sorang-sorang pula tu. Thaqif mimpi ke berangan ni?” usik
Syarifah Najibah tiba-tiba.
Terus mata Thaqif
terbuka luas. Duduk yang bersandar spontan jadi tegak. Melihat sekujur tubuh
Syarifah Najibah yang masih sangat anggun dalam usia 50 tahun, dia tersenyum
kelat. Ada rasa takut-takut di hatinya. Rasa yang datang setiap kali mendengar
suara atau melihat kelibat ibunya.
Padahal, cerita
semalam sudah terlalu jauh ditinggalkan masa.
“Ibu...” Perlahan saja
suara Thaqif. Mungkin tak akan sampai ke telinga Syarifah Najibah jika ruang
tamu luas itu tak sunyi.
“Dah lama balik?”
tanya Syarifah Najibah lembut. Dia teringin mengusap-usap kasih rambut Thaqif.
“Baru lagi,” jawab
Thaqif ringkas.
“Banyak kerja di pejabat?”
Syarifah Najibah cuba memancing mulut Thaqif supaya terus berkata-kata
dengannya.
Tak malu diakui, dia
rindukan Thaqif walaupun hakikatnya mereka tinggal di bawah bumbung yang sama
sejak lima tahun yang lalu. Dia rindukan senyum dan ketawa Thaqif. Bahkan, dia
rindu mahu mendengar panggilan ibu terbit di bibir Thaqif berkali-kali.
Bukannya hanya sekali atau dua dalam sehari.
“Macam biasa aje.”
Syarifah Najibah duduk
di sofa bertentangan. Ikutkan hati dia teringin duduk di sisi Thaqif sama
seperti yang kerap dilakukan dengan Budriz dan Yasmin. Melihat reaksi kaku
Thaqif, dia hela nafas panjang. Ada satu rasa menghempap perasaan keibuannya.
Sakitnya tak mampu digambarkan dengan perkataan, perbuatan jauh sekali.
Tapi hendak disalahkan
siapa, bila dia yang awal-awal membina jurang.
Anak itu sudah berusia
30 tahun, tapi sampai ke detik ini Thaqif masih nampak takut-takut dengannya.
Macamlah dia raksasa yang bakal membaham Thaqif pada bila-bila masa saja. “Anak
ibu penat?” Masih juga Syarifah Najibah tidak kenal erti jemu. Tetap berharap
Thaqif jadi lebih ramah dengannya. Meskipun dia ibarat menunggu buah yang tak
gugur.
Lima tahun Thaqif
kembali tinggal di rumah ini, bukannya satu jangka masa yang singkat. Tapi lima
tahun itu tak pernah berjaya mendekatkan dia dengan anak sulungnya itu. Antara
dia dah Thaqif, ada tembok konkrit di tengah-tengah.
“Tak.”
Sedihnya Syarifah
Najibah bukan kepalang. Dinginnya Thaqif mengilukan seluruh hatinya. Dia
mengutuk sikap garangnya ketika Thaqif masih kecil hingga menginjak ke alam
sekolah menengah, yang berkesudahan Thaqif memilih tinggal di asrama. Bila
Thaqif memilih Universiti Massey, New Zealand sebagai tempat melanjutkan
pelajaran, anak itu terasa seperti sudah tak mampu lagi dicapai tangannya.
“Nak ibu buatkan air?”
Thaqif geleng
perlahan. Sejujurnya, dia tidak tahu bagaimana hendak berbual-bual dengan
Syarifah Najibah. Jauh sekali melayan ibunya dengan mesra. Bukannya mereka
jarang berjumpa. Bukan juga tidak biasa bercakap. Hanya dia memang beku setiap
kali ibunya muncul.
Benci? Tak! Dia tak
pernah membenci Syarifah Najibah.
Marah? Ya... itu pun
suatu ketika dulu! Seiring masa, marahnya lenyap. Yang terjadi sudah pun terjadi.
Ibunya hanya penyebab kepada apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH. Hanya,
seiring masa juga dia sudah tak tahu bagaimana caranya untuk beramah mesra
dengan wanita yang telah melahirkannya itu.
“Ibu buatkan air ya
sayang?”
“Tak payahlah, ibu.”
“Thaqif...” Sayu nada
suara Syarifah Najibah.
Thaqif jadi serba
salah. Gusar setiap kali melihat muka kecewa Syarifah Najibah. Dia tahu ibunya
cuba mendekatinya. Selalu berusaha merapatkan jurang yang ada di antara mereka
berdua. Butalah matanya kalau tidak perasan kerana tingkah ibunya sangat
ketara. Malah, bukan hanya dia yang tahu. Ayah dan adik-adiknya juga tahu.
Namun, dia tidak tahu
bagaimana hendak menyingkirkan rupa kecewa ibunya itu. Bukannya tak pernah
dicuba, sudah dan berkali-kali. Tetap juga dia tidak tahu cara melayan ibunya
dengan mesra. Balik-balik, hatinya beku hingga bibirnya jadi kaku. Sudahnya
bila duduk dengan ibunya, mereka lebih banyak diam daripada berbual-bual.
Maafkan Thaqif, ibu.
Thaqif sayang ibu tapi Thaqif tak tahu nak buat macam mana.
“Ibu buatkan air
Thaqif ya?”
“Tak payah ibu. Kejap
lagi Mak Midah bawa. Dia dah biasa bawakan Thaqif air setiap kali balik kerja.”
Kalau tidak
mengenangkan rasa malu, mahu saja Syarifah Najibah meraung depan Thaqif. Biar
anak itu tahu betapa hatinya rasa tergores. Sudahlah Thaqif tidak mahu
melayannya dengan mesra, menerima layanannya juga anak itu tidak sudi. Thaqif
lebih rela berharap pada pembantu rumah dibandingkan ibu sendiri. Dia
sungguh-sungguh kecil hati.
“Tak sudi minum air
buat ibu?”
“Bukan... bukan macam
tu ibu.” Thaqif rasa serba salah. Dia tak berniat begitu.
“Kalau bukan, kenapa
tak biarkan ibu buat air untuk Thaqif?”
“Thaqif tak nak
susahkan ibu.”
“Untuk Thaqif, untuk
anak-anak ibu dan ayah, ibu tak pernah rasa disusahkan,” ujar Syarifah Najibah
perlahan. Hatinya sebak.
“Thaqif minta maaf,
ibu...”
Semakin tersayat
perasaan Syarifah Najibah. Ucapan maaf Thaqif bagaikan pisau yang melibas
hatinya. Seperti dulu, anak itu tak pernah lokek dengan ucapan maaf. Salah atau
sebaliknya, Thaqif akan cepat-cepat memohon maaf walaupun marahnya tak mudah
surut. Sungguh... dia rasa terhukum!
“Tak perlu minta maaf.
Thaqif tak ada buat apa-apa kesalahan pada ibu. Tolong jangan minta maaf pada
ibu.”
“Ibu, maaf...”
“Tolong jangan,
Thaqif...”
“Ibu...”
Syarifah Najibah cuba
mengukir senyum walau senyumnya perit. Dia berdoa supaya hari Thaqif melayannya
dengan mesra sampai secepat mungkin. Tak rela terus-menerus berangan dapat
duduk berbual-bual dengan Thaqif di ruang tamu ini. Dia mahu angan-angan menjadi
kenyataan.
“Ibu naik dulu. Thaqif
pun jangan tidur lewat. Thaqif dah cukup penat tu sebab hari ni balik lewat
daripada biasa. Lepas minum nanti, mandi. Makan malam dan lepas tu rehat dan
tidurlah dengan lena.”
Tanpa menunggu balasan
kata-kata daripada Thaqif, Syarifah Najibah atur langkah. Mata yang bergenang
saat kaki memijak anak tangga pertama, dikedip-kedipkan supaya tak gugur.
Berapa lama lagi dia harus menunggu Thaqif melayannya seperti seorang ibu?
Sungguh... dia rindukan senyum dan ketawa ikhlas Thaqif! Bukannya senyum dan
ketawa yang bersulam dengan rupa serius seperti yang selalu Thaqif pamerkan
padanya.
“JIBAH...” tegur Syed Faruq sebaik saja melihat Syarifah Najibah
berdiri di tengah-tengah muka pintu bilik. Raut wajah isterinya itu suram. Mata
wanita kesayangannya memerah seperti baru lepas menangis.
“Abang...”
Punggung dilabuhkan di
sisi suaminya yang sedang duduk bersandar di kepala katil. Lambat-lambat,
bahunya dijatuhkan di bahu lelaki yang telah hidup dengannya lebih daripada 30
tahun. Hatinya masih walang mengenangkan Thaqif yang sangat dingin bila
berhadapan dengannya.
“Jibah nangis?”
Najibah menggeleng
pantas. Dia tersenyum, namun senyumnya tawar tak bergula.
“Jangan nangis Jibah.
Kalau Jibah nangis, abang takut hidup Thaqif tak tenang.”
“Jibah tak nangis.”
“Tapi mata Jibah
beritahu abang yang Jibah baru saja lepas menangis. Sedih macam mana pun, abang
minta sangat-sangat supaya Jibah dapat bertahan dan jangan sesekali titiskan
air mata kerana Thaqif dan anak-anak kita yang lain. Kesian mereka nanti,”
nasihat Syed Faruq tenang.
Syarifah Najibah
meraup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Kalau masa mampu diundur, dia
akan melakukannya. Kemudian, dia akan melayan Thaqif dan anak-anaknya yang lain
dengan baik. Salah dan nakal mereka akan ditegur dengan penuh berhemah.
Bukannya dengan jerit pekik dan penyangkut baju di tangan.
“Air mata Jibah tak
sempat gugur. Cuma sekadar bertakung di mata,” ujarnya parau. Hati ibu mana tak
tersentuh bila anak yang dilahirkan lebih memilih meminum air tangan orang
lain.
Syed Faruq meletakkan
buku tebal yang dibaca sejak tadi di meja kecil di tepi katil. Mahu memberikan
sepenuh perhatian terhadap Syarifah Najibah. Kalau bukan dia sebagai suami
menenangkan perasaan isteri yang libang-libu, siapa lagi yang dapat
melakukannya. “Terima kasih, Jibah sebab jadi seorang isteri dan ibu yang
penyabar.”
“Tapi dulu Jibah tak
sabar dan kerana sikap tak sabar Jibahlah hari ni Jibah hilang Thaqif,” ujarnya
dengan hati retak seribu.
“Jibah tak pernah
hilang Thaqif dan tak akan pernah hilang Thaqif.”
“Jibah rindu dia,
abang...”
“Dia ada di ruang yang
sama dengan kita, Jibah. Tak pernah pun dia kata nak tinggalkan rumah ni.”
“Dia ada, tapi dia
macam tak ada. Jibah sedih sangat.”
Syed Faruq senyum.
Syarifah Najibah hari ini dengan Syarifah Najibah yang dikenali berpuluh-puluh
tahun dulu, bezanya bagai langit dengan bumi. Tapi jika disuruh pilih, dia
lebih sukakan Syarifah Najibah ini daripada Syarifah Najibah itu kerana
perbezaan tingkah yang sangat ketara.
“Kalau bertahun-tahun
Jibah boleh tunggu, takkanlah tak boleh tunggu sikit hari lagi?”
“Jibah takut tak mampu
terus sabar. Jibah takut kalah.”
“Jibah kuat dan abang
percaya Thaqif akan lembut hati kalau Jibah terus berusaha,” kata Syed Faruq
cuba memberi semangat.
“Jibah nak anak Jibah
yang dulu, abang. Bukannya yang beku macam sekarang...”
“Sabar... ALLAH sayang
orang yang sabar,” pujuk Syed Faruq.
“Jibah menyesal layan
dia dengan buruk.”
“Tak apa. Tak apa...”
pujuk Syed Faruq tenang.
Jika dia di tempat
Syarifah Najibah, dia pun akan merasakan perasaan yang sama. Bertahun-tahun
cuba membeli jiwa Thaqif dengan harapan anak itu akan lunak hati. Namun cubaan
demi cubaan yang dibuat tetap gagal. Thaqif tetap juga dingin. Tak tahu
bagaimana hendak bereaksi apabila berhadapan dengan Syarifah Najibah. Sudahnya,
isterinya makan hati sendiri.
Bukan tak pernah
ditegur tingkah Thaqif, berkali-kali. Namun tetap juga anak itu begitu. Sengaja
tak didesak kerana dia tahu betapa Thaqif bukannya sampai hati mahu
melapah-lapah hati Syarifah Najibah. Hanya apa yang berlaku dulu tak mampu anak
itu nyahkan daripada kotak fikiran.
“Jibah nak anak Jibah,
abang...”
“Syhhh... malam ni
kita bangun. Kita buat solat tahajud, solat hajat macam selalu minta ALLAH
lembutkan hati Thaqif untuk Jibah,” kata Syed Faruq lembut.