MATA dijegilkan pada Shana bila gadis itu begitu berani
menantang pandangannya. Langsung tak terpalit rasa takut. Yang ada hanya rupa
meluat. Air muka yang tak pernah Shana tunjuk ketika sibuk mengejarnya. Kalau
dibiarkan, mungkin Shana tak akan teragak-agak untuk mencekik lehernya.
“Jom pergi klinik,” ajak Thaqif tiba-tiba.
Meletus ketawa Shana tiba-tiba. Berair-air matanya
disebabkan ketawa yang bersungguh-sungguh.
“Ketawa kenapa? Saya ada buat kelakar ke?”
Shana menggeleng tapi dalam masa yang sama dia tetap juga
ketawa. Geli hati dengan kerisauan Thaqif yang nyata tak bertempat.
“Awak nak suruh doktor ketawakan saya ke bila saya pergi
klinik dengan luka sebanyak ni?”
“Kenapa doktor nak ketawa?”
“Helo... kalau kucing tengok saya luka kecil macam ni, tapi
sampai pergi klinik bagai, kucing tu pun ketawalah. Kalau nak bagi cadangan tu
biarlah bernas sikit. Jangan nampak sangat yang awak tu...” Kata-kata sengaja
dihentikan. Tak boleh diteruskan jika tak mahu Thaqif semakin berangin
dengannya. Mana ada orang yang suka dikata bodoh, apalagi oleh perempuan.
“Saya apa?” Terkacip gigi Thaqif. Tak perlu diteruskan dia
tahu apa ayat seterusnya. Budriz dan Yasmin selalu menggunakan kata-kata itu
untuk menggambarkan sesuatu yang tak masuk akal.
Budak-budak sekarang memang suka bercakap benda-benda yang
jahat ke?
Tapi soalnya, budak-budak ke mereka bertiga?
“Awak nak kata saya bodoh kan?”
“Mana ada. Saya tak cakap apa-apa pun. Awak tu jangan nak
prasangka tak tentu pasal dengan saya. Tak pasal-pasal pahala awak semua dapat
kat saya nanti. Dah terpaksa awak buat pahala yang lain untuk cover balik. Memanglah nak dapat pahala
tu senang kalau kita ikhlas. Tapi nak dapat dosa lagi senang,” kata Shana
tenang. Segan pula dia bila Thaqif tahu apa yang mahu disampaikan.
“Tak payah nak ustazah sangatlah,” tempelak Thaqif geram.
Pandai pula Shana menjawab panjang lebar. Minggu lepas hendak mengangkat muka
memandangnya pun bagaikan ada mata diikat di kedua-dua kelopak mata. Kalau tahu
begini, tak mahu dia datang tadi.
“Dahlah... berhenti merepek!”
“Siapa yang merepek? Bukan awak ke yang suka sangat makan
kerepek pisang tanduk tu?”
“Apa-apa ajelah Encik Syed Thaqif. Saya kena pergi sebab
kepala saya dah pening. Terima kasih sebab tolong saya tadi. Kalau tak,
sekarang ni saya mesti dah dipanggil ar...”
“Mengarut apa ni?” pintas Thaqif pantas. Kurang senang
dengan kata-kata Shana.
“Mati tu...”
“Diam!” marah Thaqif sedikit keras. Sekali lagi dia mencaras
kata-kata Shana.
“Saya bercakap benda yang betul. Ajal maut, jodoh pertemuan
semuanya ALLAH yang tentukan. Awak, saya... kita semua tak tahu bila masanya
kita akan dipanggil menghadap DIA. Sedia atau tak, masa kita tetap akan sampai
juga. Hanya cepat atau lambat, itu yang kita tak tahu.”
Terkelu lidah Thaqif. Kata-kata Shana yang lancar tentang
hakikat hidup dan mati memukaunya. Gadis itu langsung tak sama dengan Shana
yang dulu. Shana yang sanggup mengetepikan rasa malu seorang perempuan, demi
mengejar seorang lelaki yang tak dikenali. Motif Shana, sampai ke hari ini dia
tak tahu kerana dia langsung tak melihat adanya kesungguhan pada gadis itu
terhadapnya.
Kalau betul sukakan dirinya, tentu Shana meraung bila diperkenalkan
dengan Yasmin. Tapi gadis itu, hanya tenang-tenang saja.
Siapa Shana yang sebenarnya?
Melihat Thaqif yang terpaku, Shana mengambil keputusan untuk
pergi. Lama benar rasanya dia dan Thaqif berdiri di tengah-tengah panas.
Urusannya dengan Thaqif juga sudah selesai. Kata terima kasih sebagai tanda
penghargaan juga telah diluahkan. Dia tak berhutang apa-apa dengan lelaki itu.
Namun belum pun sempat Shana melangkah, lengannya yang
berlapik kain digapai Thaqif. Dicengkam
erat-erat. Sakit hati kerana diketawakan Shana bergabung dengan sikap endah tak
endah gadis itu pada kebajikan diri sendiri. Padahal, dia benar-benar ikhlas
mahu membawa Shana ke klinik.
“Hoi... hoi... lepaslah!”
“Bahasa tu jaga sikit ya. Jangan nak berhoi-hoi dengan
orang, apalagi bila orang tu lebih tua daripada awak.”
“Hei...”
“Ada tak orang cakap pada awak yang awak sangat kurang ajar
sebab panggil orang dengan panggilan hei?”
“Lepaslah!” pinta Shana sambil meronta-ronta. Kepalanya
sudahlah pening, Thaqif pula membuat perangai.
“Tak nak!”
“Saya kata lepas tu maknanya lepaslah. Awak tak takut ke
kalau Yasmin marah bila tengok awak pegang tangan saya?”
“Dia tak kisah sebab dia bukan jenis cemburu. Dia percaya
apa juga yang saya buat. Jadi... sila berhenti menggunakan nama dia okey!”
Makin panjang langkah yang Thaqif ambil. Sekali pandang, dia
bagaikan mengheret Shana bersama-samanya. Dibuat seperti pencuri yang
tertangkap ketika sedang mencuri dan kemudian mahu dibawa ke balai polis. Tak
mahu terus berlembut dengan Shana bila gadis itu sendiri memang jenis keras
kepala.
“Kita nak ke mana ni?”
“Hari-hari awak lalu jalan ni selama berbulan-bulan dan
sekarang awak buat-buat tak tahu pula. Kenapa, lepas jatuh tadi ingatan awak
dah hilang terus ke?” sindir Thaqif. Jujurnya, dia berasa bersalah. Sepatutnya
selepas berjaya mencapai lengan Shana tadi, dia harus memegang erat-erat. Tapi
kerana panik, mudah saja tangannya terlepas. Akibatnya, dahi Shana menjadi
mangsa.
“Kata nak pergi klinik tadi?”
“Tak payah! Nanti yang kena ketawakan bukan awak aje, dengan
saya-saya sekali. Biar saya aje yang jadi doktor awak hari ni.”
“Tak payahlah. Saya boleh ubat sendiri.”
“Jangan degil boleh tak?”
“Suka hati!”
MELEPASI beberapa meja yang rata-rata memandang ke arah dia dan
Thaqif, Shana hanya tunduk. Malu. Sudahlah ini pertama kali dia menjejakkan
kaki ke sini. Melangkah pun sambil dipegang Thaqif. Dia dibuat lelaki itu
seperti orang yang hilang upaya diri. Sedangkan, anggota tubuhnya sihat. Yang
luka, hanya dahi dan itu pun sangat sedikit.
“Kalau Min dan Budriz tahu, mana aku nak sorok muka?”
bisiknya perlahan.
“Cakap apa?” tanya Thaqif sambil terus melangkah melepasi
meja Sakinah.
“Mana ada cakap apa-apalah.”
“Ingat saya pekak ke?”
“Saya memang harap awak pekak pun!”
“Dasar kejam!”
Bibir Shana mencebik. Namun hatinya lega saat mereka masuk
ke sebuah bilik pejabat yang sederhana besar. Tampak ringkas dan moden dengan
warna biru yang tak begitu terang dan malap. Di tengah-tengah dinding di sisi
kanan, ada gambar Thaqif yang sedang tersenyum. Di sisi kanan ada gambaran
sebuah keluarga yang sangat gembira.
Dia dan keluarganya, bila kali terakhir bergambar begitu?
Sungguh... ada sedih bergayut di hatinya ketika ini.
“Duduk sini,” arah Thaqif sambil menolak sedikit bahu Shana
supaya duduk di sofa dengan menggunakan pen di atas meja.
“Tak payah tolak-tolak boleh tak? Ingat saya lembu ke?”
Dahi Thaqif berkerut. “Apa kaitan dengan lembu pula ni?”
Aneh-aneh saja Shana ini.
“Yalah... lembu setiap kali nak suruh masuk kadang, mesti
kena diacah-acah dengan kayu atau ranting. Kalau tak, teruslah meragut rumput
dari pagi sampai ke malam membawa ke pagi semula.”
“Nenek kebayan pun tak membebel macam awak!”
“Saya bukan nenek kebayan!”
“Nenek kebayan tengok awak pun dia takut. Ingat ya... awak
jangan berani tinggalkan bilik ni. Kalau saya tengok awak tak ada sekejap lagi,
saya akan cari awak sampai ke lubang cacing. Awak tak kenal lagi siapa saya.
Jangan ingat selama ni saya ikut aje apa kehendak awak, saya takut dengan awak.
Jadi jangan sesekali bermain api,” ugut Thaqif serius.
Kemudian dia keluar mencari Sakinah kerana gadis itu tadi
dilihat tekun menyiapkan kerja. Mungkin takut jika dia memaksudkan kata-katanya
tadi. Sedangkan niatnya hanya menakut-nakutkan semata-mata. Bekerja sehingga
lewat, malam memang tak diamalkan di Semarak Sdn. Bhd. milik mereka. Kecuali,
jika keadaan benar-benar mendesak.
“Pekerja yang cukup rehat dan kasih sayang keluarga akan
menghasilkan kerja yang cemerlang”
Itu prinsip Syed Faruq dan dia sangat bersetuju kerana
baginya, yang dinamakan kerja itu tak akan pernah habis. Tak perlu terlalu
dikejarkan sangat!
“Sakinah...” panggil Thaqif perlahan.
Sakinah angkat muka.
“Tadi tu yang bos heret macam anak ayam, kakak yang kerja dekat Kedai
Buku Kasih, kan?” Tersengih-sengih dia di hadapan bosnya itu.
Anak ayam? Budak inilah!
“Tak payah sibuk. Ambilkan first aid kid, saya nak guna.”
“Bos sakit ke? Biar saya tolong bawa bos ke klinik,” tawar
Sakinah gusar.
“Tak payah nak baik hati sangatlah.”
“Eh... bos ni! Saya buat baik bos marah, saya buat jahat
lagilah bos tak berkenan. Dah tu saya nak buat apa?”
“Berhenti bercakap dan pergi ambil first aid kid tu sekarang
juga!”
“Okey. Okey. Saya pergi sekarang!”
Macam lipas kudung Sakinan berlari menuju ke pantri. Dalam
sekelip mata dia sudah berdiri di hadapan Thaqif dengan nafas tercungap-cungap.
“Lambat!”
“Itu yang paling cepat saya boleh lari. Kat sekolah dulu
saya tak pernah dapat nombor satu setiap kali masuk pertandingan lumba lari,
bos.”
“Terima kasih,” ucap Thaqif. Malas terus mendengar omelan
Sakinan yang seperti bertih jagung. Namun dalam ramai-ramai staf di Semarak
Sdn. Bhd., itulah satu-satunya staf yang paling disenangi. Gadis itu meskipun
kadang-kadang lurus, kerjanya rajin dan selalu bercakap jujur. Mendekatinya
semata-mata kerana dia bos, bukannya seperti sebilangan staf yang sering
mengendeng kerana kedudukannya di sini dan siapa dirinya.
“Dekat sikit,” pinta Thaqif. Dia sudah bersedia mahu
membersihkan luka Shana.
“Saya buat sendiri,” tegah Shana.
Sebetulnya, selepas pertemuan dia, Thaqif dan Yasmin, dia
tak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Thaqif. Meskipun hanya berlakon,
malunya pada lelaki itu tetap terasa. Lantaran itu, dia selalu memastikan yang
dia dan Thaqif tak akan terserempak di mana-mana.
“Biar saya yang ubatkan. Tolong jangan degil macam
budak-budak boleh?”
“Malulah saya kalau awak dekat-dekat dengan saya.”
Dalam renungan Thaqif pada Shana. Diam-diam, dia cuba
mengamati rupa gadis itu. Tak percaya, selepas lima minggu, hari ini dia dapat
duduk sedekat ini dengan Shana. Sangkanya, segala-galanya telah berakhir. Tapi
biarlah. Untuk hari ini dia mahu berbakti pada gadis yang telah dimalukan.
“Dulu masa awak kejar saya, awak tak malu pula ya?”
“Jangan nak ungkit-ungkit boleh tak?” Shana terasa darahnya
menyirap ke muka.
“Kalau tak nak saya ungkit biar saya bersihkan dan letak
ubat. Lepas tu awak balik.”
“Sikit ajelah. Kalau tak ubat pun esok-esok baiklah ni.”
“Itu kalau baik, kalau tak jadi makin teruk. Mula-mula berair,
lepas tu bernanah. Lama-lama jadi besar. Jadi kudis dan akhirnya mungkin boleh
jadi barah. Awak nak ke macam tu?”
Shana menjegilkan matanya. Sakitnya hati dengan gaya bercakap Thaqif. Cara lelaki itu berkata, macamlah dia anak-anak
kecil yang mudah digula-gulakan. Hakikatnya, dia seorang wanita dewasa yang
tahu berfikir. Bijak membezakan yang mana baik dan buruk. Luka sekecil itu
sangat mudah sembuh.