Home Novel Cinta LELAKI ITU DIA
Bab 9

ESOK kita sarapan kat kedai lainlah pula. Tekak saya macam dah tak boleh terima dah makanan yang dimasak di kedai tu. Balik-balik hidangkan makanan yang sama,” kata Shana sebaik saja berdiri di hadapan Menara Semarak. Beberapa minit lagi mereka akan berpisah. Dia akan berpusing ke belakang, kemudian ke Kedai Buku Kasih dan Thaqif akan masuk ke bangunan bertingkat-tingkat itu.

“Eloklah tu, awak pergi sarapan sendiri.”

“Eh... abang ni!” kata Shana tak puas hati.

“Apa eh-eh? Ingat saya tak ada kerja ke?”

“Makanan kat kedai tu sangat masin, okey!”

“Biarlah masak makanan masin daripada langsung tak tahu masak macam awak ni,” tempelak Thaqif selamba. Melihat pada mulusnya kulit tangan Shana, dia sedikit pun tak yakin yang gadis itu pandai memasak. Tapak tangan itu, tak perlu disentuh dia percaya sangat lembut.

Membulat mata Shana. Geram dengan tuduhan Thaqif yang langsung tak ada salahnya.

Kalau sejak kecil semuanya disediakan, tinggal hendak dimasukkan ke dalam mulut saja, mana mungkin dia boleh pandai memasak? Malah, mencuba pun dia tak pernah kerana bimbang kalau-kalau dapur rumah bakal hangus dikerjakannya. Melihat mata pisau yang tajam dia kadang-kadang menelan liur sendiri. Terbayang-bayang betapa sakit bila kulitnya tertikam.

“Kenapa buat mata bulat macam tu?” Mata Thaqif terjegil. “Ingat cantik sangat ke?”

“Tak cantik eh?” Kembali mengecil mata Shana kerana dia sudah tersenyum lebar.

Diam-diam, Thaqif pupuk sabar di hati. Satu yang dia belajar tentang Shana, gadis itu jangan sesekali dilayan baik. Jika tak, keadaan akan jadi seperti sekarang ini. Shana akan terus mengambil kesempatan. Perangai Shana betul-betul tak ubah seperti orang yang tak sedar diri. Sudah diberikan betis, meminta dihulurkan paha pula.

Hari pertama, memanglah dia bermurah hati menemani Shana bersarapan kerana rasa bersalah. Tak sepatutnya dia bercakap sesuatu yang menggores hati Shana. Itu pun dia masih tak pasti, benarkah kata-katanya begitu tajam. Yang dia perasan, wajah Shana terus berubah sedih. Bukannya dibuat-buat sedih, tapi benar-benar sedih. Sehabis makan pun, riak Shana tetap tak berubah. Mereka duduk bertentangan, namun Shana yang banyak mulut tiba-tiba saja jadi seperti patung.

Malangnya, hanya setakat hari itu. Esoknya, Shana sudah siap-siap menantinya di tempat yang sama. Di tepi lif. Hari ketiga, dengan senyuman manis gadis itu melambaikan tangan padanya. Dan kemuncaknya, di sinilah dia dan Shana. Baru selesai memenuhkan perut Shana dengan sepinggan mihun goreng putih.

“Awak tahu tak masuk hari ni dah berapa hari saya temankan awak makan?”

Shana kembangkan empat jari kanannya, tala ke arah Thaqif. Setiap hari dia mengira, tak mungkin boleh lupa.

“Ya, betullah tu! Dah empat hari saya temankan awak sarapan.”

“Jadi?” Shana buat-buat tak tahu.

“Maknanya dah selalu sangat saya temankan awak. Esok awak kena makan sendiri. Sorang-sorang! Jangan sebab saya temankan awak selama empat hari ni, awak anggap saya akan temankan awak untuk seumur hidup awak. Saya pun ada life sendiri yang tak ada kaitan dengan awak. Dunia ni bukannya hanya ada awak dan saya semata-mata. Ada banyak orang yang perlu saya ambil tahu,” ujar Thaqif panjang berjela. Nadanya tenang. Dia memang tak pernah bercakap kasar dengan Shana.

Marah dan geram macam mana pun, seboleh mungkin dia pastikan suaranya tak begitu tinggi. Kalau tinggi, sekadar mahu Shana tahu yang dia tak suka apa yang Shana buat.

“Tapi saya tak nak makan sorang-sorang!” bantah Shana dalam senyuman. “Saya nak makan dengan abang.”

Thaqif tenung mata Shana dalam-dalam. Terkancing giginya dengan sikap acuh tak acuh Shana. Kalau gadis itu gula-gula kapas, memang sudah dimasukkan ke dalam mulut. Biar mencair dan kemudian akan ditelan semuanya. Tak boleh ada sisa walaupun sebesar ibu jari. Esok-esok tentu Shana tak akan muncul lagi dalam hidupnya. Tentu selepas itu, ketenangan yang hilang bakal muncul lagi.

Sampai ke detik ini, dia masih berfikir siapa sebenarnya Shana. Mahu mencari tahu, dia tak punya banyak masa. Lagipun, apa perlunya?

“Awak ni tak ada kerja ke?” Thaqif bertanya untuk pertama kalinya.

“Kerjalah! Ingat saya tanam anggur ke?”

“Kat mana?”

“Dekat-dekat sini aje.”

“Kat mana?” tanya Thaqif sekali lagi.

Shana gelak kecil. Tak ada hati hendak menjawab pertanyaan Thqif. Bimbang kalau-kalau, lelaki itu muncul di hadapan Kedai Buku Kasih. Kemudian membuat kacau demi membalas dendam. Thaqif tak boleh sesekali memalukannya di hadapan Madam Anne dan kawan-kawannya yang lain. Lambat-laun dia bimbang jika apa yang dibuat sampai ke pengetahuan mama dan papanya. Jika Haidar tahu, mungkin dia akan ditempelak untuk seumur hidupnya.

Kemudian dia membuang pandang ke kawasan sekitar. Lengang. Hari masih pagi benar. Matahari masih belum muncul. Sesekali ada kenderaan melintas di jalan. Ada juga beberapa orang yang berjalan pantas menuju ke destinasi tersendiri. Malah, jalan raya dilihat masih basah. Mungkin malam tadi tempat ini dilanda hujan. Tak seperti di kawasan rumahnya yang sudah agak lama kekeringan.

“Kerja kat mana?” Tekan Thaqif sekali lagi.

“Rahsia!” balas Shana sambil menjongketkan kening.

“Kedekut,” ejek Thaqif benang.

Baik macam mana pun, hatinya tetap terasa sakit. Kalau dia tak mahu membayar harga makanan Shana, mudah saja Shana menggelarnya tangkai jering atau Haji Bakhil. Tapi bila sampai gilirannya, dibuat endah tak endah saja oleh gadis itu. Bukannya dia meminta dibelikan atau dibayarkan apa-apa.

“Lain kali jangan minta saya belanja makan lagi.”

“Adakah itu bermaksud esok kita akan sarapan di kedai yang lain? Kedai tadi tu tak sedap. Masakan masin macam orang nak kahwin. Tapi hari tu saya nampak dia bawa anak kecil. Maknanya, dia dah kahwin. Kan?”

“Dahlah! Pergi balik,” halau Thaqif. Kalau dibiarkan Shana bercakap, sampai esok pagi mereka tentu akan berdiri di tempat yang sama.

“Halau nampak?”

“Berambus...” suruh Thaqif dalam nada perlahan.

Tetap juga Shana tersenyum. Langsung tak terasa hati. Thaqif bukannya bersungguh-sungguh. Lagipun dia memang harus pergi kerana tak mahu mencuri masa lelaki itu. Dia yakin Thaqif ada begitu banyak urusan yang perlu diselesaikan. Tak patut benar kalau terus ditahan.

“Esok jangan lupa tau!” Shana mengingatkan Thaqif sekali lagi.

Cepat-cepat Thaqif keluarkan dompet di dalam poket. Ditarik sekeping duit RM100 dan dihulurkan kepada Shana.

“Untuk apa?”

“Ambil dan gunakan untuk makan. Tapi syaratnya, jangan ajak saya sarapan sama-sama sebab dia tak nak.”

Sorrylah... saya tak nak duit. Saya nak abang!”

“Isyh... sakitnya hati aku!”

Terus Thaqif pusing dan berjalan pantas. Tak mahu terus memaksa Shana kerana pada akhirnya, dia juga yang terpaksa akur pada kehendak Shana. Bukanlah dia tak mahu membayar harga makanan Shana. Tak banyak mana pun gadis itu makan. Lebih banyak cuit di sana dan di sini daripada masuk ke dalam mulut. Namun, dia rasa sangat terbeban dengan kehadiran Shana. Bahkan, kadang-kadang dia seperti tak mahu ke pejabat apabila mengenangkan Shana.


EH... ENCIK KASANOVA dah sampailah,” ejek Budriz sebaik saja Thaqif muncul di muka pintu. Dia tergelak-gelak perlahan. Namun sedikit pun tak berganjak, tetap juga duduk di kerusi milik Thaqif.

“Siapa suruh masuk bilik ni?”

“Tak ada sesiapa pun. Budriz paksa Sakinah buka pintu tadi.”

Thaqif merengus kasar. Beg bimbit diletakkan di atas meja. Dia duduk di kerusi, bertentangan dengan Budriz yang telah membuat bilik pejabatnya seperti bilik pejabat sendiri. Rintik peluh di dahi, diseka dengan sapu tangan yang memang sentiasa dibawa. Hati yang geram masih belum mampu diredakan.

“Sakinah ni pun satu. Ikut aje semua cakap Budriz. Agaknya kalau Budriz suruh dia melompat dari tingkat tujuh ni, diturut juga,” bebel Thaqif bagaikan peluru. Sakit hatinya pada Shana, kini disalurkan kepada Sakinah dan Budriz. Biar hatinya di dalam rasa lebih tenang.

“Abang ingat, Sakinah tu tak ada akal ke?”

“Kalau betul ada, kenapa dia suka ikut cakap orang tak cukup akal macam Budriz ni?”

“Abang tak baik tau cakap Sakinah macam tu.”

“Kalau Sakinah tak buka pintu bilik pejabat abang tadi, Budriz tentu tak back-up dia macam ni sekali. Kan?”

“Siapa kata?”

Thaqif, diam sejenak. Dia suka bekerja dengan Sakinah kerana gadis itu sangat cekap dalam melakukan kerja-kerja yang diberi. Kadang-kadang, tak perlu disuruh Sakinah tahu apa yang patut dilakukan. Lebih daripada itu, Sakinah bukan jenis menggedik dan suka mengambil kesempatan padanya. Namun yang lemahnya Sakinah itu, sering saja tunduk pada kerenah dan kemahuan Budriz dan Yasmin.

“Budriz ni tak ada kerja ke? Jemu abang tengok muka Budriz tahu?”

“Budriz pun designer okey. Sama macam abang! Cuma abang Industrial Designer dan Budriz Graphic Designer.”

Bibir, Thaqif juihkan sedikit. Meluat kerana Budriz selalu menekankan ayat tersebut. Nampak macam bangga benar kerana setara dengan dia dan Yasmin. Padahal, dibandingkan Budriz, dia lebih dahulu berkecimpung dalam bidang tersebut. Itu pun masih hendak berlagak.

“Jadi, kenapa Syed Budriz menyemak di sini?”

Besar ketawa Budriz saat mendengar nama penuhnya meniti di bibir Thaqif. Siap ditekan lagi sebutannya. Dia tahu, sampai ke saat ini Thaqif masih sakit hati kerana dia memilih bekerja dengan orang dibandingkan Semarak Sdn. Bhd. Abangnya tahu, meski bidang yang diambil berbeza, dia tetap berkebolehan. Hanya, belum masanya dia berganding bahu dengan abang dan adiknya di sini. Minatnya ke arah itu masih belum muncul.

“Tadi Budriz nampak abang makan dengan seorang gadis manis. Siapa tu?”

“Gadis gila!”

Gadis? Jujurnya, dia sendiri tak pasti apa status yang digalas Shana. Mungkin belum pernah berkahwin. Mungkin pernah berkahwin dan kemudian perkahwinan itu tak bertahan lama. Atau lebih sadis lagi, masih isteri orang.

Isteri orang?

Thaqif telan liur berkali-kali. Tekak tiba-tiba saja terasa mengering. Takut membayangkan jika Shana itu benar-benar isteri orang. Patutnya awal-awal lagi ditanya. Sebaliknya, dia hanya sibuk mencari jalan mengelak daripada Shana walaupun pada akhirnya, tetap juga strateginya dipatahkan dengan mudah.

Isteri orang ke Shana tu?

Rupa Shana yang selalu tersenyum manis cuba dibayangkan. Cara penampilan Shana yang tak menjolok mata, diimbas. Kemudian bentuk tubuh itu tak ketinggalan di ingatannya, walaupun terasa diri seperti kurang ajar kerana membayangkan apa yang tak patut dibayangkan. Meski bayangan itu tak melampaui batas. Untuk semua itu, dia tak nampak ketokohan seorang isteri ada pada Shana. Memang jelas kelihatan seperti seorang perempuan yang belum berumah tangga.

Ke, mata aku yang sebenarnya tertipu?

Thaqif buntu sendiri. Kalau tak mengenangkan Budriz ada di ruang yang sama dengannya, tentu dia sudah menghubungi Shana. Mahu ditanyakan dengan jelas apa status Shana. Tak mahu dia tiba-tiba saja muncul lelaki yang tak dikenali, kemudian menghadiahkan buku lima ke mukanya. Dengan alasan, dia sudah mengganggu isteri orang. Sedang hakikat sebenarnya, dia yang diganggu Shana.

“Kenapa abang tiba-tiba nampak cuak?”

“Mana ada!” sangkal Thaqif. Kalau Budriz tahu dia dikejar isteri orang, tak ke malu?

“Siapakah gadis yang bertuah itu?”

Thaqif jongket bahu. Kebenaran tentang Shana harus disingkap. Dia akan bertanya supaya tak timbul isu di kemudian hari kelak. “Tak ada apa yang penting pun nak diceritakan,” kata Thaqif menutup terus rasa ingin tahu Budriz. Tak mahu lahir pertanyaan yang lain jika dia bercerita. Cukuplah kepalanya hanya diserabutkan Shana. Budriz tak perlu menjadi nasi tambah!

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.