HIDUP ini ibarat roda yang berputar. Kadang di atas,
kadang di bawah. Tak mungkin statik di tempat asal. Itu yang sedang bermain-main
di minda Thaqif. Kalau dulu, hampir setiap pagi Shana menunggunya di depan lif
Menara Semarak. Alasan gadis itu, mahu mengajaknya bersarapan di Gerai Yong
Hanifa. |
Kini,
setelah lebih sebulan dia meminta gadis itu menjauhinya, dia pula yang berdiri
di hadapan Kedai Buku Kasih. Menunggu kedatangan Shana yang seperti buah tak
gugur. Padahal kalau dihitung-hitung, belum pun sampai 10 minit dia di sini.
Hanya masa yang terasa bergerak seperti kura-kura.
“Jangan
sesekali bagitahu Shana yang abang dah tahu. Kalau dia tahu, siap!”
Itu
amarannya sebelum meninggalkan bilik Yasmin malam tadi, ketika sudah berada
betul-betul di hadapan pintu bilik. Saat melihat anggukan Budriz dan Yasmin
yang serentak, terus diayun langkah. Tak mahu kekal di situ. Bimbang semakin
melihat tangisan Yasmin, semakin marahnya mencanak-canak naik.
Hati
yang tak tenteram bercampur panas, ditenangkan dengan mengalunkan zikir.
Kemudian dia tidur sampai ke pagi.
“Baru
sampai ke?” tanya Thaqif sinis sebaik saja Shana muncul.
“Taklah!
Malam tadi lagi dah sampai,” jawab Shana selamba. Tak mengerti untuk apa Thaqif
ada di hadapannya saat ini.
“Kenapa
tak datang dari minggu lepas lagi?” Terus Thaqif berloyar buruk.
“Ingat
nak datang minggu sebelum minggu lepas lagi.”
“Baik
datang tahun depan aje.”
“Bagus
juga idea tu. Terima kasihlah ya sebab sudi kongsi. Tak terfikir pun tadi nak
jawab macam tu.” Masih juga selamba nada suara Shana. Tudung bawal berwarna
merah bata yang ditiup angin pagi, ditolak sedikit.
Menyirap
saja darah Thaqif dengan ketenangan yang pada pada wajah Shana. Gadis itu
kelihatan tenang seperti biasa. Langsung tak tercuit dengan kehadirannya.
Selamba saja membalas kata-katanya. Macamlah kala ini mereka berdua berada di
dalam mahkamah.
“Orang
suka menipu memang lambat berfikir,” tempelak Thaqif tiba-tiba.
“Apa
awak cakap tadi?”
“Penipu!”
“Apa?”
Dahi Shana berkerut.
“Pembohong!”
Hati
Shana berdebar-debar. Tuduhan Thaqif menyakitkan hatinya. Dia pernah mengejar
suami orang, itu betul dan itulah satu-satunya hal paling buruk pernah dilakukan
dalam seumur hidupnya. Namun, menipu dan berbohong memang tak ada dalam kamus
hidupnya. Dia tak pernah belajar pelajaran seburuk itu dan tak pernah pun mahu
belajar. Pembohongan pertama akan menyebabkan munculnya pembohongan kedua,
ketiga dan seterusnya tanpa henti.
“Kalau
awak datang ke sini semata-mata nak sakitkan hati saya, baik awak balik ajelah.
Saya malas nak layan!”
“Hipokrit!”
tuduh Thaqif tanpa ada senyum di bibir.
Hipokrit!
Sepatah tuduhan itu benar-benar menyentak hati Shana. Bercincin matanya
merenung Thaqif yang berdiri hanya beberapa meter daripadanya. Kalau boleh
dibaham, Thaqif mungkin akan bergelar arwah pada hari ini. Lelaki itu boleh
berkata apa saja, tapi jangan sesekali menganggap dia berpura-pura. Kalau suka,
dia kata suka. Kalau tak, dia kata tak. Untuk bersikap hipokrit, memang bukan
dia orangnya!
“Apa
masalah awak sebenarnya ni, Thaqif?”
“Yang
bermasalah bukan saya, tapi awak!”
“Apa
yang saya dah buat pada awak? Semua dah selesai. Saya tak kacau hidup awak lagi
macam yang awak nak sangat tu. Jadi, apa lagi yang awak tak puas hati dengan
saya?”
“Tanya
diri awak sendiri. Saya takkan cakap!” Sengaja Thaqif bermain tarik tali dengan
Shana. Berbulan-bulan gadis itu membuatkan hidupnya bermain dengan teka-teki.
Selepas Shana pergi pun teka-teki itu masih mengekorinya kerana gagal dicari
penyelesaiannya. Tak cukup dengan itu, bayang-bayang gadis itu juga bagaikan
sumpahan dalam hidupnya.
Kini,
salahkah jika dia mahu membalas apa yang pernah dia dapat?
“Saya
tak tahu!”
“Otak
awak ada, kan? Kenapa tak gunakan untuk berfikir. Kenapa asyik perlu nak disuap
orang?”
“Lantaklah!
Malas layan...”
Padanlah
hatinya berdebar-debar sebelum keluar dari rumah tadi. Sangkanya, berpunca
daripada rasa geram kerana Haidar yang dengan sengaja menumpahkan air di
bahunya. Rupa-rupanya, itu petanda yang dia terpaksa berhadapan dengan Thaqif
seawal pagi begini.
“Selamat
tinggal!”
“Jangan
pergi dulu!”
“Saya
tak ada masa nak layan orang yang tak ada kaitan dengan saya. Tolong pergi dari
sini kalau awak rasa tak ada apa-apa yang nak dibeli. Jangan bazirkan masa saya
sebab saya tak senang.”
“Yang
awak bazirkan masa saya selama berbulan-bulan tu, apa cerita?”
Kata-kata
Thaqif kali ini membuatkan Shana terkaku. Kelu lidah untuk terus berlawan kata
dengan Thaqif. Nada suara Thaqif tak tinggi walaupun agak menjengkelkan di
telinganya. Namun, nada itu seperti memberitahu sesuatu. Lalu, ditatap
dalam-dalam wajah Thaqif walaupun hati terasa gentar. Cuba mencari sesuatu dan
ternyata sesuatu yang dicari ada di situ.
Ya...
rahsia sudah tak lagi bergelar rahsia! Tapi kenapa Yasmin dan Budriz tak
mengatakan apa-apa padanya? Atau, mereka berdua juga tak tahu yang Thaqif
sebenarnya sudah tahu?
Sudahlah!
Tamatlah riwayat aku hari ni di tangan Thaqif. Dia tentu tak akan lepaskan aku
dengan mudah.
“Dah
dapat fikir?”
Shana
terasa jari-jemarinya sedikit menggigil kerana berasa cuak. Mungkin resam orang
bersalah memang begini. Tak mampu berlagak tenang walaupun telah dicuba sedaya
upaya. Padanlah Thaqif menyebut perkataan penipu dan pembohong. Turut diungkap
kata hipokrit.
Tapi,
sungguh... dia tak berniat berbohong dan menipu! Yang dilakukan, hanya mahu
membantu Yasmin dan Budriz.
Hanya
itu. Hanya itu niatnya semata-mata! Tapi jika diterangkan, fahamkah Thaqif?
“Hmm...
tak sangka lamanya masa yang awak ambil untuk berfikir ya, Shana? Nak tertidur
saya tunggu.” Selamba saja Thaqif menutup mulutnya, beraksi seolah-olah dia
benar-benar mengantuk.
“Ke
otak awak tu dah karat dan tak boleh digunakan lagi?”
Shana
ketap bibir. Sesedap rasa saja Thaqif berkata begitu hanya semata-mata kerana
dia bersalah.
Kening,
Thaqif terjongket sedikit. Sengaja dipukul hati Shana kerana dia melihat jelas
perubahan pada wajah gadis itu. Shana nampak sedikit pucat dan takut-takut.
Tidak lagi berani seperti tadi.
Padan
muka, desis hati kecil Thaqif. Gembira kerana dapat mengenakan gadis itu.
“Kalau
tak ada apa-apa yang penting, saya nak masuk kerja.”
Tergelak
perlahan Thaqif dengan alasan Shana. Kini, dia benar-benar yakin yang
fikirannya dan Shana sejalan.
“Tak
semudah itu, sayang...”
Sayang?
Shana telan liur berkali-kali. Tapi makin ditelan, makin haus jadinya.
“Sayang
ingat, senang nak lepaskan diri daripada abang?”
Abang?
Shana melihat, dunia di sekelilingnya semakin lama semakin kelam. Renungan
tajam Thaqif mengerikannya. Dalam keadaan begini, baru kesalnya datang. Dia tak
sepatutnya mencampuri urusan keluarga Budriz dan Yasmin.
Tapi
mereka kata, Thaqif itu lelaki baik. Jika rancangan terbongkar, Thaqif tak akan
bertindak apa-apa. Malangnya, Thaqif yang ada di hadapannya ini langsung tak
sama dengan Thaqif yang dibayangkan. Berbeza juga dengan Thaqif yang dikejar
saban hari tanpa putus asa.
“Dah
tahu kan kenapa saya ada di sini sekarang ni?” tanya Thaqif.
Shana
angguk, walaupun bibir seperti ingin menjawab.
“Jadi,
awak terimalah yang awak dah buat salah besar pada saya?”
Sekali
lagi Shana angguk dengan muka tunduk ke bumi. Pertama kali dia berasa sangat takut dengan orang. Hidup di
tengah-tengah bumi asing pun tak pernah menerbitkan rasa seperti ini.
“Kalau
macam tu, ikut saya!”
“Tak
nak!” Pantas Shana menjawab. Bimbang kalau dirinya diapa-apakan.
“Ikut saya!” ulang Thaqif sekali lagi.
“Tak
akan!
“Ikut!”
desak Thaqif bila Shana terus kaku. Kalau Shana itu Yasmin, memang diheret.
“Saya kata tak nak tu, tak naklah. Tak faham?”
“Dalam
kamus hidup saya cuma ada perkataan nak. Perkataan tak nak tu belum cipta.”
“Saya
tetap tak nak! Nak suruh saya guna bahasa Sanskrit ke baru awak nak faham apa
yang saya cakapkan ni ke?” Terjegil mata Shana merenung Thaqif.
Dia
mengaku dia bersalah. Tapi siapa Thaqif hendak memaksanya?
“Tak!
Cakap bahasa Urdu sebab bahasa tu aje yang saya faham,” balas Thaqif sinis.
Bibir diketap rapat-rapat. Raut selamba walau takut-takut yang terpeta pada
muka Shana buat dia makin sakit hati.
“Okey...
saya minta maaf! Puas hati?”
“Sikit
pun tak!”
“Habis
tu, awak nak suruh saya buat apa lagi? Benda dah jadi dah pun.”
“Ikut
saya balik hujung minggu ni,” pinta Thaqif keras. “Saya tak kira, Shana! Sebab
awak yang mulakan, awak harus tamatkan. Apa pun jadi, ingat... hujung minggu ni
awak mesti ikut saya balik!” potong Thaqif pantas. Tak sudi lagi mendengar
penolakan daripada Shana. Helah jauh sekali. Sudah sampai masanya Shana pula
mengikut telunjuknya, selepas puas gadis itu menjadikan dia seperti lembu
dicucuk hidung.
“Sebab
awak nak sangat jadi girlfriend saya, saya akan kenalkan awak macam tu
pada ibu dan ayah saya.”
“Saya
tak nak! Saya takkan buat macam tu. Tugas saya dah selesai. Lain-lain hal awak
selesaikan dengan Min dan Budriz.”
“Ingat
semudah itu nak lepaskan diri daripada saya lepas berbulan-bulan awak jadi
hantu, ikut saya?”
“Bukan
salah saya! Saya hanya ikut rancangan Budriz dan Yasmin.”
“Awak
bukannya budak kecil yang tak reti berfikir sampai sanggup ikut rancangan bodoh
Min dan Budriz. Kalau dia orang terjun lombong, awak nak ikut?” Thaqif ingin
tahu. Bila Shana hanya diam, dia tersenyum sinis. “Seronok ya awak main-mainkan
saya. Dapat apa?”
“Niat
saya hanya nak tolong. Itu aje! Salah ke?”
“Salah!
Kalau pun awak baik hati sangat nak buat amal jariah, pergi rumah kebajikan
atau rumah anak-anak yatim. Mereka lebih memerlukan khidmat bakti awak daripada
adik-adik saya tu.”
Shana
meramas kuat tali beg tangan yang masih tersandang di bahunya. Dia di hadapan
Thaqif kini, tak ubah seperti pesalah yang menunggu dijatuhkan hukuman. Tapi
mana dia sangka niat baiknya bakal memakan dirinya. Rasa marah dan geram
nampaknya benar-benar sudah merubah Thaqif menjadi orang lain.
“Saya
nak balik ofis. Hujung minggu ni, saya ambil awak. Sama ada nak atau tak, awak
kena nak juga. Kalau tak, saya akan tunjukkan semua WhatsApp yang awak beri
pada saya tu kat ibu dan ayah awak. Biar mereka tahu macam mana buruknya
perangai anak perempuan mereka.”
“Awak
tak boleh buat macam tu, Thaqif!” Sudahlah dia ada rekod buruk dalam mengejar
lelaki, silap-silap dia tak akan diakui anak oleh Tan Sri Zaidi.
“Boleh!
Saya boleh buat apa yang saya nak dan awak kena tebus kesalahan awak pada saya.
Kalau tak, saya tak akan maafkan awak sampai mati. Jangan sampai awak tak dapat
masuk syurga sebab berdosa pada saya,” ujar Thaqif bagaikan mengugut Shana.
Alang-alang
mandi, biar basah! Detik hatinya,
“Tapi...”
“Hujung
minggu ni. Ingat!”