Leya
melangkah memasuki ruang kerjanya. Sekalipun cuti yang dipohon masih berbaki
seminggu, namun untuk terus berada di rumah hanya akan membawa fikirannya
mengingati perkara yang telah berlaku. Dari mengingati perkara yang hanya
menyakitkan hati sendiri, lebih baik dia memulakan kerjanya lebih awal.
Sekurang-kurangnya dengan kesibukan kerja, dia dapat melupakan buat seketika
apa yang terjadi.
Sejak
melangkah masuk tadi, dia sudah perasan akan pandangan teman-teman sekerjanya
namun langsung tidak dihiraukan. Bila ada yang menegur, dia hanya tersenyum dan
mengangguk sahaja. Dia rimas sebenarnya apabila semua memandangnya dengan
pandangan simpati. Dia tidak perlukan simpati siapa-siapa, cukup andai orang
sekelilingnya mengerti dan tidak lagi mengungkit akan perkara yang telah
terjadi. Walau segunung simpati dilemparkan padanya tidak akan mengubah
apa-apa. Perkara yang sudah terjadi tetap juga terjadi. Yang menderita sakit
tetap dirinya seorang.
Fail-fail
yang ada di atas meja diteliti satu demi satu. Keadaan sekeliling langsung
tidak dihiraukan. Dia semakin leka dengan kesibukan kerjanya hingga langsung
tidak menyedari akan waktu yang beredar.
“Leya
tak nak pergi makan?” soal Hanani yang berdiri di tepi meja Leya. Sedari tadi
lagi dia perasan yang Leya kelihatan begitu sibuk dengan kerjanya. Andai dia
tidak datang menegur, alamatnya pasti gadis ini terlepas waktu makan tengah
hari.
Leya
yang ketika itu sedang tunduk, pantas mendongak apabila mendengar suara yang
menegurnya. Melihat Hanani yang berdiri di tepi mejanya, dia melayangkan
senyuman. Jam di pergelangan tangan diintai. Dah jam satu rupanya.
“Kak
Nani baru nak pergi makan ke?”
Hanani
mengangguk. Senyuman yang Leya ukirkan nampak benar kakunya. Senyuman yang
hanya mahu melindungi duka di hati.
“Leya
join akak ye....” Meskipun perutnya tidak terasa lapar namun apa salahnya dia
menerima ajakan Hanani. Dia sudah berjanji dengan diri sendiri untuk menjalani
rutin hidup seperti biasa. Selagi dia mampu menyembunyikan kedukaan hatinya,
dia akan lakukan. Bukan mahu berpura-pura, cuma dia tidak mahu orang
sekelilingnya terus memandangnya dengan simpati. Apa yang dirasa, biar saja dia yang merasai
dan melaluinya.
“Marilah.
Lambat nanti penuh pula cafe kat bawah tu...”
Setelah
mengemas fail-fail dan kertas kerjanya, dia terus berlalu mengikut langkah
Hanani. Sebaik sampai di café yang terdapat di tingkat bawah bangunan
pejabatnya, mereka terus mengambil makanan. Selepas membuat pembayaran, dia dan
Hanani melilau mencari tempat kosong.
“Nani,
Leya sini...”
Terdengar
laungan seseorang memanggil mereka. Sebaik menoleh Haiza dan Naim sedang
melambai ke arah mereka.
“
Tempat kau orang ni kosong ke?” soal Hanani untuk kepastian.
“Sebab
kosong la kami panggil. Duduklah. Tempat lain rasanya dah penuh,” ujar Naim
dengan ramah.
Leya
dan Hanani terus melabuhkan duduk di depan Haiza dan Naim. Mereka mula menjamah
makanan yang dibeli. Hanani, Haiza dan Naim rancak berbual dan Leya hanya
menjadi pendengar sahaja.
“Leya
okey ke?” soal Naim. Haiza di sebelah menyiku lengan suaminya itu.
Leya
mengangkat kening bila mendengar pertanyaan itu dan sempat juga matanya
menangkap tingkah Kak Haiza yang menyiku lengan Abang Naim. Dia hanya
tersenyum. Mungkin Kak Haiza tidak mahu Abang Naim mengungkit akan perkara yang
telah berlaku.
“Abang
Naim minta maaf, Leya. Tak bermaksud nak ungkit kejadian tu...” Cepat-cepat
Naim memohon maaf apabila menyedari keterlanjuran kata apalagi bila isterinya
menjegil mata ke arahnya.
“Leya
okey, Abang Naim. Semuanya ketentuan Allah dan Leya terimanya dengan reda,”
sahut Leya bersama senyuman.
“Sabarlah
Leya. Akak tahu apa yang berlaku bukan perkara yang mudah untuk dilupakan.
Anggaplah Fahim bukan jodoh yang telah ditetapkan untuk Leya,” ucap Hanani,
mengambil kesempatan memberi semangat.
“Betul
kata Kak Nani tu, Leya. Jodoh pertemuan Allah yang tentukan. Bagaimana kita
merancang sekalipun, andai itu bukan jodoh kita ia tak mungkin akan berlaku.
Leya kena kuat. Kena tabah. Jangan sesekali rebah hanya kerana seorang lelaki.
Akak yakin adik akak ni seorang yang kuat...” Haiza pula mengambil kesempatan
memberi nasihat sedangkan tadi dialah yang tidak suka perkara itu diungkit.Tapi
alang-alang sudah terlanjur kata, tidak salah rasanya untuk dia menitip sedikit
nasihat buat Leya.
“Insya-Allah.
Leya sedang mencuba. Mungkin ambil masa, tapi Leya tidak mahu berterusan
memikirkannya. Yang terjadi biarkan berlalu dan hidup perlu diteruskan seperti
biasa…”
Usai
solat, Leya mengambil Al-Quran dan membacanya. Sejak kejadian dulu, dia kini
lebih mendekatkan diri pada yang Esa. Hanya dengan membaca surah-surah
Al-Quran, dia dapat mendamaikan jiwanya. Kesakitannya bagaikan dibawa pergi. Kalam
Allah ini bagaikan penawar untuknya yang sedang berduka.
Teringat
pesan seorang ustazah dalam satu ceramah yang pernah dia hadiri. ‘ La Tahzan’
jangan bersedih. Allah ada. Allah tahu. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama
umatnya. Mengadulah pada dia dan luahkan segala kesakitan pada-Nya. Dia maha
mendengar dan mengasihani. Dia lebih mengetahui apa yang kita tidak ketahui.
Sabar dan redha akan aturannya kerana jalan Takdir-nya tidak pernah salah dan Insya-Allah
ada ganjarannya buat mereka yang tabah menghadapi ujian dari-Nya.
Leya
menarik nafas panjang. Dia menjadi
pilihan kerana Allah mahu menguji keimanannya. Mungkin ini salah satu sebabnya
mengapa Allah turunkan ujian itu padanya. Di setiap solatnya, dia tidak pernah
putus meminta agar diberi ketabahan serta kekuatan dalam mengharungi hari-hari
yang mendatang.
“
Ya Allah, andai sudah begini yang tertulis dalam takdir-Mu, aku reda. Aku
menerimanya sebagai ujian dari-Mu. Sesungguhnya engkau lebih tahu apa yang
tersirat di sebalik yang tersurat. Berikan aku kekuatan dan ketabahan. Aku
tidak mahu terus hanyut dalam kekecewaan ini. Kesakitan ini pasti ada sebabnya
yang mungkin tidak aku ketahui.
Ya
Allah, ampuni segala kelekaanku selama ini. Di saat aku gembira, di saat aku
ketawa aku lupa akan kewujudan mu. Mungkin ini balasan untuk aku yang sering
lalai dalam mengingati-Mu.
Ya
Tuhanku, lapangkan hati ini agar dapat aku berikan kemaafan pada mereka
sekaligus melepaskan semua rasa sakit yang ada. Kesakitan ini buat aku semakin
lemah dan aku tidak mahu kesakitan ini menjadi racun lalu meninggalkan rasa
dendam untuk mereka.Aku mahu menjadi insan yang reda dan ikhlas menerima
semuanya sebagai ujian untuk aku sebagai hamba-Mu.”
Air
mata yang mengalir di kesat perlahan. Setabah atau sekuat mana pun yang cuba
dipertontonkan namun hakikatnya, hatinya tetap merintih.
Andai
dia dapat putarkan waktu, dia akan mengelak dari jatuh cinta. Bukan dia
menyesal tapi dia lebih rela memilih untuk tidak jatuh cinta. Adakalanya dia
bertanya pada diri sendiri, ada apa dengan cinta kalau pengakhirannya hanya
kelukaan dan kesakitan.