Bab 8
HARI kedua
di kampung, penggambaran masih dijalankan di pinggir hutan yang sama. Selepas
Subuh semua krew dan pelakon harus bersedia untuk meneruskan penggambaran.
Laura Jane tidak sempat menemui Mak Ngah
Milah. Dia
yakin penggambaran akan berakhir lewat malam. Dan tidak akan punya kesempatan
untuk mencungkil rahsia.
Pada hari
keempat barulah lokasi penggambaran beralih ke kampung di tepi sungai. Selama
beberapa hari di pinggir hutan, hubungan antara hero dan heroin berkembang dan
mereka saling menyukai antara satu sama lain. Lalu hero membawa heroin ke
kampungnya. Heroin mengubah dirinya menjadi gadis kampung untuk bersembunyi
daripada pihak berkuasa.
Hero mulai
jatuh hati pada heroin. Hero mempunyai seorang nenek yang sudah tua dan buta
pula. Rumah nenek hero di kampung itu kecil dan agak usang. Penggambaran
dilakukan berhampiran dengan rumah banglo Pak Ngah Bujang. Rumah itu memang
rumah tinggal yang tidak berpenghuni lagi. Rumah itu dijadikan rumah nenek
hero. Hero filem itu sebenarnya tinggal di ibu kota dan memiliki rumah yang
indah. Tetapi dia sengaja menyatakan pada heroin
bahawa dia orang miskin dan tidak berharta. Sekadar menguji hati heroin. Dia
ingin tahu siapakah heroin sebenarnya yang masih lagi menjadi suatu misteri.
Laura Jane
tercegat di hadapan rumah kecil itu. Dan ingatannya berputar semula kala
pertama kali Said membawanya ke rumah Mak Timah. Dia memandang hina pada Mak
Timah yang berpakaian lusuh dan buruk. Tiba- tiba Laura
Jane tersedu-sedu memandang rumah buruk itu. Segala peristiwa lama
bagaikan terulang semula. Dia tidak ingin mengulangi cerita itu biarpun hanya
sebagai satu lakonan.
“Cut!!!”jerit Abang
Mokhtar.
“Laura!
Kenapa dengan you? Siapa suruh you nangistersedu-sedu ni? Sepatutnya
you happysebab dapat keluar dari hutan dan mulakan hidup baru
di kampung.”
“I...I tak
tahu kenapa...dengan I,” kata Laura Jane dengan suara yang serak. Dia menyapu
air matanya perlahan-lahan. Wajahnya cemik dan bibir tercebik ke
hadapan.
“Apa yang
you sedihkan ni?”
Laura Jane
tidak menjawab.Malas dia hendak menjawab pertanyaan yang berbaur curiga itu.
“Ben mana?”
tanya Abang Mokhtar sambil tercangak- cangak mencari kelibat Ben di antara
krewnya ada di situ.
“Dah balik
KL semalam,” jawab Miss Kay yang duduk berdekatan dengan Laura Jane. Laura Jane
asyik termenung.
“Ooo...patutlah!
Sedih sebab Ben tak ada kut?” “Ahhh! Sudahlah Abang Mok! Jangan
nak sindir-sindir I
pulak!
Karang I balik KL baru you tahu!”Tiba-tiba Laura Jane mengamuk.
“Okey...Laura!
Sorry! Kita rehat minum dulu. Oi! Nasi lemak ada lagi ke?” jerit Abang Mokhtar
pada anak buah.
“Sorry!Dah habis
bang!” jerit anak buah Abang Mokhtar.
Mak Ngah
Milah diupah memasak makanan mereka. Wanita itu memang pandai memasak. Setiap
hari menunya berbeza. Dan mereka benar-benar puas hati di atas
layanan baik Pak Ngah Bujang dan isterinya.
Setelah 10
minit berehat, Abang Mokhtar kembalimenjerit-jerit meminta krew bersedia
untuk kembali merakam filem.
Laura Jane
letih tidak terkata. Ditambah dengan fikirannya yang asyik melayang mengingati
perkara lain, dia kerap kali tersilap aksi dan dialog. Dia sudah mencuba sedaya
upaya untuk tidak melakukan kesalahan. Namun dia tetap tersasul juga. Aduh!
Dia benar-benar sedang parah. Setiap kali tersilap, rakaman harus
diulang semula. Abang Mokhtar mula naik angin.
Kedatangan
rombongan orang filem itu tersebar di segenap kampung. Hari itu ramai orang
datang melihat Laura Jane berlakon. Semasa di pinggir hutan dahulu ada juga
yang datang tetapi tidak seramai waktu penggambaran di dalam kampung. Suasana
agak kecoh dengan kehadiran budak-budak. Ada juga yang datang untuk
mendapatkan tandatangan Laura Jane.
Penggambaran
agak terganggu. Abang Mokhtar terpaksa bersabar. Laura Jane memang mempunyai
ramai peminat dan dia tidak boleh berlagak sombong di hadapan para peminatnya.
Laura Jane
perasan ada seorang lelaki yang asyik mengambil gambarnya. Dia tahu,
berdasarkan kamera yang digunakan, lelaki itu adalah jurugambar profesional.
Dia merenung lelaki itu dari jauh, tidak senang dengan kehadirannya. Lelaki itu
hanya tersenyum dan enggan berganjak dari lokasi penggambaran.
Jika boleh
Laura Jane ingin menghalau lelaki itu pergi tetapi tidak mungkin dia dapat
berbuat demikian. Siapakah lelaki itu? Fikir Laura Jane bertalu-talu.
Pada hari
berikutnya, lelaki itu tidak muncul lagi. Laura Jane rasa lega. Akhirnya
penggambaran berakhir mengikut jadual. Esok pagi mereka akan pulang ke Kuala
Lumpur dan penggambaran diteruskan di beberapa lokasi di ibu kota. Sebuah rumah
banglo sudah dipilih sebagai rumah hero. Heroin datang ke Kuala Lumpur mengikut
hero. Hero dan heroin mengadakan majlis perkahwinan yang meriah.Namun
perkahwinan itu tidak direstui oleh ibu hero, seorang wanita berkarisma. Dia
juga seorang hakim yang berjaya dan berkaliber.
Petang itu
sebelum kembali ke ibu kota, Laura Janebersiar-siar di sekitar kawasan
kampung itu. Dia berjalan dengan ditemani Miss Kay ke jeti di pinggiran
sungai.Tahun 60-an hingga70-an dahulu jeti kampung itu dijadikan
tempat turun naik motobot. Semasa Laura datang ke situ mengikut suaminya Said,
pertengahan tahun1995, sudah ada jalan berturap tar hitam walaupun tidak luas.
Kini jalan raya di kampung itu sudah diperbesarkan. Kereta pun sentiasa banyak
di jalanan. Suasana sudah bertukar bising dan hidup.
Rumah papan
sudah tiada, diganti rumah batu yang cantik seni binanya. Kalau pun masih ada
sebuah dua rumah papan itu termasuklah rumah ibu mentuanya dengan tanah yang
terbiar, ditumbuhi belukar. Dusun kecil di belakang rumah pasti sudah berubah
menjadi hutan.
“Nyaman
suasana di kampung ni,kan? Segalanya ada. Sekolah, masjid, kedai makan dan
kedai runcit,” kata Miss Kay, si jurusolek artis.
Dia jenis
lelaki lembut, dua alam. Nama sebenarnya Kamaruddin tetapi lebih suka dipanggil
Miss Kay. Raut wajahnya nampak halus, sentiasa dialas solekan. Rambut panjang
diwarnakan perang.
Laura Jane
hanya mengangguk. Dia memerhati sekeliling kawasan jeti itu. Kemudian matanya
ditebar jauh ke tengah kampung. Nampak pokok kelapa yang tinggi menjulang. Ada juga pokok-pokok kelapa
yang sudah mati tetapi batangnya masih tegak dengan pucuk
dan dahan-dahankelapa yang tunduk ke bawah. Dari jauh kelihatan seperti
seekor labah- labah gergasi terapung di udara.
“Kay! I nak
ajak you pergi satu tempat!”
Laura Jane
menarik tangan Miss Kay lalu terus berjalan laju. Miss
Kay terkial-kial mengikut sambilgelak-gelak manja.
“Alaaa...you tarik-tarik I
ni nak pegi mana Laura?” “Ikut ajelah!” balas Laura Jane.
Akhirnya
mereka tiba jua di kawasan rumah Mak Timah. Memang tidak begitu jauh dari jeti,
lebih kurang 10 minit berjalan kaki.
“Eee,
semaknya! Rumah siapa ni?” tanya Miss Kay ingin tahu.
Laura Jane
terdiam, memerhati sahaja ke arah pintu pagar kayu yang sudah roboh.Dia
bergerak beberapa langkah menghala ke rumah bersebelahan dengan rumah MakTimah.
Rumah itu kelihatan terang, berjaga rapi. Semoga Mak Yah masih hidup dan masih
ada di rumah itu. Dia terus memberi salam. Muncul seorang wanita dari dalam
rumah. Sah, wanita itu adalah Mak Yah.
Wajah MakYah
kelihatan tua.Rambutnya sudah memutih. Namun tubuhnya nampak masih sihat. Dia
berdiri di muka pintu, tercengang-cengang. Beberapa kali dia
membetulkan cermin mata yang tersangkut di atas batang hidung yang leper
seperti pelepah pokok kelapa.
“Ya, cari
siapa?” tanya Mak Yah. Dahinyaberkerut-kerut memandang Laura Jane.
Kemudian dia
tersengih menayang gigi palsu.
“Oh! Bintang
filem tu rupanya! Hei, budak-budak!Mari! Mari! Bintang filem datang rumah
kita,” kata MakYah memanggil cucu-cucunya.
Dari dalam
rumah keluar tiga orang remaja lelaki dan dua orang
remaja perempuan.
“Laura Jane
la nek! Kenapa dia datang rumah kita nek?” Laura Jane kelu tidak terkata.
Memang Mak Yah tidak kenal dan cam pada Laura Jane lagi
tapi cucu-cucunya kenal benar padanya. Kadang-kadang dia
terlupa bahawa dia bukan lagi Nur Laila, sebaliknya dia adalah Laura Jane yang
kaya raya, hidup dalam dunia penuh glamor. Rupa paras dan pakaian yang tersalut
di badan memang jauh berbeza dengan
penampilannya semasa menjadi isteri Said.
Cucu Mak Yah
meluru ke arahnya, mengajak dia bergambar. Masing-masing menghulur
buku autograf. Hasrat yang terbuku di hati Laura Jane tidak terluah. Mak Yah
sudah tua dan mungkin dia sudah tidak ingat lagi. Sesungguhnya dia adalah Nur
Laila isteri Said, menantu Mak Timah.Walaubagaimana sekali pun secara zahirnya
dia berubah tetapi hati di dalam masih wanita yang sama.
Malam itu,
sebahagian daripada krew keluar ke bandar Temerloh untuk berhibur. Ada yang
pergi ke pusat snuker ataupun kelab malam.Abang Mokhtar tidak
ke mana-mana,melayani Pak Ngah Bujang berbual. Laura Jane keluar dari
bilik tidur,terus ke dapur.Kononnya dia kehausan.Mak Ngah Milah ada di dapur,
sedang mengemas pinggan mangkuk.
“Mak Ngah,
ada air kosong?” Laura Jane menegur, ramah.
Senyum mesra
dilempar. Mak Ngah Milah tersengih menyambut senyuman Laura Jane. Sudah agak
lama Laura Jane tinggal di rumah itu. Kesombongan yang ditunjukkan hanya
perisai, untuk melindungi diri. Sebenarnya dia masih memiliki hati nurani.
Apatah lagi Mak Ngah Milah sentiasa mesra melayani para tetamu istimewa itu.
“Ada cik,”
kata Mak Ngah Milah sambil menunjuk ke arah sebuah jug besar berisi air kosong.
Laura Jane
menuang air ke dalam gelas, dia duduk di salah satu kerusi di ruang dapur yang
sederhana luas itu.
Dengan berhati-hati dia
cuba memulakan perbualan dengan Mak Ngah Milah.
“Mak ngah
sibuk ke? Saya nak tanya sesuatu dengan mak ngah.”
Mak Ngah
Milah menoleh, dia tidak sangka malam ini Laura Jane berubah jadi peramah.
Selama ini dia jarang berbual dengan sesiapa. Selepas balik dari penggambaran
dia terus masuk bilik untuk berehat.
“Nak tanya
apa cik?” tanya Mak Ngah Milah sambil mengesat tangan dengan kain lap kemudian
duduk di hadapan Laura Jane.
“Saya ada
kawan, dia pernah duduk kat kampung ni...
tapi kami
dah lama putus hubungan. Saya nak cari dia.” “Kawan? Siapa namanya?”
“Nama dia
Laila,” jawab Laura Jane dengan penuh hemat, berhati-hati.
“Laila? Anak
siapa?” tanya Mak Ngah Milah lebih lanjut.
“Anak...anak
Mak Timah...”
Suaranya tersangkut-sangkut, berbohong.
Padahal Nur Laila adalah menantu Mak Timah.
“MakTimah...hmm...”
Mak Ngah Milah cuba mengingati sesuatu.
“Ada ramai
Mak Timah dalam kampung ni,” katanya setelah agak lama berfikir.
“Tapi Mak
Timah yang ada anak perempuan nama Laila tu tak ada kat kampung ni. Mak Timah
Jawa, anak lelaki semuanya lima orang. Mak Timah Hitam, tak ada anak langsung.
Mak Timah Misi, anak dia perempuan namanya Bibah,Tinah, yang bongsu Intan.
Semuanya dah kahwin, ikut suami masing-masing.”
“Mak Ngah
yakin ke?”
“Yalah,
yakin sangatlah. Mak ngah kenal semua orang kampung ni!”
“Mak ngah
kenal dengan Mak Timah yang anaknya nama Said?”
“Kenal! Apa
pula tak kenal,” jawab Mak Ngah Milah. Dahinya dikerut
hingga berlapis-lapis.
“Tadi kamu
kata anaknya nama Laila. Kalau tak silapnya Laila tu menantu dia.”
Laura Jane
terdiam.Takkan dia mahu menyatakan Laila itu adalah menantu Mak Timah. Menantu
tak guna yang melarikan barang kemas dan duitnya. Dan meninggalkan anak yang
baru lahir lebih kurang seminggu. Kemudian apabila pintu hati Laura Jane mulai
diketuk rasa kesal, baruterhegeh-hegeh mencari. Laura Jane tidak sanggup
untuk menerima hakikat itu. Dia telah melakukan kesilapan paling besar yang
tidak dapat dibaiki lagi. Mungkinkah?
“Kat mana
Mak Timah tu sekarang? Menantu dia tu...
kawan...kawan
saya.”
“Hmm...dah
lama dah pindah.Tak pernah dengar khabar berita lagi,” jawab Mak Ngah Milah.
“Cucunya?”
Tiba-tiba Pak
Ngah Bujang memanggil Mak Ngah Milah ke ruang depan. Mak Ngah Milah tergesa-gesabangun.Tidak
lama kemudian dia masuk semula ke dapur.Kelam-kabut menjerang air.
“Nak kopi
pulak dia orang tu. Kering tekak berborak. Cik nak kopi jugak?”
Laura Jane
menggeleng.Dia kehilangan kata-katamelihat Mak Ngah Milah sibuk
menyediakan minuman.
“Kalau
boleh,awak gorengkan mi segera,” ujar Pak Ngah Bujang menjengukkan wajah di
muka pintu yang memisahkan ruang luar dan dapur.
“Dah mi
goreng pulak. Mujurlah ada Mee Sedap,” balas Mak Ngah Milah seperti merungut
tetapi Pak Ngah Bujang tidak langsung berasa hati.
“Alah, bukan
selalu Milah. Lagi pun malam ni aje awak sibuk sikit.
Haa, malam esok pukul 8.00 awak dah bolehlah masuk dalam kelambu,” balas Pak
Ngah Bujang sengaja berlucu.
Laura Jane
hanya tersenyum kecil.
Dia bangun
meninggalkan ruang dapur apabila melihat Mak Ngah Milah sibuk dengan tugas yang
baru diarah oleh suaminya.