Home Cerpen Keluarga Anugerah
Anugerah
19/3/2015 17:16:24
3,183
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

AKU tahu dia sentiasa mengintai aku. Dalam sehari 70 kali dia mengintipku atas perintah Allah SWT. Aku tidak pernah bersedia untuk itu. Aku selalu berdoa agar usiaku bertambah lagi hari demi hari. Tetapi tiada sesiapa menduga, tidak juga aku. Aku terjatuh dari basikal yang kutunggang pada suatu pagi yang dingin. Dan di situlah segalanya berakhir.

Aku nampak tubuhku yang kaku diangkat dan dibawa pergi oleh sebuah ambulans. Rohku mengikuti ambulans itu hingga ke hospital. Aku cuba menyatu kembali dengan tubuhku yang kaku namun aku tidak dapat berbuat demikian. Aku melihat segala yang berlaku. Beberapa orang doktor sedang berusaha untuk mengembalikan aku ke dunia fana ini.

Namun beberapa saat kemudian semua kelihatan lesu dan segala usaha dihentikan. Sugul wajah doktor kala dia memberitahu jururawat di sisinya; “Catatkan waktu kematiannya...”

II

Ada yang belum selesai aku kerjakan. Aku ingin kembali ke rumah. Ingin duduk berhadapan dengan komputer ribaku sekali lagi. Cerpen yang sedang aku kerjakan belum ada penghujungnya. Siapa lagi yang akan menyiapkannya jika bukan aku.

Kala malam datang, aku mulai menyelinap masuk ke dalam rumahku. Aku mendapati ruang tamu sunyi sepi. Semua orang sudah tidur. Aku kembali ke kamar tidurku. Buat seketika aku memerhati suasana di dalam kamarku yang dingin dalam cahaya samar dari jendela. Aku terkejut apabila mendapati bayangan ibu sedang tidur di atas katilku. Wajahnya dipenuhi sendu. Biarpun dalam tidur, aku dapat melihat biasan kesedihan di wajah itu.

Perlahan-lahan aku duduk di hadapan komputer riba dan menghidupkannya. Jari-jariku mulai menari-nari lagi di atas keyboard. Aku cuba untuk menyelesaikan cerpen terakhir hasil nukilanku malam ini. Justeru aku tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya. Segalanya harus selesai agar aku boleh pergi dengan aman.

Rupanya di dalam kesenyapan malam, bunyi keyboard pun terdengar nyaring. Ibu mengangkat kepala, matanya tertanjap ke arah komputer riba di atas meja. Dahinya berkerut kala melihat adanya cahaya dari komputer riba tersebut. Antara dengar dan tidak, ibu menyapa; “Kau pulang Mala? Kau sedang menaip lagi?”

Aku tersentap. Ibu melihat aku? Benarkah. Aku diam tidak menyahut. Mungkinkah suaraku akan menakutkan ibu?

Beberapa saat kemudian ibu merebahkan kepala lalu matanya memejam. Aku mengeluh lega. Mungkinkah ibu bermimpikan aku? Selama ini aku sangka ibu tidak menyayangiku. Ibu terlalu sibuk dengan kerja. Ibu tidak peduli sama ada aku sedih ataupun gembira. Ibu tidak pernah berkongsi cerita tentang sekolah, tentang teman-teman atau tentang dunia remaja yang penuh cabaran. Ibu menganggap aku cukup kuat, boleh hidup sendiri-sendiri. Lantaran itulah aku menulis cerpen dan puisi sebagai satu terapi diri. Terapi untuk menghindar dari kesedihan.

Ayah juga sibuk dengan kerja. Dia jarang pulang. Kalau pulang pun, hanya terdengar pertengkaran antara mereka berdua. Bagi mengelak pertengkaran, ayah jarang mahu berada di rumah. Puncanya, ibu menuduh ayah curang. Kadang-kadang aku bosan mendengar mereka bertengkar. Adik beradikku yang lain juga saling berkelahi walaupun bukan sampai ke tahap benci membenci. Kami kurang mesra antara satu sama lain. Aku punya dua orang abang dan seorang kakak.

Aku rasa mereka pasti gembira apabila aku tidak wujud lagi di dunia ini. Pasti mereka sudah berkira-kira akan harta yang bakal dimiliki. Sudah kurang seorang pewaris bagi memiliki harta ibubapa kami. Ayahku seorang peguam yang berjaya, memiliki firma guaman yang dikongsi dengan seorang rakannya. Duitnya banyak kerana dia menerima apa jua kes yang datang. Mereka tidak pernah menolak apa-apa yang berbentuk wang. Begitulah mereka mengira keuntungan setiap saat.

Ibuku pula seorang wanita berkerjaya dalam sektor kerajaan. Dia bekerja sejak usianya dua puluhan hingga sekarang memasuki usia empat puluhan. Ibu bercita-cita ingin berhenti kerja kala usianya 60 tahun kelak. Aku pernah bertanya pada ibu; “Ibu, ibu tak terfikir untuk mencari keredhaan Allah? Supaya segala kerja yang kita lakukan menjadi berkat?”

“Maksud kau kerja ibu tu tak berkat? Selama ini kau membesar dengan apa? Kau dapat pelajaran tu dari hasil wang siapa? Baru tamat sekolah agama dah nak mengajar ibu?” ibu bersuara seperti marah nadanya.

“Bukan gitu maksud Mala ibu. Masa ibu dihabiskan lebih banyak di tempat kerja. Ibu tak mak ke cari bekalan untuk akhirat? Kalau ibu pencen awal, ibu akan ada masa untuk belajar mengaji, pergi dengar ceramah atau usrah di surau.”

“Ibu tahu apa yang ibu buat.”

“Betul ke ibu tahu? Tapi Mala tengok ibu tu jarang-jarang solat sebab penat. Sebab tu Mala...” tak sempat aku menghabiskan kata-kata ibu terus bersuara keras;

“Mala! Kau jangan berleter macam mak nenek. Kau dah masak untuk makan malam ni?”

“Dah ibu. Mala dah masak.”

“Kakak dan abang-abang kau semua dah makan?”

“Dah.”

Ibu bergegas ke dapur untuk mengisi perut. Dia benar-benar kelaparan. Semasa dia sedang makan, azan isyak berkumandang. Dia terus jua makan, sementara aku kembali ke kamar untuk mengerjakan solat.

Begitulah aku pernah menasihati ibu, tetapi wanita itu enggan mendengar kata-kataku. Lebih-lebih lagi yang menasihati itu adalah anaknya sendiri. Tercabar egonya barangkali. Lalu segala kata-kataku dilupakannya, dianggap saja bagaikan angin. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Aku telah mengajak dia ke arah kebaikan tetapi dia menolaknya mentah-mentah. Namun aku tidak akan putus asa. Dalam setiap penghujung solatku, aku mendoakannya. Moga cahaya hidayah dan petunjuk menyelinap masuk ke hatinya.

Aku akan terus mencuba sehingga dia melupakan urusan dunia barang seketika. Kuharap dia dapat membahagikan waktu dengan bijaksana, mengimbangi antara dunia dan akhirat.

Sebaik sahaja datangnya fajar, cerpen itu berjaya aku sudahi. Aku terus mencetak menggunakan pencetak yang ada di sisi komputer ribaku. Cerpen itu susun dengan baik, di sisi komputer riba dan aku tinggalkan sekeping nota buat ibuku. Kala terdengarnya azan subuh, aku melihat ibuku masih lena.

Perlahan-lahan aku mendekati, lalu mengusap rambutnya dengan lembut dan penuh kasih sayang. Tubuhnya terenjat dengan kuat bagaikan terkena kejutan elektrik. Terus dia terjaga dari tidur yang lena. Dia duduk tegak di atas katil dan wajahnya kelihatan sedikit pucat. Dia memerhati sekeliling, namun dia tidak dapat melihat aku di hadapannya. Dia hanya mengeluh perlahan dan aku mendengar tutur kata yang berupa bisikan kepada dirinya sendiri.

“Masya Allah, aku bermimpikan Mala lagi. Anakku, kau mengejutkan ibu supaya bangun solat.”

Ibuku teresak-esak sendiri.

“Mala, ibu rindu sangat nak dengar suara kau,” bisiknya.

Ibuku bangun lalu terus ke bilik air. Aku memerhati dia mengangkat wuduk dan mengerjakan solat di dalam kamarku. Malah dia mengenakan telekung yang selalu kugunakan ketika mengadapNya. Panjang doa ibuku subuh kali ini. Aku tersenyum gembira. Aku tidak akan muncul lagi di hadapan ibu seperti malam ini. Aku akan pergi ke tempat yang jauh dan aman.

III

Setelah selesai mengerjakan solat subuh, ibu bergerak ke arah meja tulis. Malam tadi ibu bermimpikan aku kembali ke kamar tidur ini dan aku menulis sesuatu di komputer riba. Ibu terkejut melihat sebuah cerpen sudah siap bercetak terletak di tepi komputer ribaku.

Dia membaca nota yang aku tinggalkan.

“Ya Allah! Semua ini bukan mimpi rupanya.” Bisik ibu sendiri.

Hari itu ibu ambil keputusan untuk cuti kecemasan. Buat pertama kalinya ibu mengambil cuti setelah bertahun-tahun bekerja dengan penuh dedikasi. Ibu memandu menuju ke syarikat penerbitan. Lalu cerpen yang aku sudah siapkan itu ibu serahkan pada editor, Puan Jamilah.

Puan Jamilah terus membaca cerpenku dengan penuh minat. Kelihatan dia amat berpuas hati dengan hasil tulisanku itu. Dia terus menyatakan kegembiraan dan kekagumannya pada ibu.

“Bagus sekali cerpen ni. Saya akan terus masukkannya ke dalam majalah bulan ini. Cerpen ni ada peluang untuk menang anugerah. Tapi di mana penulisnya? Kenapa dia tak hantar sendiri cerpen ni pada saya?”

Ibu terdiam beberapa ketika. Airmatanya berlinangan dan dia tidak dapat menjawab soalan itu. Malah ibu terus berlalu pergi sambil mengesat airmata.

“Puan! Puan! Tunggu dulu!” panggil Puan Jamilah.

Namun ibu terus berjalan laju menghala ke pintu keluar.

IV

“Doktor!” separuh menjerit jururawat itu bersuara.

“Pesakit tu dah bernafas dengan sendiri!” katanya sambil memerhati ke arah tubuh yang terlantar di atas katil. Kelihatan dadanya berombak dengan sendiri. Mesin ventilator sudah dimatikan, segala wayar yang berselirat tadi sudah pun dicabut dari tubuh pesakit.

Doktor menyeka peluh di dahinya. Ada rasa syukur yang menyelinap dalam dadanya kala itu. Memang sering terjadi pesakit yang koma akan hilang beberapa minit kemudian kembali semula.

“Khabarkan berita gembira ni pada keluarganya.”

“Baik, doktor.”

Jururawat bergegas keluar dan memberitahu pada keluarga pesakit.

V

AKU membuka mataku perlahan-lahan. Pandangan pertama yang dapat ditangkap oleh sepasang mataku adalah wajah ibu, kemudian ayah dan abang dan kakakku. Mereka mengelilingi katilku. Biar pun kepalaku masih terasa pening, namun mataku tidak berganjak dari memerhati wajah-wajah mereka.

Di wajah mereka ada duka dan airmata. Air mataku turun gugur ke pipi. Aku menyangka aku telah pergi mengadap Tuhan, namun aku diberi peluang kedua. Menurut ibu, kepalaku cedera parah kerana terhantuk kuat pada batu ketika jatuh dari basikal. Aku koma selama sebulan.

“Lepas ni ayah tak izinkan kau pergi tunggang basikal pagi-pagi buta, sorang diri.” Kata ayahku dengan tegas.

“Kalau nak pergi riadah atau jogging, pergi dengan abang long,” kata abang sulungku pula.

“Kak ngah juga boleh temankan kau, dik.” Manisnya kata-kata itu yang sudah lama tidak kudengar.

“Abang teh takkan biar adik menderita. Sebab kau je sorang adik kami.”

Hanya ibu yang tidak berkata-kata. Namun airmatanya kian lebat di pipi. Dia teresak-esak. Ayah memeluk bahu ibu dan memujuknya dengan lembut. “Kenapa awak menangis? Kan Mala dah selamat.”

“Saya ingat... saya ingat kita dah kehilangan anak kita, bang.” Kata ibuku penuh hiba.

Terima kasih Wahai Allah yang memberiku peluang kedua.

“Ayah, ibu... satu saja permintaan Mala.“

“Apadia?” tanya ayah dan ibuku hampir serentak.

“Mala harap lepas ni kita sekeluarga solat jemaah. Ayah jadi imam kami. Kalau pun tak boleh sebilang waktu, dapat tiga waktu iaitu Subuh, Maghrib dan Isyak pun sudah memadai. Boleh?”

Ibubapaku saling berpandangan seketika. Kemudian mereka menganggukkan kepala hampir serentak. Aku tersenyum bahagia. Kiranya anugerah terindah bagiku adalah bersatunya kembali keluargaku yang kurang harmoni sebelum ini. Dan aku kira anugerah kematian itu belum lagi menjadi milikku. Namun segalanya bakal terjadi kerana maut itu sentiasa mengejar manusia yang hidup. Malaikat maut mengintai setiap hamba di bumi ini 70 kali sehari.

Semoga kita menginsafinya setiap saat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.