AKU
tahu dia berbohong tentang usianya. Kala dia tersenyum tiada garis kedutan
langsung. Entah mengapa dia berbohong tentang usianya itu, aku ingin tahu.
Namun kemudian aku rasa usia tidak lagi penting.
Apa yang lebih penting kini kami mulai
berkawan. Aku kembali tidak sabar menunggu bermulanya hari-hari baru dalam
hidupku seperti saat pertama kali aku jatuh cinta.
Kini duduk-duduk di pinggir Tasik Geneva,
menikmati aiskrim gelato dari sebuah gerai di situ sudah menjadi rutin setiap
petang. Aku cemburu pada itik dan angsa yang berenang bebas di dalam tasik. Sebagai
manusia aku terbelenggu oleh satu perkataan yang bernama kesetiaan.
Aku mahu jadi wanita setia, meskipun
suamiku jauh. Angin sejuk di awal musim bunga membelai pipiku dengan lembut
menambah dinginnya tubuh. Musim berganti lagi. Manusia jua masih belum berubah
dan menyedari bahawa perjalanan hidup mereka kian tiba di garis penamat.
“Sal, saya ada kat depan awak pun awak masih lagi
berkhayal.”
“Awak
membosankan saya Juan,” balasku sengaja mengusik.
“Ooo, saya membosankan? Jom kita pergi
dari sini!”
Juan membayar harga aiskrim gelato yang
sudah tinggal sisa. Aku mengekori Juan yang berjalan laju meninggalkanku di
belakangnya. Sempat aku memerhati tubuh Juan yang nampak besar dalam balutan
jaket tebal. Rambut Juan lurus, liar dimain angin lewat. Sesekali dia memakai
topi atau french beret. Aku pernah
katakan padanya, dia lebih tampan tanpa topi.
Sejak itu dia tidak lagi memakai topi
apabila kami mengatur pertemuan. Ah! Gilakah aku? Gila kerana berkawan dengan
seorang lelaki yang umurnya jauh dari lebih muda dariku. Aku berbohong jua
tentang umurku yang hampir meniti angka empat puluh. Semasa pertemuan kedua
atau ketiga, dia bertanya tentang usiaku. Sambil menggigit bibir, aku kemudian
memberitahu Juan umurku tiga puluh dua.
“Wah! Saya lebih tua. Umur saya 35.”
Katanya teruja.
Semasa pertemuan ke empat, dia tidak
lagi memanggilku dengan panggilan ‘Puan’. Dengan beraninya dia menyebut namaku
hanya singkatan ‘Sal’ dan aku membiarkannya, seolah-olah rela. Beberapa hari
selepas dia mulai memanggil aku Sal, aku menerima mesej dari telefon bimbitku
dengan ucapan selamat pagi sayang. Kini hal itu menjadi rutin mengucapkan
selamat pagi sayang dan selamat malam si manis sebelum aku melelapkan mata. Aku
pun sama gila dengan Juan, membalas ucapannya dengan senang hati.
Seminggu kemudian dia menghantar
sejambak bunga pada awal pagi. Aku bergegas membuka pintu setelah mendengar
ketukan singkat, lalu dikejutkan dengan mawar merah walaupun di penghujung
musim dingin. Aku mengambil bunga itu dengan hati curiga. Aku terus menutup
pintu, langsung tidak mencium bunga itu lantaran aku bimbang dia sedang
mengintaiku dari sebalik pohon di tepi jalan.
Aku sedang berjalan dengan Juan, teman
yang baru aku kenali kira-kira tiga bulan yang lalu. Nama penuhnya Ridzuan
tetapi disingkatkan kepada Juan, agar mudah disebut. Lidah orang-orang Barat
ini memang tidak boleh menyebut Bahasa Melayu dengan betul.
Aku dan Juan semakin mesra, lantaran kami
berkongsi kesepian dan kerinduan yang sama pada tanahair. Dia sudah hampir
sepuluh tahun di kota ini.
“Ehhh, ni macam jalan menghala ke rumah awak,”
kataku setelah kami berjalan lebih kurang dua puluh minit melalui lorong yang
sepi.
Udara bertambah sejuk bersama datangnya
malam. Di kiri kanan jalan itu bangunan-bangunan klasik berdiri dengan angkuh
dalam remang senja. Lampu-lampu di sepanjang jalan mulai terpasang terang. Dua
tiga orang manusia yang berselisihan di jalanan, pantas melangkah untuk segera
memanaskan badan di dalam rumah. Kami terus berjalan lagi hingga akhirnya Juan
berhenti di hadapan sebuah pintu. Ada tangga panjang menghala ke tingkat atas.
“Jom ke rumah saya. Saya nak tunjukkan
awak satu lukisan. Awak pasti teruja. Saya yakin awak akan gembira melihatnya
nanti. Saya berani potong rambut!”
Dia ketawa sambil mengusap rambutnya
yang bebas di atas bahu.
Aku turut ketawa.
“Tak percaya pada saya? Saya takkan
pernah apa-apakan awak Sal!”
Dia mengangkat keningnya yang lebat.
Matanya memanah tepat ke dalam mataku.
Bukan sedikit jantungku berdegup. Mengapa jantungku begitu hebat getarannya? Hati
berbisik spontan. Sal! Kau wajib setia pada suamimu walaupun dia jauh.
“Okey, sekejap saja.”
Juan melangkah gerbang pintu yang tinggi
tetapi sempit, memanjat tangga dengan gagah hingga terdengar bunyi derap
kasutnya. Aku mengekori dari belakang berteman rasa gelisah yang luar biasa. Debaran
dada kian memuncak, rasa ingin tahu yang mengocak.
Juan menghidupkan semua lampu hingga suasana
jadi terang benderang. Ruang tamu sederhana luas itu, dipenuhi dengan pelbagai
barang. Barang kesayangannya, timbunan lukisan-lukisan yang sudah siap
dibingkai dan diikat kemas terletak di satu sudut.
Sudut lain sofa panjang berwarna coklat
yang kian pudar kelihatan dipenuhi baju dan jaket. Bantal dan selimut juga.
Tidak kemas langsung. Aku tahu dia sibuk untuk pameran lukisan tidak lama lagi.
“Bila
pameran tu?”
“Lusa.”
Dia bergerak ke arah stand lukisan, masih terdapat kanvas di
situ. Oh Tuhan! Itu hasil lukisan yang disembunyikannya sebelum ini. Dia enggan
membenarkan aku melihat hasil karyanya
yang terakhir sebelum dia membawa semua hasil kerjanya ke galeri.
Galeri lukisan milik teman Juan,
terletak di Geneva Old Town. Galeri itu besar dan luas, menjadi tumpuan ramai
pelancong. Juan telah menyiapkan banyak koleksi lukisan bertema Asia Tenggara
berserta portfolio. Dia berharap koleksinya kali ini akan membawa kejayaan yang
lebih besar. Ada pelabur yang tertarik pada hasil karya Juan yang tebal warna Asia dan Melayunya lalu
ingin membiayai pameran yang lebih besar di New York. Itu harapan Juan untuk
mengembangkan sayapnya lebih jauh di bumi Amerika.
Juan pernah menceritakan padaku dia terlalu
ingin pulang ke pangkuan bonda. Pun sebelum niat itu terkabul, bondanya telah
pergi mengadap Ilahi lebih dahulu. Meskipun sekali sekala dia rasa sedih,
tetapi dia tidak pernah menyesal.
“Ini jalan hidup yang saya pilih. Saya
akan jalaninya dengan sebaik mungkin, sebelum ajal saya tiba.”
Dia melarikan diri dari rumah ketika
berusia dua puluh tahun, kemudian merantau di sini kerana merajuk. Rajuk yang mungkin
tidak akan terpujuk lagi. Awal remaja jiwa Juan penuh dengan pemberontakan, kerana
merasa kurangnya kasih sayang bonda. Dia merasakan kasih sayang itu telah pecah
berantakan dek pilih kasih antara adik beradik yang lain. Dia keciciran dalam
pelajaran. Dia dikatakan bodoh dan tolol kerana menyimpan cita-cita ingin jadi
seorang pelukis.
Juan menarik kain penutup lukisan
perlahan-lahan. Mataku tidak lepas dari memandang ke arah lukisan yang masih
menjadi rahsia. Mataku terbelalak luas ke arah lukisan yang terpamer dengan
penuh kesenian. Wajah yang terpamer di lukisan itu seakan-akan hidup, mata yang
sedang menatap dengan pandangan lembut, melimpah dengan kasih sayang. Lama aku
terdiam, kaku dan hilang suara.
Aku masih terkejut melihat batang
tubuhku berdiri seperti hidup di atas kanvas lukisan itu. Tiba-tiba menyeruap
rasa marah dalam dada. Lukisan itu terasa mengaibkan. Juan tersenyum menanti
hamburan pujian dariku, sebaliknya aku
dengan wajah merah lantaran malu, sepantas kilat memaling badan menuju ke
pintu.
“Sal!” panggil Juan kaget.
Aku terus berjalan menuruni tangga
dengan langkah yang besar dan laju walaupun aku mulai merasa kakiku sakit.
Akhirnya aku terpelecot jatuh di tepi
anak tangga lantai paling bawah berdekatan dengan pintu.
Juan yang mengejarku dari belakang terus
meluru ke arahku.
“Sal!” serunya dengan cemas.
Aku yang sudah pun terduduk di lantai berusaha
untuk bangun. Ketika dia menghulur tangan untuk membantu, aku malah menepisnya
dengan kasar. Aku berpaut pada selusur tangga untuk berdiri.
“Beraninya awak Juan! Awak betul-betul
dah jadi macam mereka. Kita orang Melayu, Islam, Juan! Awak dah lupa?”
“Sal! Saya minta maaf.”
“Siapa izinkan awak Juan? Siapa izinkan
awak lukis saya dalam keadaan macam tu? Apa yang awak bayangkan selama ni
adalah satu kegilaan dan satu dosa. Kegilaan apa ni Juan?”
“Sal! Saya minta maaf, ok?”
“Saya rasa aib sangat. Awak ingat saya
apa?”
“Saya tak pernah sekali pun memandang
rendah pada awak Sal! Tak ada niat langsung. Awak berada di sini, di jantung
hati saya dan selalu berada dalam fikiran saya.”
“Imaginasi awak kotor, Juan. Awak dah
terikut-ikut dengan cara hidup orang-orang kafir tu.” Aku tidak dapat
membendung marah.
“Ya, mungkin betul kata awak Sal. Saya
terikut-ikut dengan mereka. Tapi perasaan saya pada awak adalah benar Sal. Saya
sayang, saya cintakan awak.”
Aku tidak menghiraukan ucapannya yang
lirih itu. Bukan itu yang aku mahu dengar. Dengan suara yang menggeletar aku
berkata kepada Juan.
“Tolong musnahkan lukisan tu. Kalau
tidak, jangan harap kita akan berjumpa lagi.”
Juan diam dan menunduk. Kemudian dengan
wajah sedih dan iringan maaf beberapa kali dia mengangguk.
“Sebenarnya lukisan tu bukan untuk
pameran. Saya ingin meminta izin dari awak untuk menyimpannya, kerana saya tahu
saya takkan dapat memiliki awak, Sal! Tapi percayalah, saya akan bakar lukisan
tu sekarang juga.”
Aku terus berlalu pulang. Selama
beberapa hari kami tidak bertemu. Tiada teks mesej, tiada panggilan telefon.
Segalanya senyap dan menyendiri. Aku meneruskan kerja-kerja di Universiti Of
Geneva, seperti biasa. Sebagai pensyarah jemputan, kontrakku akan berakhir pada
musim panas nanti. Aku akan segera meninggalkan tempat ini, meninggalkan Juan
bersama kenangan pahit manis yang tidak akan berulang semula.
Suatu petang sebaik habis kuliah, aku
berjalan sendiri. Bersendirian sudah menjadi rutin pula dan mulai terbiasa. Mataku memerhati sahaja ke arah beberapa orang
lelaki yang sedang bermain catur gergasi. Di antara lelaki itu, aku terlihat
Juan. Dia terus berhenti bermain, bergerak ke arahku bersama senyumannya yang
biasa. Mesra. Rambutnya masih seperti dahulu, kusut menentang angin.
“Hai!” tegurnya ramah.
Aku hanya membalas dengan anggukan. Kukunci
bibir dari senyuman. Dia kelihatan janggal berdiri di hadapanku yang sedang
membina tembok dingin.
“Saya rindu awak,” ucapnya perlahan
hampir-hampir tidak terdengar.
Aku diam.
“Saya rindu nak makan aiskrim gelato
dengan awak di tepi tasik.”
“Saya nak balik cepat!” balasku dengan
pantas berlalu pergi.
“Sal!”
Dia terus memanggil aku beberapa kali hingga
suaranya hilang dibawa desah angin yang kian deras. Aku terus berjalan laju
mengejar trem yang baru tiba. Aku tidak menoleh ke arah Juan. Aku lebih takut
pada perasaanku sendiri. Kala aku memandang wajahnya tadi, aku mengaku ada
rindu yang tersimpan jauh di sudut hati kecil ini. Aku rindu untuk bertemu,
berbual dan bercerita bukan sekadar menikmati aiskrim gelato di tepi tasik.
Sebaik masuk ke lobi apartment yang aku
sewa, terlihat seorang lelaki sedang menunggu bersama sebuah beg pakaian.
“Abang?” aku terkejut melihat kedatangan
suamiku.
“Surprise!”
katanya sambil tersenyum lebar.
Beberapa hari yang lalu suamiku menyatakan
dia amat sibuk dan tidak sempat untuk menziarahiku.
“Abang dah seminggu di London. Lari
sekejap jumpa Sal di sini. Abang rindu. Esok kita ke Paris, bulan madu kali ke
dua!” kata suamiku dengan wajah gembira.
Aku tersenyum bahagia. Saat ini aku
merasakan begitu besarnya cinta suamiku yang selama ini tidak pernah aku sedari.
Kami sudah menikah hampir lima belas tahun tetapi belum jua dikurnia zuriat.
“Terima kasih sebab datang tepat pada
waktunya, bang. Sal memang sangat memerlukan abang sekarang.”
Esoknya awal pagi aku dikejutkan dengan
secebis mesej daripada Juan.
Hidup
saya macam sudah hilang kawalan. Lebih baik saya pergi buat selamanya.
Aku
terus memadam mesej Juan dari telefon bimbit bimbang ketahuan oleh suamiku yang
masih tidur. Namun kata-kata Juan tetap bermain dalam fikiranku sepanjang pagi
kami bersiap untuk ke Paris. Dua hari di Paris terasa seperti berbulan-bulan
lamanya. Setelah suamiku pulang ke London bagi menyambung persidangan yang
dihadirinya aku buru-buru ke rumah Juan. Pintu rumah Juan berkunci rapat.
Tiga
bulan kemudian aku kembali ke Malaysia.
Kini aku sedang hamil muda. Tidak sia-sia perjalanan singkat kami ke Kota
Cinta.
Pada
suatu pagi yang hening, kala aku mengadap laptop terus mataku terpandang pada
gambar lukisan di dinding muka buku milikku. Lukisan itu amat aku kenal, hasil
karya Juan. Namun bukan gambar lukisan bogel tanpa seurat benang yang pernah
dilakarnya. Lukisan itu adalah gambar wajahku dengan jubah hitam dan bertudung
litup.
Aku
baca status Juan di dinding muka bukanya. Kini dia berada di Amerika Syarikat. Senyumanku
kembang dan lebar. Juan, kau sudah terbang bebas seperti burung, menggapai
impian.
Aku
jua sedang bahagia kerana aku memilih jalan yang betul. Aku memilih untuk terus
setia.