Bab 13HAWA Fatihah tidak sedar bilakah dia tertidur. Novel yang
dibaca jatuh ke tepi katil. Selepas menikmati sarapan tadi, dia masuk ke bilik
untuk menyambung pembacaan novel bertajuk Bukan Serapuh Daun Maple yang masih belum habis dibaca. Dia mengutip novel itu, meletakkannya di
atas bantal kemudian keluar dari bilik.
Di ruang dapur kelihatan kosong, tidak sesiapa. Dia menjenguk di pintu
dapur yang dibiarkan terbuka, tetapi pintu jeriji besi bercat hitam itu
berkunci. Neneknya tiada di halaman belakang. Selalunya Mak Timah menghabiskan
masa dengan mencabut rumput. Terdapat beberapa batas sayur seperti petola,
kacang botol dan timun di kawasan belakang dapur rumah itu.Dia turut menanam
pokok cili padi di dalam pasu. Pasu-pasu itu disusun berbaris
sepanjang tembok.
Di ampaian kain baju kelihatan sudah pun dijemur. Hawa Fatihah berjalan
menghala ke ruang tamu. Televisyen tidak terpasang. Suasana rumah sepi. Pintu
utama bertutup rapat. Dia membuka pintu. Bahang mentari terasa menyengat kulit.
Jam besar di ruang tamu menunjukkan ke angka 11.00 pagi. Di ruang porchhanya
ada kereta Kancil sahaja. Aku ditinggalkan sorang-sorang?Abang Pian pun
tak ada ke? Atau dia ada kat atas? Apa lagi kegiatannya kalau bukan tidur, bisik hati Hawa Fatihah.
Ke mana nenek pergi ni? Hawa Fatihah mundar-mandir tidak menentu.
Mungkin nenek pergi ke pasar. Hawa Fatihah berjalan semula masuk ke kamar
bersebelahan dengan dapur. Dia mengambil novel yang diletakkan di atas bantal,
lalu keluar menghala ke halaman belakang rumah banglo itu.
Halaman belakang rumah itu luas. Di sebelah kanan rumah itu terdapat kolam
renang. Puan Anom suka berenang apabila dia berkesempatan. Cuma Hawa Fatihah
sahaja yang jarang sekarang masuk ke kolam renang itu.
Malu! Dia tidak akan berani mengenakan mandi. Sufian akan menggelakkannya
jika dia mandi dengan memakai seluar dan baju panas.
Di sebelah kiri rumah banglo itu pula ada kolam ikan serta taman konsep
tradisional Melayu. Dari arah wakaf dapat dilihat pelbagai spesies bunga. Nenek
rajin menjaga taman itu. Dia turut menanam tanaman herba seperti misai kucing,
mas cotek, lidah buaya dan lain-lain.
Angin berhembus perlahan menyapa wajah gadis itu. Hawa Fatihah berasa
nyaman duduk di bawah wakaf itu. Rambutnya yang panjang mengurai mesra disapa
angin. Leka dia membaca sehingga tidak sedar masa yang berputar. Dia tersentak
apabila terdengar suara Sufian menegurnya.
“Nenek mana?”
Hawa Fatihah menoleh sambil menggeleng.
“Dah pukul 1.00 ni,dah lapar lah!” kata Sufian.
“Abang nak Hawa masak apa-apa ke? Kalau mi segera tu bolehlah
Hawa buat. Hawa pun lapar jugak sebenarnya,” jawab Hawa Fatihah sambil
tersengih.
“Tak payah! Kita keluar,” kata Sufian sambil tersenyum.
“Okey, good idea,” balas Hawa Fatihah.
Hawa Fatihah memandu kereta Kancil dan Sufian duduk di sebelah gadis itu.
“Kita nak makan kat mana?” tanya Hawa Fatihah. “Restoran Asam Pedas Bonda.
Sedap jugak kat situ.
Kebetulan abang kenal dengan tuan punya restoran. Kawan abang,” kata
Sufian.
“Kat Taman Seri Gombak tu ya?”
Sufian sekadar mengangguk.
“Entah ke mana nenek pergi agaknya. Risau pulak,” kata Hawa Fatihah ketika
mereka sedang menikmati nasi berlaukkan asam pedas ikan pari.
“Mungkin dia ada hal penting.”
“Tapi kenapa dia tak beritahu Hawa? Dia macam sengaja pergi diam-diam. Hawa
tertidur tadi. Tak mungkinlah pergi pasar dah pukul 1.00 tak balik-balik lagi.”
“Doa ajelah moga-moga tak ada apa-apa. Mungkin dia
pergi shoppingke apa?” tanya Sufian sambil tersengih.
“Tak mungkinlah bang. Nenek tu bukannya pernahshopping. Baju pun
beli kat pasar malam aje atau pasar minggu,” balas Hawa Fatihah sambil
mengunyah makanannya perlahan-lahan.
Walaupun asam pedas itu cukup segala rasa masam, masin dan pedas tetapi
seleranya bagaikan terbantut. Dia asyik mengenangkan neneknya yang entah ke
mana.
“Rilekslah Hawa! Nenek tu dah lama hidup, tahulah dia bawak diri.”
“Sebab dah lama hidup, dah tualah Hawa jadi risau.Takut dia pengsan ke kat
jalanan masa pergi pasar. Manalah tahu. Macam hari tu, tiba-tiba sahaja
demam. Dia tu buat-buat sihat, supaya kita tak risau.Tapi sebenarnya
dia cepat letih.”
“Oh, baru abang teringat. Dulu masa balik kampung, mama dan papa ada cakap
pasal nak cari sorang lagi pembantu rumah untuk tolong nenek. Tapi mama takut
nenek berasa hati, bimbang dia rasa macam tak diperlukan lagi.Abang janji nak
pujuk nenek supaya setuju ambil pembantu lain. Ringan sikit kerja dia. Hari tu
mama pernah bayangkan hendak ambil pembantu sorang lagi untuk tolong nenek. Terus nenek berasa hati, kata nak
balik kampung.”
Hawa Fatihah mengeluh. Dia juga pernah mendengar Mak Timah berhasrat hendak
balik kampung. Dia ingin membangunkan semula rumah di tapak rumah lamanya yang
sudah roboh itu. Selepas beberapa ketika, Mak Timah tidak lagi menyebut hal
itu. Tidak mustahil jika Sufian mencari pembantu rumah baru, nenek akan
mengambil keputusan untuk pulang ke kampung.
“Bagus jugak bang! Memang nenek tu tak larat tapi dia tak nak mengaku. Semua
dia nak buat sendiri macam masa dia muda-muda dulu. Masa Hawa ada kat
rumah tu bolehlah Hawa bantu. Esok-esok kalau dah balik ke kampus,
siapa nak tolong dia?”
“Memang patut ambil sorang lagi. Nenek tak larat nak turun naik tangga tu,
bersihkan seluruh ruang. Kalau ada orang lain, dia boleh rehat. Atau orang
bawahan dia,” kata
Sufian sambil tertawa kecil.
Hawa Fatihah tersengih.
“Tapi jangan sampai dia nekad nak balik kampung, sudahlah!”
“Haru biru jugak nanti ya. Tentu Hawa akan ikut dia duduk kat kampung kan?”
duga Sufian.
“Dah tentulah bang,” jawab Hawa Fatihah sambil menjeling Sufian.
“Hawa suka duduk kat kampung?” tanya Sufian ingin tahu.
Hawa Fatihah mengangguk dengan cepat. “Kadang-kadangHawa bosan dengan
suasana kat KL ni.
Jalan sesak, pemandu ramai yang kurang ajar. Tu yang buat Hawa malas nak drivepergi
pusat bandar. Tapi kalau kat bandar-bandar kecil macam Temerloh tu,
langsung tak sesak. Tenang aje.Taklah serabut kepala otak ni.”
“Hmm...kalau kita kahwin nanti, kita buat rumah kat kampung,” kata Sufian sambil merenung Hawa Fatihah.
“Kita buat rumah sederhana besar, cukup untuk kita dan dua orang anak.
Abang Pian akan buka bisneskecil-kecilan dan Hawa jadi suri rumah sepenuh
masa. Didik anak-anak kita jadi manusia soleh dan solehah.”
“Hisy! Ke situ pulak abang ni! Hawa tak fikir pun soal kahwin.”
“Kena fikirlah Hawa. Setahun lagi abang dah habis belajar. Lepas tu kita
bolehlah bertunang. Lepas Hawa tamat aje belajar, kita kahwin.”
HawaFatihahtergamam.DiaberasakanrancanganSufian itu terlalu awal. Masa
masih jauh. Macam-macam boleh jadi. Siapa tahu ada di antara mereka
yang berubah hati. Sebagai perempuan, Hawa Fatihah boleh setia, tetapi
bagaimana dengan lelaki? Sufian jauh di mata.Di seberang laut sana,dia mungkin
mempunyai teman wanita. Apatah lagi di London itu ramai gadis cantik, bermata
biru dan berambut perang.
“Hei, kenapa diam? Tak percaya pada abang? Abang Pian betul-betul sayangkan
Hawa tau!”
“Ya, Hawa tahu,” balas Hawa Fatihah seperti acuh tak acuh sahaja.
“Tapi Abang Pian...kat luar sana tu entah-entah ramaigirlfriend.
Abang tak kawan dengan perempuan-perempuanminah salih ke?” tanya Hawa
Fatihah.
“Ada, tapi setakat kawan biasa aje,” jawab Sufian acuh tak acuh.
“Cepat makan!Tengok abang dah habis dah,” kata Sufian sambil meletakkan
garfu dan sudu di dalam pinggan yang sudah licin.
KetikaHawaFatihahdanSufiansampaikerumah,mereka mendapati kereta Encik Anuar
ada di ruang porch. Hawa Fatihah terus masuk ke bahagian dapur. Di
meja makan, Pak Latif sedang makan tengah hari.Terdapat tiga bungkus bekas
polisterina putih berisi nasi terletak di atas meja.
“Mana nenek?” tanya Hawa Fatihah tidak sabar. “Ada dalam bilik,” balas Pak
Latif.
Hawa Fatihah meluru masuk. Dilihatnya Mak Timah baru selesai Solat Zohor.
Dia sedang melibat telekung dan sejadah.
“Nek! Nenek ke mana?”
“Kamu pulak dari mana?” tanya Mak Timah sambil memandang Hawa Fatihah dari
atas ke bawah.
“Nenek tak ada. Abang Pian ajak makan di luar. Kami makan kat Taman Seri
Gombak. Nenek pergi mana dengan Pak Latif?”
“Nenek...err...nenek pergi hospital. Checkdarah tinggi.”
“Tapi kenapa lama sangat?”
“Ramai orang,” jawab Mak Timah tanpa memandang wajah Hawa Fatihah.
Dia rasa bersalah kerana terpaksa membohongi cucunya itu. Sebenarnya dia
bukanlah pergi ke hospital. Dia belum bersedia hendak memberitahu Hawa Fatihah
ke manakah sebenarnya dia pergi.
Maafkan nenek cu, kamu tak perlu tahu! Ini semua hanya akan menyakitkan
hati saja, bisik hati Mak Timah.
“HAWA tidur nyenyak nampaknya. Bolehlah kita
pergi ke sana sekejap,” kata Mak Timah pada Pak Latif yang sedang mengelap
kereta milik Encik Anuar.
Selepas menghantar Encik Anuar ke pejabat, Pak Latif segera pulang. Encik
Anuar meminta Pak Latif datang pada sebelah petang.Hari itu dia tiada appointment.Sepanjang
hari ada di pejabat.
“Boleh tak ada masalah,” jawab Pak Latif sambil memandang wajah Mak Timah.
“Kakak dah siap ke?”
“Buruk sangat ke baju aku ni?” tanya Mak Timah sambil memegang baju kurung Kedah buatan kain kapas dipadankan dengan kain
berwarna hitam.
Dia dia perlu berpakaian yang kemas dan agak baru. Dia berasa segan pula
hendak berhadapan dengan wanita itu. Kalau betullah dia Nur Laila, memang tiada
apa yang hendak disegankan.Tapi kalau bukan macam mana?
Pak Latif memandang Mak Timah dari atas ke bawah kemudian tersenyum kecil.
“Sebaik-baiknya tukarlah kak. Pakai baju yang cerah sikit. Kan nak
jumpa orang terkenal tu!”
“Ya tak ya,” Mak Timah sengih.
Dia tergesa-gesa masuk ke kamar tidur. Dalam keadaan senyap dia
menukar pakaian kepada sepasang baju kurung yang dibeli pada hari raya beberapa
bulan lalu. Kemudian dia menyarung tudung kepala.
Pak Latif sudah pun mengeluarkan kereta dari ruangporch. Mak Timah
menutup pintu pagar rapat-rapat lalu terus masuk ke kereta, duduk di
sebelah Pak Latif. Kereta dipandu meninggalkan kawasan rumah Encik Anuar yang
terletak di Cemerlang Height. Dari Cemerlang Height, Pak Latif memandu menuruni
bukit kemudian terus memasuki lebuh raya MRR2.
Sepanjang perjalanan,Pak Latif cuba mengajak MakTimahberbual-bual kosong
tetapi wanita tua itu tidak berminat hendak berbual. Ada sesuatu yang bermain
di fikirannya ketika itu. Sebahagian dari dirinya rasa tidak sabar manakala
sebahagian rasa ingin berpatah balik semula ke belakang. Lebih kurang 10 minit
kemudian kereta yang dipandu Pak Latif tiba di Beverly Hills, lalu dia membelok
ke kiri.
“Ni lah Bukit Antarabangsa, Kak Timah,” kata Pak Latif apabila kereta yang
dipandu menyusuri kawasan berbukit dan terdapat papan tanda bertulis Bukit
Antarabangsa.
Kereta terus dipandu mencari jalan dan nombor rumah. Puas juga mereka berpusing-pusing sekeliling.
Rumah banglo di situ kebanyakan cantik-cantik belaka. Sesetengahnya ada
pengawal di pintu masuk rumah.
Akhirnya kereta itu berhenti apabila Pak Latif yakin mereka sudah tiba di
rumah yang dicari-cari. Mak Timahteragak-agak, dia memandang ke
arah pintu pagar hitam yang bertutup rapat.
“Kalau ikut alamat, inilah rumahnya,” kata Pak Latif sambil matanya
memerhati ke arah nombor rumah tercatat pada tembok hadapan rumah itu.
Mak Timah tercengang sejenak memerhati jalan yang lengang. Mereka berhenti
di seberang jalan. Rumah itu terletak di penghujung jalan. Memang agak sunyi
dan privasi. Sejurus kemudian, perlahan-lahan Mak Timah keluar dari
kereta. Dia berjalan lambat-lambat ke arah pintu pagar. Di
perkarangan rumah itu kelihatan sebuah kereta Mercedes merah darah tersadai megah.
Seorang anak muda sedang sibuk membersihkan kereta itu.
Melihat Mak Timah yang tercangak-cangak di hadapan pagar dia
datang mendekati.
“Ada apa nek? Nenek cari siapa?” “Err...nak jumpa...tuan rumah.”
“Tuan rumah? Maksud nenek, pelakon Laura Jane?” Mak Timah segera
mengangguk.
“Nenek ni siapa?” “Mak...err...mak mentua dia.”
“Mak mentua? Tapi Cik Laura belum kahwin lagi lah nek. Dia baru aje
bertunang.”
Mak Timah terdiam. Dia merenung anak muda itu. “Tolonglah! Benarkan nenek
masuk. Nenek perlu sangat
nak jumpa dia. Sekejap pun tak apa.”
Azim terdiam, serba salah. Sebenarnya dia takut juga hendak membenarkan
orang yang tidak dikenali masuk ke rumah itu.Tapi dia rasa simpati pada wanita
tua itu. Mustahil wanita tua itu mempunyai niat jahat. Benarkah sebagaimana yang didakwa wanita tua itu, bahawa Laura Jane itu adalah menantunya?
“Tolonglah nenek. Nenek nak sangat jumpa dia,” rayu Mak Timah.
Azim masih berfikir. Dalam hatinya dia berdoa, Laura
Jane tidak akan marah sekiranya dia membenarkan wanita itu masuk untuk
menemuinya.Dia memerhati sekilas ke arah kereta berwarna hitam yang terletak di
seberang jalan. Dia perasan Mak Timah turun dari kereta itu. Lalu dia membuka
pintu pagar supaya Mak Timah dapat masuk.
“Masuklah nek. Nenek bernasib baik sebab Cik Laura ada kat rumah.”
Mak Timah berjalan perlahan menghala ke pintu utama. Azim membukakan pintu.
Matanya segera menangkap ruang tamu yang lengkap dengan perabot yang agak mewah
dan serba indah. Dia berdiri sahaja di tepi pintu, menanti Laura Jane.Azim
menyuruh dia duduk, tetapi dia enggan.
Saat itu Kak Ecah keluar dari dapur. Dia memandang Mak Timah lalu terus
memanggil Azim.Azim mendekatinya.
“Siapa tu? Kenapa kau benarkan dia masuk? Kau bukan tak tahu perangai Cik
Laura.”
“Katanya dia mak mentua Cik Laura!” ucap Azim separuh berbisik.
“Emak Ben agaknya kut?” Kak Ecah meneka-nekasendiri.
Bukankah Laura Jane belum kahwin? Dengan Ben pulak baru saja bertunangan.
Masakan wanita itu emak mentuanya. Kak Ecah mengagak mungkin wanita itu bakal
emak mentua Laura Jane.
“Tak apa...biar Kak Ecah naik panggil dia,” kata Kak Ecah.
Kak Ecah naik ke tingkat atas, memanggil Laura Jane. Azim pula keluar
semula.
Ruang tamu yang luas itu dipandang sepi sahaja. Mak
Timah memerhati lantai marmar putih yang berkilau seperti cermin. Tidak
jauh bezanya dengan rumah Encik Anuar. Perabot-perabot juga kelihatan
mahal, sehingga Mak Timah takut hendak melabuhkan punggungnya.
Penghuninya adalah lambang orang yang kaya dan berduit. Tidak syak
lagi.Apakah aku tersalah orang? Fikir Mak Timah. Saat itu dia rasa seperti
hendak meluru keluar melalui pintu utama yang dibiarkan terbuka.
Tidak lama kemudian terdengar tapak kaki turun dari tangga. Kak Ecah muncul
diikuti oleh seorang wanita muda yang anggun. Laura Jane memakai blaus putih
dipadankan dengan kain kembang payung warna hitam. Gayanya sungguh menawan.
“Cik Laura, mak cik ni lah nak jumpa dengan cik tadi,” kata Kak Ecah.
Laura Jane merenung wajah Mak Timah yang berdiri kaku di tepi pintu. Mata
mereka berlaga.
“Siapa benarkan dia masuk?” tanya Laura Jane dengan kasar.
“Err...Azim...Azim yang bukakan pintu,” kata Kak Ecahtergagap-gagap.
Laura Jane mengertap bibirnya yang disapu lipstik berwarna merah terang.
Dia terus merenung wajah Mak Timah.Rasa marah,geram dan benci saling beramukan
dalam dadanya. Dia memang mengenali wanita tua itu cuma dia tidak sangka tiba-tibasahaja
Mak Timah muncul di hadapan mata. Apatah lagi dalam rumahnya sendiri.Wanita itu
dapat mencarinya. Dia benar-benartidak sangka!
Semasa Kak Ecah memberitahu bahawa ‘emak mentua’nya ingin bertemu, dia benar-benar menyangka
yang datang itu adalah Puan Rosna.
Dia tidak tahu apa yang dikatakan Mak Timah pada Azim sehingga anak muda
itu membenarkan dia masuk. Tentu Mak Timah mengaku Laura Jane adalah
menantunya.
Apakah Mak Timah datang mencarinya hari ini kerana Baby? Mengapa setelah hampir
18 tahun baru Mak Timah muncul di hadapannya?
Dia enggan mengakui Mak Timah sebagai emak mentuanya lagi. Anak wanita itu
sudah lama tiada. Dia hanyalah menantu yang bukan menantu lagi! Malah dia akan
mengahwini Ben tidak lama lagi.
Laura Jane bergerak ke arah perpustakaan dalam rumahnya, lalu menolak daun
pintu. Sepatah pun dia tidak menegur Mak Timah. Sebelum memboloskan diri ke
dalam perpustakaan dia berpesan pada Kak Ecah.
“Suruh orang tua tu masuk sini!”
Mak Timah tersinggung melihat cara Laura Jane. Sombongnya! Masih tak
berubah lagi kau rupanya Laila! Dadanya berasa panas. Saat itu dia terasa ingin
pergi
sahaja tetapi kemudian dia teringatkan Hawa Fatihah. Jika sesuatu berlaku
pada cucunya, Hawa Fatihah perlu tahu satu kebenaran. Ibunya ada, begitu dekat. Sama-samamenghuni
di bandar ini. Namun hati mereka amat jauh. Hati yang jauh itu perlu
didekatkan. Hubungan silaturrahim yang putus perlu disambung,fikir MakTimah
masih menyimpan harapan yang tinggi.
“Ada apa datang sini?” tanya Laura Jane yang duduk di kerusi di belakang
meja yang besar.
Dia bersandar sambil mata memerhati Mak Timah. Sesekali dia memusing kerusi
hitam itu ke kiri dan ke kanan.
Mak Timah berdiri sahaja di tengah-tengah ruang perpustakaan itu.
Matanya tertuju tepat ke wajah Laura Jane. Langsung tidak dipelawa duduk di
kerusi empuk.
“Hampir-hampir aku tak kenal dengan kau Laila.Tapi ke mana pun kau
pergi aku akan dapat cari. Banyak yang kau hutang dengan aku,” kata Mak Timah berterus-terang.
Dia bukannya mahu bersikap sinis. Tapi dia ingin mengingatkan Nur Laila
atau Laura Jane bahawa antara mereka masih banyak urusan yang tidak selesai.Tidak guna dia berselindung.
Lebih cepat dia menyelesaikan hal itu, dia boleh beredar pergi.
Mulanya Mak Timah datang dengan niat yang baik.Tetapi sikap sombong dan ego
Laura Jane membuat MakTimah rasa geram. Dia perlu ‘mengajar’ wanita muda itu
menghormati orang tua sepertinya. Tiada guna hidup jika tidak ada rasa hormat
terutama sekali pada orang yang bergelar ibu. Menurut hukum agama taraf ibu
mentua sama sahaja dengan ibu kandung.
Berdosa jika menyakiti hatinya. Mendapat pahala jika menyayanginya dengan
hati yang ikhlas. Namun Laura Jane tidak tahu ataupun tidak peduli sama sekali.
“Banyaklah kau punya hutang. Aku memang pernah mintak makan dengan kau
dulu.Tapi itu dulu. Sekarang aku dah kaya.Aku tak perlukan kau atau sesiapa.”
Laura Jane memulangkan kata-kata dengan kesat sekali. “Kau pernah
curi barang kemas aku!”
Mak Timah bagaikan mengungkit walaupun bukan niatnya. Ketika dia
menghadapkan dirinya ke kiblat, berdoa di hadapan ALLAH dia pernah mengatakan
bahawa dia telah pun redha. Namun keredhaan itu tiada ertinya lagi bila hati
Laura Jane tidak pernah disentuh keinsafan. Malah perangainya bertambah teruk
daripada yang pernah Mak Timah kenali.
Begitulah perangai manusia jika hidup mewah, penuh kesenangan dan
kenikmatan. Hidup bagaikan dalam syurga dunia. Tapi di akhirat bagaimana pula?
Mungkinkah menjadi bakaran api neraka. Nahuzubillah min zaliq.
“Argh! Jangan nak tuduh-tuduh tanpa bukti!” sanggah Laura Jane
enggan mengaku.
“Bukti memang tak ada.Tapi memang kau yang curi,siapa lagi! Di dunia ni
bolehlah berdolak-dalik. Tapi kat akhirat nanti, kaki, tangan kau
akan bercakap,” jawab Mak Timah.
“Tak payah nak bersyarah. Pergilah ke masjid sana!” sindir Laura Jane, dia
memusing kerusinya membelakangi Mak Timah.
“Kau masih tak berubah Laila. Masih sombong macam dulu jugak. Dulu masa
susah kau sombong. Bila dah kaya macam ni tentulah angin kau makan tinggi,
makin sombong. Tapi sesombong mana pun kau, kau akan mati jugak suatu hari
nanti.”
Mendengar kata-kata Mak Timah yang cukup pedas itu, Laura Jane
memusing kerusinya semula menghadap Mak Timah.
“Kalau mak cik datang setakat nak mengata, lebih baik mak cik keluar dari
rumah ni!”
Laura Jane memanggil Mak Timah mak cik, bukan lagi emak. Tapi Mak Timah
tidak tersinggung. Tiada guna dia mengharap apa-apa daripada manusia
yang sudah buta hatinya walaupun mata itu celik dan mengerdip sepanjang masa.
“Aku memang tak mahu lama-lama kat sini Laila. Tapi aku nak
beritahu kau pasal anak kau.”
Laura Jane hanya mengangkat kening. Dia kelihatan tidak berminat ataupun
rasa teruja hendak tahu berkenaan anaknya. Mak Timah berasa begitu kesal.
Kenapa dia harus datang mencari Nur Laila. Bukankah dia sudah tahu jawapannya.
Wanita itu tidak pernah sayang pada zuriatnya sendiri. Dia tidak pernah
memerlukan Hawa Fatihah sebagaimana Mak Timah memerlukan anak itu.
Laura Jane memang pernah berharap untuk bertemu dengan anaknya. Dia ingin
tahu bagaimanakah keadaan anak itu.Bagaimana rupa paras Baby? Namun selepas dia
mengikat tali pertunangan dengan Ben, hatinya mulai berubah. Dia berasakan anak
itu adalah cebisan masa lalu yang pahit lagi mengecewakan. Lebih baik dia tidak
mencari anak itu. Biarkan kewujudan anak itu menjadi rahsia,selama-lamanya.
Ben tidak tahu dia pernah berkahwin apatah lagi mempunyai anak. Kisah
hidupnya di masa lalu ingin ditutup serapat-rapatnya daripada
pengetahuan Ben. Dia juga tidak ingin peminat dan masyarakat tahu perihal itu.
Jadi, dia merasakan kedatangan Mak Timah hari ini tidak lagi membawa sebarang
erti. Malah hanya membawa malu dan aib.
Dia sudah merancang masa hadapannya dengan Ben. Dia ingin memiliki anak
dengan lelaki yang dicintainya itu. Dia tidak peduli betapa teruknya perangai
Puan Rosna, ibu Ben. Dia pasti dapat menundukkan wanita itu. Lagipun dia yakin
akan dapat menguasai hidup Ben selepas mereka menikah nanti.
“Sia-sia aku datang ke sini. Sepatutnya aku dah tahu lama dulu kau
memang ibu yang tak guna.Yang langsung tak ada rasa kasih pada darah daging
sendiri.”
Telinga Laura Jane berdesing mendengar kata-kataMak Timah. Rasa
bencinya makin menggunung. Dia tidak ingin bercakap dengan MakTimah lagi.Dia terjerit-jeritmemanggil
Kak Ecah. Kak Ecah menjengukkan wajahnya di muka pintu perpustakaan itu.
“Tunjukkan orang tua ni pintu keluar, sekarang!” katanya sambil memusing
badan membelakangi Mak Timah sekali lagi.
Dia benci melihat wajah tua yang masih mempunyai lisan yang bisa. Otak
wanita itu masih belum nyanyuk dan mampu mencerna kata-kata yang amat
menyakitkan hati.
Berjaya juga mengocak ketenangan fikirannya.
Mak Timah terus keluar. Tidak perlu Kak Ecah menunjukkan jalan keluar dari
rumah itu. Dia boleh keluar sendiri. Dia rasa terhina, hatinya terlalu pedih.
Beberapa titis air matanya gugur. Dia benar-benar kesal bertemu
semula dengan Nur Laila yang kini bergelar Laura Jane.
Mak Timah berjalan longlai menuju ke kereta. Pak Latif kehairanan melihat wajah tua itu basah dengan air mata. Tanpa benyak soal,
Pak Latif terus memandu meninggalkan Bukit Antarabangsa.
“Kita jangan terus balik Latif. Kita pergi ke mana-manadulu. Sebab aku
tak mahu balik dalam keadaan hati aku sedih. Aku tak mahu Hawa tahu aku pergi
jumpa mak dia.”
“Dia tak mahu terima Kak Timah dan Hawa?”
“Dia terlalu sombong dengan kesenangan hidup dia sekarang, Latif. Dari
dulu, dia memang sombong,” kata Mak Timah, masih sedih.
“Tak apalah kak. Biarlah dia dengan kesombongannya. Suatu hari nanti TUHAN
beri hidayah,pasti dia akan berubah. Manusia ni kalau dah ditimpa musibah baru
dia insaf. Selagi dia sihat, muda,senang-lenang dia takkan sedar kak.”
“Nak tunggu hidayah datang, tak tahu bila,” balas Mak Timah.
“Tu pun kalau datang hidayah. Kalau tak datang, teruskan hidup dalam
kegelapan tanpa iman.”
“ALLAH akan memberi hidayah pada sesiapa yangdiingini-NYA kak. Hatta
seorang pelacur sekalipun, kalau DIA menghendaki, akan berubah jadi sebaik-baik manusia.Entah-entah lebih
baik daripada kita, siapa tahu?”
Mak Timah mendengar sahaja namun dalam hatinya mengakui kebenaran kata-kata Pak
Latif.
“Kalau kakak sayang pada menantu kakak tu, berdoalah untuk dia, supaya
berubah.”
Sayang? Bisik hati Mak Timah. Siapalah yang sayang pada perempuan buruk
perangai tu! Mak Timah mengetapkan bibirnya. Mak Timah menarik nafas.Tiba-tiba teringat
pada ungkapan yang pernah didengarinya. Sayangilah makhluk ALLAH, sayangilah
manusia walaupun manusia itu membencimu. Dengan izin ALLAH rasa benci akan
bertukar sayang.
Pak Latif tekun memandu membiarkan Mak Timah tenggelam dalam arus fikirannya sendiri. Dia harus mencari satu tempat
untuk singgah berehat. Akhirnya dia membawa MakTimah ke UluYam. Semoga suasana
damai dengan jeram berair jernih dapat menenangkan hati Mak Timah yang sedang
gundah.