Home Cerpen Umum PERJALANAN KE LUGANO
PERJALANAN KE LUGANO
18/6/2014 10:20:33
2,369
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

CERPEN

PERJALANAN KE LUGANO


DERAIAN salji halus masih terasa kala aku bergegas menghala ke stesen keretapi. Cuaca tidak menentu sekarang. Alam bagaikan enggan berkompromi dengan penduduk bumi. Sepatutnya hari ini, hari pertama musim bunga. Namun malam semalam salji masih lebat gugur ke bumi.

Kedinginan mencengkam kulit. Sambil membetulkan mafela biru dari kain benang bulu kambing yang tebal, membelit leher aku meneruskan langkah. Tangga bergerak yang menghala ke stesen keretapi api aku panjat dengan tergesa-gesa. Ruang dalam stesen terasa hangat. Meskipun masih awal, namun sudah ramai penumpang yang berdedai-dedai menghala arah tujuan masing-masing. Aku berdiri sejenak di hadapan monitor kecil di ruang legar ini, melihat waktu perjalanan keretapi. Mataku terpaku pada waktu keretapi ke Lugano yang akan berangkat sebentar lagi, lebih kurang tiga minit.

Ya Allah! Tiga minit lagi! Bisik hatiku bagaikan terperanjat. Tidak ingin terlepas keretapi pagi ini kerana perjalanan jauh dan panjang.

Aku segera berpaling dengan pantas ke belakang. Kala itu aku terpijak kasut seseorang yang berdiri belakangku. Begitu rapat hingga aku dapat hidu bau colognenya. Aku memang tidak sangka ada orang di belakangku, yang turut memerhati ke arah monitor. Rupa-rupanya dia juga sedang meninjau waktu perjalanan keretapi ke destinasi tujuan.

“Maaf,” ucapku dalam bahasa SwissFranc sambil merenung wajahnya sejenak.

Agak kacak, berambut perang dan bermata biru pekat.

Dia tidak menyahut hanya dahinya sahaja yang berkerut. Entah berkerut sakit kerana aku memijak kakinya atau dia tidak faham kata-kataku sebentar tadi. Agh! Lantaklah! Hatiku berbicara sendiri. Sempat kulihat dia memeluk roti baguette yang panjang, berbalut kertas berwarna coklat. Dia mengetus roti itu dengan giginya sambil mata terus melekat pada skrin monitor kecil itu. Aku hanya merengus perlahan. Kesal. Kala aku cuba bersikap sopan, tiada siapa pun yang peduli. Sepatutnya aku pergi sahaja tanpa rasa bersalah.

Aku terus berlari memanjat tangga menghala ke flatform. Di flatform sudah terlihat keretapi yang akan aku naiki. Beberapa orang masih berada di flatform, bersedia untuk melompat masuk ke dalam perut gerabak keretapi. Terdengar bunyi enjin keretapi yang berdesir agak kuat. Aku terus masuk mencari tempat duduk. Lega setelah aku menemui kabin dan kerusi tempat dudukku. Aku duduk selesa, menanggalkan baju kot dan meletakkan di atas riba. Tas tangan kulit hitam jenama LV kuletakkan sahaja di atas meja kecil di hadapanku, sambil mata memerhati keluar jendela.

Keretapi mulai bergerak perlahan meninggalkan bandar Luzern. Saat itu seseorang duduk di sisiku dengan agak kasar menghempas punggungnya dan mencampakkan jaket kulit di atas meja. Spontan aku menoleh dan mata kami bertembung.

Wajah lelaki itu serius. Memang kebanyakan lelaki Jerman yang aku temui berwajah seperti dia. Dingin. Mereka mungkin juga seperti aku, sedikit prejudis pada bangsa asing. Agh! Bukan sedikit tetapi sebenarnya banyak... sarat dengan sikap prejudis. Lebih-lebih lagi kalau wanita itu wanita Asia yang bertudung seperti aku!

“Kau ni memang suka merenung orang ke?” dia bertanya dalam bahasa Inggeris. Dari dialek percakapannya itu aku yakin dia bukan orang Eropah. Mungkin Amerika.

Aku tersentak. Tersedar sesuatu. Aku telah merenungnya dalam waktu yang agak panjang. Aku lihat dia masih memegang separuh dari roti baguette. Roti yang berkulit keras di luar dan lembut di bahagian dalamnya. Terkadang aku terfikir, lelaki itu mungkin bagaikan rotibaguette yang sedang dipeluknya itu. Keras di luar tetapi lembut di dalam. Aku terfikir lagi, bukankah roti itu lebih sedap kalau dicecah dengan sup cendawan panas dan dimakan di musim dingin.

“Oh... err, maaf. Saya tak bermaksud untuk merenung awak,” jawabku dengan nada sopan.

Bibir tipisnya yang kemerahan mengukir senyum pendek.

“Tak apalah,” katanya dengan suara rendah.

“Awak cakap sesuatu pada saya tadi semasa awak pijak kasut saya tadi. Apakah itu?”

“Ohhh... awak bukan orang tempatan?” Aku bertanya dengan nada sedikit kagum.

Dia menggeleng.

“Saya dari Amerika. Nama saya Paul,” beritahunya sambil menghulur tangan.

“Datang ke Switzerland untuk melancong. Baru tiga hari sampai di sini.”

Aku mengangguk. Tanpa memperkenalkan diri, aku bertanya; “Melancong seorang diri?”

“Ya. Sendiri. Tak banyak masalah kalau seorang diri.”

“Awak tak jemu tak ada teman bicara?” aku bertanya lagi.

“Hei, saya boleh dapat teman bila-bila masa, di mana saja,” balasnya.

Aku hanya menjungkitkan bahu. Perlahan-lahan menyandarkan badanku pada kusyen keretapi yang empuk. Mataku memandang malas ke luar tingkap keretapi yang sedang meluncur laju.

“Lugano, jauh dari sini kan? Awak pernah ke Lugano sebelum ini?” dia bertanya padaku.

Aku menoleh sejenak. Dia telah meletakkan rotinya di atas meja. Ahhh... bukankah benar telahanku. Dia seorang yang peramah.

“Ya,” balasku sepatah.

“Selalu?” soalnya lagi.

Aku menggeleng.

“Bukan selalu. Tapi saya pernah dua tiga kali ke sana kerana urusan kerja.”

“Saya dengar di sana, banyak kilang-kilang besar dan peluang pekerjaan. Awak ke sana atas urusan bisness apa?” soalnya lagi.

Aku mengerut dahi. Rasa tidak senang mendengar pertanyaannya itu.

“Saya...” kataku sambil menggantungkan kata-kataku di udara, bagaikan mencari ruang untuk menarik nafas dan menghembuskannya semula.

“Saya mahu jumpa seorang kawan di Lugano. Kemudian shopping di Foxtown. Barang-barang di sana lebih murah kalau dibandingkan di Geneva,” aku cuba bersuara setenang mungkin.

“Mungkin benar. Rasanya di Paris juga murah. Bukankah lebih dekat kalau ke Paris dari Geneva. Dua jam keretapi saja. Kenapa harus ke Lugano?”

Aku memandang sekilas ke wajahnya kemudian mataku tertanjap ke arah tas tangan kulit yang diam kaku di atas meja. Di dalam tas itu mengeram barang-barang berharga milikku. Aku ingat dengan jelas pada duit berjumlah lebih kurang tiga ribu SwissFranc. Di dalamnya juga terdapat barang-barang peribadiku, seorang wanita yang ingin terus kekal cantik dan bergaya dalam apa jua keadaan.

“Awak tinggal di Geneva?” dia bertanya, begitu besar rasa ingin tahu yang bermukim di hati kecilnya.

“Ya,” jawabku sambil memeluk tubuh.

“Sudah lama awak tinggal di Geneva?”

“Hampir empat tahun. Saya belajar di Universiti Geneva dalam bidang seni dan fesyen.”

“Tinggal dengan siapa di Geneva? Kekasih? Suami?”

Aku tertawa kecil.

“Belum ada keluarga sendiri. Juga tak ada kekasih. Saya tinggal dengan sepupu dan keluarganya.”

Lelaki itu menganggukkan kepalanya beberapa kali. Dia puas hati mendengar cerita peribadiku itu.

“Saya yakin awak bukan orang Eropah sejati. Awak ni berdarah kacukan mungkin?” dia bertanya lagi.

“Hmmm...” aku menarik nafas panjang sebelum menjawab soalannya itu.

“Tak apa kalau awak tak mahu jawab. Biar saya teka. Awak bukan orang Arab ataupun Afrika. Awak ni... orang... orang apa? Agh! Saya tak tahu, tak ada idea awak orang apa. Tapi awak cantik, ada daya tarikan tersendiri.”

“Saya berasal dari Malaysia. Orang Melayu,” aku menjawab dengan nada perlahan tetapi tegas.

“Aha... Malaysia.” Kepalanya terangguk-angguk.

“Awak pernah ke Malaysia?”

Dia menggeleng pula. Terpamer kekesalan di wajahnya, begitu jelas. Aku jadi curiga.

“Di sana tak aman...” dia memberi komen. Komen itu amat menjengkelkan dan sekaligus menghapuskan kecurigaan yang mengisi dadaku.

“Tak aman? Apa maksud awak?” aku bertanya dengan nada agak serius.

Kala itu aku teringatkan Malaysia, negaraku yang tercinta. Malaysia yang aman damai dan penuh kemakmuran. Hatiku sakit apabila lelaki kulit putih itu membuat telahan yang melulu. Belum pernah datang ke Malaysia, tetapi memberikan komen negatif.

“Di sana sarang keganasan. Itu yang saya dengar dan lihat di televisyen.”

Dadaku terasa mendidih. Pandai-pandai sahaja buat cerita. Sarang keganasan? Tak boleh jadi. Aku mesti membersihkan nama Malaysiaku yang dikatakan sebagai sarang keganasan.

“Tak... Malaysia bukan sarang keganasan. Kami hidup aman damai di sana. Ya, ada pelbagai kaum tetapi harmoni.” Aku cuba menegaskan perkataan harmoni itu. Amat berharap dia percaya. Walaupun sudah lama aku tidak pulang ke Malaysia, tetapi aku sentiasa mendengar cerita dari emak.

“Mak baru balik dari kedai Ah Hong beli kasut sekolah adik kau. Baru enam bulan kasut sekolah dah koyak rabak. Ah Hong cadangkan pada mak beli yang mahal sikit tapi tahan. Agh! Sekarang barang semua mahal. Kalau beli yang murah tak ada kualiti tak guna juga, kata Ah Hong.”

“Mak! Mak percaya sangat pada kata-kata Ah Hong tu. Dia sengaja suruh mak beli barang yang mahal tu!” aku menyakat.

“Memanglah mak percaya. Sejak dulu beli kat kedai dia. Masa zaman kau sekolah dulu pun, beli barang-barang sekolah di kedai dia juga,” kata emak lagi.

“Kapalterbang yang hilang tu,” kata Paul sebelum sempat aku memberikan sebarang fakta benar tentang negaraku tercinta.

“Kapalterbang dari Malaysia, bukan?” dia membedilku dengan soalan tanpa sempat aku menyediakan perlindungan.

Aku terdiam sejenak, gagal untuk menafikannya. Walaupun aku mengikuti setiap perkembangan berita dari Malaysia mengenai kapalterbang yang hilang itu, namun gagal untuk meyakinkan Paul sesuatu. Kapalterbang itu hilang secara misteri dan sehingga kini masih tertanya-tanya apakah yang terjadi. Masakan aku mahu memberikan fakta-fakta yang penuh bersifat spekulasi semata-mata.

Aku teringat kata-kata sepupuku yang bekerja di PBB beribu pejabat di Geneva.

“Tidak dapat dinafikan bahawa Asia kini menjadi sasaran Barat untuk menghentam dan menuduh sebagai sebuah negara yang menaja keganasan. Sedangkan segala yang berlaku berpunca dari Barat juga,” kata Abang Rahmat.

“Abang Mat, takkan kita nak berdiam diri bila Asia dituduh macam tu? Walaupun mungkin wujud pengganas seperti kumpulan Abu Sayyaf dan Al-Qaeda yang menular hingga ke Indonesia, tapi tidak sehebat Mafia di Itali dan Israel kan? Israel menguasai ekonomi Amerika. Sama macam orang Cina menguasai ekonomi Malaysia. Orang Melayu bukantak sedar hakikat ini, tapi kita tak dapat buat apa-apa. Sejak di zaman pemerintahan raja-raja Melayu Melaka, orang-orang Cina datang berdagang ke Tanah Melayu. Orang Melayu pula asyik dengan bersabung ayam, malas bekerja.”

Abang Rahmat tertawa mendengar kata-kataku itu.

“Rin, tak patut cakap gitu. Pemikiran orang-orang Melayu bukan lagi berada di takuk lama tu dik. Orang-orang Melayu sudah ramai yang ada kesedaran tentang pelbagai aspek hidup. Bukankah sudah ramai orang Melayu yang berjaya dalam politik, perniagaan, dalam bidang keagamaan, sudah ramai lahir ulama-ulama. Tu bukti kesedaran dan kegigihan orang Melayu untuk berubah.”

“Tapi masih ada kelompok yang tak berubah bang! Sebenarnya ramai yang masih hidup dalam angan-angan menanti ganjaran dari kerajaan. Bila keluar je duit Br1m berkejar pergi bank. Kalau pasal kerja, ramai yang suka ponteng. Kalau pasal menagih dadah, serah pada budak-budak Melayu.”

“Amboi! Walaupun Rin duduk di sini tapi tahu semua yang berlaku di Malaysia ya?” sindir Abang Rahmat.

“Mak selalu telefon Rin, cerita macam-macam,” beritahuku sambil mengulum senyum.

Tiba-tiba aku terfikir bahawa lelaki di sebelahku ini mungkin seorang bangsa Israel? Jumlah mereka memang tidak ramai di dunia ini tetapi mereka manusia yang berjiwa kental, kuat semangat dan bijaksana.

“Awak percaya pada agama?” aku bertingkah, enggan menjawab soalannya tadi.

Dia kelihatan agak terperanjat mendengar pertanyaanku. Dia terdiam agak lama kemudian berkata. “Saya tak pernah memiliki apa-apa agama,” beritahunya.

“Kenapa begitu?” aku bertanya.

“Saya tak percaya pada Tuhan.”

Masya Allah... kataku sambil menepuk dada. Bagaimanakah harus aku katakan supaya pendiriannya tentang Tuhan berubah. Tidakkah dia melihat alam yang terbentang luas ini siapakah penciptanya? Siapa yang menjadikan siang dan malam? Siapa yang menggerakkan bumi di atas paksinya dan berjalan dengan lancar tanpa pernah sekali pun terhenti. Mengapakah dia tidak pernah terfikir tentang Tuhan yang telah menjadikannya seorang manusia yang sempurna.

“Awak percaya pada Tuhan?” dia memulangkan pertanyaan.

Aku mengangguk. Perlahan-lahan lidahku mulai bertutur dan menceritakan tentang segala yang aku ketahui. Tentang Tuhanku. Allah Azzawajalla. Aku telah diajar untuk mengenali Dia sejak berusia lima tahun. Kini setelah aku dilepaskan untuk terbang jauh mencari ilmu dan pengalaman hidup di negara orang, tidak pernah sekali pun aku goyah. Emak dan ayah telah membimbingku agar berdiri di atas landasan yang benar. Jalan yang lurus.

Keretapi mulai bergerak perlahan. Pemandangan disekeliling memperlihatkan kawasan perumahan dan kilang. Rumput hijau tampak jelas dari tingkap keretapi. Keretapi akan berhenti di stesen tidak lama lagi. Petugas keretapi mulai bergerak dari satu gerabak ke satu gerabak, memeriksa tiket penumpang.

“Anda berdua mahu ke Lugano? Sila turun di stesen Bellinzona. Tukar keretapi ke Lugano,” katanya mengingatkan kami sebelum dia beredar.

“Nampaknya kita sudah hampir sampai ke Lugano,” kata Paul sambil tersenyum.

“Ya,” kataku sepatah dan kami sama-sama turun dari keretapi.

Berdiri di flatform, menanti keretapi untuk ke Lugano aku tidak lepas dari memandang Paul. Aku cuba meneka pekerjaan lelaki ini. Dia berpakaian ringkas sahaja, t.shit lengan panjang di bawah jaket kulit. Jari-jarinya nampak lurus dan panjang dengan kuku yang bersih. Kini dia memasukkan kedua-dua tangannya ke dalam poket, sambil berjalan mundar-mandir untuk memanaskan badan.

Aku berdiri di satu sudut, sambil memerhati beberapa orang lelaki yang turut menunggu keretapi. Mungkin mereka juga ingin ke Lugano seperti kami. Di stesen kecil itu terdapat sebuah kedai 24, seperti seven-eleven di Malaysia, sebuah cafe kecil yang menjual kek dan minuman serta pejabat stesen keretapi.

Udara begitu dingin, walaupun waktu sudah melewati jam dua petang. Aku termenung panjang sambil mata memerhati jauh ke arah landasan yang kosong. Sesekali mataku enggan lari dari sisi Paul. Kulihat dia sedang merenungku dari jauh sambil menghadiahkan secebis senyuman.

Sebuah keretapi datang, berhenti dengan genitnya di stesen kecil itu. Semua yang berada di flatform naik dan memasuki gerabak masing-masing. Bagaikan masih tidak dapat dipercayai aku tetap berkongsi kerusi dengan Paul.

Dia duduk di sisiku sambil tersenyum.

“Sebenarnya saya tak pernah katakan ini pada seorang wanita pun. Entah mengapa saya harus katakan ini pada awak. Walaupun saya tak tahu nama awak, tapi saya amat tertarik pada awak. Awak seorang wanita yang berpendirian teguh, memiliki agama dan cantik.”

Aku terpegun, diam tanpa suara.

“Saya jatuh cinta pada awak,” kata Paul lagi.

Aku terkejut mendengar kata-katanya. Tambah mengejutkan lagi apabila Paul menyambung kata; “Sebenarnya saya ikut awak pagi tadi semasa awak keluar dari hotel. Saya ikut awak ke stesen dan berdiri di belakang awak masa awak tengok jadual perjalanan ke Lugano pagi tadi. Saya sengaja berdiri rapat di belakang awak.”

“Apa?” Dahiku berkerut dan dadaku berdebar-debar kencang. Dia dapat membaca rasa panik dan bimbang yang mewarnai wajahku saat itu.

“Mungkin awak tak sedar, kita tinggal di hotel yang sama. Bilik bersebelahan.”

Wajahku berubah jadi pucat. Rasa takut mulai menjalar dan meramas hatiku.

“Jangan takut. Saya tak berniat jahat pun. Saya semakin tertarik pada awak setelah kita berbual-bual tadi. Tentang hidup dan tentang agama awak. Selama ini saya sangka, orang Islam tu ganas”

Aku menggigit bibir yang bergetar. Hilang suara. Hilang idea untuk membalas kata-katanya.

“Awak tahu kan saya tak ada pegangan agama. Tidak pernah percaya pada apa-apa selain dari diri sendiri. Selama ini saya hidup sendiri, saya tak pernah bergantung pada sesiapa. Saya pergi ke mana saja saya suka, menikmati hidup ini dengan penuh nikmat. Saya seorang pengembara, sudah jauh perjalanan saya. Saya fikir, saya mahu berhenti di satu tempat. Tempat di mana awak ada. Kalaulah boleh...”

“Awak tak ada keluarga?”

Dia menggeleng. Rasa debaran di dadaku mulai menurun perlahan-lahan. Aku dapat rasakan bahu kami saling bersentuhan. Bahang kehangatan tubuhnya buat aku rasa sedikit selesa. Rasa takut sudah bertukar. Aku semakin senang dengan kehadirannya di sisiku biarpun kami baru kenal beberapa jam yang lalu.

“Sudah lama saya hidup seorang diri,” beritahu Paul.

Perjalanan dari Bellinzona ke Lugano terasa begitu cepat. Keretapi sudah pun tiba di stesen Arth Goldau dan stesen berikutnya adalah Lugano. Aku dan Paul akan berpisah. Paul punya urusan bisness yang tidak ingin dikhabarkannya padaku. Dia hanya berkata; “Saya mahu berhenti kerja. Walaupun keputusan ini mendadak tapi saya rasa tugas ni adalah tugas terakhir. Saya mahu berubah. Harap saya boleh jumpa awak lagi.”

“Jumpa saya? Untuk apa?”

“Untuk mulakan satu hubungan,” kata Paul sambil mengenyitkan mata. Bola matanya yang berwarna biru pekat kelihatan bersinar ceria. Penuh harapan. Hatiku tiba-tiba jadi kembang. Wah! Biar betul! Nampaknya dia benar-benar terpikat padaku?

Bolehkah dipercayai kata-katanya itu?

Di mana kita harus jumpa cik...” tiba-tiba dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Aku belum memberitahunya namaku.

“Marini. Namaku Marini,” beritahuku bersama senyuman pendek.

Tidak berselindung langsung. Pantas sahaja aku menyebut namaku tanpa ragu-ragu.

“Marini... nama yang saya tak pernah dengar. Tapi sedap... ya, nama awak sedap.”

Aku tertawa kecil mendengar pujiannya itu. Kelajuan keretapi mulai menurun hingga akhirnya ia benar-benar berhenti. Terlihat tulisan besar di stesen. Lugano. Kami sudah sampai di Lugano. Cuaca di luar lembab, hujan sedang turun. Kami sama-sama bergerak turun dari gerabak keretapi. Semasa aku sedang memijak tangga keretapi, Paul menghulur tangannya.

Aku menyambut tangan Paul dan dia membantu aku turun ke flatform. Pertama kali, aku membenarkan tanganku dipegang lelaki asing. Walaupun aku memakai sarung tangan, tapi aku tetap terasa getaran yang menggegar jantungku. Paul memandangku, tepat ke dalam bola mataku yang coklat kehitaman. Pandangannya menggetarkan, jantungku bagaikan gugur.

“Bagaimana saya dapat menghubungi awak, Marini?” dia bertanya lunak.

Aku berfikir sejenak, kemudian memberikan nombor telefon butik tempat kerjaku di Geneva. Tidak berani memberikan nombor telefon rumah Abang Rahmat. Aku harus berhati-hati jua dengan lelaki yang satu itu biarpun sukar dinafikan hatiku berdebar-debar. Dia tersenyum kala melihat telapak tangannya yang tertulis dengan nombor telefon butik tempat kerjaku. Dia melambai galak dan kami berpisah di situ.

Aku mengeluarkan handphone dan menghubungi Carmen. Carmen meminta aku menunggu di stesen keretapi. Dia akan datang menjemputku. Sebuah kereta jaguar tiba tidak lama kemudian menjemputku di stesen. Di dalamnya Carmen tersenyum ramah menyambutku.

“Benvenuto mio caro amico.” Carmen mengalu-alukan kedatanganku.

“Grazie, Carmen.”

“E 'stato un lungo periodo di tempo dopo il nostro ultimo incontro abbiamo,” (Agak lama juga kita tak berjumpa.) kata Carmen.

“Sì, tre mesi,” (Ya, tiga bulan) balasku.

Kereta terus dipandu laju menghala ke rumah Carmen. Malam ini aku akan tidur di rumah Carmen. Awal pagi esok aku akan ke Foxtown untuk shopping sebelum pulang ke Geneva.

Selepas makan malam, aku menunjukkan pada Carmen design yang telah aku lukis. Dia tertarik dengan gaya dan style fesyen yang aku lakar. Aku cuba memperkenalkan kepadanya gaya busana yang tidak terlalu menjolok mata, sopan dipakaididalam apa jua majlis. Aku turut melukis corak batik. Ternyata Carmen tertarik dengan hasil lakaranku itu. Aku turut tunjukkan kepadanya sehelai songket milik emakku. Dia amat tertarik pada corak dan kain songket yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini.

Kami berbual tentang fesyen dan rancangan masa hadapan. Dia mahu mengajak aku bekerja di butik yang akan dibuka di Paris. Kami berbual di anjung mansion milik suami Carmen hingga larut malam. Beberapa kali aku menguap, tetapi Carmen masih gagah bercerita tentang rancangannya.

Tiba-tiba aku terlihat sesusuk tubuh manusia yang baru muncul entah dari mana. Di tangannya terdapat sepucuk pistol. Aku kaget. Wajahnya tidak dapat aku lihat dalam kegelapan malam. Carmen menoleh apabila dia turut mendengar derap kasut lelaki itu yang berada di dalam rumahnya.

“Chi sei tu?”(Siapa kau)” Carmen bertanya.

Tidak terdengar sebarang jawapan, hanya peluru yang meluncur laju ke arah Carmen. Aku menolak Carmen dengan pantas ke tepi hingga dia jatuh dari kerusi. Peluru itu kesasar, mengena bahu Carmen. Dia terus rebah sambil mengerang kesakitan. Pembunuh upahan yang baru muncul dari dalam kegelapan itu terkejut melihat aku ada bersama dengan Carmen.

“Marini?” suara Paul terdengar kaget, terkejut.

“Paul?” suara aku juga tergantung di udara.

Tekakku terasa kering. Lidahku kelu. Aku memerhati Paul yang berdiri gagah di tengah ruang. Wajahnya makin jelas di bawah sinar lampu yang bergemerlapan di siling anjung. Carmen masih terdengar mengerang perlahan sebelum dia jatuh pengsan.

“Maaf Marini. Saya terpaksa lakukan ini. Walaupun saya dah jatuh cinta pada awak... tapi... tapi awk... Awak dah tengok muka saya.” Paul mengangkat pistolnya dan menghalakannya ke arahku.

“Tidak... Paul! Jangan... jangan Paul!”

“Memang saya tak pernah minta maaf dari mangsa-mangsa saya sebelum ini. Tapi saya terpaksa minta maaf pada awak, Marini. Saya sukakan awak, tapi saya terpaksa bunuh awak. Maaf  sayang.” Airmata Paul mengalir perlahan.

“Saya mahu berhenti kerja terkutuk ini kerana awak... tapi... mengapa ini yang harus terjadi?” soal Paul lagi.

Aku pejamkan mataku. Mungkin sudah tiba waktuku untuk kembali kepada Tuhan. Aku menanti Paul menarik picu pistolnya. Tapi itu semua tidak pernah terjadi. Tiada letupan pistol dan tiada peluru yang berlari ke arah dadaku. Kala aku buka mata, Paul sudah hilang entah ke mana.

Perjalanan ke Lugano jadi perjalanan yang paling aneh dalam hidupku. Entahlah, samada aku sanggup untuk ke Lugano lagi selepas ini ataupun tidak. Tapi aku akan merindui wajah Paul dan rentetan perjalananku dengan si dia.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.