Home Novel Cinta Sebenarnya Dia Milik Aku
Sebenarnya Dia Milik Aku
4/7/2013 11:04:07
75,011
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Bab 7

SELEMBAR surat tanpa sampul ditemui Kak Ecah di dalam peti surat. Lalu dia meletakkannya di hadapan Laura Jane yang sedang bersarapan pagi. Laura Jane hanya menikmati koko panas. Pagi itu dia bangun lewat. Jam sudah menunjukkan ke angka

10.00, dia masih berpijama tidur. “Surat apa ni?” tanya Laura Jane.

“Tak tahulah Cik Laura. Saya jumpa dalam peti surat masa nak buang sampah tadi,” beritahu Kak Ecah.

Mahu tidak mahu Laura Jane membuka surat itu. Matanya merenung ke arah barisan tulisan yang tidak teratur. Potongan huruf-huruf daripada surat khabar yang disusun menjadi ayat.

Bukan main popular lagi kau sekarang!

Tak lama lagi hidup kau akan musnah.

“Hisy!”

Laura Jane merengus keras lalu melemparkan surat itu ke tepi. Rengusan kuat Laura Jane itu mengejutkan Kak Ecah. Hati wanita itu seperti kecut hendak bertanya hanya matanya terus tertuju ke arah kertas yang baru dilempar ke lantai.

“Buang surat layang tu Kak Ecah! Lain kali kalau ada lagi surat-surat macam ni jangan serahkan pada saya. Buang saja dalam tong sampah,” marah Laura Jane.

Terbantut seleranya hendak menikmati koko panas yang masih bersisa. Pancakedengan madu di hadapannya langsung tidak diusik. Seleranya serta-merta menjadi tumpul.

Dia terus bangkit menghala ke biliknya di tingkat atas. Laura Jane masuk ke bilik air untuk membersihkan diri. Dia berniat hendak keluar. Tapi ke mana? Entah mengapa dia seperti tidak tahu hendak ke mana. Tiada tempat hendak dituju. Dia tidak berniat untuk ke spa sebab semalam dia baru sahaja ke sana membelai kulit.

Jadual penggambaran filem terbarunya akan bermula dua minggu lagi. Mulanya pengarah filem, Abang Mokhtar ingin memulakan penggambaran secepat mungkin. Tetapi terpaksa ditangguhkan apabila pelakon lelaki utama filem itu mengalami demam panas. Sekarang masih dirawat di hospital. Bumi Kuala Lumpur terlalu panas sepanjang hari, sudah berminggu-minggu tidak disiram hujan.

Laura Jane berdiri di tepi tingkap kamarnya selepas selesai mandi. Dia melihat matahari yang garang sedang memancar ganas. Terlihat bayangan fatamorgana di kejauhan. Hari ini bakal menjadi hari yang panas.Lebih baik dia tidak keluar.Dia memandang skrip filem yang terdampar di atas katil. Skrip itu sudah dihafalnya dengan baik. Dia tidak mengambil masa yang lama. Laura Jane memang cergas dan otak wanita itu mampu mengingat setiap watak yang diserahkan kepadanya. Dalam soal kerja dia tidak pernahmain-main.

Dia sudah melakonkan pelbagai watak. Kebanyakannya watak putih yang menarik simpati penonton. Cuma kehidupannya yang sebenar amat bertentangan sekali.

Aku bukan watak yang baik dalam hidupku sendiri, bisik hati Laura Jane tiba-tiba.Aku adalah watak seorang ibu yang kejam, yang meninggalkan anaknya dengan ibu mentua. Aku juga bukan menantu yang baik tapi emakAbang Said memang teruk.Tidak layak dihormati! getus Laura Jane sendiri.

Tanpa dapat dihalang otaknya terus mengingati kenangan silam yang mahu dilupakan. Dan hatinya tanpa simpati berkata-katalagi. Kau ni sebenarnya memiliki watak yang buruk Laura Jane! Jangan hanya pandai mengata orang lain walaupun kau seorang wanita yang berwajah cantik. Kau ni macam kelawar! Di waktu malam yang gelap gelita,diam-diam kau menghisap darah orang tanpa orang itu menyedarinya.

Tidak! bisik Laura Jane cuba menafikan cetusan hatinya sendiri. Aku bukan begitu! Itu bukan diriku yang sebenarnya.

Dia menggigit bibirnya sendiri sambil menggeleng- geleng.Dia tidak ingin mengingati kejadian itu.Tetapi dia tetap teringat jua.Tercuit sedikit rasa bersalah dalam hatinya.

Tak mungkin aku dapat menebus semua kesalahanku pada Baby, bisik Laura Jane sendiri.

Dia memandang ke arah jalanraya.Terlihat sebuah kereta berhenti di hadapan pagar. Kak Ecah segera keluar, tergesa- gesa membuka pintu. Dia kenal siapa yang datang. Kereta itu milik Ben. Cepat-cepat dia membuka almari, mencari baju yang paling cantik bagi menyambut kedatangan Ben, pengurus merangkap buah hatinya.

“HAI sayang!” tegur Ben sambil melipat akhbar yang dibacanya tadi sementara menunggu Laura Jane turun ke ruang tamu.

“Hai!” balas Laura Jane sambil menapak turun. Kaftan daripada kain sifon berwarna merah terang itu berkibar- kibar ketika dia bergerak. Di bahagian pinggang dihiasi dengan berlian tiruan. Nampak cantik mengerdip. Memakai apa sahaja Laura Jane nampak cantik. Ditambah kulit yang putih bersih dan gebu. Kecantikannya mengalahkan sang ratu dunia.

“Nak keluar tak?” tanya Ben. Laura Jane menggeleng. “Panas.”

“Ala, duduk dalam kereta, bukannya jalan kaki. Kita pergi shoppingkat Berjaya Times Square. I belikan baju,” kata Ben memujuk sambil terus memandang Laura Jane.

“Malaslah. I nak duduk rumah hari ni.” “Kenapa? Macam tak ada moodaje.”

Ben sentiasa dapat membaca setiap tingkah laku Laura Jane. Sudah beberapa tahun dia mendampingi wanita itu. Namun hanya baru-baru ini sahaja Laura Jane setuju untuk mengumumkan perhubungan cinta mereka kepada masyarakat.

“Tu lah, pagi-pagi lagi I dapat surat layang,” adu Laura Jane sambil duduk di hadapan Ben.

“Argh! Pedulikanlah surat layang tu! Tak jejaskan you pun.Tu kerja budak-budak!”

“Tapi...”

“Sudahlah! Jom kita keluar. Duduk kat rumah nanti you fikir yang bukan-bukan. Dua hari lagi kita akan bertolak ke luar negara.Tentu seronok, kan?”

Ben sudah bangun.

Dia menarik tangan Laura Jane supaya mengikutnya keluar.

Laura Jane mengikut sahaja.Segala kata-kata Ben memang tepat dan benar.Sekiranya dia terus duduk di rumah dia akan dihantui kisah-kisah masa lalu. Lantaran itu dia lebih suka menyibukkan diri. Jika masa sentiasa penuh dengan berlakon, fikirannya tidak akan belayar jauh mengingati sejarah hidup yang tragis.

Ben membawa Laura Jane ke Berjaya Times Square. Mereka berjalan-jalan, shoppingdan makan. Tanpa disedari, setiap langkah mereka diekori seseorang. Sejak tadi lelaki itu tidak melepaskan pandangan matanya memerhati Laura Jane dan Ben. Kameranya sentiasa memfokus pasangan itu. Setiap gerak, setiap tingkah laku mereka diintip. Dia senang dengan tugas mengintip Laura Jane. Bayarannya lumayan.


“DAHcukup semua keperluan?” tanya Mak Timah kerisauan.

Bimbang cucunya yang akan berangkat ke kampus hari ini ketinggalan sesuatu yang penting.

“Dah nek, jangan bimbang,” jawab Hawa Fatihah sambil tersengih.

“Ni duit untuk yuran pendaftaran dan duit belanja. Simpan elok-elok duit tu.”

“Insya-ALLAH nek,” jawab Hawa Fatihah sambil membuka sampul surat yang baru diserahkan oleh Mak Timah. Dia mengira wang di dalam sampul surat itu. Ada lebih kurang RM3000.

“Banyaknya nek duit ni!”

“Tak banyak mana duit tu, Hawa,” jawab Mak Timah. Dia sudah melihat surat berkaitan yuran dan segala

keperluan yang mustahak dilunaskan.Setelah ditolak sana sini, paling banyak pun bakinya lebih RM500.00 sahaja. Cukuplah untuk Hawa Fatihah menampung belanja harian, makan minum dan duit minyak kereta Kancil yang dihadiahkan Puan Anom dan Encik Anuar.

MakTimah memeluk Hawa Fatihah erat sebelum mereka berpisah. Mak Timah menghantar pemergian Hawa Fatihah dengan hati yang lapang. Dia yakin Hawa Fatihah pandai menjaga diri. Semoga dia dilindungi ALLAH, begitulah doa Mak Timah kala melihat kereta kancil Hawa Fatihah beredar meninggalkan kawasan rumah Encik Anuar.

Selamat jalan cu! Semoga kita berjumpa lagi, bisik Mak Timah, lirih.

Hatinya terasa pedih.Tidak pernah dia berpisah dengan Hawa Fatihah. Sejak masih merah dia dibelai dan didakap setiap saat. Namun dia terpaksa jua melepaskan cucu kesayangan untuk menimba ilmu pengetahuan.

Mencari ilmu yang bermanfaat itu dituntut oleh agama. Mengingati ungkapan itu, hati Mak Timah jadi tenang semula. Dia yakin Hawa Fatihah akan kembali dengan kejayaan.

“SHOOTINGkat mana?” tanya Laura Jane seperti tidak percaya.

“Kat Temerloh. Kita akan buat shootkat Kampung Teluk Mengkuang.”

“KampungTeluk Mengkuang?Temerloh? I ingatkan babak kat kampung tu nak buat kat Sabak Bernam aje. Kan lebih dekat? Hari tu kata penggambaran area KL dan Selangor aje.”

“Kampung tu ada sungai dan paya. Ada hutan kecil. Tu yang kita nak. I ada suruh kawan I pergi tinjau kampung tu, katanya cantik. Tepi sungai dan berteluk-teluk. Lagipun bolehlah kita makan ikan sungai nanti,” kata Abang Mokhtar, sebagai pengarah filem berkenaan.

Laura Jane merengus, wajahnya kelat.

“You tentu tak pernah makan ikan sungai, kan? You tahu tak ikan kelah dan ikan patin sedap gila. Patin muncung paling mahal. Sekilo dua ratus lebih! Huh, ikan patin masak tempoyak, sedap gila! Mentua lalu pun tak nampak.”

Laura Jane diam sahaja. Masakan dia tidak pernah makan ikan sungai semasa tinggal di rumah mak mentuanya dahulu. Nak termuntah dia makan ikan sungai yang kebanyakannya mempunyaitulang-tulang yang berselirat.Pun tidak dinafikan dia belum pernah makan ikan patin ataupun kelah. Langsung tidak ada keinginan hendak mencuba pun!

Laura Jane mengeluh berat. Mengapa mesti dia kembali ke kampung itu semula? Kenapa? Hatinya bergalau resah. Malam itu tidurnya jadi kurang lena. Esok mereka akan bertolak ke Temerloh. Laura Jane berkeluh-kesah di atas katilnya setelah terjaga pada awal dinihari. Susah untuk dia melelapkan mata semula. Namun dia terlelap jua kala jam hampir pukul 5.00 pagi.

Laura Jane memandang jalan tanah merah yang baru dilalui. Jalan yang baru ditinggalkannya gelap gelita. Jalan di hadapannya yang tadi terang kini bertukar gelap.Dia bingung. Lampu picit tiada di tangan. Entah ke mana lampu picit yang tadi digenggam erat yang menjadi panduan sehingga dia boleh berjalan sejauh itu.

Dia ingin menjerit meminta tolong tetapi suaranya tidak dapat diluah. Dia memerhati sekeliling, mengharap pertolongan. Tiba-tiba sebuah kereta datang, menuju ke arahnya dengan laju.Dia menggapai tangan,memohon kereta itu supaya berhenti. Namun kereta itu enggan berhenti, malah dia terus laju. Laura Jane tergamam.

“Berhenti! Hantar aku balik kampung!” jerit Laura Jane dengan sekuat tenaga.

Dia tidak mahu terus berada dalam kegelapan itu. Dia mahu balik ke kampung yang sudah lama dia tinggalkan. Entah dari mana datangnya kekuatan, tangannya berjaya membuat kereta itu ke tepi lalu berhenti. Dia melihat kereta itu tersadai di tepi jalan. Pemandu kereta itu keluar dari kereta, rasa marah yang amat sangat pada Laura Jane.

“Jahanam! Perempuan tak guna! Kau tak boleh balik ke kampung tu! Aku tak benarkan. Kalau kau balik, kau mati!” marah lelaki itu.

Dia mampir, ingin mencekik Laura Jane dengan tangannya. Kedua belah tangannya mencengkam leher Laura Jane sehingga dia sesak nafas.

“Tolong! Lepaskan aku!” jerit Laura Jane dengan susah payah.

“Tolonggg!”

Laura Jane berasa bahunya disentuh lembut diikuti dengan seseorang menyeru namanya.

“Cik Laura! Cik Laura!”

Laura Jane membuka matanya. Nafasnya masih sesak seperti orang lelah. Dia memandang raut wajah Kak Ecah, yang berdiri di tepi katilnya.

“Pukul berapa ni?” tanya Laura Jane setelah menyedari dia hanyalah bermimpi biarpun suasana dalam biliknya sudah cerah benar.

“Pukul 9.00 Cik Laura. Encik Ben dah tunggu kat bawah tu. Katanya Cik Laura ada shootingdi Temerloh.”

“Oh ya!”

Laura Jane kelam-kabut menolak selimutnya ke tepi. Dia bergegas ke bilik mandi. Sepuluh minit kemudian dia

sudah turun ke bawah tanpa sempat mengenakan solekan. Dia akan bersolek dalam kereta nanti.Dia tidak boleh lambat. Seharusnya mereka bertolak secara konvoi ke Temerloh pada pagi ini.

Aduh! Malam tadi dia tidak dapat tidur. Laura Jane tertidur lewat jam 5.00 dan hanyut. Kepalanya tiba-tibarasa sakit berdenyut-denyut seperti hendak pecah. Namun digagahkannya juga masuk ke kereta dengan Ben.

PIHAK produksi menyewa sebuah rumah banglo dua tingkat yang menghadap ke Sungai Pahang. Rumah banglo itu sebenarnya hanya dihuni oleh sepasang suami isteri. Kedatangan rombonganorang-orang seni dari Kuala Lumpur itu disambut mesra oleh tuan rumah, yang memperkenalkan dirinya sebagai Pak Ngah Bujang dan Mak Ngah Milah.

“Pak Ngah ni nama aje Bujang tapi dah beristeri dan beranak pinak,” kata Pak Ngah Bujang cuba berlawak di hadapan Abang Mokhtar.

Abang Mokhtar tersengih mendengar kata-kata Pak Ngah Bujang.

“Jemputlah masuk semua. Bilik banyak kat rumah ni. Di tingkat atas ada enam bilik tidur, kat bawah ada tiga.Anak-anak lapan orang tapi semua dah berkeluarga, duduk merantau jauh,” cerita Pak Ngah Bujang dengan ramah.

“Berapa orang semuanya?” tanya Pak Ngah Bujang memerhati anak-anak buah Abang Mokhtar.

Lebih ramai lelaki daripada perempuan. Dia sempat membuang pandang ke arah seorang wanita muda yang amat cantik.Tentulah dia salah seorang dari pelakon. Duduk pun ada gaya, bisik Pak Ngah Bujang.

Selain daripada pelakon wanita cantik itu, ada tiga orang lagi perempuan yang berpakaian ringkas sahaja. Seluar jeansdan t-shirt.

“Ada lebih kurang 20 orang.Tapi kalau tak muat boleh kongsi-kongsilah,” kata Abang Mokhtar.

“Tak jadi masalah, satu bilik dua atau tiga orang. Bilik besar,” balas Pak Ngah Bujang.

“I tak nak kongsi bilik dengan sesiapa!” sampuk perempuan cantik yang duduk tegak dengan gaya sedikit sombong. Pak Ngah Bujang merenung sejenak ke arahnya, tapi dia tidak berkata apa-apa.

“Okey.You duduk satu bilik seorang, Laura.Youspecial,” kata Abang Mokhtar sambil tersenyum dan membetulkan topinya.

“Jangan nak perli I lah Abang Mok!”Tiba-tiba Laura Jane naik angin.

Wajahnya merah padam. Dia terus bangun.

“Eh, apa pulak perli? You memang special, heroinfilem

ni.”

“Kalau specialI sepatutnya duduk hotel! Jefrey Long tinggal kat hotel, kenapa I mesti duduk sini?” soal Laura Jane bagaikan geram terpaksa duduk di rumah kampung. Walaupun rumah itu besar dan selesa tapi dia lebih suka menginap di hotel.

Abang Mokhtar diam, tidak mahu berbalah dengan Laura Jane.

“Kat mana bilik I?” tanya Laura Jane,memandang ke arah Pak Ngah Bujang sambil mengerdipkan matanya yang indah. Bibirnya yang seksi, merah basah terbuka sedikit, menanti jawapan Pak Ngah Bujang.

Terkedu Pak Ngah Bujang sejenak.Terlalu cantik makhluk TUHAN itu yang berdiri di hadapannya itu walaupun sikapnya tegas dan sedikit sinis.

Pak Ngah Bujang segera memanggil isterinya Mak Ngah Milah di dapur yang sibuk menyediakan minuman.

“Tunjukkan bilik untuk perempuan lawa tu,” bisik Pak Ngah Bujang pada isterinya.

“Beri dia bilik Ani. Bilik tu besar, kemas. Menghadap ke sungai.”

Mak Ngah Milah mengangguk tergocoh-gocohmenghala ke tangga kayu menuju ke tingkat atas.

“Marilah cik, mak ngah tunjukkan biliknya,” ajak Mak Ngah Milah dengan sopan.

Laura Jane mengikut Mak Ngah Milah naik ke tingkat atas. Kemudian meninggalkan wanita itu setelah pintu bilik tidur anak perempuannya itu dibuka. Laura Jane masuk, memerhati sekeliling ruang bilik yang kemas dan bersih itu. Dia tersenyum sendiri. Bilik itu tidak mengecewakan walaupun bukan semewah hotel.Namun perabut di dalamnya lengkap. Katil besar dan cadarnya cantik dan bersih.

Dia terus merebahkan badannya sebentar. Dia ingin berehat sebelumAbang Mokhtar memulakan penggambaran. Abang Mokhtar tidak suka membuang masa.Masa adalah duit. Abang Mokhtar memberi masa sejam untuk para krewnya berehat. Kemudian mereka akan memulakan penggambaran di tempat yang sudah dipilih. Di pinggir hutan kecil hujung kampung.

Lebih kurang pukul 2.00 petang mereka bertolak ke lokasi itu. Ketika itu Laura Jane sedar mereka sebenarnya sedang menuju jalan menghala ke rumah mak mentuanya. Dada Laura Jane berdebar-debar kala kereta Ben melintasi hadapan rumah Mak Timah. Dia mendapati halaman rumah itu dikelilingi semak-samun. Rumah Mak Timah hampir- hampir roboh. Dadanya berasa ikut roboh dan berkecai. Debarannya memuncak. Ke manakah mak mentuanya itu pergi? Ke mana pula Baby? Mana?

Matanya terbelalak, bibirnya kering dan suaranya tersekat di kerongkong.

“Laura, you okey ke sayang?” tanya Ben gusar. “Err...I okey.”

Ben menghulur tangannya lalu menggenggam tangan Laura Jane yang terletak di atas riba.

“Tapi muka you pucat aje. Tangan you pulak sejuk.You tak sihat ke?”

“Taklah! I okey,” tegas suara Laura Jane,sambil merentap tangannya dari genggaman Ben.

Tiba di lokasi, peralatan mulai dikeluarkan dari van. Beberapa lokasi sudah dikenal pasti. Di pinggir hutan itu terdapat anak sungai yang mengalir jernih dan nyaman. Suasana rimba menghijau, teduh dan dingin. Kebanyakan krew yang datang dari ibu kota teruja dengan suasana hutan itu.

Sebelum penggambaran bermula. Laura Jane membaca sekali imbas sceneyang bakal dirakam. Dalam sceneitu dia tidak perlukan solekan. Dia tampil dengan wajah semula jadi. Dia harus beraksi lasak, pakaian kotor dan wajah berpeluh dan comot.

Filem itu mengisahkan tentang seorang wanita muda yang dituduh membunuh dan disumbatkan ke dalam penjara.

Dia membunuh kerana dendam kesumat setelah dirogol beberapa kali oleh seorang lelaki. Semasa dalam penjara dia mengandung dan melahirkan anak perogolnya itu. Anak itu diambil oleh ibu saudaranya untuk dipelihara.

Beberapa tahun di dalam penjara, dia dapat melarikan diri apabila penjara itu terbakar.

Sceneitu memerlukan Laura Jane meredah hutan, selepas melarikan diri dari penjara dan mencari jalan keluar. Dia jatuh dan bangun. Berlari dan melompat. Merentasi anak sungai dan memanjat tebing.

Menjalani sceneitu, Laura Jane cukup penat. Biarpun masa tayangan hanya 10 minit tetapi penggambaran memakan masa yang panjang.

Sceneseterusnya, dia terserempak dengan hero filem itu yang dilakonkan oleh aktor kacak dan berkarisma Jeffrey Long. Jeffrey sedang campingsendirian di pinggir anak sungai. Jeffrey Long terperanjat melihat kehadiran Laura Jane. Dia menghalakan senapangnya pada Laura Jane.

“Siapa kau?” tanya Jeffrey Long.

“Tolong!Tolong aku! Aku takut!” kata Laura Jane dengan suara menggeletar.

Seluruh pakaiannya basah selepas mengharung anak sungai. Rambutnya juga kelihatan basah kuyup dan wajahnya comot lagi kusam.

“Siapa kau ha? Dari mana kau datang?” tengking Jeffrey Long dengan lebih kuat.Dia menghala muncung senapangnya ke wajah Laura Jane.

“Tolong! Aku...aku mesti pergi jumpa orang tua tu! Aku nak tahu kat mana Baby!”

Jefrey Long mengerut kening apabila melihat Laura Jane tiba-tiba merebahkan badannya ke atas tanah.

“Cut! Cut!” jerit Abang Mokhtar dengan menggunakanspeaker.

Laura Jane tergamam.Dia terlupa dialog yang sepatutnya.

Entah bagaimana dia boleh tersilap. Itukan Baby! Gila! Gerutu Laura Jane sambil berpusing-pusing tidak menentu sambil memegang kepala. Dialog sepatutnya adalah:Tolong! Tunjukkan aku jalan keluar dari hutan ni!

“Apa you merepek ni Laura?”

Laura Jane terdiam, menggigit bibir kemudian mengangkat tangannya.

SorryAbang Mok! Sorry!I terlalu penat sampai lupa dialog tu!”

“Break!”kata Abang Mokhtar sambil menggeleng. Laura Jane duduk di kerusi. Dia mencapai air

mineral lalu meneguknya. Kemudian mencapai skrip dan membaca barisan dialog yang betul. Beberapa kali dia mengulangi membaca dialog itu. Miss Kay segera menolong mengeringkan rambut Laura Jane.Begitu juga dengan seluar dan bajunya.

Penggambaran diulang semula. Dia berlari menuruni tebing, merentas anak sungai dan memanjat tebing dan terus menghala ke arah kawasan perkhemahan Jeffrey Long. Mujur selepas itu, Laura Jane tidak tersilap dialog lagi.

Penggambaran berlarutan hingga lewat malam. Scenesepatutnya berakhir dengan Jeffrey Long dan Laura Jane saling duduk menghadapi unggun api dan berkongsi makanan. Jeffrey Long mendesak Laura Jane bercerita kejadian sebenar dan dia melarikan daripada apa dan siapa. Tapi semua orang sudah penat. Sceneseterusnya bersambung keesokan hari.

Lebih kurang pukul sebelas malam semua krew dan pelakon pulang ke rumah Pak Ngah Bujang. Pasangan suami isteri itu sudah pun tidur.Abang Mokhtar diberi kunci untuk keluar masuk dengan mudah.Tak perlulah dia menyusahkan pasangan suami isteri yang telah berumur itu.


LAURAJane kepenatan tetapi dia tidak boleh tidur. Udara kampung itu begitu dingin sekali ditambah dengan kipas yang berputar ligat di siling. Dia berbaring dengan lampu terpasang terang, matanya memandang siling.

Suasana dalam rumah itu sepi.Semua orang sudah tidur. Laura Jane mengeluh sendiri sambil meletakkan tangannya di atas dahi.

“Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku risau memikirkan nasib Baby? Sampai tersasul sama shootingtadi.” Dia bercakap seorang diri, seolah-olah ada orang lain di sisinya.

Dulu aku tak macam ni. Tak pernah fikir apa yang terjadi pada Baby.Tapi sekarang ni aku betul-betul nak tahu apa yang berlaku. Ke mana anak aku dibawa orang tua tu? Mungkin dia dah mati? Dia beri Baby pada orang lain? Soal hati Laura Jane sendirian.

Laura Jane mengeluh. Pemikiran yang muncul dalam kepalanya benar-benar membuatkan dia bertambah risau. Macam mana kalau aku tanya dengan Pak Ngah Bujang! Mesti dia tahu! Mesti! Kan dia orang tinggal sekampung. Tapi...tapi takkan aku nak mengaku Baby tu anak aku dan Mak Timah tu mak mentua aku! Terbongkarlah segala rahsia. Selama ni tak ada orang tahu aku pernah berkahwin, ada anak pulak. Dah besar panjang. Hanya pada Khairil aku pernah cerita suami aku dah meninggal dan aku ada anak yang ditinggalkan di kampung ni.

Laura Jane bangun,duduk di tepi katil sambil menongkat dagu.Tidak lama kemudian dia berdiri dan berjalan mundar- mandir.Berhenti berjalan,berfikir dan berjalan lagi mundar- mandir.

“Aku akan cuba risik dengan Mak Ngah Milah. Mesti! Aku mesti risik dulu baik-baik.”

Laura Jane memetik jari.

“Lebih mudah kalau tanya Mak Ngah Milah. Pak Ngah Bujang tu lelaki mana dia pernah ambil pusing hal orang.”

Dia tersenyum sendiri. Lalu bergerak semula ke katil dan menghempaskan badannya ke atas tilam. Suis lampu dipadamkan. Dia berharap dapat tidur lena setelah mendapat idea untuk mendapatkan berita tentang anaknya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.