Home Novel Cinta Sebenarnya Dia Milik Aku
Sebenarnya Dia Milik Aku
4/7/2013 11:04:07
84,455
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Bab 1

NUR LAILAmerenung wajah bayi comel yang baru berusia seminggu. Bayi kecil itu belum dianugerahkan nama. Dia hanya memanggilnya ‘Baby’. Bila emak mentuanya Mak Timah bertanya mengenai nama bayi

itu, Nur Laila hanya menggeleng. Dia menyerahkan urusan memberi nama bayi itu kepada emak mentuanya.

“Ikut suka hati maklah, saya tak kisah,” kata Nur Laila dengan nada hambar.

Mak Timah juga bingung. Dia tidak tahu nama apa yang harus diberikan kepada cucu barunya. Puas dia memikirkan nama yang sesuai. Lalu dia mengambil keputusan untuk memberikan nama ibunya sendiri, iaitu Hawa. Apakah Nur Laila akan setuju dengan nama itu?

Tapi nama Hawa pendek sangat pulak, fikir Mak Timah. Nantilah aku fikir lagi nama apa yang sesuai, begitulah kata hati Mak Timah.

Nur Laila pula selalu berasa resah gelisah. Tidak tahu kenapa? Hanya tunggu tubuhnya sihat, barulah dia boleh berfikir secara matang.

Setiap hari Mak Timah memberikan dia minum pelbagai akar kayu yang begitu pahit. Terpaksalah dia menelannya meskipun tekaknya terasa seperti hendak termuntah setiap kali minum jamu dan ubat.

Sebenarnya, dalam kepala Nur Laila sudah merancang pelbagai perkara. Namun satu pun rancangannya itu tidak diluahkan pada emak mentuanya. Awal-awal lagi dia sudah menanam hasrat, sebaik sahaja pulih, dia akan meninggal Baby.

Pagi itu, sambil memangku Baby dalam pangkuan, diabercakap-cakap dengan anaknya itu.

“Baby...Baby jangan menangis, sebab ibu akan tinggalkan Baby. Secepat mungkin, ibu mesti cari kerja. Ayah kau dah meninggal sebelum kau lahir. Jadi tak ada gunanya ibu tinggal kat sini lagi.Tiada apa yang ibu harus tunggu. Baby tinggallah dengan nenek.”

Nur Laila memerhati wajah Baby puas-puas. Dia sudah membuat keputusan. Hari ini hari terakhir dia berada di rumah Mak Timah. Saat-saat akhir dia memangku dan memeluk anaknya itu. Dia tidak sanggup tinggal di sini lagi. Mak Timah pernah membayangkan padanya, sebaik sahaja sihat kelak, dia mahu Nur Laila menolongnya menoreh getah.

Nur Laila tidak pernah bermimpi turun menyembah pokok getah tua yang susunya tidak seberapa. Dia tidak pernah bermimpi untuk tinggal lebih lama di rumah itu.Sebaik sahaja kandungannya lahir, dia akan pergi. Pergi seorang diri. Dia sudah merancang hendak ke Kuala Lumpur.

Sebelum berkahwin dengan anak lelaki tunggal Mak Timah iaitu Said, dia berkawan dengan seorang anak muda dari Kuala Lumpur. Dia masih menyimpan nombor telefon jejaka itu. Semalam dia cuba menghubungi Khairil menggunakan telefon awam di tepi jalan kampung. Dia berjaya menghubungi Khairil. Dan Khairil berjanji akan menolongnya.

Nur Laila memerhati bayinya yang baru diletakkan  di atas tilam. Wajah Baby memang comel, banyak menyalin wajahnya sendiri. Amat sedikit sekali menyerupai Said.Seolah-olah anak itu bukan anak Said. Tiba-tiba dadanya menjadi sebak. Naluri keibuan muncul tanpa diundang. Air matanya berderai.

Tidak! Aku tak boleh lemah begini! bisik hati Nur Laila. Dia tidak mahu lebih lama berada di samping Baby. Dia bimbang dan takut hari demi hari dia akan sayangkan Baby dan tidak sanggup meninggalkannya. Dia tidak boleh lemah

dan lembut hati begini.

Tinggallah Baby, bisiknya. Bukan ibu tidak sayang, cuma ibu tidak sanggup hidup susah.

Air hangat lebat bertamu di wajah indah Nur Laila. Dia membiarkan sahaja air matanya jatuh menimpa dada.

Di sini tiada apa-apa yang boleh aku sandarkan harapan.Satu-satunya lelaki yang dicintai sudahpun pergi tak kembali. Aku harus pergi.Aku harus mencari masa depanku,memburu kesenangan dunia selagi usia masih muda.

Nur Laila memandang jauh. Dia tidak sabar untuk mengorak langkah. Dia akan pergi malam ini juga. Dia sudah nekad.

MAKTimah berasa resah, tidurnya tidak begitu lelap. Dia terjaga bagaikan dikejutkan oleh seseorang. Tubuhnya tersentap. Dia bermimpi hujung jarinya dihiris pisau. Pedih. Matanya terbuka luas menentang kegelapan malam. Dia memasang telinga. Sunyi mencengkam.

Dia bingkas bangun kala terdengar suara tangisan halus cucunya. Anak itu pasti kelaparan. Dia bergerak pantas menuju ke bilik Nur Laila. Pintu ditolak perlahan, lampu dipasang. Dia memerhati ke arah katil. Hanya bayi Nur Laila yang terbaring sendiri di situ, sedangkan wanita muda itu tidak kelihatan.


“Laila!” serunya dengan agak kuat. “Laila!” serunya lagi. Namun tiada sahutan.

Ke mana pulak Laila? Dahi MakTimah berkerut. Matanya memandang jam di dinding.Tepat pukul 12.00 tengah malam. Si kecil merengek kelaparan. Mak Timah segera membancuh susu. Dipangku cucunya sambil menyuakan puting susu ke bibir yang kehausan.

Ke mana Laila pergi? Soalnya sendiri sambil memerhatikan bantal yang kelihatan tidak berusik. Selimut juga masih berlipat kemas di hujung katil. Dahi Mak Timah terus berkerut, dipagut bimbang. Pelbagai kemungkinan muncul dalam kepalanya.

Jatuh di bilik air ke? Bisik hatinya tidak keruan. Mak Timah bergegas ke bilik air.Tiada jejak Nur Laila di situ. Dia kembali ke dalam bilik, terburu-buru membuka almari baju. Kosong. Pakaian Nur Laila tiada walaupun sehelai di dalam almari itu. Beg pakaian di atas almari juga tidak ada. Memang sah itu tiada!

Hampas betul! Dia dah lari rupanya, rungut Mak Timah. Tapi kenapa? Kenapa dia harus lari malam-malam buta begini? Lari senyap-senyap tanpa pengetahuan aku? Mak

Timah rasa kesal yang amat sangat.

Dia terduduk di hadapan pintu almari yang ternganga luas. Ingatannya kembali berputar pada peristiwa selepas Isyak tadi. Dia mengajak Nur Laila makan malam, tetapi wanita muda itu menolak.

“Laila masih kenyang,” jawab Nur Laila sambil merapatkan pintu bilik dan menguncinya dari dalam.

Bayinya ditinggalkan di luar bilik supaya MakTimah dapat melayaninya. Entah pukul berapa pula bayi itu dibawanya masuk lalu diletakkan di atas katil.

Rupa-rupanya dia sedang berkemas, nak lari! Gerutu MakTimah sambil matanya memandang ke arah katil. Si kecil sudah tidur dengan nyenyak semula selepas menghabiskan sebotol susu. Apa aku nak buat dengan budak yang masih kecil ni? Emaknya dah lari.

Mak Timah kalut memikirkan nasib cucunya. Kalau aku pergi menoreh, siapa nak jaga? Mak Timah memegang kepalanya yang jadi pening secara tiba-tiba.

Digagahinya bangun menuju ke katil. Cucunya yang masih kecil itu dikendung masuk ke dalam bilik tidurnya sendiri.Dia berbaring di sebelah cucunya itu sambil berfikir- fikir dalam apa yang harus dilakukan. Dia terpaksa mencari rezeki.Tapi siapakah yang akan menjaga cucunya semasa dia pergi menoreh? Hendak mengupah orang menjaga dia tidak mampu. Benar-benar tidak mampu.

Tiba-tiba dia bangkit menghala ke almari. Dia menarik laci tunggal yang ada di dalam almari itu. Dari dalam laci dikeluarkannya sebuah kotak kayu berukir. Di dalam kotak itu tersimpan barang-barang kemas miliknya. Dia membuka kotak kayu itu.

Matanya terbeliak sebaik-baik sahaja matanya tertancap ke dalam kotak beralas kain baldu itu. Dua utas rantai besar berbentuk seperti tali belati dan gelang berbentuk donat hilang. Hanya tinggal seutas rantai kecil dan beberapa urat rantai tangan. Tiga bentuk cincin permata masih ada. Mak Timah terus terduduk sekali lagi.

Dia yakin siapakah pencuri yang telah menceroboh biliknya itu.Tidak lain dan tidak bukan pastilah menantunya yang telah melarikan diri itu. Beberapa titis air mata Mak Timah mengalir lesu. Rasa marah dan geram bercampur baur, menerbit kesedihan pula sudahnya.

“Jahatnya kau Laila. Sampai hati kau curi rantai dan gelang pusaka mak aku!”

Mak Timah teresak-esak sendiri. Tubuhnya terasa longlai.


SEORANGwanita muda tercegat sendiri di hadapan perhentian bas yang sepi. Angin galak mengusik rambutnya yang lepas bebas melepasi bahu. Sesekali blaus putih berlengan pendek dipadankan seluar palazo hitam itu turut dibelai angin. Dia memeluk tubuhnya sendiri, kedinginan.

Suasana agak terang, cahaya datang dari lampu jalan tidak jauh dari situ. Sudah hampir sejam dia berdiri di situ, wajahnya dibayangi keresahan yang jelas. Berkali-kali dia merengus geram sambil mengetap bibir. Matanya tidak lepas memandang jalan raya yang lengang. Hanya sesekali kereta melintasi kawasan itu.

Di atas tempat duduk batu di bawah pondok menunggu bas itu,terdapat sebuah beg pakaian sederhana besar.Setelah penat berdiri dan berjalan mundar-mandir, dia melabuhkan punggung di sebelah beg pakaiannya itu. Beg pakaian itu didakapnya erat bagaikan mendakap seorang kekasih.Angin terasa makin dingin mencengkam tubuh. Dia membuka zip beg pakaian lalu pantas mengeluarkan sehelai baju sejuk. Badannya rasa sedikit hangat kala baju daripada benang bulu biri-biri itu mendakap tubuh.

“Cepatlah sikit datang! Macam nak gila aku duduksorang-sorang kat sini!” Nur Laila bercakap sendiri.

Matanya ke belakang, tiba-tiba terasa meremang tengkuknya. Kawasan itu agak semak, jauh dari kampung. Untuk sampai ke jalan besar itu tadi,dia berjalan kaki seorang diri, bertemankan lampu suluh. Jauh juga dia berjalan lebih kurang 45 minit. Ada waktu-waktunya dia berlari kerana terlalu takut.

Dadanya terasa sakit. Dia tidak seharusnya beraksi lasak begini, dia baru sahaja bersalin. Namun sesekali hatinya rasa kecut bersendirian kala jam sudah hampir pukul 11.00 malam. Keinginannya terlalu kuat mengasak diri, supaya lari dari kampung itu. Lari dari kesengsaraan yang membelit diri. Dan dia percaya di hujung jalan yang gelap itu ada cahaya yang terang.

Dia mengerling jam tangan di pergelangan tangan kiri. Lagi 15 minit lagi, jam akan menunjukkan ke angka 12.00 tengah malam.

“Jangan-jangan Khairil ni tipu aku,” rungutnya sendiri. Sanggupkah dia balik semula ke rumah Mak Timah?

Apakah dia akan berpatah semula ke belakang sekiranya Khairil tidak jadi datang mengambilnya di situ?

Tidak! Dia tidak sanggup. Sekiranya Khairil tidak jadi datang, dia akan tetap pergi dari kampung itu. Dia akan menahan kereta orang ataupun lori balak atau...apa-apa sajalah! Asalkan dia dapat pergi sejauh mungkin dari situ. Dia tidak sanggup berpatah semula ke belakang. Dia teringat dalam beg tangan yang sedang dikepit erat, mengeram beberapa utas rantai dan gelang milik Mak Timah.

Dia memilih gelang tangan dan rantai besar milik emak mentuanya itu. Tanpa rasa bersalah, tanpa rasa kasihan. Dia lebih kasihan pada dirinya sendiri! Dia tidak mahu kelaparan dan dilanda kesusahan. Dia memerlukan duit untuk menyara hidup. Sempat juga dia mencuri wang milik Mak Timah walaupun tidak banyak. Hanya dapat beberapa ratus sahaja.

Kalaulah Mak Timah tahu dia telah mencuri duit dan harta milik wanita itu, dia tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku! Dia tidak akan pulang untuk menyerahkan tengkuknya agar dicekik-cekik oleh Mak Timah semahu hati.

Silap-silap emak mentuanya itu menelefon pihak berkuasa dan dia disumbatkan ke dalam lokap. Semasa dia bekerja di Snuker Lucky dahulu, dia memang kerap songlap duit taukenya itu.Tetapi Lucky langsung tidak tahu! Dia tidak pernah tertangkap.

Sekarang dia tidak akan merelakan dirinya ditangkap pula. Sebesar mana pun jenayah yang dilakukannya, dia tidak ingin dihukum. Mereka yang terhukum kerana jenayah- jenayah kecil adalah mereka yang bernasib malang.

Bunyi hon kereta mengejutkannya. Dia terus tersentap dan memandang ke arah jalan raya. Sebuah kereta wira berwarna biru gelap berhenti di hadapan pondok menunggu bas itu. Nur Laila memandang ke dalam kereta,serta-merta terlihat seraut wajah yang dikenalinya. Nur Laila bingkas menggapai beg pakaian dan menuju ke arah kereta itu. Khairil sudah datang. Hati Nur Laila melonjak, riang tidak terkata. Lebar senyumannya memandang Khairil. Khairil juga tersengih panjang.

Nur Laila masuk ke kereta setelah meletakkan beg pakaian di kusyen belakang.

“Kenapa lambat sangat?” tanya Nur Laila tidak sabar. “KL dengan kampung ni jauh jugak. Dua jam lebih

perjalanan.Tu pun I ikut highwaypecut sampai 120km/jam,” jawab lelaki yang memandu kereta Wira biru itu sambil tersengih.

“Yalah tu! Sampai naik kecut kaki tangan I tunggu you. Sejuk tau kat luar tu. Mujur malam ni cuaca baik.”

Khairil hanya tersengih. Kereta terus meluncur laju. Nur Laila menjeling Khairil. Jika tidak dalam keadaan

terdesak begini, mustahil dia mahu menghubungi lelaki itu! Sumpah, dia tak ingin. Dia hanya mahu memperalatkan Khairil sahaja untuk melarikan diri. Dia perlukan tempat untuk bertapak. Dia berharap Khairil akan menolongnya. Masih diingatnya Khairil pernah bercerita dia banyakcontact,kenal dengan ramai orang-orang besar.

Dia kenal juga orang filem dan ahli politik. Bapanya sendiri turut terlibat dalam dunia politik dan perniagaan. Khairil mendakwa keluarganya orang berada. Dia sendiri tidak bekerja, hanya menghabiskan duit ibu bapanya sahaja. Dia maklum, Khairil suka padanya. Berkali-kaliKhairil menyatakan perasaannya pada Nur Laila namun perasaan itu tidak pernah berbalas.

Kadang-kadang Nur Laila merasakan kecantikan tubuh badan dan wajahnya satu sumpahan. Lelaki amat mudah tergoda walaupun dia tidak pernah melayani merekaberlebih-lebihan. Malah mulutnya selalu melontar kata-katayang pedas pada mereka. Namun dirinya tetap dipuja.

Hampir jam 2.00 pagi mereka tiba di Kuala Lumpur. Nur Laila tertidur di sisi Khairil yang tekun memandu. Khairil mengejutkannya semasa mereka sudah tiba di hadapan Hotel Plaza di Jalan Raja Laut. Hotel bertaraf tiga bintang itu disewa oleh Khairil untuk Nur Laila bermalam.

“Esok I akan bawak you pergi jumpa produser filem tu...

tapi ada syaratnya tau!” kata Khairil. Dahi Nur Laila berkerut. “Huh! Syarat apa pulak ni?”

Khairil mengenyitkan matanya sahaja. Enggan memberitahu Nur Laila, sedangkan dalam hatinya sudah lama menyimpan hasrat ingin memiliki wanita muda yang jelita itu.

Nur Laila berengus perlahan. Dia bagaikan dapat membaca isi hati Khairil. Pertolongan yang dihulur bukan sekadar percuma. Dia mengerti benar. Tapi dia juga tidak ikhlas mendampingi Khairil. Hanya untuk memperalat lelaki itu sahaja, tidak lebih daripada itu!

Nur Laila pura-pura tersenyum.

“Okey, apa-apa aje lah! Yang penting cita-cita I yang satu tu tercapai.”

Khairil tersengih lebar.

“Bila you dah jadi bintang filem terkenal nanti, jangan lupa jasa I! Jangan mudah lupa diri, siapa orang yang tolong you, bawak you keluar daripada kesusahan.”

Argh! Belum tolong apa-apa dah menuntut balasan, dengus Nur Laila dalam hati.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.