Home Novel Cinta Sebenarnya Dia Milik Aku
Sebenarnya Dia Milik Aku
4/7/2013 11:04:07
84,457
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Bab 4

“KUATKAN sikit air-condtu Pak Yop! Panas ni!”

Dia mengarah drebar peribadinya, PakYop dengan nada kasar.Tak faham- faham! Orang tengah penat. Kereta

pulak panas macam duduk dalam oven! rungutnya geram. Pak Yob baru sahaja datang menjemputnya di lokasi shooting. Hari itu dia ada shootingdi tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur. Cuaca pula panas menggila. Di pertengahan Jun cuaca terus panas membahang dari pagi hingga ke petang. Peluh terasa lencun membasahi belakang. “Baiklah Cik Laura!” jawab Pak Yop menurut sahaja arahan majikannya.

Begitulah hendak mencari makan. Sejak usia muda dia memang sudah sebati menjadi drebar. Bermula sebagai drebar di jabatan kerajaan. Apabila pencen dia memohon untuk menjadi drebar pengarah syarikat. Kemudian berhenti dan berkhidmat pula dengan Laura Jane, seorang pelakon terkenal.

Hati Laura Jane terus mendongkol biarpun kedinginan mula bertebaran di seluruh ruang kereta mewah itu. Dia geram melihat jalan raya yang sesak.

“Kenapa tak ikut highwaysaja tadi?” tanya Laura Jane tidak puas hati.

“Maaf Cik Laura.Tadi pak cik tersilap masuk jalan,” kata Pak Yop mengakui kesilapannya.

Laura Jane merengus. Dia merasakan lelaki itu semakin tua, Pak Yop semakin lembab dalam menjalankan tugasnya.

“Pak Yop patut duduk di rumah aje. Tak payah kerja,” kata Laura Jane selamba sahaja. Dia tidak peduli sama ada Pak Yop tersinggung ataupun tidak.

Terus Pak Yop terdiam. Bukan dia tidak tahu perangai Laura Jane. Panas baran. Pantang salah sikit, dia tidak akan melepaskan peluang untuk memaki hamun. Mungkin dia rasa bagus dapat melepaskan kemarahan pada orang lain. Padahal dia tidak sedar dan tidak tahu bagaimana perasaan orang yang menerima habuan kemarahannya.

Kemarahan itu sebenarnya daripada syaitan. Syaitan gembira jika dapat mendiami hati manusia dan meniupkan api kemarahan setiap saat. Lantaran itulah agama menyuruh kita bersabar menghadapi setiap dugaan.

Laura Jane mengeluarkan rokok dari dalam beg tangan. Dia menghidupkan api rokok. Dia bosan menghadapi kesesakan itu. Cermin kereta diturunkannya sedikit supaya asap rokok itu dapat berlari keluar dari ruang kereta.

Kala itu kereta mereka sedang bergerak dari Jalan Ampang meninggalkan Pusat Kota. Jalan itu sesak, mulai jalan 5.00 petang hingga membawa ke malam. Laura Jane merungut-rungut sendiri, marah bercampur geram. Pak Yop hanya bersabar, dia sudah biasa dimaki hamun begitu. Sudah 12tahun dia bekerja sebagai pemandu peribadi Laura Jane.

Laura Jane seorang bintang filem yang cukup terkenal.

Tiada sesiapa pun yang tidak kenal padanya. Malah namanya turut dikenali di Singapura, Brunei dan Indonesia.Wajahnya yang cantik menjadi aset paling berharga. Selain daripada tubuh badan yang langsing dan seksi, dia menjadi pujaan dan igauan.Dalam usia pertengahan 30-an dia hidup sendiri,tidak ingin mengikat diri dalam alam perkahwinan. Itu semua akan merosakkan kerjayanya yang sedang berada di puncak jaya.

Laura Jane memerhati sebuah poster besar semasa kereta melewati simpang bangunan KLCC. Poster itu mempamerkan wajahnya sendiri. Saat itu dia sedang menggayakan iklan jam tangan buatan luar negara.

Wajahnya yang manis dan anggun tersenyum lebar sambil tangan menayang jam tangan mewah bertatah berlian. Dia bangga sendiri kala melihat gambarnya yang besar lagi cantik. Hilang sejenak rasa marah dek kesesakan jalan raya yang menghambat.

Setelah melepasi KLCC, perjalanan sedikit lancar. Laura Jane bersandar, mencari kedamaian di atas kusyen kereta bersalut kulit. Kereta Mercedes merah darah itu dimiliki sejak lima tahun yang lalu. Dia puas dan bahagia, memiliki kereta yang menjadi idaman.

Dia ingin segera tiba di rumah untuk berehat,berendam dalam tab mandi. Sebaik tiba di perkarangan banglo dua tingkat miliknya, kereta itu berhenti di hadapan pagar yang bertutup rapat. Hon ditekan, seorang pembantu rumah berlari-lari keluar membuka pintu.

Laura Jane menerobos keluar. Walaupun Laura Jane bersikap kasar dan kepala angin, tapi ada juga sisi baiknya wanita muda itu. Dia membenarkan Pak Yop membawa pulang kereta Mercedesnya dengan syarat seawal jam 7.00 pagi lelaki itu harus ada di hadapan rumah. Ini kerana dia harus keluar awal pagi untuk pergi shooting.

Laura Jane masuk ke rumah banglo tersergam yang dihuninya bersama dua orang pembantu. Mereka biasanya menghabiskan masa di dapur. Bilik kedua-duanya terletak di bahagian belakang.

Suasana dalam rumah dingin dan menyenangkan. Ruang tamu kemas lagi teratur. Di suatu sudut terdapat sebuah almari cermin kayu jati.

Di dalamnya tersusun pelbagai bentuk piala yang pernah dimenanginya. Dia bangga sebagai insan seni, dia sentiasa mendapat tempat yang pertama. Jika namanya tersenarai sebagai salah seorang calon, pasti pelakon-pelakon lain tidak akan merasa memegang titlepelakon terbaik ataupun pelakon nombor satu negara. Semuanya dibolot oleh Laura Jane. Dan orang yang kalah selalunya tidak mendapat apa-apa, pulang dengan tangan kosong.


Tidak hairan jika ada di kalangan pelakon dan orang seni yang membenci dirinya. Dalam dunia glamor hal itu biasa terjadi. Laura Jane sedar, semakin ramai orang yang menggilai lakonannya, dia akan mencipta lebih ramai musuh. Semakin tinggi kejayaannya dijulang, semakin ramai pula yang ingin melihat dia jatuh tergolek.

Laura Jane terus naik ke tingkat atas. Pembantu rumahtergocoh-gocoh datang menegur sekira-kiranya dia memerlukan sesuatu.

“Cik Laura mahu minum atau makan?”

“Buatkan jus oren segar. Hantar ke atas,” pesan Laura. Laura Jane terus berjalan laju menghala ke kamar tidur, lalu memasang penghawa dingin. Dia baring sebentar kemudian barulah bergerak ke kamar mandi. Tab mandi diisi penuh dengan air dan shower gel. Kemudian dia masuk berendam di dalamnya sambil mendengar muzik daripada

CD yang dipasang perlahan.

Betapa nikmat hidupnya sekarang. Duit di dalam akaunnya sentiasa bertambah. Jika ingin shopping, ada orang yang sanggup mengeluarkan duit. Jika ingin memakai atau mengenakan barang mahal, ada sahaja orang yang akan menaja. Namun tidak dinafikan, sesekali dia berasa sunyi.

Rasa kehilangan sesuatu.

Dia baru selesai shootingfilem. Waktu-waktu begini dihabiskan dengan memanjakan diri di spa kegemaran.

Biarpun baru selesai shootingfilem, sudah ada tawaran yang datang.Namun dia masih memikirkan tawaran itu disebabkan dia tidak puas hati dengan bayaran yang bakal diterima. Walaubagaimana pun pengurus yang juga merangkap kekasihnya Ben, pandai berurusan dengan produser dan pengarah. Dia tetap akan mendapat bayaran yang lumayan.

Laura Jane memejamkan matanya rapat-rapat. Alunan muzik perlahan membuai perasaan. Dia hampir-hampirterlelap. Namun segera bangun apabila terasa tubuhnya semakin sejuk. Dia terus membilas badan, mengenakan pakaian dan berniat hendak tidur sahaja. Tetapi panggilan daripada Ben membantutkan hasratnya itu.

“Sayang, you kat mana?” tanya Ben dengan suara romantis.

“Kat rumah. Baru aje nak berehat ni. Penat sangat. Baru balik lebih kurang pukul 6.00 tadi.”

“Ada berita baik. I dah runding dengan Mr. Rawal, dia setuju dengan bayaran yang you mintak,” beritahu Ben.

“Penggambaran akan dimulakan minggu depan.” “Bagus! Bagus! Ada masa untuk I berehat dan shopping.

Hari ni last shooting,aduh! Leganya,” jawab Laura Jane sambil tergelak kecil.

“Nak shoppingkat mana?” tanya Ben. “I temankan ya.”

Laura tergelak kecil. “Biasalah, London!”

“Okey. I pun dah lama tak ke sana,” jawab Ben sambil tergelak lalu menamatkan perbualan.

Laura Jane berbaring di atas katil bertilam empuk. Di atas katil terhampar cadar dan comforterberjenama mahal. Selesa sekali dia berbaring dilapisi kain yang lembut bak kapas disertai dengan hembusan penghawa dingin. Beberapa minit kemudian dia terlelap.

“Laila! Bangunlah!”

Laura Jane tersentap dengan cepat apabila terdengar nama itu diseru dan seraut wajah muncul tiba-tiba dalam mimpinya.Wajah itu amat dikenalinya.Khairil! Entah mengapa dia harus bermimpikan Khairil, di petang-petangbegini. Dia memejam mata dan cuba melupakan bayangan wajah Khairil namun gagal.


Sudah lama nama Nur Laila tidak disebut, walaupun dia tidak pernah lupa pada nama asalnya.Nur Laila bintiAli.Itulah namanya yang tercatat di dalam kad pengenalan.Meskipun dia berusaha melupakan kenangan lama tetapi sesekali kenangan itu bagaikan mengejarnya. Tujuh belas tahun sudah berlalu sejak dia meninggalkan kampung ibu mentuanya. Sekarang, anak yang dia panggil Baby pasti sudah besar. Bukan Baby lagi. Baby sudah jadi seorang gadis remaja.

Tiba-tiba dia jadi rindu. Hatinya digayuti pertanyaan. Bagaimana rupa Baby yang sudah tumbuh menjadi gadis remaja? Apakah pula nama sebenar Baby? Hati Laura Jane digayuti rasa kesal. Dia tidak pernah memberikan nama yang sempurna untuk anaknya itu. Hanya nama timangan Baby!

Sejak mula menceburkan diri dalam dunia lakonan, dia menukar nama. Kini dia dikenali sebagai Laura Jane. Nama itu diberikan oleh pengarah filem pertama lakonannya. Dia harus membuang imej yang dikatakan kekampungan. Pada uji bakat pertama yang dihadirinya, Laura Jane berjaya menyakinkan pengarah dan produser filem itu supaya mengambilnya memegang peranan utama. Filem lakonan pertamanya menjadi box-office. Namanya melonjak dalam sekelip mata. Semua orang sukakan diri dan lakonannya.

Dia terus menjadi terkenal. Ketika itu dia melakukan pelbagai helah untuk menjauhkan diri daripada Khairil. Dia mengelak untuk bertemu dengan lelaki itu. Lebih-lebih lagi bila dia amat rapat dan akrab dengan Encik Azman, produser yang kaya raya itu.Malangnya EncikAzman sudah mempunyai tiga orang isteri. Dan Laura Jane tidak berangan langsung untuk menjadi isteri yang keempat. Seperti biasa dia bijak membataskan dirinya. Lalu nilai dirinya begitu tinggi. Tidak mudah menyerahkan cinta pada sesiapa!

Dia tidak tahu di mana Khairil sekarang. Sudah terlalu lama mereka berpisah. Dia tidak peduli apa yang terjadi dalam hidup lelaki itu.

Biarlah dia mampus! Dengus Laura Jane di dalam hatinya.

Kini dia memiliki sepotong nama yang besar dan terkenal walaupun nama itu langsung tidak mencerminkan jati dirinya yang sebenar sebagai seorang wanita Melayu, beragama Islam.

Walaupun dalam darahnya tidak pernah mengalir setitis pun darah Inggeris, tetapi nama Laura Jane itu amat sesuai dengan dirinya. Wajahnya mirip Arab, berhidung mancung dan bermata galak. Ibunya mewarisi darah keturunan Arab, di sebelah bapa. Namun dia tidak kenal ibu bapanya yang meninggal sewaktu dia masih kecil. Dia dibesarkan oleh kakaknya Ramlah. Namun Ramlah mempunyai raut wajah Melayu. Perkara paling penting bagi Laura Jane adalah sekarang, bukannya masa lalu yang kelam.

Mata Laura terkebil-kebil memandang siling yang putih bersih. Rasa mengantuknya sudah hilang diusir mimpi seraut wajah Khairil.Wajah Khairil langsung tidak kacak.Wajahnya berbekas jerawat batu,lekak-lekuk seperti permukaan bulan. Apatah lagi sekarang, Khairil pasti sudah menjadi seorang lelaki tua. Umurnya sudah 40 lebih. Mungkin Khairil sudah berkeluarga.

Takkanlah masih membujang umur dah dekat setengah abad,fikir Laura Jane lagi.

Dia tersentak apabila terdengar pintu kamar diketuk. Terjengul wajah pembantu rumahnya, Kak Ecah.

“Maaf Cik Laura. Oren dah habis. Jadi saya buat jus epal hijau. Boleh ya?”

Laura Jane mengangguk sahaja. Selain oren dia juga suka minum jus epal yang boleh menurunkan paras kolesterol dalam darah.

“Boleh, letak kat situ,” jawab Laura Jane sambil memuncungkan bibir ke arah almari rendah yang diperbuat daripada kayu jati di tepi katil.

“Cik Laura nak apa-apa lagi?”

Laura Jane diam sahaja. Malam ini dia akan keluardinnerdengan Ben. Perut berasa kosong, tapi tiada selera hendak makan. Badannya terlalu penat, selera pun hilang.

“Bawakan sikit biskut highfibersajalah,” kata Laura Jane diikuti dengan anggukan kepala Kak Ecah.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.