“AKU datang serah diri.” Kata Syed Badiuzzaman ketika Ainul Mardhiah leka
mencantum tali leher. Terkejut Ainul Mardhiah disapa tanpa sangka. Apa
tidaknya, tanpa teman bicara sepanjang hari, tiba-tiba ada suara menyapa
dirinya.
Lelaki itu sudah duduk di atas sofa, dengan kaki bersilang seperti selalu.
“Tuan Muda Syed Badi, sekurang-kurangnya, bagilah salam.”
“Suka hati akulah nak bagi salam atau tak.”
Jawapan yang sudah Ainul Mardhiah duga. Dia bangun lalu berjalan menuju ke
arah sofa. Dia merangka gambar baju dan seluar secara kasar sebelum bersedia
mengukur badan lelaki itu.
“Sambil duduk, boleh?” Tanya Syed Badiuzzaman, membuatkan Ainul Mardhiah
berkerut kening. Orang kaya ni tahu nak mudah saja.
“Tak bolehlah, Tuan Muda Syed Badi...Nanti ukuran tak tepat.” Jelas Ainul
Mardhiah, setia berdiri di hadapan majikannya. Syed Badiuzzaman menghulurkan
tangan kanannya, membuat Ainul Mardhiah tertanya-tanya.
“Tarik aku bangun. Kalau kau boleh bangunkan aku, baru boleh ambil ukuran
aku.” Sakat Syed Badiuzzaman, dengan wajah tanpa senyum, sambil menanti reaksi
Ainul Mardhiah.
“Saya tak mampu. Dah tentu Tuan Muda Syed Badi lebih berat dari saya.”
Cepat Ainul Mardhiah memberi jawapan.
Sebenarnya dia nak sahaja kata Syed Badiuzzaman gila! Ada
ke patut dia suruh aku bangunkan dia? Apa dia ingat dia tu bayi yang boleh aku dudukkan
atau bangunkan semudahnya?Ada saja idea Syed Badiuzzaman, yang
meletakkan Ainul Mardhiah dalam dilema.
“Kalau begitu, ambil sambil duduk saja. Aku baru duduk, malas nak bangun.”
Jawab Syed Badiuzzaman, sambil menarik Ainul Mardhiah duduk di sisinya. Ainul
Mardhiah hampir tidak dapat mengimbangi badannya, tetapi dia bernasib baik bila
terduduk dengan elok di sisi majikannya. Cuma, dek kerana tidak selesa duduk
terlalu rapat dengan Syed Badiuzzaman, dia bingkas mengalih duduknya. Syed
Badiuzzaman senyum sambil menggeleng.
“Kalau Tuan Muda Syed Badi belum mahu saya ambil ukuran lagi, saya siapkan
kerja tadi. Tuan Muda Syed Badi boleh duduk dulu.” Ujar Ainul Mardhiah,
mengundur diri.
“Aku nak keluar makan. Jom ikut aku.”
“Awal lagi, Tuan Muda Syed Badi. Baru pukul dua belas.” Ainul Mardhiah
menolak.
“Jangan banyak cakap, boleh? Aku suruh kau ikut aku aje, bukan suruh kau
tengok jam.” Balas Syed Badiuzzaman. Geram sungguh dengan Ainul Mardhiah ni.
Bila diajak atau disuruh, ada saja alasannya untuk menolak.
“Okay.” Terus Ainul Mardhiah menutup segala macam suis. Dia menutup kembali
tabir sebelum memakai sandal.
“KAU ada buah hati, Ain?”
Soal Syed Badiuzzaman, terus pada pokoknya.
Ainul Mardhiah yang sedang mengunyah
makanan, terbatuk kecil. Dia berani bersenda dengan Lukman, tetapi tidak berani
berjenaka dengan Syed Badiuzzaman. Lihat sahaja air mukanya tanpa senyum.
Mengerikan!
“Tuan Muda Syed Badi rasa?” Akhirnya dia membalas, setelah berkira-kira
jawapan yang paling sesuai.
“Tak ada.”
“Confident.”
“Eleh, macam aku tak tahu. Hati kau kecil. Mana kau berani nak berbuah hati
dengan lelaki.”
“Tak apalah, Tuan Muda Syed Badi. Apa penting sangat berbuah hati? Kalau
kekal sampai kahwin, sampai anak cucu, sampai Jannah, saya mahu juga...Tapi
kalau berbuah hati hari ini, esok berbuah jantung, lusa, makan hati berulam
jantung, saya tak cuba pun tak apa.” Ainul Mardhiah menjawab penuh erti selepas
suapan terakhirnya dihabiskan. Syed Badiuzzaman juga menghabiskan suapan
terakhirnya, walaupun hampir tercekik dengan jawapan balas Ainul Mardhih.
“Umur kau berapa?”
“Dua puluh empat.”
“Mudanya! Aku ingat umur kau dua puluh lapan.”
“Itu kata-kata orang cemburu...kerana dia tua.”Syed Badiuzzaman menahan
gelak dalam hati. Agaknya Ainul Mardhiah bisa meneka umur aku?
“Berani kau kata aku tua?”
“Alah, Tuan Muda Syed Badi ni, selalu gertak saya begitu. Tak boleh bergurau
langsung!” Jawab Ainul Mardhiah, tidak puas hati bila sentiasa dipersalahkan.
“Kau siapa?” Tanya Syed Badiuzzaman tidak puas hati. Ainul Mardhiah tidak
mengangkat mukanya bila soalan itu menerpa telinganya.
“DesignerTuan Muda Syed Badi.”
Jawab Ainul Mardhiah, perlahan.
“Habis tu?”
“Takkan sebab saya cuma designer,
saya tak boleh cakap?”
“Aku tak suka orang cakap banyak. Aku suka orang jawab apa yang aku tanya.
Lebih-lebih, aku tak suka.”
“Kalau dah siap, kita balik.” Ujar Syed Badiuzzaman lalu berdiri. Ainul
Mardhiah mencebik tetapi dia juga mengikut langkah majikannya. Dua minggu
mengenali Syed Badiuzzaman, Ainul Mardhiah belum dapat memahami karektor lelaki
itu. Anginnya pasang surut. Dia tak pandai berkawan agaknya. Teka Ainul
Mardhiah lagi.