“Sampai
kat rumah nanti, janganlah awak cerita mengenai Rozaila tu kat mama ya.” Aku
angguk tetapi wajahku agak cuak. Peristiwa tadi adalah peristiwa penting dalam
hidupku. Aku sepatutnya berkongsi kisah itu dengan ibu bapaku. Selama ini aku
tidak pernah berahsia dengan emak mengenai hal-hal yang berlaku dalam hidupku.
Tetapi kenapa dia melarang aku melakukan sesuatu yang di luar tabii
kehidupanku.
Terbayang
wajah emak dan ayah. Mereka pasti menunggu aku dengan sabar di rumah keluarga
Nukman Faris. Entah kenapa lelaki ini membuat perancangannya yang tersendiri. Mukaku
masam mengenang kekasihnya yang tiba-tiba datang menyerang aku. Kalau aku tidak
sabar tadi, memang aku akan turut sama mengamuk. Nasib baik dia cepat datang.
Kalau tidak, alamat aku dah hilangkan diri!
“Siapa Rozaila tu?” muka Nukman
Faris kelat. Kemudian aku tersenyum. Aku sudah tahu siapa yang dia maksudkan.
Gadis itu yang menolak tubuhku sekuatnya. Aku masih terasa sakitnya punggungku.
“Yang datang tadi tu lah!” kata
Nukman Faris dengan wajah agak kusut. Aku memang hendak mengongsikan hal tadi
dengan emak sekurang-kurangnya. Aku terasa tidak selesa di sisi lelaki itu.
“Kenapa pula tak boleh nak beritahu
mak saya? Saya tak sukalah awak suka main sembunyi macam ni! Kenapa awak macam
ni?” soalku sengaja mengenakannya. Dia sengih. Aku sudah buat muka masam.
“Tak perlu lah nak beritahu mereka. Biar jadi rahsia
kita berdua.” Aku mencebik bibirku. Aku tidak selesa hendak berahsia dengannya.
Aku mahu cepat-cepat sampai ke kediaman keluarganya dan memberitahu mengenai
sikap kekasihnya yang agak agresif kepadaku. Sakit punggungku ini belum reda
lagi.
“Saya tahu punggung awak masih
sakit. Lepas ni nanti kita pergi klinik periksa kandungan awak, jika ada
apa-apa siapa yang susah, saya juga kan!” kata Nukman Faris cemas. Aku terkaku
kemudiannya. Buat apa dia hendak membawa aku ke klinik, bukannya ada yang
cedera. Aduhai!
“Tak payahlah nak susah payah hantar
saya ke klinik segala. Saya ok aje. Jangan risaulah awak,” kataku mahu
memujuknya. Dia menggeleng. Terbayang rasa simpati di wajahnya itu. Mengapa dia
terlalu mengambil berat kepadaku? Aku terasa tidak selesa pula. sepatutnya aku
tidak perlu dihantar ke klinik. Aku tidak mahu! Mak ayah, tolonglah aku!
“Tak pe, saya pun nak tahu juga
perkembangan anak saya!” kata-kata itu seumpama bom jangka meletup di kepalaku.
Aku tidak menyangka dia akan menjadi seorang Nukman yang seprihatin begitu. aku
menggeletar. Aku tiba-tiba menjadi takut secara tiba-tiba. Bagaimana kalau
rahsiaku sudah terbongkar? Apakah yang akan dilakukannya kepadaku? Takutnya!
“Anak saya je! Bukan anak awak
Nukman!” kataku perlahan. Aku merasa sendiri, suaraku bergetar hebat. Dadaku
apatah lagi berdebar keras! Aku menjadi takut, semakin takut. Aku mahu dia
membatalkan hasratnya.
“Anak kita juga!” tambahnya lagi.
Kenapa dia menjadi Nukman Faris yang menakutkan aku? Soalku dalam hati.
“Saya Cuma nak mereka tahu.” Kataku
menukar perbicaraan. Dia memandang aku sekilas. Ya Allah, kenapa pandangan itu
penuh dengan kasih sayang?
“Tahu apa?” soalnya meraih
simpatiku.
“Biarlah
mereka tahu, agar cepatlah selesai urusan kita. Kasihan pula kekasih awak tu.
Saya tak mahu dituduh perampas tu! Lepas ni awak kahwinlah dengan dia. Saya tak
sanggup begini lama-lama.” Kataku sebak. Sedih sekali memikirkan Rozaila yang
mahukan menikah dengannya. Dia tersengih. Apakah kata-kataku silap? Bukankah
itu adalah perjanjian kami pada masa lalu.
“Awak tak rampas sesiapapun! Pada
masa kita nikah tu saya tak nikah dengan sesiapa! Jadi, awak memang tak rampas
sesiapa daripada sesiapa!” katanya perlahan. Aku mula rasa terharu. Sejak
akhir-akhir ini aku semakin sensitif. Boleh pula dia cakap aku tidak rampas
dia. Aduhai, lelaki di sisiku ini kenapa menjadikan hidupku penuh porak
peranda? Aku sudah membuat persediaan untuk bercerai dengannya kenapa pula dia
berdolak-dalik dengan aku?
“Pada masa itu awak sudah ada kekasih! Pada masa
itu awak sudah janji nak nikah dengan dia, kenapa pula awak cakap awak bukan
milik sesiapa? Saya tertekan Nukman, saya tertekan sungguh!” kataku memberitahu
hal yang sebenarnya.
“Benar awak tak rampas saya dari
sesiapapun. Pada masa saya menikah dengan awak, memang sah saya masih bujang
dan bukan milik orang lain,” katanya bersungguh-sungguh. Aku terkesima.
Tetapi dalam masa yang sama aku
tertipu pula. Tertipu kenapa? Tertipu kerana dia sebenarnya masih mencintai
kekasihnyay dan berjanji akan berkahiwn. Kenapa dia cakap macam itu?
“Kenapa pula awak cakap macam tu?
Saya ni yang buat onar kepada awak? Sepatutnya selepas urusan kita selesai hari
tu, awak lepaskan lah saya. Jangan sampai kekasih awak buat tuduhan tak baik
pula kat saya!” kataku. Mukanya sudah kelat. Dia geleng. Mungkin dia berasa
serba salah dengan apa yang sedang dilakukannya sekarang.
“Awak mahu kalau awak buang suami
awak dan serahkan kepada wanita lain? Di luar sana terutamanya di negara timur
barat, mereka mahu berkongsi kasih dan ingin bermadu. Awak pula nak buang
suami!” aku terkedu mendengar kata-katanya begitu. sakitnya hatiku. Dia
seolah-olah lupakan akan perjanjian bertulis kami. Aku memang tidak mahu hendak
membuang dia dan memberikan kepada gadis lain. Kalau boleh dan terdetik di
hatiku biarlah dia menjadi suamiku hingga ke akhir hayatku tetapi kerana
perjanjian itu, aku menjadi kelu.
“Tak ada sesiapa dalam dunia ni nak
berkongsi kasih Nukman tetapi kerana kita ada perjanjian, saya tak mahu nak
mungkir janji. Nanti apa kata awak dan kekasih awak!” kataku perlahan.
Gelombang sebak sedang mendekati hatiku. Namun aku berharap aku dapat bersabar
menghadapi keadaan ini.
“Awak tak salah sayang. Kekasih saya
biarlah dia kekasih saya dan saya uruskan dia. Saya dan awak kekal sebagai
suami isteri walaupun ada perjanjian antara kita. Selagi kita masih bergelar
suami isteri jangan cuba-cuba pula nak minta cerai kat saya, saya tak suka
Tasya! Selama ini saya tak ganggu urusan awak dengan kekasih awak, jadi jangan
sibuk dengan urusan saya dengan kekasih saya,” panjang lebar permintaannya. Aku
bukan apa sebenarnya. Aku tidak mahu kekasihnya menuduh aku sebagai perampas.
“Boleh saya tak masuk campur urusan
awak dengan kekasih awak jika kekasih awak tak buat tuduhan macam-macam kat
saya. Saya ni pun manusia biasa Nukman. Sabar saya ada hadnya!” kataku dengan
sepenuh hati. Dia pandang aku seketika dengan pandangan tajam. Aku teringat
pandangannya ketika kami menikah dulu.
“Awak hanya perlu sabar saja Tasya.
Saya pun tak tahu nak kata apa-apa lagi kalau awak tak mahu sabar.” Katanya
memandang ke depan. Aku angguk. Aku memang tidak mahu masuk campur urusannya.
“Pastikan kekasih awak tak buat
ugutan kepada saya. Saya harap awak akan bersatu dengan dia, dan saya pun tak
mahu jadi orang penghalang antara awak dan dia.” Kataku tegas. Nukman Faris
ketawa. Entah apa yang lucunya.
“Lupakan dulu hal itu. Jangan buat
ibu bapa kita sedih kerana hal kita ni. Mama dan papa tu masing-masing ada
sakit yang tersendiri. Saya tak mahu susahkan hati mereka. Awak kena ingat tu,
tu lah sebabnya kita kena berkorban dulu. Jangan nak buat hal.” Kata Nukman
Faris. Dia sungguh matang kalau bab-bab menjaga hati ibu bapanya. Patutlah dia
sangat disayangi oleh ibu bapanya. Emak dan ayahku pun menyayangi dia. Mungkin
selama ini sebagai anak saudara. Baru aku tahu kenapa dia menjadi anak saudara
kesayangan emak. Dia memang pandai jaga hati ahli keluarganya.
“Ya lah, saya ikut awak saja. Kalau
cuti ni saya di rumah sewa saya boleh tak?” soalku. Pandangannya tajam menikam
seketika kepadaku. Aku pula berasa seram sejuk memandang makna pandangannya
itu.
“Kenapa pula awak nak buat hal lagi?
Kan mama dah minta kita tinggal di rumah saya? Apa lagi masalahnya kepada awak
Tasya?” soalnya. Aku tersengih. Dalam masa yang sama aku tidak mahu hubungan
yang seperti retak menanti belah itu diketahui oleh ibu bapa kami. Sampai bila
aku dan dia harus membohongi ibu bapa kami? Sampai bila kami harus berpura-pura
mesra di depan ibu bapa kami? Sampai bila kami harus begini? Sampai bila semua
ini akan berakhir?
“Saya bukan nak buat hal. Saya tak
mahu ganggu kalau awak nak jumpa kekasih awak.” Kataku jujur. Aku mahu dia
hapuskan tuduhan perampas dari mulut kekasihnya itu. Dia sudah ketawa. Satu
kereta dipenuhi ketawanya. Apakah aku bergurau di depannya ketika ini?
“Ya Allah, awak nak tambah dosa
saya?” eh, sejak bila dia tahu dosa pahalanya? Aku diam. Apa pula maksudnya?
Aku mahu dia menyambung silaturahim dengan kekasihnya dengan pernikahan dan
bukannya suruh dia berzina dengan kekasihnya. Apakah dia salah faham?
“Kenapa, awak nak putuskan hubungan
dengan kekasih awak? Dia akan tambah marah kepada saya tahu!” kataku. Aku mahu
dia faham dengan permintaanku.
“Awak dengar, jangan bantah cakap
mama. Awak kena tinggal di rumah saya selama cuti ni. Sama ada awak suka atau
tak, itu bukan urusan kita. Mama dan emak awak akan datang ke rumah kita nanti.
Apa yang akan kita buat? Takkan awak di rumah sewa dan saya di rumah saya? Cuba
fikir sikit. Mama dan mak awak tu macam tahu-tahu aje kat kita. Jadi, kita ikut
aje apa yang mereka nak,” kata Nukman Faris dengan panjang lebar. Aku memandang
jauh ke depan.
“Saya ok aje. Saya harap awak tak
buat apa-apa lah. Kalau awak nak kerja, pergi ajelah! Jangan kisah kan saya.
Sebab saya ada kerja nak buat!” Kataku. Sebenarnya aku bimbangkan kekasihnya
akan datang menyerang aku lagi. Dia sudah ketawa.
“Buat apalah yang saya nak buat!
Awak tu kat rumah pun pakai tudung! Macam manalah saya nak buat apa-apa kat
awak!” mukaku sudah merah. Lelaki ini sudah memalukan aku.
“Pandailah awak!” kataku sudah
tenggelam dengan alunan muzik romantik yang dipasangnya. Akhirnya dia pun
mendiamkan diri dan terus menumpukan perhatian kepada pemanduannya.
***
“Syukur
alhamdulillah anak mama dan menantu mama dah sampai! Ain, tengok anak kita dah
sampai!” Datin Zahara yang menunggu-nunggu akan anak dan menantunya di ruang
tamu depan berasa gembira kerana anak dan menantunya sudah sampai dan sudah ada
di matanya. Dia tidak menyangka sebegitu cepat mereka sampai. Dia sangkakan
anak dan menantunya akan tiba di rumahnya ini pada waktu petang. Mungkin
Natasya Umaira tidak mahu dibawa ke mana-mana. Menurut kata Nukman Faris
semalam, mereka akan membeli barang-barang keperluan di rumahnya sebelum mereka
balik ke rumahnya. Namun kini di depan matanya sudah ada anak dan menantunya
dengan wajah yang ceria.
“Silakan masuk Tasya, mak Tasya pun
ada di atas tu. Mungkin dia sedang bersiap di atas, tunggu anak dan menantu
dia.” Kata Datin Zahara kepada menantunya. Natasya Umaira mengangguk setelah
menyalami tangannya.
“Maafkan kami mama lambat tiba di
sini,” mereka berpelukan. Dia menggeleng. Nukman Faris hanya memandang mama dan
isterinya berpelukan dengan penuh kemesraan dan kasih sayang.
“Eh tak apalah sayang. Mama tahu pun
kamu kan masih pengantin baru. Mama faham keadaan orang yang baru bernikah,
mestilah sama-sama melepaskan rindu kan?” Natasya Umaira kemalu-maluan
mendengar ungkapan mama mertuanya. Nukman Faris hanya pura-pura memandang ke
luar. Papanya tidak kelihatan di mana-mana.
“Mama ni jangan cakap macam tu, malu
isteri saya mama. Mama kena faham-faham sendirilah kan sayang,” kata Nukman
Faris yang sudah memeluk bahu isterinya. Bertambah merah muka Natasya Umaira.
Pembantu mereka sudah berdiri di sudut ruang tamu itu untuk bersalaman dengan
dirinya. Aduhai, Nukman, mahu sahaja dia mencubit tangan itu.
“Oh ya, mama dah aturkan dengan
Datin Murni, yang kamu akan mengukur pakaian pengantin di situ.” Kata Datin
Zahara. Natasya Umaira pula sudah resah. Emak dan ayahnya belum kelihatan sejak
tadi.
“Tasya sayang, lepas kita ukur
pakaian, kita singgah klinik ya.” Kata Nukman Faris. Bulat mata Natasya Umaira.
Mahu ke klinik? Hendak buat apa di klinik? Hendak pengsan dia saat itu. Apakah
muslihatnya kali ini? Semalam dia berbincang dengan kekasihnya hendak bernikah
dengan keksihnya itu. Hari ini dia hendak bawa aku pergi ke klinik pula. Tidak
habis-habis dia hendak mengganggu perasaanku. Hatiku berbolak-balik sama ada
hendak ikut atau tidak!
“Kalau kita pergi hari lain boleh
tak? Esokkan saya ada kelas! Lagipun takkan awak nak uruskan saya saja.
Sekarang, awak pergilah jumpa-jumpa kawan awak, saya tak kisah!” kataku.
Aku
tidak mahu dia terlalu melayani aku. Aku tidak mahu kami menjadi terlalu rapat.
Aku tidak mahu sesuatu berlaku kepada rentak jantungku. Aku mahu kehidupan
normal macam dulu. Sekarang jantungku asyik dak dik duk sepanjang berada di
sisinya. Bilakah masanya aku merehatkan jantungku sendiri? Kalau begini setiap
masa, aku kemungkinan dilanda penyakit jantung kronik! Eh, tak mahu aku mati
awal!
Walaupun
aku akan bercerai dengan dia, tetapi tidak semestinya harapanku untuk hidup
akan berakhir. Dunia Allah ini luas. Masih banyak lagi peluangku di mana-mana.
Jika pun kami bercerai, tidak semestinya harapanku untuk hidup turut
berderai! Itulah keyakinanku kepada
kehidupanku ini. Aku tidak mahu hanya mengharapkan kepada pernikahan kami ini.
Aku masih ada masa depan lain yang aku tidak tahu. Mungkin sekarang Allah
hendak menduga aku, dugaan, kata seniman Tan Sri P.Ramlee. Dia angkat
keningnya. Dia tahu aku akan menolak walaupun di depan keluarganya.
“Tak bolehlah hari lain. Hari ni
saya buat temu janji. Lagipun saya bimbang akan keselamatan bayi tu sebab awak
jatuh semalam, Rozaila tu memang tak ada hati perut!” bulat mata sesiapa yang
ada di ruang tamu itu. Aku pun turut terkedu. Dia lebih menyayangi kandunganku
berbanding kekasihnya. Apakah motifnya?
“Jatuh? Siapa yang jatuh Nukman?
Anak mak?” soal emak tiba-tiba. Aku tidak perasan bilakah emak sudah ada di
ruang tamu dan duduk di sisi Datin Zahara, kakaknya. Aku terus mendekati emak
dan memeluknya. Nukman Faris turut menyalami emak dan ayah yang sudah ada di
ruang tamu.
“Ya mak, semalam Tasya terjatuh. Masa
tu saya tak ade, saya beli makanan,” ah, pandailah kau Nukman Faris hendak buat
cerita. Padahal aku ditolak oleh kekasihnya di ruang tamu. Aku memandang dia,
dia pula menaikkan keningnya sambil berbalas pandangan. Sekali lagi jantungku
seperti terbang ke langit.
“Tak ada apa-apa mak, saya ok eje.”
Jawabku serba-salah.
“Pergilah nak. Mak tak mahu ada
sesuatu berlaku kepada kau pula nanti,” tambah emak. Aku serba salah.
“Ya lah, saya ikut ajelah!” kataku
sudah geram dengan paksaan Nukman Faris. Nukman Faris sudah tersenyum manis
memandang aku. Ah, aku sudah pasrah.
Mungkin sudah sampai masanya Nukman Faris tahu akan hakikat sebenar tentang
diriku. Tak perlu lagi aku hendak berahsia dengannya. Aku sudah keberatan
sungguh menanggung keberatan ini.
“Saya tunggu kat luar aje. Awak aje
yang masuk ke dalam. Kawasan itu memang kawasan yang sesak, jadi saya tunggu di
kereta.” Lega. Hati Natasya Umaira lega seleganya.
“Lepas makan kita pergi ke ukur
pakaian dan pergi klinik. Saya tahu awak nak rehat.” Katanya. Aku angguk. Sudah
berkali-kali dia mengingatkan aku mengenai hal itu. Aku hairan sekali. Perangai
dia macam mamanya.
“Nukman, bawa Tasya berehat.
Tunjukkan bilik kamu. Tadi Mak Mah dah bersihkan bilik awak.” Kata Datin
Zahara. Sebenarnya aku mahu berbual-bual mesra dengan emak. Tetapi berada di
rumah orang kaya yang penuh protokol ini aku terpaksa akur. Pembantu yang ada
di ruang tamu sudah mengangkat barang-barang kami.
“Terima kasih ma,” kata Haris.
“Ya kasihan anak mama tu. Mengandung
pula, pastilah mama susah hati,” kata Datin Zahara. Aku memikirkan perutku yang
kempis dan tidak akan mengembang jika tidak ada apa-apa berlaku antara kami.
Aduhai, takutnya aku jika rahsiaku terbongkar.
“Tak juga mama, saya nak rehat
dengan mak ni ha,” aku terpaksa buat muka malu. Aku hendak melepaskan rinduku
dengan emak dan ayah.
“Tak apa, kamu berbual-bual dulu dengan mak
kamu. Nukman, kalau nak berehat kat sini, mama ok aje.” Kata Datin Zahara.
Nukman Faris mengangguk. Dia sudah duduk di sebelahku. Datin Zahara berasa
bahagia melihat anak dan menantunya.