Bab 10
“Nukman,
mama tak mahu kau abaikan kebajikan Tasya. Tasya dah jadi isteri kau, kau kena
ingat tu,” Nukman Faris yang baru balik dari bertugas terasa bengang seketika.
Dia
sudah berjanji dengan kekasih hatinya yang dia akan meneruskan kehidupannya macam
biasa walaupun dia sudah memegang status berkahwin. Dan, persoalan Natasya
sudah dia padam dari akalnya. Kenapa pula mamanya ini hendak buka semula kisah
yang sudah dia padam itu?
“Apa lagi mama nak saya buat ni ma?
Kan saya dah tolong hari tu? Ni sampai nak ... eh saya tak faham lah dengan
kemahuan mama dan budak montel tu!” soal Nukman Faris. Wajah Datin Zahara sukar
diteka. Datin Zahara geleng kepala. Anak lelakinya ini memang agak degil. Namun,
degil-degil Nukman Faris, dia tetap sudi membantu adik perempuannya yang sedang
kesusahan. Itulah yang dia sangat puji anak lelaki tunggalnya itu.
“Budak montel kau kata? Cantiknya
menantu mama kau kata montel! Mungkin anak mama buta ni! Isteri kau tu cantik
dan ayu menutup aurat Nukman. Syurga sudah di depan mata! Ha, kau nak ke mana tu?” soal Datin Zahara tegas. Naik
sakit telinganya mendengar pujian mamanya terhadap isteri di atas kertasnya.
“Nak naiklah mama, nak rehat. Penat
tau kerja,” jawab Nukman Faris. Sebenarnya dia tetap terbayangkan wajah ayu
Natasya Umaira sepanjang masa. Hampir-hampir dia terbabas tetapi dia tidak
boleh menerima dua cinta dalam satu masa. Cintanya hanya untuk Rozaila
kekasihnya. Tetapi kenapa dia terbayang-bayang Natasya Umaira ketika dia sedang
bertugas hari itu? Malang pula baginya kerana tidak mengambil gambar isterinya
itu.
“Duduk dulu, kita minum, mama ada
buat kuih ni. Mama belum habis cakap lagi. Jangan nak buat muka monyok macam
budak-budak tak cukup umur!” kata Datin Zahara tegas. Nukman Faris ketawa.
“Mana ada mama! Mama nak apa ni
sebenarnya? Kalau kisah isteri saya tu, tak ada masalah bagi saya! Dia kerja,
saya pun kerja! Nak buat macam mana?” soal Nukman Faris lemah.
“Mama
tak nak kau nak jumpa perempuan murahan tak ada maruah tu. Kau sudah ada isteri
yang sah. Aku nak kau jenguk isteri kau tu! Dia tu kan mengandung. Kalau kau
jaga isteri kau ada banyak pahala lagi tahu, berbanding kau nak berpeleseran
dengan perempuan lain!” Nukman Faris sudah garu kepala yang tidak gatal.
Permintaan mamanya memang permintaan yang tidak boleh ditentang. Dia mesti
buat.
“Yang
mengandung dia, bukan saya!” jawab Nukman Faris tegas.
“Mama tak mahu anak mama degil dan
memalukan mama dan keluarga. Kau kan sudah fly dalam dua minggu, bila masa kau
jalankan tugas kau sebagai suami?” soal Datin Zahara. Nukman Faris terbayang
wajah ayu Natasya.
“Saya tak peduli mama. Saya tak mahu
buat semua tu! Mama hanya minta jadi suami dia sementara saja, bukan untuk
selamanya,” Nukman Faris mengungkit semula. Bulat mata Datin Zahara memandang
anaknya itu. Datin Zahara geleng kepala.
“Jangan buat begitu Nukman. Ingat
hukum tuhan. Jangan belakangkan tuhan. Kalau kau sudah nikah, anggap saja kau
sudah nikah untuk selamanya, bukan nak nikah dua tiga hari! Siapa ajar kau
hukum yang tak senonoh tu?” soal Datin Zahara. Marak matanya memandang anaknya
itu. Nukman Faris pula semakin bengang. Keinginan mamanya sudah berubah.
“Ya ma, saya ingat mama,” katanya
menggaru kepala.
“Isteri
kau tu mengandung. Berikan dia penjagaan rapi. Layan dia macam kau layan
kekasih kau. Dia nak makan apa sekarang. Dia mana larat nak jalan. Kasihan
dia Nukman. Apa yang akan terjadi kalau
adik kau diperlakukan seperti apa yang kau lakukan ini?” soalan Datin Zahara
betul-betul mematikan akal Nukman Faris.
Dia
juga tidak mahu adiknya dibiarkan oleh bakal suaminya. Tetapi dia adalah suami
yang sah kepada Natasya dan mengabaikannya. Aduhai!
“Mama
ni memang banyak betul songeh!” kata Nukman Faris. Datin Zahara tersengih.
“Semalam
mak ngah kau telefon, dia tanya kau di mana. Mama beritahu yang anak mama akan
datang hari ini dan bawa Natasya jumpa doktor esok pagi atau petang ni,” kata
Datin Zahara. Nukman Faris garu kepalanya yang tidak gatal.
“Alahai
kalau hari ni tak dapat lah mama. Saya penat lagi ni,” kata Nukman Faris
memberi alasan. Dia terfikir di mana dia hendak mencari Tasya, dia tidak tahu
di mana gadis itu tinggal.
Antara
Natasya dan emak mertuanya, dia terkenang-kenang pesanan ayah mertuanya. Ayah
mertuanya mahu dia menjaga Natasya seperti dia menjaga nyawanya. Bagaimana dia
mampu?
“Mama,
dia tahulah nak jumpa doktor, kenapa nak susahkan saya?” soal Nukman Faris
tidak puas hati.
“Mestilah
kena bawa dia. Natasya tu bukannya sihat sangat. Kerap dia mengambil cuti tu
Nukman,” terang Datin zahara. Harapannya hendak bertemu dengan kekasihnya tidak
kesampaian lagi pada malam ini. Sudah beberapa kali dia tidak dapat berjumpa
dengan kekasihnya sejak dia menikah dengan Natasya.
“Budak
Natasya memang buat masalah kat aku!” katanya dalam hati.
“Itu
tanggungjawab kau sebagai suami Nukman. Berdosa kau abaikan isteri. Nanti di
akhirat kau akan ditanya semuanya,” ingatan Datin Zahara sangat menyakitkannya.
“Mama
pun sama! Dulu mama hanya minta tolong aje, sekarang nak berlagak sebagai suami
betul-betul pula! Eh apa ni mama?” soalnya.
“Tunggulah
sampai dia sudah bersalin nanti! Sekarang memang kasihan kalau kita nak abaikan
dia. Kau tak sayangkan Natasya tu? Natasya tu cantik, jaga aurat dan
sopan-santun!” kata Datin Zahara. Nukman Faris geleng. Dia tidak mahu menyebut
sayang.
“Mama
sayangkan menantu mama tu. Mama kalau boleh kamu berdua akan hidup sebagai
suami isteri sampai akhir hayat,” doa Datin Zahara kepada anak dan menantunya.
Dia tidak menyenangi kekasih anaknya.
“Mama
ni tak boleh naak dibawa bincang! Saya takkan nak dia jadi isterinya sampai
billa-bila. Saya akan buat apa yang sudah saya beritahu kat mama hari tu!” kata
Nukman yang masih ingat janjinya dengan ibu bapanya.
“Tak
boleh gitu Nukman, mama berdoa kamu akan saling jatuh cinta dan jadi suami
isteri hingga ke syurga. Papa dan mama nak kau bawa Tasya balik ke sini hujung
minggu ni, kita pun nak raikan dia di rumah ni. Sudahlah kamu tak buat resepsi
di sini, nak bawa dia jejak rumah kita pun kau tak nak!” kata Datin Zahara
lagi.
Nukman
Faris bertambah pening mendengar doa emaknya. Dia tidak tahu bagaimana hendak
menghubungi Natasya pula selepas ini. Kepada siapa hendak mengadu? Mama?
Malunya! Papa? Lagilah malu! Pasti dia akan menyaksikan senyuman nakal papanya!
Ah, kepada siapa lagi? Adiknya? Mungkin adiknya!
“Papa
pun doakan kebahagiaan kamu berdua Nukman. Papa mahu kamu bahagia, papa doa
hari-hari dalam solat papa,” kata Datuk Norman secara tiba-tiba. Dia sudah
duduk di bahagian tengah meja itu. Nukman Faris menyalami tangan papanya.
“Eh,
papa tak kerja ke?” setahunya papanya di pejabatnya pada waktu petang begini.
Ayahnya belum bersara sepenuhnya dari syarikatnya sendiri.
“Papa
cuti hari ini. Papa nak cuti panjang tapi tak ada sesiapa yang nak gantikan
tempat papa di pejabat tu. Nukman yang ganti nanti ya,” kata Datuk Norman
tiba-tiba. Nukman Faris tepuk dahi pula. Dia masih mencintai kerjayanya.
“Belum
masanya papa. Saya masih sayangkan kerjaya saya ni papa! Papa juga yang hantar
saya jadi pilot! Kalau tak saya sudah jadi seorang ahli perniagaan yang
berjaya!” Datuk Norman ketawa. Nukman Faris pandang papanya.
“Sayangku
Nukman, hendak membina kerjaya sebagai ahli perniagaan yang berjaya bukan ambil
masa yang singkat. Kau perlu berusaha dari bawah sebelum berjaya! Jangan ingat
kerana kau menyambung legasi ayah, kau akan jadi ahli perniagaan yang berjaya
dalam masa dua tiga tahun!” kata Datuk Norman.
“Sokong
papa! Saya gurau aje tadi!” katanya melayan papanya.
“Jangan
nak main sokong saja. Papa tahu Nukman hanya bergurau dengan papa. Papa tak
suka Nukman ambil lewa. Sepatutnya Nukman masuk pejabat papa kalau tak fly ke
luar negara, bukan asyik nak tidur! Lainlah kalau layan isteri,” mahu sahaja
tersedak Nukman Faris dari meneguk air milonya petang itu.
“Hmm,
papa ni nakal tau!” Nukman Faris mahu melupakan isterinya. Namun makin dia mahu
mellupakan gadis itu, makin terbayang pula setiap masa akan wajah cantik itu.
Apakah yang harus dilakukannya?
“Papa
cakap sesuatu yang serius, bukan main-main! Jaga isteri baik-baik! Jadi suami
yang soleh dan bukannya main selalu!” kata Datuk Norman lagi. Nukman Faris
mengangguk. Dia sedar papanya juga merestui hubungannya dengan Natasya Umaira.
Mungkin dengan restu hubungan lebih bahagia.
“Saya
naik dulu mama, papa. Nak rehat kejap,” kata Nukman Faris.
“Mak
mertua kamu dah tahu kau balik Nukman. Natasya pun mama dah beritahu yang kau
akan ambil dia di rumah petang ni, jangan lupa Tasya mama nak jumpa,” kata
Datin Zahara. Nukman Faris tidak bersuara. Mahu sahaja dia pengsan di tangga
itu.
“Petang
ni? Orang penatlah mama! Boleh tak kalau esok-esok atau lusa?” kata Nukman
Faris memberi alasan. Namun senyuman manis dan malu-malu Natasya Umaira
sentiasa terbayang-bayang di matanya. Wajahnya itu menimbulkan kerinduannya
pula. kenapa bukan wajah Rozaila yang muncul? Huh! Dia sendiri pun hairan.
Apakah ini penangan orang yang sudah beristeri tetapi menipu semua orang?
Bisiknya. Ah, tidak! Ini bukanlah yang sebenarnya! Tolaknya dalam hati.
“Jangan
banyak alasan! Mama tak suka! Masih siang lagi ni, sempat lagi kalau kau nak
ambil dia di puchong tu, bukannya jauh sangat!” kata Datin Zahara. Nukman Faris
tepuk dahi. Patutlah sejak tadi mamanya sibuk menghubungi dia. Macam orang
bercinta pula dia dan mamanya.
Perlahan
dia menapak naik ke tingkat atas. Geram sungguh dia dengan mamanya. Ada-ada
sahaja permintaannya. Papanya pun sama! Suka menyebelahi mamanya.
“Jangan
lupa bawa isteri kau ke sini. Mak nak ukur saiz baju pengantinnya hujung minggu
ni, kau pun sama, jangan nak menghilang pula!” pesan Datin Zahara. Pedih
telinga Nukman Faris mendengar kata-kata mamanya.
“Baju
apa? Nak buat apa baju mama?” soal Nukman Faris tidak tahu apa-apa mengenai
baju pengantin. Dia ingat adiknya Nuraina yang akan kahwin. Setahunya adiknya
itu mempunyai buah hati tetapi dia tidak tahu sejauh mana hubungannya dengan
teman lelakinya.
“Baju
pengantin,” kata Datin Zahara.
“Siapa
nak kahwin lagi mama?” soal Nukman Faris malas. Mesti adiknyay ang hendak
kahwin. Duganya. Berkerut dahinya. Ingatkan semuanya sudah selesai. Natasya
Umaira pun cakap sudah selesai dan dia sudah membantu gadis itu menjadi raja
sehari. Huh! Kenapa lagi mamanya hendak membuat sesuatu di luar pengetahuannya?
“Kamulah!”
mahu terbeliak mata Nukman Faris. Dia tidak menyangka mamanya akan membuat
majlis besar-besaran di pihak mereka. Dia ingat selepas majlis nikah di kampung
hari itu, keadaan akan kembali seperti biasa. Rupanya mamanya mempunyai agenda
tertentu pula selepas ini.
Kalau
macam ini, mahu atau tidak dia terpaksa berdepan lagi dengan Natasya,
isterinya. Aagak lama juga dia tidak bertemu dengan gadis itu. Mahu rindu juga
dia. Rindu? Huhu! Dia bukan apa, dia takut berlaku sesuatu pula antara mereka.
Inilah masalahnya lagi! Aduhai, sakit pula hatinya!
“Ha?
Saya? Kenapa saya pula? Dulukan sudah kahwin? Buat apa membazir ma?” soalnya
seperti mahu terkeluar mata kuyunya itu. Mamanya angguk.
“Yalah
sapa lagi?” aduhai mahu sahaja Nukman Faris pengsan mendengar kata-kata
mamanya. Papanya hanya tersengih.
“Bila
ni ma?” soal Nukman Faris yang sudah tidak bermaya.
“Lagi
dua minggu, mama dan papa sudah edar kad jemputan! Hanya untuk orang kampung
dan kenalan kita. Mama tak jemput ramai, hanya dua ribu lebih sahaja!” Nukman
Faris memikirkan jadualnya. Sejak akhir-akhir ini dia memang sibuk. Urusan
pejabat banyak yang hendak diuruskannya. Dia tidak menyangka mamanya sudah merancang
sesuatu yang dia tidak tahu. Nasib baik dia tidak menceraikan isterinya. Kalau
tak, naya dia!
“Saya
fly,” jawabnya ringkas untuk mengelakkan
sesuatu yang amat tidak disukainya. Pening kepalanya memikirkan kerenah ibu
bapanya yang hendak buat itu dan ini. Dia berasa hidupnya dikongkong. Namun dia
sedar dia siapa hendak membantah?
“Tak!
Tak! Mama dah buat kad. Nukman kena ambil cuti. Urusan di hotel mama dah
siapkan. Jangan buat malu pula. kahwin bukannya dua tiga kali. Kahwin hanya
sekali,” kata mamanya.
Nukman
Faris tarik nafas berat. Dia jarang membantah cakap mamanya. Bagaimana nak jaga
hati Rozaila? Dia terkenang kekasihnya. Sudah hampir sebulan mereka tidak
bertemu. Ada-ada sahaja agenda mamanya yang menyebabkan dia tidak dapat bertemu
dengan kekasihnya. Mamanya memang perancang yang hebat. Dia sakit hati
sebenarnya.
“Kenapa
mama buat macam ni? Mama kan tahu saya ada kekasih?” Datin Zahara ketawa. Lalu
menggeleng.
“Jangan
nak buat lawak depan mama! Itu bekas kekasih kau! Kau kena terima hakikat yang
kau sudah kahwin! Sekarang kau kena jaga Natasya, bukan orang lain tu! Mama tak
suka kau buat tak senonoh! Kalau mak ngah kau tahu, apa yang mama akan jawab?
Cuba kau jawab?” kata Datin Zahara. Nukman terdiam. Mamanya memang banyak
rancangan untuknya.
“Dia
dah tahu? Mana ada cuti dia lagi ma,”
kata Nukman Faris cuba menolak lagi. Mana tahu ada harapan.
“Ada,
dia dah tahu dan dah setuju pun! Memang patut pun kita buat majlis
besar-besaran di tempat kita ni! Supaya semua orang tahu tuan pilot kita sudah
kahwin! Jangan ada sesiapa nak mengorat!” mahu menggelegak darah Nukman Faris
dengan persetujuan Natasya dengan apa yang akan berlaku. Datin Zahara sudah
ketawa.
“Mana-mana
mamalah! Tak kuasa saya nak layan rancangan mama!” Nukman Faris mengeluh berat.
“Jangan
nanti kau hubungi pula kekasih kau tu! Itu tempah dosa namanya! Baik-baik kau
ada isteri, kau layanlah isteri kau!” kata Datin Zahara lagi. Nukman Faris
angguk lagi. Mahu atau tidak dia terpaksa menurut.
“Jangan
lupa Nukman,”
“Ye
ye!” jerit Nukman Faris. Datin Zahara lega jika anaknya mahu menurut
kata-katanya.