“Papa
tak sihat Nukman,” itulah kata pembukaan yang dikatakan mamanya ketika
punggungnya baru sahaja menghenyak di kerusi restoran mewah itu. Terbuntang
matanya. Wajah kusut papa dipandangnya. Wajah berseri mama pun dipandangnya
bersilih ganti dengan papa. Nampak papanya agak uzur. Timbul rasa kasihan
kepada papanya itu. Selama ini papanya memang mengharapkan akan kerjasamanya
namun dia mengabaikannya. Mamanya pula memujuk papanya agar mengizinkan dia
menjadi pilot dan bukannya menjadi pengganti di syarikat gah papanya. Sekarang
apa sudah jadi?
“Tak sihat?” soalnya. Berkerut
keningnya. Apa yang berlaku?
Apakah
yang sedang berlaku kepada mama dan papa ini? Baru dua hari dua malam mereka
tidak bertemu. Kali terakhir mereka bertemu dengan ibu bapa Natasya Umaira dan
isterinya pada malam itu. Dia masih ingat. Hari ini mama dan papanya sudah
memberitahu masalah papa yang tidak sihat. Apa masalahnya sebenarnya ni? Dia sudah
masak benar dengan mamanya sebenarnya. Namun dia mahu mendengar apakah yang
sebenarnya berlaku kepada suami isteri berdua ini. Dia mahu mendengar dengan
telinganya sendiri.
“Jadi,
apa yang saya boleh buat mama? Saya bukan doktor. Kita pun ada doktor sendiri,
kenapa tak minta periksa aje, mungkin papa perlukan rehat kan!” soal Nukman
Faris bagaikan manusia yang melepaskan tanggungjawabnya di tangga. Mama
marakkan matanya.
“Banyak yang Nukman boleh bantu,”
kata mama. Bertambah buntang matanya. Perbicaraan mereka semakin rancak
walaupun dia baru sahaja memesan jus oren. Dia tidak ada selera makan pada
malam itu. Selagi isterinya belum ditemuinya, selagi itu dia belum selesa.
“Bawa papa ke hospital dan jaga
papa?” soalnya macam orang bodoh. Bulat mata Datin Zahara bagaikan hendak
memarahinya.
“Musuh perniagaan kita di mana-mana,
jangan nak main-main dengan papa, Nukman! Jika papa rehat, mesti ada orang yang
menggantikan papa di pejabat!” kata Datin Zahara. Nukman Faris menyengih. Apa
masalahnya ini? Kerjayanya bagaikan melambai-lambai tangan kepadanya. Sedikit
ngeri perasaan lelakinya.
“Apa kaitan papa yang tidak sihat
dengan musuh di dalam perniagaan papa? Err, saya tak berapa nak faham mama,
papa?” soal Nukman Faris. Ada sesuatu yang ditakutinya. Kalau diteliti papa
memang semakin uzur sejak akhir-akhir ini. Sudah beberapa kali papa buka mulut
secara bergurau dengannya namun dia hanya lewa dan menganggap papanya bergurau.
“Awak ni Nukman, susah-susah papa
dan mama hantar sekolah tinggi-tinggi tapi perkara remeh begitu pun tak nak
mampu nak fikir.” Berkerut dahinya. Papa bersuara setelah agak lama
memerhatikannya. Dia sengih lagi dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Maksud?” soalnya. Mamanya geleng. Papa
masih memandangnya dengan penuh rahsia dan kematangan.
“Papa mahu awak gantikan tempat
papa, papa dah tak begitu sihat,” kata mama berterus-terang. Bagaikan gunung
pecah di kepalanya. Begitu sarat masalah yang mengulitnya sekarang. Dia rasa
dia memang mahu dipengsankan dahulu. Amat berat hendak dipikulnya. Masalah
isterinya, masalah dengan kekasihnya dan kini masalah dengan papa dan
syarikatnya. Bagaimanakah dia hendak menghadapi masalah-masalah ini dengan
bijaksana? Perlukah dia berbincang dengan mama dan papanya ini dan mendapatkan
cara penyelesaian yang terbaik? Ah, sukar. Agak sukar.
Dia
memang sayangkan papa dan mamanya dan dalam masa yang sama dia masih sayangkan
kerjayanya. Kenapa pula dia menjadi mangsa dalam hal ini? Mangsa? Dia mangsa?
Oh tidak! Mungkin dia bukan mangsa! Dia anak lelaki yang sudah terpilih untuk
memikul tanggungjawab di syarikat papanya. Dalam sejuta anak lelaki, dia yang
terpilih? Adakah dia mangsa atau anak bertuah? Ah, kenapa dia tidak bahagia
dengan tuah yang datang bergolek ini?
“Err, saya tak sedia lagi mama,
papa,” jawabnya perlahan.
“Itu jawapan awak yang paling selesa
Nukman? Itu aje jawapan yang awak ada untuk membantu selesaikan masalah papa
ni?” soal mama. Sudah mencuka wajah montel mamanya itu. Dia diam.
“Err, bukan begitu mama, saya tak
sedia lagi mama, maafkan saya,” kata Nukman Faris. Dia memang belum bersedia.
Kerjayanya belum mantap dan rumahtangganya masih belum stabil. Apakah yang
hendak dijawabnya?
“Papa tak kira. Selepas pergi
honeymoon nanti, papa mahu Nukman gantikan tempat papa, uruskan syarikat papa!
Itu syarikat Nukman sebenarnya! Kenapa Nukman nak sia-siakan usaha papa selama
ini?” sekali lagi dia kepalanya bagaikan dihantukkan ke batu. Dia garu lagi
kepalanya yang tidak gatal.
“Sebenarnya saya belum nak bersara
dari kerjaya saya papa,” itu jawapan yang paling selesa. Dia memang sayangkan
kerjayanya. Dia bersungguh-sungguh memujuk mamanya untuk memasuki dunia
penerbangan. Tetapi apa hasilnya hari ini? Dia tetap juga terpaksa menggantikan
tempat papanya. Ini kerana, dia tidak ada adik-beradik lelaki lain untuk
dijadikan pengganti papanya. Hanya ada dia. Dialah sahaja anak lelaki papanya.
“Awak cuti tanpa gaji!” tegas suara
papa. Buntang matanya memandang papanya. Mamanya hanya mendiamkan diri kali
ini. Namun masih mengikuti perbincangan mereka.
“Awak tak kasihan papa?” soal mama
pula. Dia angguk. Dia memang kasihankan papa dan mama. Selama ini apa sahaja
keputusan mama dan papa dia turuti tanpa banyak bantahan. Kali ini dia mahu
membantah. Dia suka dengan kerjayanya sekarang. Dia belum bersedia terjun ke
dunia korporat.
“Kasihan memang kasihan tapi kerjaya
saya papa, pilihan saya. Takkan semudah itu saya nak berhenti!” Katanya.
Papanya murung kemudiannya. Betapa kasihnya dia kepada lelaki di depannya itu.
“Jangan banyak cakap, syarikat NFN
memerlukan Nukman, orang muda yang menerajui syarikat.” Kata papa. Apakah
keputusan itu muktamad dari papa dan mama yang mahu dia menjawat jawatan itu di
pejabat papanya? Tidakkah dia perlu belajar lalgi selok-belok perniagaan? Ah,
susah hidupnya kalau begini! Suatu hari nanti kalau ada anak lelakinya, dia
tidak mahu anaknya seperti kerbau yang dicucuk hidung. Apa yang disuruh semua
dipersetujui. Dia anak mahu anak lelakinya nanti tampil menjadi lelaki yang
berjaya dengan pendiriannya. Bukan dengan arahan demi arahan seperti dirinya
yang penurut. Tetapi, siapa yang mahu mengandungkan anaknya? Natasya Umaira?
Terang-terang isterinya itu tidak mahu mengandungkan anaknya. Benarkah
kenyataan isterinya itu? Argh, jalan hidupnya terasa semakin sukar pula!
“Nuraina ada papa. Kahwinkah dia
dengan mana-mana ahli perniagaan berkaliber, biar suami dia yang urus
syarikat!” buntang mata papa dan mama. Memang alasan yang dia berikan tidak
munasabah. Apa pilihan yang dia ada? Itu jalan terbaik yang dia nampak. Kenapa
dirinya boleh dinikahkan dengan sesiapa yang ibu bapanya mahu? Kenapa tidak
adiknya?
“Gila! Awak sudah gila Nukman?
Syarikat yang papa usahakan sejak kamu kecil sekarang awak nak berikan kepada
orang lain dan mengorbankan adik awak sendiri? Nuraina masih belajar, takkan
kita nak kahwinkan dia! Kenapa awak fikir singkat ya?” soal papa. Dia menarik
nafas payah. Memang payah hidupnya sekarang. Hidupnya tidak bebas macam orang
lain di luar sana. Apakah alasannya lagi?
“Bantulah papa, Nukman. Mungkin ada
hikmahnya! Selama ini pun awak mana pernah nak bantu papa! Apa kemahuan Nukman
semua papa turutkan dan tolong papa, papa sudah tak begitu sihat!” kata mamanya
pula. Datin Zahara dipandang tegang.
“Berikan saya masa papa, mama. Saya
bengang sekarang! Banyak sangat masalah ni!” ujarnya memohon sekali lagi.
Ketika dia dinikahkan dengan Natasya Umaira dahulu, mamanya tidak memberikan
dia masa. Dia hanya perlukan “ya” sahaja. Ah, sakit dia kalau begini!
“Banyak masalah? Masalah apa?” soal
mamanya yang agak penyibuk dengan urusannya. Dia diam. Dia tidak mahu menjawab
soalan mamanya.
“Berapa lama?” soal papa Nukman
Faris. Nukman Faris kebingungan sekarang. Berapakah masa yang sesuai dia
memikirkan hal ini?
“Sebulan.” Putusnya. Apakah sebulan
itu cukup atau terlalu singkat?
“Terlalu lama Nukman! Papa dah tak
sihat lagi nak terajui syarikat. Kalau syarikat lain pesaing kita tahu akan
tahap kesihatan papa, pasti mereka akan ambil peluang untuk jatuhkan syarikat
kita Nukman! Tolong papa kali ini,” pinta papa, Datuk Norman memegang dadanya.
Nukman Faris tahu itu memang penyakit papanya selama ini. Apa yang hendak
dijawabnya? Takkan dia hendak berkeras lagi! Dia sepatutnya mengalah kali ini
walau apapun alasannya.
“Saya akan fikirkan papa,” katanya.
Pesanan minumannya sudah sampai. Dia terus meneguk minumannya dengan rakus.
“Tak boleh nak fikirkan lama-lama
Nukman, minggu depan lepas pulang dari bercuti ke Eropah, awak harus mula
bertugas. Papa kini hidup hanya dengan bantuan ubat Nukman, tolong papa!” kata
Datuk Norman yang mengadu dia sudah tidak begitu sihat.
“Kasihan papa dan mama Nukman. Anak
mama dan papa tak ramai. Hanya Nukman seorang anak kami. Kalau Nukman pun tak
nak bantu kami, siapa lagi yang kami harapkan Nukman? Nukman mahu kalau
syarikat kita jatuh lingkup dan jatuh ke tangan pesaing kita?” soal mama pula.
Dia geleng. Perancangan harus rapi dan bukannya main tergesa-gesa.
“Berikan saya masa papa, mama,
jangan desak saya,” pintanya. Hatinya kusut. Jiwanya tidak tenteram.
“Baiklah Nukman, jaga isteri awak tu
baik-baik dan fikirkan juga masa depan syarikat kita. Masa depan kita terletak
di bahu awak Nukman,” kata Datin Zahara. Dia tahu, semua masalahnya sekarang
menuntut dirinya. Siapa lagi yang menyambutnya kalau bukan dirinya?
“Saya tak janji mama, papa.” Kata Nukman
Faris.
“Jangan bercakap macam budak-budak
Nukman! Mama tak suka. Ini soal tanggungjawab besar, mama dan papa minta tolong
bukannya main-main. Ini hal yang sangat serius!” kata mamanya dengan penuh
kesungguhan. Apakah dia bermain-main? Bukankah dia juga serius menangani hal
ini?
“Ya mama, papa, izinkan saya
fikirkan hal ini elok-elok sebelum saya berikan keputusan mama, papa. Jangan
bimbang, saya akan fikirkan mama, papa. Doakan saya,” katanya mahu bertindak
wajar.
“Terima kasih Nukman, papa tidak
minta banyak. Papa hanya mahu Nukman gantikan tempat papa. Papa nak rehat.
Sudah lama papa kerja tak henti-henti!” kata Datuk Norman. Nukman Faris
mengangguk. Nanti kalau dia menggeleng dan berkeras, dia bimbang jika lelaki
itu akan terus sakit pula. Jadi lebih baik dia berlembut dengan ibu bapanya.
Mungkinkah ada hikmahnya!
“Saya tak berapa tahu selok belok
syarikat kita papa,” katanya mengaku akan kelemahannya. Dia berharap agar
papanya tidak terus membiarkan seorang diri menguruskan syarikat warisannya
ini. Papa tersenyum. Baru dia perasan wajah yang kusut dan agak lesu tadi kini
sudah kelihatan berseri. Wajah mamanya semakin berseri.
“Papa takkan biarkan awak
keseorangan. Papa akan sesekali memantau hasil kerja awak Nukman,” kata
papanya. Dia tersenyum. Selesai minum dan menjamu selera, mereka berangkat ke
rumah. Panggilan telefon dari Rozaila dibiarkan sepi. Dia tidak mahu sesiapa
mengganggunya pada masa perbincangan keluarganya sedang berlangsung. Tetapi,
kenapa isterinya semakin sepi? Apakah rajuknya masih ada? Ah, bukan rajuk,
tetapi kemarahan dan kebencian sudah tidak terbendung di mata gadis itu.
“Saya akan cuba papa!” mama dan papa
sudah tersenyum. Bagaikan bunga yang baru menguntum, senyuman itu ibarat bunga
mawar di taman negara Kundasang. Alangkah bahagianya dia melihat papanya
bahagia tetapi kenapa hatinya tidak bahagia?
“Nukman anak papa yang baik dan
bijaksana, papa yakin Nukman boleh terajui syarikat kita dengan berkesan,” kata
Datuk Norman yang sudah berseri wajahnya mendengar persetujuan anaknya itu.
Nukman Faris mengangguk. Mamanya juga turut tersenyum. Ada seri yang lahir di
wajah itu.
“Saya tak janji papa, saya akan cuba
yang terbaik. Saya pun bukannya asas dalam perniagaan. Tapi, saya akan cuba.”
Katanya bersungguh-sungguh. Walau bagaimana pun, dia memang masih memerlukan
bantuan papanya untuk menjayakan tugasnya.
“Sebenarnya...” suara papa
terputus-putus. Buntang mata Nukman Faris.
“Apa yang papa nak kata?” papa masih
diam. Datin Zahara juga hanya menjadi pendengar yang setia. Kedua-dua ibu
bapanya ini memang penuh dengan perancangan. Namun kini mereka seperti ada
masalah.
“Sebenarnya, syarikat kita
menanggung sedikit kerugian,” itu perkara yang papanya hendak beritahu
kepadanya. Apa yang sebenarnya berlaku? Siapa yang punya angkara?
“Rugi? Kenapa pula papa?” soalnya.
“Entahlah, susah papa nak cerita.
Tapi, papa minta Nukman handle this thing dengan baik, umpama menarik benang
dalam tepung, tepung tak berserakan dan benang tak putus,” kata papanya penuh
perumpamaan.
“Saya akan cuba papa,”
“Nanti Nukman jumpa dengan Razak,
dia yang mengendalikan hal ini sekarang,” kata papa. Nukman Faris tidak begitu
kenal pekerja papanya. Dia hanya kenal rapat dengan peguam papanya. Apakah
peguam papanya pun terlibat?
“Baiklah papa, saya akan cuba
kendalikan hal ini.” Kata Nukman Faris.
“Jangan main-mainkan hal ini. Sudah
agak lama papa tahu akan hal ini tetapi sehingga hari ini papa tidak mampu
selesaikannya. Sampai papa sakit-sakit,” terang Datuk Norman.
“Kenapa tak buat report polis papa?”
“Papa tak cukup bukti Nukman!” kata
Datuk Norman. Nukman Faris faham situasi sekarang. Dia cuba menangani hal ini.
“Saya akan cuba papa,” kata Nukman
Faris. Hari sudah agak malam. Telefon nya tidak berhenti bergegar. Pasti
Rozaila yang menghubunginya. Isterinya tidak diketahuinya ke manakah
menghilang.
“Jangan setakat cuba Nukman, papa
mahu awak berikan yang terbaik untuk syarikat kita ni!” kata papanya dengan
wajah bersungguh-sungguh. Dia angguk. Ah, kenapa wajah terluka itu ada di
depannya kini? Apakah isterinya juga mengenang dirinya?
Terkenang
Natasya Umaira. Ah! Menyesal sungguh pun sudah tidak berguna! Semuanya sudah
menjadi bubur! Bubur yang hancur!
***
“Ada
apa sayang telefon saya tadi? ada hal sikit tadi,” soalnya selepas papa dan mamanya
sudah beransur perlahan meninggalkannya. Rozaila terus dihubunginya.
“Sayang, kenapa asyik tak angkat
telefon aje? Apasal sibuk sangat? Sayang anggap saya tak penting? Kenapa sayang
sekarang dah jauh berubah ni! Apakah selama ini saya memang tak penting untuk
awak Nukman?” soal Rozaila agak marah-marah.
Geram
pula dia. Dia tidak suka dimarah-marah. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini
sikap Rozaila sudah berubah. Seperti ada angin yang mengubahnya. Jika dia yang
menghubungi, selalu pula telefonnya tidak diangkat. Tetapi jika dia yang tidak
mengangkat, gadis itu terus jadi macam singa, marah-marah tidak tentu hala. Apa
ni?
“Memang saya sibuk. Sayang apa hal
telefon malam-malam ni?” soalnya. Entah di manakah isterinya tidur pada malam
ini. Tidak dapat dia meneka di manakah isterinya itu. Mungkin besar sungguh
kesilapannya sehinggakan isterinya terlalu marah kepadanya. Ah, siapa yang suka
diperlakukan begitu. Mungkin sejuta kemaafan pun belum tentu lagi dapat
mengubat sakit hati isterinya kepadanya. Itu dia yakin. Amat yakin sekali. Ah,
terlajak perahu boleh diundur, bagaimana kalau dia sudah terlajak perbuatan,
bolehkah dipulangkan mahkota isterinya yang diragutnya? Aduh, besar sungguh
dosanya kepada isterinya.
“Kita keluar kejap malam ni, saya
ada hal nak cakap,” katanya. Dia pandang jam. Rozaila memang hidup agak lama di
luar negara. Dia pula bingung. Bingung memikirkan isterinya yang seorang itu.
ke mana isterinya pergi, dia tidak tahu. Sepanjang hari rumah sewanya bertutup.
Setiap
hari juga dia bagaikan patung tercegat di depan rumah sewa isterinya. Namun
kelibat isterinya mahupun kawan baiknya tidak pernah muncul. Berdebar-debar
dadanya sekian hari ini. Apa yang akan dijawabnya kalau ayah mertuanya bertanya
ke manakah isterinya? Apakah dia akan jawab dia pergi kuliah. Sedangkan mereka
sama-sama setuju yang dia akan menjadi pemandu menghantar dan menjemput
isterinya. Sekarang, apa sudah jadi kepada Nukman Faris dan Natasya Umaira?
Aduhai, dia benar-benar jadi leka kepada perbuatannya yang telah menghiris
sekeping hati isterinya.
Kekasihnya
ini pula mula buat onar. Asyik-asyik nak berjumpa. Dia memang mengakui yang dia
tidak betah bertemu kekasih. Dia tidak betah menempa dosa setiap saat setiap
ketika dengan bertemu dengan kekasih yang bukan muhrimnya. Sejak dulu dia tahu
tetapi sekarang dia sudah tahu akan tanggungjawabnya yang amat berat terhadap
isterinya yang sah. Apa yang harus dibuatnya dengan hatinya yang sering rimas
kepada kekasihnya sendiri kerana terkenangkan isterinya sendiri?
Ah,
asyik-asyik keluar. Asyik-asyik keluar. Keluar pula ke kelab malam. Apa ni?
Nasib baik isterinya tidak mahu tinggal serumah dengannya, jika tidak, asyik
pula isterinya mengeluh. Ah, mengeluh kah isterinya jika dia memberikan sedikit
masanya kepada kekasihnya? Setahunya Natasya Umaira gadis yang baik. Setahunya
Natasya Umaira isteri yang luhur budinya.
“Ke mana pula malam ni?” soalnya.
Jika ke kelab malam, dia akan menolak. Malam ini malam Jumaat. Dia hendak
berbuat sesuatu di rumahnya. Dia hendak balik ke rumah mamanya. Sudah lama dia
tidak ke situ.
“Macam biasa,” kata Rozaila dengan
rengekan halus di hujung talian. Dia mula seperti cacing kepanasan. Dia tidak
betah keluar setiap malam. Hatinya pula bergalau-galau sejak isterinya dihantar
ke rumah sewanya.
“Erm, tak dapatlah. Malam ni mama
saya minta saya temankan dia di rumah. Mama saya tak ada kawan. Papa saya tak
sihat,” itulah alasannya. Sebetulnya dia hendak menjenguk isterinya atau
setidak-tidaknya dia mahu menghubunginya. Tetapi entah, dia terasa kekok pula.
Semenjak
kejadian yang berlaku di rumahnya itu, hubungan mereka menjadi dingin.
Persandingan dan berbulan madu hanya kerana mengikut kata-kata ibu bapa mereka.
Sebaliknya hubungan mereka betul-betul dingin. Dia sendiri juga yang menjadi
puncanya. Dia sudah memohon maaf kepada isterinya itu namun isterinya itu tidak
memberikan respons yang sebaiknya. Jadilah mereka begini. Diam,dungu dan saling
berjauhan.
“Eh,
sampai begitu sekali pula baik awak kepada mak bapa awak? Bukankah selama ini
orang gaji awak berlambak di rumah tu! Boleh lah jadi teman mak awak!”kata
Rozaila agak kasar. Kalau dia jadi menantu mama, apa yang akan dia buat jika
mama atau papa sakit? Dia akan tinggalkan? Alahai!
“Awak
ni belum lagi jadi menantu mama, sudah marah-marah kat mama dan papa saya! Awak
tak kesiankan mereka, orang yang telah melahirkan dan mendidik saya menjadi
manusia seperti ini?” katanya cuba memancing simpati daripada Rozaila. Rozaila
ketawa. Eh, ketawa pula dia. Apahal nak ketawa mendengar rungutan dia.
Entah
kenapa sejak akhir-akhir ini dia dan Rozaila sering bertengkar. Hidupnya
seperti tidak aman jika berdua-duaan dengan Rozaila. Di manakah silapnya
hubungan mereka? Apakah kerana ingatannya yang tidak pernah berkubur untuk
isterinya itu menyebabkan kehadiran orang lain sudah tidak bererti? Benarkah
sangkaannya ini? Jika benar, apakah maknanya ini?
“Ah
awak ni! Ke situ pula. Kita ni pun bukannya selalu jumpa! Minggu depan sebulan
saya ke Timur Tengah lagi. Takkan nak jumpa awak pun susah! Saya suruh awak
pinang saya awak banyak alasan! Nak jumpa pun banyak alasan awak ya!
Entah-entah bini awak dah tunggu awak di rumah ya tak?” kata Rozaila. Sakit
telinganya. Sejak akhir-akhir ini Rozaila suka menyakitkan hatinya. Perasaan
hendak memperisterikan Rozaila pun semakin jauh dan tawar. Apakah benar siratan
hatinya ini?
Tetapi
kalau isterinya pun menunggunya di rumah, apa masalahnya? Mereka sudah halal
sebagai suami isteri. Lainlah dengan kekasihnya, mereka masih bukan muhrim dan
tak ada pernikahan yang menghalalkan hubungan mereka! Ah, sukarnya dia membuat
pertimbangan pada saat akalnya bagaikan dicatu untuk Natasya Umaira yang
sentiasa menari-nari di matanya ini! Argh sukarnya!
“Dia
kan isteri saya! Kalau dia ada di rumah pun apa salahnya! Dia tak pernah pun
marah-marah kalau jumpa awak. Tapi kalau saya ada hal, awak bukan main lagi
marah-marah!” kata Nukman Faris mengenakan kekasihnya. Asyik-asyik dia kena
oleh Rozaila. Mulut kekasihnya sekarang sudah macam bertih jagung. Asyik
mengata dirinya dan isterinya. Apa pula salah isterinya kepada kekasihnya?
Sepatutnya dia yang harus dipersalahkan kerana tidak menceraikan isterinya.
Kenapa kekasihnya menyalahkan isterinya? Kenapa kekasihnya itu pula sudah
hilang sabar pada saat dia amat memerlukan keseimbangan fikiran. Namun, kenapa
kekasihnya mahu buat hal pula dan isterinya menyepi sesepi-sepinya?
“Jadi
awak akan terus jadikan dia isteri awak dan tidak menceraikannya? Awak dah
diguna-gunakan oleh perempuan tu, sampai awak berat hati hendak menceraikan dia
atau awak sudah jatuh cinta bukan? Jadi bagaimana dengan saya? Awak janji akan
ceraikan dia dan nikahi saya! Kenapa sekarang pendirian awak dah berubah? Awak
ni memang tak boleh pakailah Nukman! Lelaki apa awak ni?” soal Rozaila. Bingung
dia. Ah, dia lelaki sejati yang mula sayangkan isterinya sendiri. Mungkin benar
langkah bijak mama dan emak mertuanya yang sepakat menikahkan mereka dahulu.
“Sabarlah,
banyak masalah yang nak diselesaikan sekarang. Boleh tak awak sabar sikit!
Kalau kita kahwin pun, awak bukannya ada di sisi saya sayang! Awak akan terbang
ke sana sini mencari peluang peragaan!” Katanya serba-salah. Dia sebenarnya
mahu memujuk Rozaila. Dia memang tidak mampu menceraikan isterinya saat ini
namun perasaan kekasihnya juga harus dilegakan. Jika tidak, dia takut perang
dingin antara mereka akan berlangsung lama.
“Banyak
masalah? Masalah apa pula? masalahnya awak cintakan isteri kampungan awak tu
kan Nukman! Hey, Nukman be rasional lah sikit! Dulu awak kata dan janji kat
saya yang awak nak nikah dengan gadis tu tiga hari sahaja. Sekarang dah berapa
bulan awak tak cerai-cerai! Awak memang penipu!” kata Rozaila tidak puas hati.
Panas telinganya dituduh yang bukan-bukan. Rozaila memang sudah hilang sabar
kepada tindak-tanduknya selama ini.
Namun
dia mengakui dia tidak mampu mengawal keadaan sekarang ini. Dia memang tidak
mampu! Kalau boleh dia hendak bertemu dengan isterinya sekarang juga, rindunya
menggebu untuk gadis itu dan bersalahnya mengalahkan tingginya gunung Kinabalu!
Alahai isteri, di manakah dia kini? Ke mana dia menghilang?
“Sabarlah,
saya bukan tak nak ceraikan isteri saya tapi saya memang agak sukar hendak
menjawab dengan ibu bapa saya!” kata Nukman Faris menyebut ibu bapanya pula.
Dia
memang hormatkan keluarganya dan keluarga isterinya. Dia masih ingat akan tali
persaudaraan dan kebaikan ibu bapanya selama ini. Ibu bapanya yang ingin
memberikan sesuatu yang terbaik untuknya selama ini. dia tahu dan sedar tentang
hal itu. tetapi, Rozaila juga bukan sebarangan orang. Dia juga anak kepada
seorang ahli perniagaan yang berjaya di negara ini. Namun, bukan status itu
jadi ukuran.
Mamanya
mahu dia mendapat isteri yang akan dibimbing hingga ke syurga dan memberikan
zuriat menyambung warisan mereka. Bukannya mendapat kekasih sahaja. Kata mama.
Entahlah, dia tidak tahu. Perasaannya kini juga seperti berbolak-balik. Mungkinkah
kerana hatinya sudah dicuri oleh isterinya sendiri dan perasaan bersalahnya ini
sukar dipujuk!
“Ah,
pergi mampus lah awak dan isteri awak tu Nukman!” kata Rozaila yang sudah
menekan butang merah di telefonnya. Nukman Faris hanya tersenyum. Namun, dia
tetap kesal. Kesal dengan tuduhan kekasihnya itu. Gadis itu memang kurang
sabar. Sepatutnya dia bersabar menangani hal ini.
Selepas
itu dia bergegas balik ke rumah papanya Damansara Utama. Dia mahu bersama-sama
ibu bapanya pada malam ini. Esok dia akan mencari isterinya lagi. Dia tidak
akan putus asa. Dia mesti menemui gadis itu. rindunya sarat menggebu dan
perasaan bersalahnya semakin sukar dikawal!
Inikah
cinta?
teruskan bacaan di http:putrimanasuha.blogspot.com