Bab 6
Dia
serba-salah hendak masuk ke bilik pengantin pada malam kedua dia bernikah.
Selepas solat Isyak tadi, dia terus keluar dari bilik pengantin tadi. Tidak
betah dia berada di dalam bilik itu lama-lama. Rasa menyesal pun ada. Ini
kerana mama dan papanya sudah membuat tawaran untuk bermalam di hotel yang
berhampiran dari kawasan tempat tinggal Natasya Umaira. Tetapi dia menolak
mentah-mentah. Dia menolak dengan pelbagai alasan sebenarnya. Kononnya, dia selesa di rumah keluarga mertuanya ini. Baginya, pernikahan sementara tidak harus diraikan secara
berlebihan.
Buat
apa nak tinggal di hotel sakan! Lainlah kalau dia bernikah dengan kekasihnya
Rozila. Barulah dia akan meraikan pernikahannya secara besar-besaran seperti
impiannya. Kemudian mereka akan berbulan madu di Paris seperti permintaan
Rozila kekasihnya! Ah, kenapa nasibnya terpaksa bernikah dengan sepupunya pula!
Mereka
pun bukan nak buat apa-apa. Dia hanya sekadar menutup malu keluarga mak ngahnya
dan malu Natasya Umaira sendiri. Natasya Umaira sendiri yang memintanya begitu.
Cukuplah tiga hari dia menjadi suami kepada Natasya Umaira. Itu janji Natasya
Umaira yang menyebabkan dia bersetuju sangat-sangat. Apatah lagi pujukan emak
Natasya Umaira dan mamanya menyebabkan dia terpaksa akur. Tetapi dari butir
cakap mamanya, Natasya Umaira akan menjadi isterinya seumur hidupnya. Itu yang
dia bingung. Tetapi dia tidak payah hendak pening-pening. Apa yang penting
ialah perjanjian bertulis yang telah dibuatnya bersama Natasya Umaira di depan
peguamnya, Encik Rahman.
Dia
terbayang wajah gadis yang juga sepupu sekalinya, Natasya Umaira. Gadis yang
tinggi lampai tetapi ketinggiannya tidak dapat menyamai ketinggian Rozila
kekasihnya. Gadis itu pernah menjadi pramugari di tempatnya bekerja tetapi
sekarang sudah menjadi model sepenuh masa. Memang tip-top kekasihnya itu. Siapa
yang tidak bangga mempunyai kekasih yang secantik Rozila!
Namun,
gadis yang selalu dia sakat kecil mereka masih kecil dulu kini sudah menjadi
gadis yang cantik dan ayu. Aduhai! Kenapa pula hatinya memuji-muji kecantikan
sepupunya sendiri. Apakah dia sudah jatuh cinta? Ah, tak mungkin! Cintanya
kepada Rozila sekukuh cinta tugu Taj Mahal di India. Mana mungkin cintanya
runtuh sekelip mata hanya kerana memandang gadis cantik yang sudah sah menjadi
isterinya!
Natasya
Umaira, si gadis gemuk dan pipinya montel. Si gemuklah gelaran yang sesuai
untuk Natasya Umaira. Tidak pernah dia memanggil nama Natasya walaupun mamanya
selalu menyebut nama Natasya Umaira di depannya. Meluat dia kalau mamanya
menyebut Natasya Umaira. Benci mengingatkan gadis gemuk sewaktu kecil itu.
Tetapi selepas pernikahan mereka pada
pukul 11.00 pagi tadi, dia sungguh terkesima. Nak pengsan pun ada. Natasya
Umaira yang disangkanya gemuk itu sudah menjadi gadis yang bertubuh kecil dan
agak kurus. Hanya pipinya yang masih comel. Matanya yang sederhana besar dan
lentik bagai bentuk hujung sirih sungguh mengejutkannya. Natasya Umaira rupanya
sudah tumbuh sebagai seorang gadis yang cantik, ayu dan bukannya gemuk seperti
sangkaannya sepuluh tahun yang lalu.
Namun, dia sudah terlepas cakap, hendak
membenci Natasya Umaira. Ketika dia mengungkapkan kata-kata menyakitkan di
telinga Natasya Umaira, dia sendiri melihat wajah gadis itu berubah agak
kemerah-merahan dan mungkin juga malu. Mungkin marah, mungkin sakit hati kepadanya. Kasihan Natasya Umaira. Tetapi Natasya
Umaira yang baru dikenalinya kini begitu pandai menutup perasaannya. Dia
tersenyum manis sepanjang majlis bermakna baginya mungkin!
Dia
pula tersenyum manis seolah-olah sangat bahagia bergambar di sisinya. Dan,
perasaan bersalahnya ditutup rapat-rapat dengan bergambar dan memberikan
kerjasama sepanjang penggambaran selepas pernikahan dan persandingan ringkas
mereka tadi.
“Nukman, kenapa termenung depan tv tu,
pergilah masuk ke bilik, Natasya dah lama tunggu tu!” nah! Dia sudah
tertangkap! Entah apa yang dibayangkannya. Dia tersipu malu.
“Tak ada mak, tengok rancangan kartun
eh rancangan sukan ni,” katanya tersasul-sasul. Puan Zurain tersenyum melihat
telatah menantunya.
“Pergilah tidur. Esok kita ada aktiviti
lagi,” kata Puan Zurain. Dia angguk. Dengan perasaan yang berat dia masuk ke
dalam bilik. Dia tahu pasti Natasya Umaira sudah tidur.
"Ya mak. Nak tengok tv kejap."
"Tasya tak buatkan kau air Nukman? Nak air apa?" Malu pula dia kepada emak mertuanya.
"Tak apalah mak, sebentar lagi saya naik, lagipun saya tak haus." kata Nukman Faris. Huhu, perlahan dia naik ke bilik mereka. Perlahan dia naik ke tingkat atas menuju ke bilik mereka.