Bulat
mata kami berdua. Kami berpandangan agak lama. Kenapa pula keputusan emak dan
ayah berubah. Siapa yang menjadi pakar perancang dalam hal ini? Soalku dalam
hati. Aku tidak suka diatur-atur begini. Jika tidak ada kes yang melibatkan aku
dan Amri hari itu, aku tidak akan sudi dinikahkan dengan Nukman Faris. Biarlah
aku menjadi anak dara tua pun, aku rasa aku lebih bahagia daripada menjadi
isterinya dalam situasi yang bagaikan dipaksa-paksa!
“Minggu ni bermula kamu tinggal
serumah. Mak dan ayah akan duduk bersama-sama kamu selama dua minggu. Takkan
mak dan ayah Tasya nak pulang ke kampung lagi sedangkan kamu berdua ada rumah
sendiri. Jadi, biar emak dan ayah duduk di rumah kamu buat sementara sebelum
majlis persandingan diadakan nanti.” Kata Datin Zahara dengan panjang lebar.
Aku rasa, inilah wanita hebat yang banyak mengatur kehidupan kami selepas
bernikah ini. Apakah yang dia mahu daripada perkahwinan kami?
“Tak boleh ma!” kami bersuara serentak.
Aku tidak sengaja. Dia turut tidak sengaja. Nukman Faris menggenggam tanganku.
Dia mungkin mahu menunjukkan kemesraan di depan ahli keluarganya. Bencinya aku.
“His awak berdua macam berjodoh
aje!” kata emak pula. Aku malu dan mencubit lengan Nukman Faris. Dia mengaduh
kesakitan.
“Kenapa Nukman?” soalnya.
“Ketam dah sampai!” jawabnya menahan
kesakitan. Semua orang di ruang tamu itu ketawa. Aku geleng kepala. Benci
dengan permainan mama mertuaku ini. Emak pula asyik nak menurut perintah
kakaknya sahaja. Itulah yang aku geram sangat.
“Tasya, awak hadir kelas bila?” soal
emak pula. memang kedua-dua beradik itu sehati dan sejiwa. Aku pandang Nukman
Faris. Aku yang silap. Aku sudah beritahu emak yang aku ada kelas minggu depan.
“Minggu depan mak, Isnin, Selasa dan
Rabu. Tak tahu kalau pensyarah saya nak buat perubahan!” kataku dengan yakin.
Tetapi aku pun tidak pasti jika Doktor Mahani tidak tukar tempat. Jika dia
menukar tempat pada saat akhir,aku terpaksa bergegas ke Perak.
“Bagus, kebetulan yang baik.” Aku
kerut dahi mendengar suara mama mertuaku. Ayah dan papa macam tunggul di depan kami.
Kedua-dua mereka hanya mendiamkan diri tetapi tersenyum, tersengih dan
mengangguk. Mereka seperti sudah sepakat. Bencinya!
“Apa yang kebetulan mama? Tak faham,”
soal Nukman Faris. Kami berpandangan. Kehairanan dengan kata-kata mama. Mama
dan emak pula berpandangan. Mereka seperti sudah sepakat mengenakan kami.
“Kami bukan hendak mengenakan kamu
berdua. Tetapi kami lakukan semuanya untuk kebaikan kamu berdua.” Aku
membulatkan mataku. Mama seperti dapat membaca apa yang aku katakan dalam hati.
Datin Zahara tersenyum. Emak pun nampak macam gembira sahaja petang ini. Aku
pula yang berdebar-debar.
“Kebetulan kerana, Nukman cuti dan
dia boleh hantar dan jemput Tasya setiap hari. Jadi, tak ada masalah lah. Mak
dan ayah pula di rumah kamu. Jadi, Tasya tak perlu nak balik ke rumah sewa
pula.” kata mama dengan penuh yakin. Aku kerut dahi. Aku tidak mahu menyusahkan
Nukman Faris pula. Tetapi aturan ibu bapa kami membuatkan aku rimas. Kita hanya
mampu mengatur tetapi Allah yang menentukannya.
“Tak apa mama, saya tak nak susahkan
abang Nukman. Saya pun ada kereta sendiri. Lagipun kawan saya macam mana. Dia
tak ada kawan nak pergi kuliah nanti,” sekali lagi aku terkenang Shamira. Sejak
aku menikah seperti banyak kesusahan aku berikan kepada dia. Mama dan emak
berpandangan.
“Tak pe, itu memang tanggungjawab
Nukman sebagai suami. Tak guna jadi suami jika dia tidak mampu menjalankan
tanggungjawabnya kepada isteri. Kebetulan dia cuti sekarang ni, jadi biar dia
layan Tasya dan mertuanya!” kata Datin Zahara. Aku sudah membulatkan mata.
Dan,
Nukman Faris memandang aku dengan pandangan tulus ikhlas dan meramas tanganku
perlahan-lahan. Dia terangguk-angguk, mungkin setuju dengan kata-kata mamanya
kali ini. Mungkin dia mahu menunjuk-nunjuk di hadapan keluarganya yang kami ini
adalah pasangan yang bahagia. Meluatnya aku dengan sikapnya yang suka
berpura-pura bahagia. Sebenarnya dia dan aku tidak bahagia. Kami masing-masing
memendam rasa. Bahagiakah itu? Ya mungkin bahagia, bahagia dalam derita di
jiwa.
“Memang betul tu Nukman, Tasya, papa
setuju sangat dengan cadangan mama dan emak tu. Papa tak mahu awak sebagai anak
dan suami kepada Tasya buat tak tahu pula kepada isteri awak. Jaga kebajikan
isteri. Tugas suami sebagai pelindung isteri. Bukan nak berangan nak kahwin
semula pula, betul tak ayah Tasya?” kata Datuk Norman dengan kata
persetujuannya. Ayah pula tersenyum dan mengangguk-angguk. Aku semakin panas
punggung dengan kerenah kedua-dua belah pihak ini. Kami pula seolah-olah patung
cendana, tidak mampu berbicara, malah hanya duduk membatu sahaja. Aduhai, kalau
membatu apa yang aku dapat?
“Saya ikut saja mana yang baik bang
long. Tak ada halangan bagi saya. Apa yang kita anak-anak kita bahagia dan
memberikan zuriat yang baik untuk kita nanti,” kata ayah pula.
Aku
sudah cubit lengan Nukman Faris semula. Kami berpandangan lagi. Lelaki di
sisiku ini bagaikan tidak ada bantahan. Dia bagaikan tidak ada perasaan. Walhal
kekasihnya menunggu pinangannya. Dia boleh membantah kalau dia mahu. Baiknya
cara mamanya mengajar dia. Apapun kata arahan mamanya dia tidak membantah.
Naya! Naya!
“Nukman bagaimana, masih ada nak dibantah?”
soal Datin Zahara. Nukman Faris pandang aku. Aku tahu dia lebih suka kalau aku
tidak ada di depannya. Tetapi aku jangan lupa. Dia tidak mahu aku engkar
kata-katanya. Dia mahu mengikut kata emaknya agar kami tinggal serumah selama
kami cuti sekolah ini.
“Tak mama, saya ikut aje mana yang
baik untuk kami dan mak dan ayah. Kan sayang, sayang tak kisahkan?” Kata Nukman
Faris yang masih mengelus-elus tanganku dengan lembut. Matanya sudah
dikenyitkannya untukku. Naik takut aku dibuatnya. Mukaku masam semula. Tetapi
apabila semua mata memandang ke arah kami, perlahan-lahan aku mengangguk dan
tersenyum. Kononnya aku tersenyum bahagia.
“Tasya pula macam mana? Jangan kata
setuju di sini tapi di belakang nanti marah-marah mak dan ayah serta mama pula.
Atau gaduh pula dengan suami!” kata Datin Zahara. Aku kuis-kuis tangan Nukman
Faris. Nukman Faris hanya menyerlahkan senyuman bahagianya di depan kedua-dua
ibu bapa kami.
Aku
dan Nukman Faris bagaikan diperangkap pada malam ini. Mahu atau tidak, aku
terpaksa mengangguk. Mengangguk tidak bererti aku setuju namun aku tidak ada
pilihan.
“Saya ikut aje mama mana yang baik
untuk kami.” Kataku menyatakan rasa setuju. Datin Zahara dan Puan Zurain sudah
berpelukan. Mereka kegembiraan mendengar persetujuan kami. Nukman Faris pula
sudah mengenyitkan matanya kepadaku. Aku bulatkan mata.
“Ia akan berkuat kuasa malam ini.”
Aku buntangkan mata. Nukman Faris juga terkejut.
“Err, kami nak minta mak datang
esok. Kami nak beli barang-barang keperluan di rumah.” Kata Nukman Faris. Kami
tidak sempat membeli apa-apa semalam dan hari ini. Peristiwa ngeri yang berlaku
pagi tadi memang sukar hendak kulupakan. Ibu bapaku sendiri tidak pernah
menolak aku begitu tetapi kekasih Nukman faris sudah menolak tubuhku hingga aku
jatuh terbongkang ke lantai. Sakitnya punggungku masih kurasakan bahangnya hingga
kini. Malam ini aku mahu berbual-bual dengan emak dan memberitahu hal itu
tetapi lain pula yang berlaku. Aku pun pening sendiri dengan cadangan mama
mertuaku ini. Apakah ini cadangan mereka berempat? Ah, susah aku kali ini.
Susah... susah sekali.
“Tak apa, lepas makan di sini kamu
boleh keluar. Sediakan apa yang patut. Mak dan ayah akan datang dua hari
selepas tu! Mama dan papa pun akan mengiringi mereka kan Ain! Esok mereka akan
balik kampung dulu,” kata Datin Zahara. Emakku sudah mengangguk dengan senyuman
manisnya. Tahi lalat di tepi bibir kanan emak menyerlahkan lagi keayuan emak.
Kakaknya Datin Zahara pun memang nampak masih cantik. Mereka bertambah berseri
dengan rancangan mereka pada malam ini.
Nukman
Faris memandang ke arahku. Aku hanya tersenyum. Sebenarnya ada getar halus
dalam hatiku ini. Aku ada masa untuk berkemas di rumah Nukman Faris itu. Bilik-bilik
yang lain hendaklah dibersihkan. Aku mengatur kerja-kerja yang menunggu aku di
rumah Nukman Faris itu. Aku berdoa agar kekasih Nukman Faris tidak akan datang
semula ke rumahnya. Kalau tidak, memang naya! Mati lah Nukman Faris akan
dimarahi oleh mamanya. Aku tidak kisah tetapi aku tahu kedua-dua ibu bapa kami
akan kisah dengan hal yang berlaku pada tadi.
“Mak dan ayah nak balik kampung
dulu. Ada benda nak ambil dan ayam-ayam nak dijenguk. Kebun ayah pun nak
dilawat.” Kata Puan Zurain. Aku angguk. Emak memang begitu. dia mana tahan
hendak tinggal di mana-mana lama-lama. Emak ku pula sangat cerewet kalau di
rumah orang. Apakah dia akan bertahan kalau di rumah Nukman Faris selama dua
minggu? Aduhai!
Kami
pula masih berpegangan tangan. Sesekali Nukman Faris memeluk bahuku turun ke
pinggangku. Eh, aku tidak mahu diperlakukan begini sebenarnya. Nasiblah
berlakon di depan ibu bapa kami, kalau tidak aku sudah cubit-cubit lengannya
yang agak keras itu. Seolah-olah kami adalah pasangan yang bahagia. Runsing
sekali hatiku. Rundau pun ada. Ini kerana pegangan tangan Nukman itu. Jantungku
sekejap ada sekejap sudah terkeluar dari tangkainya. Alangkah ngerinya!
“Saya
faham mak. Boleh tak saya ikut mak?” soalku membuat soalan bodoh. Kenapa aku
tidak ingat kalau esok aku terpaksa menghadiri kuliah yang sangat penting untuk
tesis yang sedang aku usahakan. Buat apa aku hendak ikut ke kampung. Ah, aku
bingung sebenarnya. Bingung apabila kami bagaikan dipaksa-paksa hendak tinggal
serumah. Mamanya dan papanya punyalah selamba. Aku pula yang terasa getar di
dada tanpa hentinya. Malah, aku tahu Nukman Faris takkan sudi hendak menghantar
dan menjemput aku ke kuliah.
“Saya
pun nak ikut mak,” kata Nukman Faris tidak mahu kalah. Aku angkat keningku.
Mengada-ada!
“Tak
boleh lah macam tu! Nukman akan hantar dan jemput Tasya dari kuliah. Takkan nak
ikut balik kampung pula. nantilah kalau Tasya tak sibuk bolehlah kamu pergi
balik kampung. Nak pergi honeymoon pun boleh, kamu belum pergi honeymoon lagi
kan?” Kata Datin Zahara pula. Aku terpaksa angguk. Malah dadaku bagaikan
dihentak dengan batu besar apabila mama menyebut mengenai honeymoon. Tidak
pernah aku terfikir yang kami akan honeymoon. Sedihnya pernikahan kami ini. Akhirnya
keputusan sudah diukir. Kami kekal berlakon sebagai suami isteri yang bahagia
dengan aturan mama dan emakku.
“A’ah,
lupa pula nak honeymoon. Nukman cadang nak honeymoon kat mana bawa Tasya?”
kunampak muka Nukman Faris yang tadinya banyak senyum itu berubah kelat. Aku
tundukkan pandanganku ke lantai. Soalan kali ini memang mencabar iman dan
lakonan kami berdua. Selama ini kami berlakon dengan mantap. Tetapi mendengar
soalan mengenai honeymoon, dia terus gugup dan wajahnya memucat. Apakah yang
akan dijawabnya kali ini? Takkan dia hendak menyebut Australia, Beijing,
Istanbul atau mana-mana tempat yang menjadi idaman honeymoonku. Ah, tidak.
Honeymoon adalah perkara mustahil yang mungkin berlaku dalam kehidupan kami
berdua.
“Kami
akan bincang dulu dengan Tasya papa. Kat mana dia nak pergi, nanti kami
beritahu papa dan mama, jangan risau,” kata Nukman Faris. Aku terkejut. Kenapa
nama aku pula yang dia kaitkan dalam hal ini? Aku tidak mahu dilibatkan dalam
hal ini. Aku tidak mahu! Jerit hatiku.
“Saya
ikut abang Nukman aje papa. Saya tahu sekarang kami sama-sama sibuk, macam tak
sempat pula nak honeymoon!” kataku memberikan jawapan yang paling kurasakan
selamat.
“Tak
pe, kalau macam tu nanti kalau cuti sekolah papa yang sponsor tiket. Kamu
berdua pasti suka punya!” kata papa. Aku pandang papa tidak berkedip. Kemudian
aku pandang Nukman Faris. Dia sudah tersenyum dan aku memohon dia membantu aku
memberikan jawapan yang kreatif iaitu penolakan yang halus agar kami tidak perlu nak sibuk-sibuk memikirkan
hendak ke mana-mana destinasi honeymoon. Aku sedih sekali. Mungkin destinasi
honeymoon bukan impian perkahwinan yang penuh dengan janji bertulis kami.
“Sepatutnya
lepas bersanding nanti pegi lah honeymoon kejap. Tasya masih boleh ambil
cutikan? Cuti rehat khas tak ambil lagi kan? Ambillah dalam tiga hari. Hari tu
mama tanya kawan mama, cuti khas untuk kahwin memang ada,” kata Datin Zahara
yang sudah mempunyai info tentang kerjaya guru. Aku terdiam. Kali ini mukaku
yang sudah pucat. Allahu Akbar! Kenapa kami harus honeymoon lagi kalau kami
memang sudah berjanji akan bercerai!
Nukman
Faris pula masih memandang aku. Masing-masing masih menunggu jawapanku. Aku
takut jawapanku nanti akan melukakan hati kedua-dua ibu bapa kami. Tetapi aku
tahu di antara kami memang tidak mungkin akan menikmati percutian selepas
perkahwinan itu. Ia hampir mustahil rasanya!
“Err,
boleh cuti mama tapi sekarang ni sekolah kami tu tak cukup guru. Saya pula
tengah sambung belajar selalu cuti, jadi saya tak dapatlah nak ambi cuti lain
pula mama. Mungkin kalau perlu cuti sekolah ajelah kalau saya tak ada kuliah!”
ah, aku tarik nafas panjang. Memang dadaku sebu dengan ketakutan. Takut
kedua-dua ibu bapa kami akan kecewa dengan jawapan yang aku sediakan. Aku tahu
kami tidak perlu honeymoon ke mana-mana pun!
“Kalau
saya ok ajelah mama,papa, emak, ayah. Mama dah urus cuti saya agak lama. Entah
kenapa pihak admin pun sudah meluluskan cuti saya. Kalau nak honeymoon ok aje
tu. Kan sayang Tasya? Saya rasa Tasya pun tak de masalah juga kalau abang
setuju kan?” katanya membuatkan jiwaku bertambah kacau. Apakah ini untuk
memantapkan lakonannya atau apa ni? Aku tidak faham sebenarnya.
“Macam
mana Tasya ada bantahan?” suara ayahku bagaikan halilintar. Ah, mereka semua jahat
dan hendak mengenakan aku dan Nukman Faris. Kenapa mereka begitu sepakat hendak
mengenakan kami?
“Err,
tak de ayah. Saya bimbang abang Nukman yang sibuk, maklumlah, dia kan kerja di
udara.” Kataku cuba menolak dengan bahasa yang paling terpuji. Ayah ketawa.
Papa juga tersengih.
“Nukman
cutilah sayang,” kata Nukman Faris yang sudah mengucup tanganku dengan penuh
kasih dan perasaannya. Aku pula buntang mata, terkejut dengan tindakannya.
Seolah-olah dia suka pula kalau kami tinggal serumah. Kedua-dua ibu bapa kami
tersenyum bahagia. Dan, mukaku sudah bertambah panas seperti dimasukkan ke
dalam mikrowave. Aduhai! Eh, mamat ni kenapa begini?
“A’ah
Nukman cuti lah Tasya. Jangan risau. Dia akan jalankan tanggungjawab dia kepada
isterinya. Takkan selama tiga minggu tak jumpa, tak ada perasaan rindu kan
Nukman,” balas mama pula.
Nah
ambik kau Tasya, Nukman! Nukman Faris sudah terangguk-angguk dan tersenyum
manis kepadanya. Semuanya yang ada di ruang tamu itu pasti bahagia mendengar
kata-kata mama dan melihat senyuman manis Nukman Faris. Dia pula yang
serba-salah. Kasihan pula kepada kekasih hati Nukman Faris yang tidak cukup
kain itu. takkan dia pula yang hendak membantah.
“Ya
lah sayang, abang ni cuti tiga minggu lamanya. Mama ni yang pandai-pandai mohon
cuti untuk Nukman. Ia semata-mata untuk kebahagiaan kita,” kata Nukman Faris
mengenyitkan mata kepadaku. Aku tambah terkejut. Nasib baik aku tidak pengsan.
Aku harus sedar diri. Nukman Faris memang suka mengikut kata-kata orang tuanya.
Kalau dimintakan dia cucu, apa yang hendak dijawab oleh suami di sebelahnya ini?
Takkan dia akan cakap, ya mama saya akan beri mama cucu tidak lama lagi.
Aduhai! Ini memang kes naya! Kes naya buat Natasya Umaira.
“Harap
kamu berdua boleh hidup bahagia selepas ini. Takkan ada gaduh-gaduh lagi.
Gaduh-gaduh sayang itu biasa.” Kata Datin Zahara. Aku yang sejak tadi termangu
akhirnya mengangguk. Emak pula sedang memerhatikan tingkah laku kami seperti
mata helang. Ah, kedua-dua ibu bapa kami benar-benar berharap agar kami akan
berbahagia sebagai pasangan suami isteri. Aku memang inginkan bahagia. Kalau
boleh pernikahan ini akan membawa ke syurga tetapi aku benar-benar keliru.
Perjanjian kami tidak membolehkan kami menjadi pasangan bahagia itu. Ah,
sesaknya hatiku!
“Jadi,
semua sudah ok dan tak ada bantahan kan?” soal mama seperti seorang pengerusi.
Semua yang ada di ruang tamu itu mengangguk. Aku pula yang masih termangu.
“Tasya
macam tak suka?” soal papa seperti tahu dan menyelami rasa terkejutku. Ayah
pandang aku dengan pandangan yang sukar aku teka. Namun aku tahu ayah tidak
suka aku membantah apa sahaja kemahuan mereka.
“Mana
ada papa, Tasya ni selalu ok aje kan sayang,” belum sempat aku bercakap, lelaki
di sebelahku ini sudah menjawab bagi pihak aku.
“Tasya
dan Nukman memang anak yang baik. Anak yang baik akan melahirkan cucu-cucu kami
yang baik dan awesome nanti!” kata Datin Zahara lagi seperti berbahagia dengan
pernikahan kami. Aku tersengih. Sayu hatiku. Nukman Faris dan aku saling
berpandangan. Dia menaikkan keningnya dan aku menundukkan pandanganku ke lantai
mar-mar yang cantik itu. Sebenarnya perasaanku sudah libang libu lagi!
“In
sha Allah mama, itu adalah doa seorang ibu untuk anak dan menantunya, kan Tasya
sayang!” kata Nukman Faris. Aku hanya tersengih dan menyeringaikan kesedihan
sebenarnya. Aku mengangguk perlahan-lahan. Apakah mereka tidak tahu kami ini
seperti kahwin olok-olok? Kalau mereka tahu, pengsan keempat-empat ibu bapa
kami di depan kami ini.
Nukman
Faris memang anak yang baik. Dia sanggup berkorban untuk kebaikan ibu bapanya.
Patutlah dia tidak sampai hati hendak menceraikan aku. Dia tidak mahu
memusnahkan harapan ibu bapa kami yang menaruh harapan yang tinggi terhadap
pernikahan kami ini. Namun, aku takut dan terus diburu ketakutan apabila suatu
hari kami bercerai, siapakah yang akan pengsan dulu? Atau menyesal? Ah, aku
bingung! Dilanda musibah bingung!
“Ajaklah
Tasya tidur dulu, esok kamu akan urusan lain lagi,” kata mama. Aku pandang
emak. Emak sudah mengangguk dan merelakan aku naik ke atas bersama Nukman Faris.
“Mari
sayang, kita naik ke atas.” Katanya yang sudah menarik tanganku. Aku pula
sedikit kesal kerana belum sempat berbual-bual dengan emak dan ayah.
Entahlah!
“Pegang
elok-elok Tasya tu Nukman, kasihan dia, tentu dia penat.” pesan mama dengan
suara pesanannya. Nukman Faris hanya mengangguk dan kami sudah bergerak ke
tingkat atas.
“Eh,
lepas! Lepaskan saya! Malas tau awak ni!” aku meronta minta dilepaskan apabila
kami sudah berada di tangga terakhir di bahagian atas. Aku tidak selesa
dipegang dengan bebas oleh tangannya yang kasar itu.
“Apa
pula? Jangan nak buat hal ye!” katanya. Aku diam sementelah tangannya masih di
pinggangku. Mukaku sudah merah padam. Bukannya macam udang terbakar tetapi
macam api, merah menyala!
“Awak
ni kan, tak makan saman!” kataku perlahan. Sebenarnya aku sudah geram!
“Makin
comellah si tembam kalau dah marah!” usiknya lagi sambil mencubit pipiku.
Aduhai, makinlah aku geram kepadanya!